A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Susah Menelan

Susah menelan bermaksud seseorang itu mengalami kesukaran semasa menelan makanan

  • Susah menelan bermaksud seseorang itu mengalami kesukaran semasa menelan makanan.
  • Ia termasuklah perasaan di mana makanan tersekat di bahagian kerongkong atau di antara kerongkong dan perut.
  • Masalah susah menelan lebih kerap terjadi di kalangan warga emas. Kira-kira 5% hingga 10% daripada warga emas yang hidup tanpa bantuan mempunyai masalah susah menelan.
  • Menelan menjadi susah bila makanan tidak bergerak secara normal dari mulut ke perut.
  • Susah menelan mungkin sementara dan pulih tanpa rawatan, atau mungkin disebabkan oleh penyakit.
  • Sebahagian proses menelan adalah di bawah kawalan seseorang (voluntary) and sebahagiannya di luar kesedaran seseorang warga emas (involuntary).

Sebab-sebab Susah Menelan

  • Masalah-masalah seperti makan dengan terlampau cepat, menggigit makanan yang terlalu besar saiznya, gigi palsu yang tidak sesuai atau gigi yang telah longgar atau hilang, tidak minum air semasa makan atau berbaring semasa makan boleh menyebabkan masalah susah menelan.
  • Warga emas dengan penyakit nyanyuk mungkin tidak tahu cara mengunyah makanan atau lupa menelan.
  • Makanan dan benda asing mungkin menyekat saluran esofagus.
  • Ketumbuhan bukan kanser atau kanser di saluran esofagus boleh menyekat sebahagian atau sepenuhnya saluran esofagus.
  • Penyakit yang boleh merosakkan otot, saraf atau otak yang melibatkan proses menelan boleh menyebabkan masalah susah menelan, contohnya:
    1. Angin ahmar adalah paling kerap di kalangan warga emas. Kira-kira 30% daripada pesakit yang mendapat angin ahmar menghadapi masalah susah menelan.
    2. Penyakit neurologi yang lain seperti Penyakit Parkinson boleh menyebabkan masalah susah menelan.
    3. Ubatan tertentu seperti Phenothiazines (sejenis ubat untuk penyakit sakit jiwa) boleh menyebabkan masalah susah menelan kerana ubat ini boleh mempengaruhi otot kerongkong.
  • Terdapat penyakit yang boleh menyekat esofagus dengan menekan dari luar, contohnya:
    1. Penyakit jantung mungkin menyebabkan sebahagian daripada jantung membengkak dan menekan pada esofagus
    2. Kanser, biasanya kanser paru-paru dan
    3. Pembengkakan kelenjar tiroid boleh menekan pada esofagus.

Tanda dan Gejala

  • Sesetengah warga emas menghadapi masalah menelan makanan pepejal dan cecair dari permulaan terutamanya  di kalangan pesakit strok.
  • Warga emas dengan masalah susah menelan mungkin mengeluarkan makanan melalui mulut atau hidung terutamanya semasa mereka berbaring pada waktu malam.
  • Makanan mungkin termasuk (aspirate) ke dalam saluran pernafasan (trachea), lalu mengakibatkan batuk. Makanan yang termasuk ke dalam saluran pernafasan boleh mengakibatkan jangkitan paru-paru (aspiration pneumonia).
  • Ada juga pesakit yang menghadapi masalah susah menelan makanan pepejal contohnya roti dan daging. Selepas makan, mereka mungkin berasa bahawa terdapat ketulan pada kerongkong dan mereka mungkin perlu menelan beberapa kali sebelum makanan terasa turun ke bawah. Seterusnya, proses menelan cecair mungkin menjadi semakin sukar.
  • Bergantung kepada punca masalah susah menelan, warga emas mungkin mengalami gejala yang berlainan.

Komplikasi

Jika seseorang warga emas mengalami masalah susah menelan secara berterusan, mereka mungkin kehilangan berat badan, menjadi kurang zat makan dan kekontangan.

Makanan yang termasuk ke dalam paru-paru boleh mengakibatkan jangkitan paru-paru dan mungkin menjadi serius jika rawatan awal tidak diberi.

Diagnosa

  • Jika masalah susah menelan berterusan melebihi beberapa hari, warga emas perlu segera berjumpa dengan doktor.
  • Doktor akan cuba mengenalpasti punca masalah. Gejala boleh memberi sedikit idea tentang punca masalah. Doktor selalunya akan bertanya sama ada pesakit menghadapi masalah susah menelan kepada pepejal atau cecair, adakah terasa sakit dan sama ada pesakit muntah darah atau ternampak darah di dalam najis. Bahagian kerongkong akan diperiksa, dan pesakit akan disuruh untuk menelan untuk memastikan kerongkong berfungsi dengan normal.
  • Biasanya, ujian perlu untuk mengenalpasti punca masalah. Pada kebiasaannya, saluran esofagus akan diperiksa dengan tuib pemeriksa yang boleh membengkok (endoscope) yang dimasukkan melalui kerongkong. Doktor mungkin perlu mengambil contoh tisu untuk memastikan bukan kanser.
  • Satu kajian barium mungkin dilakukan sebelum endoskopi atau selepas itu jika endoskopi tidak memberi informasi yang mencukupi. Ia boleh mengesan sebarang sekatan, ketumbuhan, ulser dan bukti saluran esofagus mengecut (spasm). Ujian ini juga membantu doktor menilai fungsi saraf dan otot yang terlibat dengan proses menelan.

Rawatan

  • Rawatan memberi tumpuan bagi membantu warga emas untuk menelan dengan selamat terutamanya untuk mencegah makanan dari termasuk ke dalam saluran pernafasan (aspiration) dan seterusnya merawat punca penyakit.
  • Rawatan yang berkesan membolehkan pesakit memakan pelbagai jenis makanan yang mencukupi untuk mendapat zat yang seimbang dan mencukupi.
  • Kadang-kala, langkah mudah sahaja perlu untuk rawatan, seperti mengunyah makanan dengan berhati-hati, minum sedikit air semasa makan, duduk tegak semasa makan, makanan dalam bentuk tertentu seperti sup pekat berkrim atau buah-buahan yang dihancurkan mungkin lebih senang ditelan.
  • Penggunaan alat bantuan pemakanan yang sesuai mungkin membantu, seperti mengguna penyedut atau sudu yang kecil boleh menghadkan amaun makanan yang diletakkan ke dalam mulut dan amaun yang sedikit senang ditelan.
  • Jika punca masalah ialah penyakit yang menjejaskan otot atau saraf yang terlibat dalam proses menelan, pakar pertuturan mungkin boleh mencadangkan senaman untuk menguatkan otot atau meningkatkan koordinasi dan teknik yang boleh digunakan semasa makan.
  • Kadang-kala, pembedahan mungkin perlu, contohnya, bila punca masalah adalah disebabkan sekatan oleh ketumbuhan atau tekanan dari luar oleh kelenjar tiroid yang membengkak.
Semakan akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Pening di Kalangan Warga Emas

Pening adalah satu simptom yang biasa di kalangan warga emas  dalam komuniti terutamanya untuk yang berumur lebih 75 tahun. Ia menyebabkan tekanan psikologi yang tinggi  dan beban kepada warga emas.

Penyakit Parkinson

Penyakit Parkinson adalah satu penyakit saraf yang boleh berlaku di kalangan warga emas.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia