A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Trigeminal Neuralgia

Trigeminal Neuralgia adalah satu keadaan amat menyakitkan yang melibatkan saraf trigeminal, salah satu saraf utama kawasan muka dan mulut.

Pengenalan

Apa itu “Trigeminal Neuralgia” ?

Trigeminal Neuralgia (TGN) adalah satu keadaan amat menyakitkan yang melibatkan saraf trigeminal, salah satu saraf utama kawasan muka dan mulut. Saraf ini mempunyai tiga cabang yang meliputi hampir seluruh kawasan muka (Gambarajah 1). TGN menyebabkan serangan kesakitan yang berlaku secara tiba-tiba dan boleh berlanjutan dari beberapa saat hingga beberapa minit dan boleh berlaku beberapa kali sehari. Kesakitan ini biasanya digambarkan oleh pesakit sebagai suatu kesakitan yang tajam atau seperti tikaman atau kejutan elektrik seperti dan biasanya di salah satu belah muka sahaja. Ia adalah suatu keadaan yang jarang berlaku dan selalunya melibatkan pesakit yang berumur 50 tahun ke atas dan lebih kerap di kalangan wanita.

Gambarajah 1. Kawasan liputan saraf trigeminal (zon hijau, merah dan kuning)
(Sumber : Buku “20th U.S. edition of Gray’s Anatomy of the Human Body”)

Apakah yang menyebabkan TGN?

Punca/mekanisme bagi kebanyakan kes TGN belum lagi difahami sepenuhnya. Namun demikian, dalam sesetengah kes, TGN disebabkan oleh tekanan ke atas saraf trigeminal sama ada oleh salur darah ataupun ketumbuhan.

Apakah gejala keadaan TGN?

Kesakitan TGN biasanya terjadi secara tiba-tiba dan biasanya digambarkan oleh pesakit sebagai suatu kesakitan yang tajam / mencucuk-cucuk / seumpama kejutan elektrik d kawasan muka atau mulut. Serangan ini biasanya berlangsung selama beberapa saat hingga beberapa minit dan boleh berlaku secara spontan atau dicetuskan oleh aktiviti-aktiviti tertentu. Serangan ini boleh berlaku beberapa kali sehari. Aktiviti yang biasanya boleh mencetuskan serangan TGN adalah seperti berikut:

  • bercakap
  • mengunyah, makan, minum
  • senyum
  • sentuhan lembut
  • memberus gigi
  • mencuci muka
  • bercukur
  • terkena angin pada bahagian muka

TGN biasanya melibatkan hanya sebelah muka sahaja tetapi ada kalanya ia boleh melibatkan kedua-dua belah muka. Kesakitan yang dialami boleh melibatkan kawasan dahi, mata, rahang bawah atau rahang atas bergantung kepada cabang saraf trigeminal yang terlibat. Kadang-kala serangan juga diiringi dengan kejangan otot muka. Pada kebiasaanya, terdapat tempoh bebas kesakitan di antara serangan, bagaimanapun terdapat kes-kes di mana pesakit akan mengalami kesakitan  berdenyut sepanjang hari. Pesakit juga mungkin mendapati bahawa terdapat kawasan-kawasan tertentu pada muka / mulut yang boleh mencetuskan serangan berlaku apabila disentuh. Kawasan-kawasan ini dikenali sebagai “zon pencetus”.

Diagnosis

Tidak ada ujian diagnostik mutlak untuk TGN. Oleh itu, diagnosis secara umumnya bergantung kepada maklumat yang diberi oleh pesakit mengenai gejala yang dialami serta dari pemeriksaan klinikal yang dilakukan oleh doktor anda. Beberapa ujian/kajian mungkin akan dibuat oleh doctor anda untuk memastikan kesakitan yang dialami tidak berpunca dari unsur lain. Ujian yang biasanya dilakukan adalah radiograf, MRI (Pengimejan resonans magnetik) dan beberapa ujian darah.

Bagaimanakah TGN dirawat?

Kebanyakan kes TGN pada mulanya dirawat dengan ubat untuk mengawal / mengurangkan kesakitan yang dialami. Walau bagaimanapun, ubat tahan sakit biasa seperti paracetamol didapati tidak berkesan untuk mengurangkan kesakitan TGN . Ubat yang paling berkesan untuk TGN adalah ubatan yang digunakan untuk merawat sawan. Tidak seperti ubat-ubatan sakit biasa (” ubat tahan sakit “), ubat yang diberi biasanya perlu diambil mengikut preskripsi dan bukan sahaja apabila terdapat kesakitan kerana ia bukan suatu ubat penahan sakit.

Ubat yang biasa diguna untuk TGN adalah Carbamazepine . Walaupun ubat ini agak baik untuk mengawal gejala TGN , terdapat juga pesakit yang mendapati ia kurang berkesan.. Seperti kebanyakan ubat-ubatan, carbamazepine memang mempunyai potensi untuk menyebabkan beberapa kesan sampingan yang tidak diingini seperti rasa mengantuk dan pening. Dalam sesetengah pesakit ia juga boleh menyebabkan alahan kulit yang teruk yang akan memerlukan rawatan perubatan kecemasan. Beberapa ubat-ubatan lain yang biasa diguna untuk TGN adalah gabapentin , phenytoin , baclofen , pregabalin dan lamotrigine .

Jika perlu , doktor anda mungkin akan menggunakan kombinasi beberapa ubat untuk meningkatkan kawalan kesakitan dan juga mengurangkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Bagi pesakit yang kesakitannya tidak dapat dikawal oleh ubat-ubatan ataupun pesakit tidak dapat menampung kesan-kesan sampingan ubatan, terdapat pilihan untuk rawatan pembedahan. Berikut adalah jenis rawatan pembedahan untuk TGN:

  • suntikan gliserol / alkohol
  • cryotherapy (pembekuan saraf)
    • pemotongan saraf periferi
    • “radiofrequency thermocoagulation”
    • “microvascular decompression”
    • “gamma-knife radiosurgery”

Ini akan bergantung kepada pesakit, penemuan klinikal dan penemuan radiologi. Prosedur ini biasanya dilakukan oleh seorang pakar bedah saraf yang berpengalaman dalam prosedur-prosedur tersebut. Harus disebut bahawa pembedahan juga mungkin tidak berkesan dalam beberapa kes dan kesakitan mungkin akan kembali.

Bolehkah TGN disembuhkan?

Tiada ubat yang boleh menyembuhkan TGN secara sepenuhnya, bagaimanapun ubatan yang diberi boleh menolong mengurangkan kesakitan yang dialami. Kadang-kala TGN juga boleh menjadi asimptomatik untuk jangka masa yang lama.

Langkah-langkah penjagaan diri

  • Jika boleh, elakkan atau kurangkan aktiviti-aktiviti yang mencetuskan serangan. Satu contoh ialah dengan menggunakan sesuatu untuk menutup muka apabila keluar ke kawasan dengan tiupan angin yang kuat.
  • Menjaga kebersihan mulut dengan baik
  • Maklumkan kepada doktor anda apa-apa kesan sampingan buruk akibat ubatan yang diambil. Jika kesan sampingan adalah teruk, berhenti ubat tersebut dan dapatkan rawatan kecemasan di hospital / klinik yang berdekatan dengan kadar yang segera (semua ini akan dijelaskan oleh doktor yang merawat anda)
  • Menyimpan “diari kesakitan” (untuk merekodkan tahap kesakitan, kekerapan serangan, dos dan kesan sampingan daripada ubat-ubatan). Diari ini berguna untuk anda dan juga doctor anda apabila memulakan ubat baru atau dos yang baru.
  • Beritahu doktor anda jika anda tidak dapat menjalani kehidupan anda secara normal atau tidak dapat makan secara secukupnya disebabkan kesakitan ini ataupun jika anda merasa terlalu murung disebabkan keadaan ini. Pesakit yang sakit kronik boleh mengalami kemurungan, namun demikian terdapat rawatan untuk membantu anda mengatasi kemurungan yang dialami.

Rujukan

  1. Classification Subcommittee of the International Headache Society: The international classification of headache disorders. Cephalalgia 2004, 24 (supplementary 1):1-160.
  2. Merskey H, Bogduk N: Classification of Chronic Pain: Descriptions of Chronic Pain Syndromes and Definitions of Pain Terms. Seattle: IASP Press 1994.
  3. Nurmikko TJ, Eldridge PR: Trigeminal neuralgia–pathophysiology, diagnosis and current treatment. Br J Anaesth 2001, 87:117–132.
  4. Love S, Coakham HB: Trigeminal neuralgia: pathology and pathogenesis. Brain 2001, 124:2347–2360.
  5. Sathasivam HP, Lau SH, Ahmad AR: A retrospective study of the Clinical Characteristics of Malaysian Trigeminal Neuralgia (TGN) Patients seen at the Oral Medicine Clinic, Kuala Lumpur General Hospital. Malaysian Dent Journal 2012
Semakan Akhir : 3 Jun 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam
Akreditor : Dr. Lau Shin Hin

Artikel Berkaitan

Menghisap Ibu Jari

Menghisap ibu jari adalah tabiat yang biasa di kalangan kanak-kanak. Kebanyakan kanak-kanak akan menghentikan tabiat ini apabila mencapai umur 2 hingga 4 tahun.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia