A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Reproduktif
  6. /
  7. Tiada Haid (Amenorea)

Tiada Haid (Amenorea)

Amenorea bermaksud tidak datang haid (menstruasi). Kebanyakkan (bukan semua) disebabkan ovari tidak mengeluarkan telur (anovulation). Dalam kebanyakan kes, ia berlaku di kalangan remaja perempuan sebelum dewasa, semasa mengandung, ibu menyusukan bayi atau menopos. Ini adalah normal dan dipanggil Amenorea secara fisiologikal.

Oligomenorea adalah keadaan merujuk kepada haid yang tidak tetap, biasanya diantara 2 hingga 6 bulan sekali dan pendarahan mungkin dalam jumlah yang sikit tetapi boleh juga berpanjangan.

Amenorea primer ialah kegagalan menstabilkan kedatangan haid. Ia dikategorikan sebagai tidak normal, jika remaja perempuan tiada perkembangan fizikal secara seksual pada usia 14 tahun, atau remaja yang normal perkembangan fizikal dan seksualnya tetapi tidak datang haidnya pada umur 16 tahun. Amenorea primer hanya berlaku kepada kira-kira 3 remaja dalam per 1000.

Definasi amenorea sekunder adalah haid yang tidak datang berturut-turut selama 6 bulan bagi wanita yang kedatangan haidnya biasanya tetap setiap bulan. Amenorea sekunder mungkin disebabkan masalah ginekologi atau pertukaran fisiologi seperti jika mengandung atau mencapai menopos.

Amenorea sekunder berlaku kepada 3% remaja perempuan. Lebih 50% wanita pelari jarak jauh dan lebih dari 44% kalangan penari balet mungkin mengalami amenorea sekunder disebabkan aktiviti fizikal yang keterlaluan dan terlalu kurus.

Tanda dan Gejala

Banyak penyebab kemungkinan berlaku. Termasuklah:

  • Senaman yang melampau biasanya di kalangan ahli sukan – atlet.
  • Kurang berat badan yang teruk – masalah pemakanan seperi anoreksia dimana BMI (berat dalam KG dibahagi dengan ketinggian dalam M²) kurang daripada 19 (kadar normal adalah 20 hingga 25 kg/m².
  • Tekanan perasaan yang teruk dan gangguan pada emosi
  • Gangguan kepada ovari untuk mengeluarkan telur
  • Pengambilan pelbagai jenis ubatan
  • Kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil atau suntikan perancang keluarga
  • Sindrom Polisistik ovari iaitu keadaan terdapatnya multilple cysts pada ovari, mandul, obesiti dan gangguan hormon.
  • Penyakit yang lama dihidapi, atau aktiviti kelenjar tiroid yang kurang atau lebih
  • Hormon yang mengawal ovulasi dan haid yang dikeluarkan oleh kelenjar hypothalamus pada paras luarbiasa (yang seterusnya mengawal kelenjar pituitary).

Sebab lain amenorea termasuk:

  • Tiada vagina atau rahim atau keduanya semasa lahir
  • selaput dara yang menutup vagina keseluruhannya

Terdapat kes yang jarang berlaku di mana jantina sebenar kanak-kanak masih tidak dapat ditentukan kerana organ genitalnya tidak terbentuk dengan baik semasa lahir.

Diagnosa

Ia bergantung kepada keadaan dan sebab berlaku. Bergantung kepada umur dan sejarah, selalunya ujian kencing untuk menentukan kehamilan adalah langkah pertama yang perlu diambil sebelum meneruskan dengan penyiasatan yang lain.

Mengambil sejarah yang penuh, seperti sejarah keluarga, pekerjaan dan sejarah aktiviti, sejarah aktiviti seksual, gangguan emosi, perubahan berat badan dan sejarah perubatan lepas.

Walau bagaimanapun, untuk menentukan hasil diagnosis pemeriksaan penuh sakit puan dan pelbagai ujian perlu dilakukan. Ujian ini termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti paras pelbagai hormon. Ujian Fungsi tiroid mungkin diambil. Analisis kromosom perlu jika terdapat kesangsian jantina.

Ultrasound, tomografi berkomputer (CT Scan) atau imbasan MRI akan menunjukkan sebarang keabnormalan alat kelamin.

Rawatan

Rawatan akan bergantung kepada penyebab berlakunya Amenorea.

  • Amenorea berkaitan dengan senaman akan bertindakbalas kepada pengubahsuaian program senaman itu sendiri dan dengan memberi perhatian kepada pengambilan diet dan penjagaan berat badan.
  • Amenorea yang berkaitan dengan berat badan perlu diuruskan untuk mendapatkan berat yang normal dan bantuan pskiatrik mungkin diperlukan bagi mengatasi masalah gangguan emosi.
  • Dalam kes di mana organ genital tidak terbentuk dengan sempurna , mungkin pembedahan di perlukan
  • Bagi kes sindrom Polisistik ovari tindakbalas boleh berlaku dengan penurunan berat badan dan sekarang insulin-sensitising agen seperti metformin boleh digunakan. Kekurangan hormon tiriod boleh dirawat dengan menggunakan hormon (thyroxine).
  • Selaput dara yang menutup vagina keseluruhannya memerlukan pembedahan.
  • Wanita yang mengalami amenorea sekunder disebabkan oleh sindrom polisistik ovari mungkin memerlukan mengambil ubat hormon progestogen untuk kira-kira sepuluh hari setiap bulan atau mengambil pil perancang untuk mendapt kitaran haid yang normal. Ini diperlukan untuk memastikan lapisan dalam rahim atau ‘andometrium’ tidak menjadi terlalu tebal dan menyebabkan masalah ‘endometrial hyperplasia’.
  • Wanita yang mengalami kegagalan ovari awal atau ‘premature menopos’ mungkin perlu mengambil hormon sehingga paling sedikit sehingga umur 50 tahun. Ini untuk mengelakkan gejala osteoporosis.
  • Wanita dengan gejala oligoamenorea atau menorea sekunder dan ujian hamil, perlu berjumpa dengan pakar sakit puan untuk mendapat rawatan yang sewajarnya.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Mohamed Hatta Mohamed Tarmizi
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

Menopos

Apa itu menopos? Bermaksud tiada lagi mengalami kedatangan haid Anda

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia