A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Restorasi Gigi Yang Telah Dirawat Akar

Gigi yang telah menjalani rawatan kanal akar mengalami kehilangan sebahagian struktur gigi dan perubahan dalam karakter fizikalnya seperti pengurangan modulus kenyalnya, yang kerapkali mengakibatkan peningkatan kerentanannya terhadap fraktur, berbanding dengan gigi vital yang tidak mempunyai sebarang restorasi.

Pengenalan

Tujuan dan objektif rawatan kanal akar dalam pergigian restoratif adalah untuk pemeliharaan struktur gigi yang asal.

Gigi yang telah menjalani rawatan kanal akar mengalami kehilangan sebahagian struktur gigi dan perubahan dalam karakter fizikalnya seperti pengurangan modulus kekenyalan, yang kerapkali mengakibatkan peningkatan kemungkinan berlakunya fraktur, berbanding dengan gigi vital yang tidak mempunyai sebarang restorasi. Lazimnya, gigi yang telah dirawat akar turut mengalami perubahan estetik dari segi warna dan pengurangan kelegapannya. Adalah menjadi matlamat seseorang pengamal pergigian untuk membetulkan keadaan ini ketika merestorasikan gigi yang telah dirawat akar ini.

Lazimnya gigi yang dirawat akar memerlukan restorasi secara tidak langsung (indirect restoration) berikutan kehilangan sebahagian besar struktur gigi yang sihat akibat karies, gigi patah atau semasa penyediaan gigi sewaktu rawatan kanal akar.

Faktor-faktor yang mempengaruhi prognosis gigi yang telah dirawat akar adalah :

  • Status periapikal (tisu hujung akar gigi)
  • Posisi gigi di dalam arkus pergigian
  • Bilangan gigi di dalam rahang
  • Status gigi rahang atas dan bawah
  • Jumlah tisu keras yang hilang
  • Ketebalan struktur dentin yang tinggal pada dinding kanal
  • Jenis restorasi jangka panjang untuk koronanya
  • Jenis tiang (bila perlu) dan bahan teras yang digunakan
  • Kehadiran ferrule sewaktu penyediaan
 

Pematerian bahagian korona

Komponen terakhir selepas rawatan kanal akar adalah restorasi bahagian korona gigi. Restorasi pada bahagian korona gigi akan mewujudkan semula fungsi, mengasingkan dentin dan bahan tampalan endodontik daripada kebocoran mikro serta pemeteraian bahagian korona gigi. Oleh itu, restorasi bahagian korona yang dimeterai dengan sempurna amat kritikal demi kejayaan rawatan kanal akar. Sebaik sahaja rawatan kanal akar selesai, adalah disarankan agar gigi tersebut direstorasi kekal dengan secepat mungkin.

Jenis restorasi

Restorasi dengan liputan permukaan gigi membantu meningkatkan jangka hayat gigi belakang yang telah dirawat akar. Restorasi terikat resin merupakan pilihan utama ketika melakukan restorasi konservatif gigi anterior yang hanya kehilangan struktur gigi yang minima.

Jenis-jenis restorasi bahagian korona :

  • Onlai – logam, seramik (rajah 1)
  • Korona – logam, seramik dan kombinasi (rajah 2 dan 3)
  • Restorasi komposit
Rajah 1 : Onlai – porselin
   
Rajah 2 : Korona logam Rajah 3 : Korona porselin
   

Tampalan

Untuk gigi hadapan yang mengalami kehilangan struktur gigi yang minimum, pemeteraian bahagian korona boleh diperolehi dengan tampalan sewarna gigi (resin komposit) sahaja dan tidak diindikasikan untuk liputan kuspa seperti restorasi korona.

Tiang dan teras

Untuk gigi yang telah kehilangan lebih dari 50% struktur koronanya, penggunaan tiang dan teras adalah disarankan sebelum restorasi prostetik tetap. Tiang merupakan bahan pergigian yang diletakkan di dalam akar pada gigi yang telah kehilangan kebanyakan struktur koronanya untuk memberikan pegangan tambahan demi mengekalkan teras dan restorasi korona. Tujuan utama penggunaan tiang adalah untuk memegang teras yang telah dibina pada gigi yang telah kehilangan sebilangan besar struktur koronanya. Tiang tersebut seharusnya menyediakan sokongan ini tanpa meningkatkan risiko fraktur akar gigi tersebut. Ia tidak mempunyai sebarang peranan untuk menguatkan atau mengukuhkan gigi tersebut; kekuatan yang wujud dalam gigi tersebut dan ketahanannya kepada fraktur datang dari struktur gigi yang tinggal serta tulang penyokong yang mengeliling gigi.

Jenis-jenis bahan untuk tiang dan teras

Tiang dapat dikategorikan ke dalam dua kumpulan utama: fabrikasi-khas dan pasang-siap.

Tiang dan teras fabrikasi-khas dari tuangan emas (rajah 4) telah digunakan sejak berdekad yang lalu sebagai binaan asas untuk menyokong restorasi akhir pada gigi yang telah dirawat akar. Kini, tiang jenis pasang-siap telah diperkenalkan, dan ia terdiri daripada keluli tahan karat (stainless steel), titanium (Rajah 5) dan aloi titanium, tembaga bersadur emas, seramik dan polimer yang diperkukuhkan dengan gentian (fiber-reinforced polymer). Bahan yang paling kerap digunakan sebagai teras adalah tuangan emas, amalgam, resin komposit dan simen ionomer kaca. Tiang polimer yang diperkukuhkan dengan gentian (rajah 6) dicipta untuk terikat dengan kebanyakan simen resin dan teras resin komposit.

Custom Fabricated Cast Post
Rajah 4 : Tiang tuangan fabrikasi-khas
   
Titanium Prefabricated Post Prefabricated Fiber Post
Rajah 5: Tiang titanium pasang-siap Rajah 6 : Tiang gentian pasang-siap
   

Prosedur pemasangan tiang dan teras

Selepas prosedur rawatan kanal akar disempurnakan, kanal akar akan diisi dengan bahan tampalan getah perca (gutta percha) (Rajah 7). Sebahagian dari getah perca tersebut akan dikeluarkan dari ruangan kanal untuk menyediakan ruang untuk tiang. Sewajarnya, sejumlah kecil bahan tampalan kanal akar ditinggalkan (3-6mm) pada hujung akar gigi untuk mengekalkan meterai bahagian hujung akar tersebut. Tiang pasang-siap kemudiannya disimenkan ke dalam ruang tiang yang disediakan tadi. Bahan untuk teras, seperti di atas dapat dibina di sekitar tiang yang disimenkan tadi. Setelah bahan tersebut mengeras (set) dan penyediaan korona telah disempurnakan ke atasnya, seterusnya impresi boleh diambil untuk fabrikasi korona prostetik.


Rajah 7 : Tampalan kanal akar menggunakan getah perca

Komplikasi

Penembusan akar

Komplikasi yang boleh terjadi sewaktu penyediaan ruang untuk tiang adalah penembusan akar dan fraktur akar. Penembusan akar boleh juga berlaku disebabkan penggunaan peralatan endodontik yang menembusi akar secara tidak sengaja. Instrumentasi endodontik yang tersasar dari lengkungan akar juga boleh mengakibatkan kikir endodontik tersebut menembusi bahagian sisi gigi.

Fraktur akar

Fraktur akar yang menegak boleh berlaku dalam fasa-fasa rawatan kanal akar yang berlainan (Rajah 8): Instrumentasi, penampalan akar (obturation) atau sewaktu pemasangan tiang. Sekiranya tiang tersebut dikenakan tekanan berlebihan ke arah hujung akar (apikal) semasa perletakan atau penyimenannya, risiko untuk fraktur akar adalah tinggi, terutamanya apabila tiang itu adalah dalam bentuk tirus.


Rajah 8 : Fraktur akar gigi

Fraktur tiang dan terbelah

Fraktur tiang berlaku dalam kes-kes kegagalan rawatan kanal akar, lazimnya korona, teras dan tiang akan patah/terbelah disebabkan oleh kegagalan mekanikal dan biological.

Rujukan

  1. Vytaute Peciuliene, Jurate Rimkuviene: Vertical Root Fractures in Endodontically Treated Teeth: A Clinical Survey. Stomatologija, Baltic Dental and Maxillofacial Journal, 6:77-80, 2004
  2. Constantin Vârlan et al: Current opinions concerning the restoration of endodontically treated teeth: basic principles. Journal of Medicine and Life Vol. 2, No.2, April-June 2009, pp.165-172
  3. Alex McLean:  Predictably Restoring Endodontically Treated Teeth. Canadian Dental Association December 1998 Vol. 64 No. 11
  4. William Cheung: A review of the management of endodontically treated teeth.Post, core and the final restoration. JADA, Vol. 136
  5. Endodontic Colleagues of Excellent The Endodontist’s Perspective, Part 1. Spring/Summer 2004
  6. Jeff Chadwick et al: Restoration of Endodontically Treated Teeth: An Evidence-Based Literature Review. University of Toronto, Community Dentistry 300Y March 20, 2008
  7. Cohen and Burns. Pathway of the pulp. 8th Edition. Mosby 2002

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Aniza bt. Ahmad
Penterjemah : Dr. Sakinah bt. Abang Abu Bakar
Akreditor : Dr. Saripah bt. Saud
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

Artikel Berkaitan

Kandidiasis Mulut

Kandidiasis mulut terjadi apabila organisma ini menyebabkan penyakit atau lesi di dalam rongga mulut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia