A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kanser Payudara

Ia adalah kanser yang kerap dikesan di kalangan wanita. Ia adalah faktor utama kematian akibat kanser di kalangan wanita.

Apakah yang perlu saya tahu mengenai kanser payudara?

  • Ia adalah kanser yang kerap dikesan di kalangan wanita.
  • Ia adalah faktor utama kematian akibat kanser di kalangan wanita.
  • Ia adalah penyebab utama kematian awal.
  • 9% dari keseluruhan kanser di dunia.
  • 6 – 8% keseluruhan kematian kanser.

Adakah kanser payudara kerap berlaku di Malaysia?

Ya.

Di Malaysia, dianggarkan 31 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser payudara berbanding 11 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser kolorektal (penyebab kedua kanser yang sering berlaku di kalangan wanita).

Dalam setahun dianggarkan seramai lebih dari 3000 kes baru didiagnosakan sebagai kanser payudara.

Siapakah berisiko mendapat kanser payudara?

  • Kanser payudara lebih banyak terjadi di kalangan wanita
  • Mereka yang berumur lebih 40 tahun bagi wanita pra-menopaus dan lebih 50 tahun bagi wanita yang telah menopaus
  • Ada sejarah kanser di satu bahagian payudara
  • Mempunyai ahli keluarga terdekat, ibu atau adik beradik perempuan yang menghidapi kanser payudara
  • Tidak pernah mengandung, atau mendapat anak pertama selepas umur 30 tahun
  • Mula mendapat haid pada umur yang lebih awal (kurang dari 1 tahun) atau menopaus lambat (lebih dari umur 55 tahun)
  • Pernah mengalami jenis penyakit payudara yang lain (contohnya ‘proliferative breast disease)
  • Mempunyai masalah genetic yang berkaitan dengan kanser payudara (contohnya pembawa BRCA1 dan BRCA 2)
  • Obesiti
  • Pernah terdedah kepada radiasi

Apakah tanda-tanda kanser payudara?

Jika anda mengalami keadaan-keadaan seperti berikut, sila berjumpa doktor atau pergi ke klinik yang berhampiran.

  • Ketulan yang tidak sakit
    • Di payudara atau ketiak
  • Ruam yang berterusan
    • Sekeliling puting
  • Perdarahan atau lelehan luarbiasa dari puting.
  • Perubahan pada kulit
    • Bengkak dan menebal
    • Berlubang
    • Permukaan kulit yang berkedut
  • Puting tertarik ke dalam

Bagaimanakah cara untuk membuat saringan kanser payudara?

  • Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)
  • Pemeriksaan klinikal payudara (PKP)
  • Mammogram
  • Ultrasound
  • Magnetic Resonance Imaging (MRI)

1. Pemeriksaan sendiri payudara (PSP)

PSP ialah pemeriksaan sendiri payudara mengikut langkah tertentu.

Ia merangkumi 5 langkah

Langkah 1 – Berdiri di hadapan cermin dan lihat sebarang perubahan pada payudara.
Langkah 2 – Rasa sebarang perubahan secara berbaring.
Langkah 3 – Periksa puting untuk sebarang perdarahan atau lelehan.
Langkah 4 – Rasa sebarang ketulan di bawah ketiak.
Langkah 5 – Ulangi setiap langkah di atas untuk payudara sebelah lagi.

Berapa kerap seharusnya saya melakukan PSP?

  • PSP seharusnya dibuat sebulan sekali (untuk mereka yang masih mempunyai haid). Waktu yang sesuai ialah 7 – 10 hari selepas haid.
  • Untuk wanita yang telah putus haid, ambil satu tarikh yang mudah diingati dan lakukan setiap bulan sama ada hari pertama atau terakhir bulan tersebut.

Apakah seharusnya saya buat jika saya dapati keadaan luar biasa?

Sekiranya anda dapat mengesan sebarang tanda seperti yang dinyatakan sebelum ini, sila rujuk doktor anda.

Jangan takut, tidak semua ketumbuhan di payudara adalah kanser.

Contohnya : ‘Fibroadenoma’.

Fibroadenoma :

Ia biasanya berlaku dikalangan wanita yang muda, tidak menyakitkan dan ‘mobile’.

2. Pemeriksaan Klinikal Payudara (PKP)

  • Ini adalah pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota kesihatan terlatih atau doktor untuk memeriksa payudara
  • Wanita dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan klinikal payudara oleh anggota kesihatan terlatih setiap tahun

3. Mammogram

  • ‘Mammogram’ adalah salah satu ujian yang dijalankan untuk mengesan perubahan pada tisu payudara dengan menggunakan mesin x-ray yang direka khas.
  • Ia dilakukan dengan menekan payudara di antara dua kepingan logam. Ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan/kesakitan untuk beberapa ketika. Ia boleh mengukur saiz dan penyebaran kanser di payudara dan mengesan kanser pada payudara sebelah lagi.

4. Ultrasound

  • Ultrasound payudara dijalankan untuk wanita yang berumur kurang dari 40 tahun untuk mengesan kanser payudara

5. Magnetic resonance imaging (MRI)

  • MRI digunakan untuk wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser paayudara
  • Wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser payudara perlu menjalani mammogram dan MRI bermula dari umur 30 tahun

Apakah ujian-ujian yang disediakan untuk mengesahkan kanser payudara?

Berikut adalah ujian yang dijalankan jika disyaki kanser :

  • Ujian darah
  • Fine Needle Aspiration Cytology (FNAC)
  • Core needle biopsy
  • Ultrasound
  • Mammography

Apakah itu ‘FNAC’?

Adalah ujian yang dijalankan dengan pengambilan sampel ketulan yang disyaki dengan menggunakan picagari dan jarum yang halus dengan menggunakan teknik steril.

Sampel yang diambil akan dihantar ke makmal untuk dikaji oleh pakar.

 

Apakah itu ‘Core Needle Biopsy’?

Ia adalah satu ujian di mana sampel tisu payudara diambil menggunakan jarum yang lebih besar saiznya. Sampel itu akan dihantar ke makmal untuk kajian.

Perlukah saya berjumpa doktor jika saya tidak mengesan sebarang keadaan luarbiasa?

Ya, kami menggalakkan wanita yang berumur 30 tahun ke atas untuk membuat ujian pemeriksaan payudara di klinik (Clinikal Breast Examination-CBE) yang dibuat oleh anggota kesihatan setiap tahun.

Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengurangkan risiko kanser payudara?

  • Mulakan PSP hari ini.
  • Buat PSP secara berkala
  • Makan makanan kurang berlemak khususnya lemak haiwan
  • Lebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat.
  • Lakukan senaman yang mencukupi
  • Kekalkan berat badan yang unggul.
  • Sekiranya keluarga terdekat anda ada kanser payudara, lakukan ujian ‘mammogram’ atau ultrasound lebih awal.

Soalan Lazim

Apakah yang perlu saya lakukan jika keluarga ada sejarah kanser payudara?

Jangan risau. Sekiranya anda sudah melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), teruskan seperti biasa. Amalkan cara hidup sihat, makan secara sihat dan teruskan bersenam.

Sekiranya ibu atau adik-beradik perempuan menghidap kanser payudara, anda boleh meminta untuk menjalani ujian ‘mammogram’. Walau bagaimanapun, keputusan laporan adalah lebih tepat jika anda berumur 40 tahun ke atas.

Bolehkah saya mendapatkan (terapi tambahan atau tambahan rawatan lain) untuk kanser payudara?

  • Ubat tambahan atau pilihan rawatan lain digunakan dengan meluas di seluruh dunia oleh pesakit kanser payudara.
  • Kajian menunjukkan bahawa 1/3 pesakit kanser payudara menggunakan terapi berikut.
  • Terapi ubat tambahan berguna dalam mengurangkan gejala dan meningkatkan kualiti hidup
  • Walau bagaimanapun pilihan rawatan lain boleh mengganggu sistem tubuh badan atau secara tidak langsung menyebabkan masalah yang lebih serius.

Di sini adalah contoh yang biasa digunakan dalam amalan terapi tambahan.

  • Urutan
  • Cara relaksasi

Apakah itu ujian baka kanser payudara?

Ujian baka adalah ujian darah untuk menentukan sekiranya anda mempunyai baka kanser payudara.

Sebelum anda menjalani ujian tersebut, anda perlu :

  • Hadir sesi kaunseling ‘genetik’ yang intensif.;
  • Menandatangani borang persetujuan untuk setiap ujian ‘genetik’;
  • Melakarkan carta salasilah keluarga

Kebanyakan kes kanser payudara tidak berkaitan dengan baka kanser payudara. Para saintis masih belum dapat mengenalpasti kesemua baka yang menyebabkan penyakit ini. Oleh itu doktor hanya akan membuat ujian baka yang berkaitan sahaja kepada anda.

Terdapat 2 baka yang berkaitan dengan kejadian kanser payudara.

  • BRCA1
  • BRCA2

Untuk kebanyakan orang, adalah mustahak untuk mengetahui keputusan ujian mereka kerana maklumat ini membantu mereka menentukan kesihatan masa depan mereka sekeluarga.

Di Malaysia, ujian ini terdapat di beberapa institusi dan universiti sahaja.

Rujukan

  • Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011 
  • Clinical Practice Guidelines – Management of breast cancer 2nd Edition 2010, Malaysia
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Nor Filzatun Borhan
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali

Artikel Berkaitan

Kanser Servik

Kanser pangkal rahim merupakan kanser ketiga terbanyak di kalangan wanita selepas kanser payudara dan kanser kolorektal

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia