Teleradiologi merupakan satu kaedah transmisi imej radiologi seperti imej X-ray, CT, MRI dan ultrasound dari satu lokasi ke lokasi lain. Transmisi imej ini dilakukan bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dengan pakar lain atau bagi tujuan laporan pakar. Transmisi imej dilakukan dengan menggunakan komputer, rangkaian telefon dan kemudahan internet.
Teleradiologi dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pesakit di mana seorang pakar radiologi boleh memberikan khidmat kepakaran mereka tanpa berada di hospital di mana pesakit itu sedang mendapatkan rawatan.
Kaedah teleradiologi ini amat berguna bagi hospital-hospital yang belum mempunyai pakar radiologi untuk mendapatkan khidmat kepakaran pakar radiologi di hospital lain terutama untuk kes-kes kecemasan atau kes-kes yang memerlukan laporan oleh pakar-pakar dengan sub-kepakaran bidang tertentu.
Penghantaran filem-filem secara pos ke hospital lain bagi mendapatkan laporan akan mengambil masa yang lama dan ini memberikan kesan ke atas rawatan pesakit. Dengan kemajuan teknologi digital, penghantaran imej dan penerimaan laporan dapat dilakukan dengan mudah dan cepat seperti menghantar emel dengan ‘attachment‘.
Secara keseluruhannya penggunaan teleradiologi akan meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan memberikan kepuasan kepada anggota kesihatan dan juga pesakit.
Semakan Akhir | : | 11 November 2013 |
Penulis | : | Barnabas Jampi Agan |
Akreditor | : | Daud bin Ismail |