Sakit perut atau sakit pada abdomen merupakan perkara biasa. Ia bukan sejenis penyakit tetapi merupakan gejala bagi penyakit lain. Tanda-tanda yang mungkin dialami adalah seperti pedih ulu hati, perut kembung dan sendawa.
Sebab-sebab Sakit Abdomen
- Sebab-sebab psychogenic
Sakit yang dialami tetapi tidak disebabkan oleh sebarang penyakit. Ianya timbul mungkin akibat dari tekanan perasaan, kebimbangan dan kemurungan. Walau bagaimanapun, proses ini terjadi tidaklah diketahui. - Sebab-sebab functional
Sakit ini terjadi disebabkan oleh perubahan fungsi organ akibat tindakbalas badan terhadap persekitaran. Contohnya:- Penolakan tubuh terhadap laktosa (lactose intolerance)
- Senggugut (dysmenorrhoea)
- Sembelit
- Cirit-birit (diarrhea)
- Sebab-sebab organik
Sakit abdomen yang disebabkan oleh penyakit lain dalam badan. Contohnya :- Penyakit radangan usus
- Penyakit ulser peptik – 50% adalah disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori
- Gumpalan cacing
- Penyakit keradangan pelvik
- Ovarian cyst (sista ovari / ketulan pada ovari)
- Jangkitan pada saluran kencing
- Kecederaan yang di alami pada bahagian abdomen, contohnya kemalangan
Rawatan
Kebanyakan sakit abdomen bertambah baik dengan rawatan dirumah. Jika anda mengalami sakit perut tanpa gejala-gejala lain, cuba :
- Berehat sehingga anda berasa lega
- Minum air yang banyak (minum sedikit-sedikit tetapi kerap adalah lebih baik untuk perut anda)
- Elakkan minuman yang berkarbonat dan mengandungi kafein seperti soda, teh atau kopi
- Ambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap
- Elakkan mengambil makanan yang pedas, buah-buahan yang masam dan alkohol
- Elakkan mengambil makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi
- Elakkan daripada mengambil ubat jenis aspirin dan anti keradangan tanpa steroid (NSAIDs)
Lain-lain rawatan adalah bergantung kepada penyebab penyakit.
- Matlamat rawatan
Mengurangkan gejala dan kembali ke fungsi asal- Cuba ubatan untuk mengurangkan sakit, contohnya paracetamol untuk menghilangkan senggugut.
- Bila Anda Perlu Berjumpa Doktor
- Sakit disebabkan oleh kecederaan dan kemalangan>
- Sakit yang tidak sembuh dalam tempoh 24 hingga 48 jam
- Sakit yang bertambah teruk dan kerap
- Kesakitan setempat pada bahagian abdomen yang bertambah dari masa ke semasa
- Munculnya gejala-gejala lain seperti cirit-birit, loya, muntah, sukar membuang angin, perubahan pada kencing, demam, sesak nafas, rasa mengantuk atau pitam
- Perut yang membuncit
- Mengandung
- Muntah darah yang berwarna hitam
- Najis berdarah
- Rasa bengkak di abdomen
- Syak ubat yang menyebabkan sakit abdomen
- Pendarahan atau ada lelehan dari vagina
Pencegahan
Sakit abdomen dapat dicegah melalui
- Amalkan tabiat membuang air besar setiap hari bagi mengelakkan sembelit.
- Amalkan tabiat makan yang baik dan teratur.
- Elakkan pengambilan makanan berlebihan bagi menjauhkan ketidakselesaan perut.
- Makan dengan perlahan-lahan dan berhenti sekiranya sudah berasa kenyang.
- Elakkan mengunyah gula-gula getah dan air berkarbonat bagi mengurangkan menelan angin.
- Sentiasa memakai tali pinggang keselamatan setiap kali memandu untuk mengelakkan berlakunya kecederaan pada bahagian abdomen
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Jamilah Abdullah |
Penyemak | : | Dr. Nor Faizah bt. Ghazali |