A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Menyesuaikan Diri Dengan Orang Lain

Pengenalan

“No one is an Island by themselves” Ungkapan “No one is an island by themselves” tersebut membawa maksud setiap manusia tidak mampu hidup bersendirian. Segenap penjuru kehidupan kita pasti berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah manusia. Adalah penting supaya kita dapat menyesuaikan diri dengan kerenah dan ragam. Sesetengah daripada kita mempunyai kemahiran interpersonal yang baik sehingga membuatkan orang sekeliling berasa senang berinteraksi dengan individu tersebut.

Sebenarnya kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan orang lain merupakan sesuatu yang boleh dipupuk dan dipelajari. Namun begitu tidak dinafikan kadang-kala personaliti seseorang individu juga mempengaruhi bagaimana mereka berinteraksi dengan orang lain. Oleh kita, perlu kita mengasah kemahiran interpersonal supaya kita akan disenangi oleh rakan-rakan malah ia memudahkan urusan kita sehari-hari sewaktu berinteraksi dengan orang lain tak kiralah samada ahli keluarga, kenalan atau atas urusan kerja. Berikut adalah tip yang boleh anda gunakan;

1. Tip Berfikiran Positif

Individu yang berkemampuan untuk berfikir secara positif selalunya sering disenangi oleh rakan-rakan kerana setiap idea dan pendapat yang keluar dari mulut mereka bersifat membina. Jadi cubalah belajar untuk berfikir secara positif. Cuba berusaha melihat segala sesuatu dari kacamata positif, bahkan dalam situasi yang tidak menyenangkan sekalipun. Langkah-langkah untuk mewujudkan pemikiran yang positif:

  • Langkah 1. Mengenal pasti situasi.
  • Langkah 2. Nilai kewujudan pemikiran negatif atau tidak rasional.
  • Langkah 3. Nilai sama ada pemikiran negatif tersebut sahih/ wajar, serta mempunyai fakta yang kukuh.
  • Langkah 4. Gantikan pemikiran negatif dengan pemikiran yang lebih munasabah.

Individu berfikiran positif lebih suka membicarakan kebaikan dari keburukan orang lain, lebih suka bercakap mengenai harapan dari keputusasaan, lebih gemar mencari penyelesaian dan lebih gemar memuji dari mengecam. Individu seperti ini mudah disenangi dan dihormati serta mudah mendapat kawan. Individu yang berfikiran positif juga mudah untuk menyesuaikan diri dengan orang lain kerana mereka melihat rakan mereka sebagai insan yang wajar dihormati, unik dan mempunyai karekter yang berbeza.

Antara sikap orang yang berfikiran positif sehingga memudahkan mereka untuk menjalinkan hubungan dan menyesuaikan diri dengan orang lain ialah:

  • Optimis
  • Mempunyai semangat dan minat yang mendalam terhadap sesuatu kerja dan amanah yang diberikan.
  • Kepercayaan (Belief)-mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap diri sendiri dan sentiasa melihat sesuatu dari aspek yang positif.
  • Keberanian – mempunyai keberanian untuk menyuarakan pendapat secara rasional dan melakukan tindakan yang rasional dan positif sehingga menghasilkan keputusan yang positif.

2. Perbaiki Kemahiran Komunikasi

Kemahiran berkomunikasi penting di dalam proses individu untuk menyesuaikan diri dengan orang lain. Interaksi berkesan memerlukan komunikasi yang berkesan. Komunikasi berkesan dapat meningkatkan kualiti perhubungan dan mengelakkan konflik yang berpunca dari salah faham atau rasa tidak puas hati. Komunikasi hanya berkesan jika dimulakan dengan memikirkan dengan jelas apakah mesej yang hendak disampaikan. Mesej tersebut pula perlulah ringkas, tepat dan mudah difahami. Pemberi maklumat juga haruslah memastikan penerima faham akan maksud mesej tersebut.

Cara berkomunikasi lebih berkesan:

  • Gunakan nada suara yang tenang dan lembut, tidak berleter atau kesat.
  • Pilih perkataan yang tepat, mudah dan tidak mengelirukan untuk memudahkan pemahaman pendengar.
  • Tumpukan pada masalah yang ada, tidak menuduh atau menyalahkan :cth: saya lebih senang bekerja tanpa sebarang gangguan/”awak selalu menganggu saya”
  • Berkomunikasi dengan berasakan fakta bukan perasaan.
  • Bertanggungjawab terhadap apa yang anda katakan
  • Membuat permintaan dengan jelas.
  • Mendengar dengan baik

Antara faedah komunikasi berkesan ialah:

  • Mudah untuk memahami satu sama lain
  • Mudah jaga hubungan harmonis serta menyesuaikan diri dengan orang lain.
  • Mudah untuk meluahkan dan kongsi perasaan dengan orang lain
  • Mudah untuk mendapatkan pertolongan
  • Mudah menjalinkan persahabatan
  • Mudah menjalin hubungan baru

3. Jadi Pendengar yang Baik

Kemahiran mendengar yang baik mampu memupuk komunikasi berkesan. Kegagalan memupuk kemahiran mendengar boleh menimbulkan konflik dalam perhubungan samada dengan keluarga, rakan atau pasangan masing-masing.

Langkah- langkah memupuk kemahiran mendengar:

  • Wujudkan keselesaan
  • Perhati pendengar,kesan perasaannya
  • Jarak yang sesuai
  • Cara duduk sopan
  • Situasi yang sesuai
  • Tempat yang sesuai
  • Tajuk yang sesuai
  • Dengar perkataan yang diucapkan juga perasaan perucap.
  • Gunakan soalan terbuka, tertutup dan minta penjelasan dan huraian bagi menggalakan percakapan.
  • Tunjukkan yang anda berminat terhadap apa yang diperkatakan.
  • Gunakan non verbal communication spt: memek muka dan tingkahlaku yang menunjukkan minat dan kefahaman.
  • Mula mendengar dari percakapan pertama
  • Beri tumpuan apa yang dicakapkannya
  • Cari makna dari apa yang dicakapkannya
  • Usah menganggu sewaktu orang lain bercakap.
  • Jangan cepat melenting terhadap percakapan yang beremosi, elakkan dari membuat kesimpulan dengan cepat.

Halangan yang besar dalam kemahiran mendengar ialah:

  • Membuat tanggapan terhadap seseorang sebelum ia beri pendapat.
  • Membuat rumusan terburu-buru sebelum rakan atau pasangan anda habis bercakap.
  • Anda sahaja yang bercakap sehingga tidak mendengar percakapan orang lain (self centered)

 

Belajar Cara Mengawal Kemarahan Dengan Berkesan

  • Kenal pasti perasaan marah – Langkah pertama adalah dengan mengenalpasti perasaan marah anda. “Saya marah”.
  • Bertenang (kira hingga 10, tarik nafas panjang, mengucap).
  • Katakan pada diri “Saya perlu bertenang”.
  • Berfikir dahulu sebelum bercakap dengan orang yang anda marah.
  • Nyatakan dan kenal pasti punca kemarahan anda.
    1. “Kenapa saya marah?”
    2. “Kenapa dia bertindak sedemikian terhadap saya?”
  • Jangan berkata sesuatu untuk menyakitkan hati atau menghukum orang lain.
  • Fokuskan kepada isu sebenar dan jangan mengungkit perbalahan atau kesalahan lalu.
  • Bertegas diri (Asertif) dengan zahirkan kemarahan secara positif.
  • Jelaskan kepada individu berkenaan tanpa menyalahkan mereka.
  • Kawal suara.
  • Mendengar.
  • Memaafkan orang lain
  • Sekiranya masih tidak boleh mengawal kemarahan, tinggalkan tempat tersebut.

Tangani Kritikan Dengan Baik

Ramai orang boleh mengkritik orang lain dengan mudah namun sukar menerima apabila diri sendiri dikritik. Kita perlu belajar menerima kritikan supaya dapat memupuk dan membina hubungan dengan orang lain.

Apa yang perlu dilakukan bila dikritik:

  • Cuba bertenang
  • Tentukan sama ada kritikan tersebut boleh dipercayai.
  • Sekiranya kritikan benar, terima dengan hati terbuka, fikir positif dan anggap ia cara memperbaiki diri
  • Sekiranya kritikan tidak benar, bawa bertenang dan dapatkan maklumat dan betulkan tanggapan salah tersebut dengan penuh diplomasi

Penutup

Sekiranya anda seorang yang mudah menyesuaikan diri dengan orang lain ia akan memberi beberapa kebaikan di dalam kehidupan seharian baik dalam aspek kerjaya, keluarga, pergaulan dalam masyarakat malah ketika berada di tempat asing.

Semakan Akhir : 04 Mei 2011
Penulis : Khairulnissa binti Abdul Kadir

 

Artikel Berkaitan

Keperluan Kesihatan Mental Semasa Infansi

Keperluan kesihatan mental untuk kanak-kanak semasa peringkat bayi merujuk kepada keperluan perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak yang sihat dan perhubungan mereka dengan penjaga terdekat (biasanya ibu bapa) dari lahir sehingga berumur lima tahun.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia