A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ujian Saringan Pendengaran

Pendengaran merupakan salah satu deria penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Deria pendengaran membolehkan seorang individu mendengar, mengesan, membezakan bunyi, menterjemah dan memahami bunyi-bunyi di persekitaran dan bunyi pertuturan.

Sekiranya bayi lahir dengan masalah pendengaran, perkembangan bahasa dan pertuturannya boleh terjejas atau terbantut sama sekali. Tempoh kritikal bagi perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak adalah dari sejak lahir sehingga 4 tahun yang pertama (Yoshinago-Itano;2000). Saringan awal pendengaran amat penting dilakukan, jika bayi dikesan mempunyai masalah pendengaran selepas dilahirkan, pengurusan untuk menentukan tahap masalah yang dialami dan program habilitasi dapat dilakukan seawal mungkin. Kesan masalah pendengaran terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan dapat dikurangkan.

Ujian Saringan Pendengaran Bayi

Ujian saringan pendengaran adalah ujian asas yang dilakukan ke atas bayi untuk mengesan bayi yang disyaki mempunyai masalah pendengaran.

Terdapat dua jenis saringan pendengaran bayi iaitu:

  1. Saringan pendengaran bayi universal. Ia dilakukan ke atas semua bayi yang baru lahir. Pada ketika ini, saringan ini hanya dilakukan di beberapa hospital sahaja.
  2. Saringan pendengaran bayi berisiko tinggi. Ia dilakukan ke atas bayi yang lahir dengan komplikasi seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1. Saringan ini dilakukan di kebanyakan hospital kerajaan.

Jadual 1 : Senarai penunjuk bayi berisiko tinggi (Joint Committee on Infant Hearing, 1994).

  • Sejarah ahli keluarga yang mempunyai masalah pendengaran kekal jenis sensorineural dari kecil.
  • Hyperbilirubinemia (Demam kuning) yang memerlukan pertukaran darah.
  • Jangkitan kongenital (toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus, herpes).
  • Craniofacial anomalies (kecacatan pada muka) termasuk keabnomalan morfologi pada cuping telinga dan salur telinga.
  • Berat badan bayi semasa lahir kurang daripada 1500gram.
  • Bacterial meningitis.
  • Skor APGAR 0 hingga 4 pada 1 minit atau 0 hingga 6 pada 5 minit.
  • Penggunaan ubat-ubatan yang ototoksik.
  • Penggunaan ventilasi mekaninal yang berpanjangan selama 5 hari atau lebih lama.
  • Stigmata atau lain-lain penemuan yang berkaitan dengan sindrom yang diketahui untuk mendapat masalah pendengaran jenis konduktif dan / atau sensorineural.
  • Penyakit atau keadaan yang memerlukan kemasukkan selama 48 jam atau lebih ke Pusat Jagaan Rapi Bayi (NICU).
  • Jangkitan post natal (selepas kelahiran).

Bilakah masa yang sesuai untuk menjalani ujian saringan pendengaran?

Seawal bayi dilahirkan. Kebiasaannya ujian akan dilakukan sebelum bayi dibenarkan pulang ke rumah selepas dilahirkan supaya keputusan ujian tidak dipengaruhi oleh salur telinga bayi yang dipenuhi vernix. Ujian juga akan lebih mudah dilakukan ketika bayi tidur selepas kekenyangan menyusu.

Bagaimanakah ujian ini dilakukan?

Terdapat dua jenis ujian saringan pendengaran yang boleh dilakukan ke atas bayi bagi mengesan masalah pendengaran iaitu;

  1. Ujian Otoacoustic Emission (OAE)
    Juga dikenali sebagai ujian pancaran otoakustik. Ujian ini dapat mengesan sebarang kerosakan pada organ pendengaran. Prob telinga yang sesuai dengan saiz lubang telinga bayi akan dimasukkan ke dalam salur telinga bayi. Prob yang telah disambungkan dengan mesin penguji akan mengeluarkan bunyi yang perlahan dan tidak menyakitkan dan organ pendengaran bayi akan memberi respon pada bunyi tersebut.
     
  2. Ujian Automated Auditory Brainstem Response (AABR)
    Ujian ini adalah untuk menguji fungsi organ dan saraf pendengaran. Tulang di bahagian belakang kedua-dua belah telinga (mastoid) dan dahi bayi akan disapu dengan gel pembersih menggunakan kain kasa dan bahagian yang telah disapu tadi akan dilekatkan dengan elektrod. Bunyi akan disalurkan melalui fon telinga dan elektrod yang disambungkan antara bahagian telinga dan dahi bayi serta mesin penguji akan mengesan gelombang otak bayi sebagai respon terhadap bunyi yang diberikan.
     

Apakah keputusan ujian saringan pendengaran yang akan diperoleh?

Terdapat tiga jenis keputusan yang akan diperoleh iaitu;

  1. LULUS / PASS atau;
  2. RUJUK / REFER atau;
  3. NOISE / BISING

Apakah maksud keputusan ujian tersebut?

  1. LULUS / PASS
    Organ pendengaran bayi mungkin sihat dan mempunyai pendengaran yang normal. Walau bagaimanapun, sekiranya bayi mempunyai risiko tinggi untuk mendapat masalah pendengaran, adalah penting untuk membawa bayi menjalani saringan pendengaran secara berkala (setiap 6 bulan sehingga berusia 3 tahun) bagi memastikan bayi benar-benar mempunyai pendengaran normal.
  2. RUJUK / REFER
    Organ pendengaran bayi mungkin tidak normal dan disyaki mempunyai masalah pendengaran. Bayi perlu menjalani ujian saringan pendengaran sekali lagi atau ujian pendengaran diagnostik bagi pengesahan masalah pendengaran yang telah dikesan. Pastikan bayi anda telah diberi temu janji susulan dan sila bawa bayi anda pada hari temu janji yang telah ditetapkan.
  3. NOISE / BISING
    Keputusan ujian tidak tepat yang mana keputusan yang diperoleh dipengaruhi oleh suasana kebisingan bilik ujian atau bayi tidak senyap (menangis, bergerak-gerak) semasa ujian dijalankan. Pastikan bayi menjalani ujian pendengaran sekali lagi sehingga keputusan LULUS / PASS atau RUJUK / REFER diperoleh.

Ujian Saringan Pendengaran Kanak-kanak

Terdapat juga beberapa ujian saringan pendengaran lain bagi mengenal pasti kewujudan masalah pendengaran antaranya;

  • Ujian distraksi
    Ujian ini memerlukan bayi mempunyai sokongan leher yang kuat. Bayi akan didudukkan di atas riba ibu sambil diagah tanpa membuat bising dari hadapan oleh ayah. Peralatan bunyi seperti rattle, chime-bar akan diberi dari arah belakang telinga bayi (jarak antara 50-100cm) dan respon bayi seperti tolehan kepala ke arah bunyi akan diperhatikan. Respon kepada bunyi yang paling perlahan yang boleh didengar akan direkodkan sebagai tahap minimum bagi respon yang diberikan. Ujian akan diulang untuk sebelah telinga yang lain.
     
  • Ujian Visual Reinforcement Audiometry (VRA)
    Bayi seawal 6 bulan sehingga kanak-kanak berusia dua tahun setengah boleh diuji menggunakan ujian VRA. Ujian ini memerlukan kanak-kanak menoleh ke arah permainan, objek atau gambar yang bercahaya atau bergerak-gerak yang diberikan oleh penguji apabila beliau mendengar bunyi. Bunyi diberikan sama ada melalui fon telinga atau speaker. Respon kepada bunyi yang paling perlahan yang boleh didengar akan direkodkan sebagai normal atau tidak normal.
     
  • Ujian play audiometry
    Ujian ini boleh dilakukan ke atas kanak-kanak berusia dua tahun setengah sehingga tujuh tahun. Ujian ini memerlukan daya pemikiran yang lebih tinggi pada kanak-kanak. Bunyi akan disalurkan pada kanak-kanak melalui fon telinga dan respon dengan cara bermain seperti memasukkan bola ke dalam bakul, menyusun gambar atau objek setiap kali mendengar bunyi. Respon kepada bunyi yang didengar akan direkodkan sebagai normal atau tidak normal.
     
  • Ujian Pure Tone Audiometry (PTA)
    Bagi kanak-kanak yang berusia tujuh tahun dan ke atas, ujian PTA akan digunakan. Ujian PTA ini juga dilakukan ke atas orang dewasa. Kanak-kanak akan dipakaikan fon telinga dan bunyi akan diberikan. Kanak-kanak tersebut perlu menekan butang respon atau mengangkat tangan setiap kali mendengar bunyi. Respon kepada bunyi yang paling perlahan yang boleh didengar akan direkodkan sebagai normal atau tidak normal.
     

Kesimpulan

Kesemua ujian yang disebutkan di atas adalah ujian saringan sahaja. Ia bertujuan untuk menentukan kanak-kanak tersebut mempunyai pendengaran normal atau tidak normal. Kanak-kanak yang mempunyai pendengaran yang tidak normal mungkin mempunyai masalah pendengaran dan perlu menjalani ujian diagnostik / ujian lanjutan untuk menentukan tahap masalah pendengaran yang dialami. Dapatkan nasihat daripada pegawai audiologis tentang keperluan anak anda menjalani ujian diagnostik dan pengurusan masalah pendengaran yang dihadapi sekiranya ada.

Semakan Akhir : 15 Jun 2012
Penulis : Pn. Nurul Ain bt. Abdullah

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,450

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia