Hampir semua orang pernah mengalami sakit mata atau pedih/sengal mata. Selalunya sakit mata mungkin boleh hilang sendiri. Tetapi ia boleh juga merupakan petanda yang lebih serius.
Sakit mata boleh berpunca dari berbagai-bagai struktur mata, termasuk struktur dalam mata, struktur dalam soket mata, dan juga struktur di keliling soket mata. Hampir kesemua masalah mata yang boleh menimbulkan rasa ketidakselesaan, boleh menyebabkan rasa sakit pada mata sekiranya keadaan tersebut bertambah teruk. Kebanyakan keadaan yang menyebabkan rasa sakit mata ada berkaitan dengan masalah kesihatan/penyakit-penyakit lain.
Rasa sakit mata boleh jadi sakit yang tajam ataupun sengal, sakit rasa di dalam mata ataupun di luar bola mata, sakit yang berpanjangan ataupun berselang seli, rasa sakit yang mencucuk ataupun berdenyut-denyut. Secara umumnya, sekiranya seseorang itu mempunyai rasa sakit mata di sertai dengan mata merah, beliau mestilah pergi membuat pemeriksaan mata.
Penyebab rasa sakit pada mata?
Rasa ketidakselesaan atau sakit dalam mata boleh disebabkan oleh masalah mata itu sendiri. Walau bagaimanapun rasa sakit juga boleh disebabkan oleh struktur di sekitar mata. Rasa sakit boleh berpunca dari :
- Kornea – Lapisan lutsinar di bahagian hadapan yang membenarkan cahaya masuk ke dalam mata untuk difokuskan
- Konjunctiva – Tisu yang nipis yang melapisi dinding mata putih dan lapisan dalam kelopak mata
- Iris – Tisu berwarna gelap dalam mata yang membentuk naka mata di bahagian tengah
- Orbit/bola mata
- Otot rektus mata – otot yang memegang dan menggerakkan bola mata
- Saraf mata – yang membawa impuls ransangan mata dari mata ke otak
- Kelopak mata – Melindungi bola mata
- Rongga sinus – rasa sakit di sekitar bola mata boleh juga disebabkan oleh radang sinus (resdung)
Mata letih (Eye-strain) adalah di antara diagnosis yang diberi dalam kebanyakan kes di mana pesakit mempunyai rasa sakit dalam mata yang kelihatan normal dan tiada kabur pandangan. Ia merupakan salah satu jenis sakit kepala akibat tekanan (stress headache) yang berlaku di sekitar bahagian mata.
Rasa sakit mata yang konstan, terutama bila menggerakkan mata ataupun bila mata disentuh / tekan mungkin menandakan ada radang berlaku di dalam mata. Anda dinasihatkan agar berjumpa dengan doktor mata untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.
Apakah gejala lain yang boleh berkaitan dengan rasa sakit pada mata?
Rasa sakit pada mata juga boleh mempunyai gejala mata yang lain seperti :
- Kabur pandangan
- Discaj mata – samada berair mata atau tahi mata
- Rasa habuk dalam mata – rasa seperti ada habuk telah masuk ke dalam mata
- Sakit kepala
- Rasa silau yang melampau terhadap cahaya (photophobia)
- Rasa loya dan muntah
- Mata merah
- Mata berair
- Kesukaran membuka mata sewaktu bangun tidur kerana tahi mata kering yang banyak melekat pada kelopak mata
Gejala – gejala yang disebutkan di atas boleh membantu di dalam mencari penyebab rasa sakit mata.
Bagaimana Diagnosa dibuat?
Rasa sakit yang teruk memerlukan pemeriksaan perubatan, terutamanya jika terdapat gejala lain berkaitan seperti kabur pandangan, sakit kepala ataupun rasa loya dan muntah.
Doktor boleh membuat diagnosa yang biasa seperti konjuntivitis. Sekiranya doktor mensyakki sebarang penyebab yang lebih serius, pesakit akan dirujuk kepada Pakar Oftalmologi.
Doktor Pakar Mata (Oftalmologi) akan menggunakan pelbagai alat yang khas untuk memeriksa mata, seperti :
- Mikroskop lampu slit untuk memeriksa struktur dalam mata
- Ubat titis membesarkan anak mata, bagi membolehkan pemeriksaan dalam mata di belakang kanta
- Alat mengukur tekanan bola mata (Tonometer/Tonopen) untuk mengukur tekanan bola mata
Apakah jenis rawatan?
Rawatan yang diberi akan bergantung kepada penyebab/diagnosis penyakit.
Satu-satunya cara untuk mengetahui penyebab dan rawatan untuk rasa sakit pada mata adalah dengan menjalani pemeriksaan mata. Mata anda adalah sangat berharga, maka lindungilah ia dengan sebaiknya.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Zaidah bt. Mohd Kasim |
Akreditor | : | Dato’ Dr. T. Vasantha Kumar |
Penyemak | : | Dr. Rosniza bt. Ab. Razak |