A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Radang Paru-Paru

Pengenalan

Paru-paru adalah organ di dalam badan yang mengandungi gelembung-gelembung udara atau alveoli. Alveoli bertanggungjawab untuk penukaran gas oksigen dan karbon dioksida. Pneumonia adalah radang atau inflamasi pada paru-paru. Ia adalah keadaan di mana alveoli di penuhi dengan sel-sel inflamasi. Akibatnya pertukaran gas-gas terjejas. Pneumonia biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria dan virus, tetapi kadang-kadang boleh di sebabkan kulat atau parasit. Ia juga boleh terjadi akibat dari tindakbalas kimia atau fizikal. Tanda-tanda pneumonia adalah batuk, sakit dada, demam dan susah bernafas. Pneumonia boleh didiagnos melalui kaedah x-ray dan pemeriksaan kahak. Rawatan bergantung kepada penyebab pneumonia ; pneumonia disebabkan oleh bakteria dirawat dengan antibiotik. Pneumonia boleh terjadi di semua golongan umur dan ia adalah salah satu penyebab utama kematian di golongan pesakit kronik. Terdapat vaksin untuk pneumonia yang disebabkan oleh pneumococcus. Prognosis pneumonia bergantung kepada jenis, rawatan, komplikasi dan keadaan ko-morbid seseorang.

Gambarajah menunjukkan bagaimana oksigen tidak dapat memasuki paru-paru apabila diserang
pneumonia (kanan) dibanding dengan keadaan normal

Epidemiologi

Pneumonia biasa didapati diseluruh dunia. Ia adalah penyebab kematian yang penting disemua golongan umur dan adalah penyebab kematian utama pada golongan kanak-kanak di negara yang berpendapatan rendah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan kematian berkurangan di peringkat dewasa tetapi meningkat semula di kalangan mereka yang lanjut usia.

Di United Kingdom, kadar kejadian tahunan pneumonia adalah 6 kes untuk setiap 1000 penduduk yang berumur 18-39 tahun. Untuk mereka yang berumur 75 tahun, angka ini meningkat ke 75 kes untuk setiap 1000 orang. 20% – 40% pesakit memerlukan rawatan di wad dan dari jumlah ini, 5-10% dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kadar kematian di United Kingdom adalah 5-10%.

Klasifikasi Pneumonia

Pneumonia ini adalah yang paling biasa. Ia disebabkan oleh kuman-kuman yang biasa terdapat dalam komuniti/masyarakat. Kuman-kuman penyebab adalah kuman bakteria seperti Streptococcus pneumoniae, Haemophilus influenza, Staphylococcus aureus , Moraxella catarrhalis, Kelbsiella dan bakteria tidak tipikal (atypical bacteria) seperti Mycoplasma pneumoniae, Chlamydia pneumonia dan Legionella pneumophilia. Di Malaysia, kuman Mycobacterium tuberculosis yang menyebabkan penyakit tibi adalah salah satu penyebab utama pneumonia komuniti. Secara keseluruhan, Streptococcus pneumoniae adalah penyebab utama pneumonia diseluruh dunia. Kuman virus yang boleh menyebabkan pneumonia adalah virus influenza, virus respiratory syncitial, adenovirus, parainfluenza virus dan virus H1N1. Selain daripada bakteria dan virus, berbagai organisma parasit seperti Toxoplasma gondii, Strongyloides stercoralis dan Ascaris boleh juga menyebabkan pneumonia. Mikroorganisma parasit ini memasuki badan melalui kulit atau ditelan kemudian pergi ke paru-paru melalui saluran darah. Parasit boleh menyebabkan satu tindakbalas immun di mana subset sel darah putih iaitu sel eosinofil meningkat. Ini dipanggil ‘eosinophilic pneumonia’.

Gambarajah paru-paru di bawah mikroskop

Gambarajah atas adalah paru-paru normal. Ruang-ruang putih adalah alveoli yang mengandungi udara .Gambarajah bawah adalah paru-paru dihidapi pneumonia di mana alveoli di penuhi dengan sel-sel inflamasi.

Ia juga dikenali sebagai pneumona nosokomial. Ia adalah sejenis pneumonia yang dihidapi selepas 72 jam seseorang berada di dalam hospital atau 72 jam selepas dikeluarkan dari hospital untuk penyakit lain. Kuman penyebab adalah berlainan dengan kuman dari komuniti iaitu bakteria Klebsiella, Pseudomonas, Enterobacter, Serratia dan Methicillin Resistant Staphylococcus aureus (MRSA). Oleh kerana pengidap nosokomial pneumonia ada penyakit lain dan terdedah kepada bakteria yang lebih berbahaya, nosokomial pneumonia adalah lebih serius jika dibandingkan dengan pneumonia komuniti.

Faktor-faktor yang menyebabkan seseorang yang dimasukkan ke hospital mudah mendapat pneumonia hospital adalah malnutrisi berpanjangan, penyakit jantung atau paru-paru lain yang sediada dan kurangnya jumlah acid dalam perut. Semua faktor ini boleh mengurangkan daya tahanan seseorang pesakit. Pneumonia yang berkaitan dengan alat bantuan pernafasan (ventilator-associated pnenumonia) adalah subset pneumonia nosokomial dimana pneumonia terjadi selepas 48 jam seseorang pesakit diberi bantuan pernafasan secara mekanikal.

Ini adalah pneumonia yang dihidapi oleh penghuni-penghuni fasiliti kesihatan seperti di ‘nursing home’.

Golongan yang kurang daya tahan ialah mereka yang mengidap ‘acquired immune deficiency syndrome’ (AIDS), pesakit yang mendapat rawatan kemoterapi atau steroid , pesakit kegagalan buah pinggang dan pengidap kanser. Organisma yang boleh menjangkiti paru-paru di kalangan mereka adalah sama seperti yang terdahulu (no. 1 hingga no. 3). Walaubagaimanapun mereka ini juga boleh mendapat jangkitan dari organisma yang tidak memberi masalah kepada orang yang sihat sistem daya immunnya. Organisma-organisma ini adalah virus cytomegalovirus, kulat Pneumocystis jiroveci, Pneumocystis carini, Cryptococcus neoformans, Coccidioides immitis dan Histoplasma capsulatum, bakteria Mycobacterium avium-intercellulare serta kulat ‘invasive’ aspergilosis serta ‘invasive’ candidiasis.

Ia adalah sejenis pneumonia yang sangat berjangkit, amat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian . Ia disebabkan oleh virus corona SARS yang pertama kali dikenalpasti di Negara China pada tahun 2002.

Ini disebabkan oleh bahan-bahan kimia seperti racun serangga yang memasuki paru-paru melalui penyedutan udara yang dicemari serangga.

Ini terjadi apabila bahan-bahan asing seperti daripada mulut atau kandungan isi perut tersedut ke dalam paru-paru semasa makan, “reflux”atau apabila seseorang itu muntah. Bahan-bahan yang disedut bukan sahaja boleh menyebabkan radang paru-paru, tetapi ia juga boleh mengandungi bakteria ‘anaerobik’ (boleh membiak tanpa oksigen). Aspiration pneumonia adalah penyebab kematian utama dikalangan pesakit-pesakit hospital yang berada di dalam keadaan koma dan pada mereka yang menetap di rumah ‘nursing’. Ini adalah kerana pesakit-pesakit demikian mempunyai daya tahan yang lemah dan saluran pernafasan mudah dijangkiti.

Pneumonia ini terjadi di ruang antara satu alveoli dan yang lain. Ia selalunya disebabkan oleh virus atau bakteria atipikal.

Simptom

Pesakit yang mengidap pneumonia akan mengadu batuk berkahak warna kuning atau hijau dan demam panas dan ini boleh disertai dengan menggigil. Kahak bagi mereka yang dijangkiti Streptococcus pneumoniae ber warna ‘berkarat’ (rusty coloured sputum). Sesak nafas adalah aduan yang biasa. Sakit dada semasa menarik nafas atau ‘pleuritic chest pain’ adalah sakit yang dialami seperti ditusuk sesuatu yang tajam. Batuk berdarah adalah salah satu simtom pneumonia. Tanda-tanda atau simptom lain adalah kurang selera makan, sakit kepala, berpeluh, sakit-sakit sendi dan otot. Pneumonia yang disebabkan oleh kuman Legionella boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit sementara pneumonia yang disebabkan kuman tibi atau Pneumocystis boleh menyebabkan kurang berat badan dan berpeluh pada waktu malam. Di kalangan mereka yang lanjut usia, manifestasi pneumonia selalunya tidak tipikal.  Mereka mungkin boleh kelihatan keliru, hilang keseimbangan badan dan akibatnya jatuh.

Tanda Fizikal

Tanda-tanda fizikal yang didapati apabila diperiksa oleh pengamal perubatan adalah demam (>37.8oC )tetapi kadang-kadang suhu badan rendah, kadar pernafasan yang meningkat ( > 20 / minit) dan nadi yang laju ( >100/minit). Pesakit yang didapati sangat susah untuk bernafas, keliru dan terdapat kebiru-biruan pada bibir atau lidah perlu dirawat segera. Apabila dada diperiksa dengan alat stethoskop, ada kelainan semasa pesakit menarik nafas. Walaubagaimanapun sesetengah pesakit tidak menunjukkan apa-apa tanda.

Gambarajah : Tanda-Tanda Utama Radang Paru-Paru (Pneumonia)

Tanda sistemik :

  • Demam panas
  • Menggigil
  • Sakit kepala
  • Kurang selera makan

Penyiasatan

Penyiasatan yang di lakukan untuk memastikan diagnosa ialah kahak akan diperiksa di bawah mikroskop untuk melihat kuman dan jenis kuman akan dipastikan dengan kultur kahak. Kahak juga akan diperiksa untuk kuman tibi. Pemeriksaan x-ray dada akan dilakukan juga di mana kesan putih pada x-ray boleh menandakan pneumonia. Walaubagaimanapun tidak semua pneumonia dapat dilihat pada x-ray mungkin kerana ia adalah diperingkat awal atau ia melibatkan bahagian paru-paru yang sukar dikesan oleh x-ray. Jarang sekali scan tomografi komputer (CT scan) dilakukan. Ia dilakukan untuk mengenalpasti diagnosa selain dari pneumonia atau pneumonia yang tidak kelihatan pada X-ray dada. Pemeriksaan darah juga boleh membantu untuk melihat tindakbalas jangkitan kuman bakteria, virus atau parasit. Ini dilihat sebagai peningkatan kepada bilangan sel darah putih, tetapi pada mereka yang kurang daya imun sel darah putih boleh jadi rendah atau ‘normal’. Darah juga akan dikultur untuk mengenalpasti kuman di dalam darah dan ini di panggil sepsis atau septisemia. Bakteria yang telah dikenalpasti akan di uji samada ia sensitif kepada antibiotik yang telah atau akan digunakan. Ujian serologi dilakukan untuk Mycoplasma, Legionella , Chlamydia dan Legionella. Sapuan kahak (throat swab) di ambil untuk ujian H1N1. Rembesan daripada paru-paru boleh di uji untuk virus seperti influenza, respiratory syncytial virus dan adenovirus. Ujian darah untuk fungsi buah pinggang dan hepar dilakukan untuk mengenalpasti samada terdapat kerosakan disebabkan oleh sepsis.


Gambarajah: X-ray dada

 
  1. Normal
  2. Pneumonia di sebelah kanan paru-paru ( tanda putih disebelah kiri gambar)

Rawatan

Tidak semua pesakit akan dimasukkan ke hospital, tetapi diberi rawatan sebagai pesakit luar. Biasanya antibiotik di beri secara oral, pesakit dinasihatkan banyak minum air dan berehat di rumah. Ubat batuk yang di beli di kedai-kedai adalah tidak berkesan untuk rawatan pneumonia. Jika simptom tidak berubah atau bertambah teruk atau berlaku komplikasi, penjagaan di hospital adalah diperlukan. Mereka yang didapati sukar untuk bernafas, mempunyai penyakit lain dan mereka yang lanjut usia, juga akan dimasukkan ke hospital.

Pneumonia yang disebabkan oleh bakteria dari komuniti akan dirawat dengan antibiotik seperti augmentin, erythromycin atau azithromycin. Rawatan diberi selama 7 hingga sepuloh hari. Antibiotik yang digunakan untuk merawat pneumonia jangkitan dari hospital adalah seperti cephalosporin, carbepenem, aminoglycoside dan vancomycin. Ini diberi secara intravena.

Tiada rawatan spesifik untuk kebanyakan pneumonia yang disebabkan oleh virus. Jangkitan H1N1 dirawat dengan ubat oseltamivir.

Selain dari rawatan pengubatan, pesakit juga digalakkan banyak berehat dan banyak minum air.

Pencegahan

Ada beberapa cara untuk mencegah pneumonia. Rawatan berkesan yang diberikan kepada penyakit-penyakit seperti Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS)boleh mengurangkan risiko seseorang diserang pneumonia. Berhenti merokok juga berkesan kerana ia bukan sahaja mengurangkan kerosakan paru-paru, tetapi adalah disebabkan asap rokok banyak menjejaskan daya tahan badan.

Pelalian vaksin pneumococcal boleh diberi untuk Streptococcus pneumonia. Bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan bagi pengidap emfisima, kencing manis, kegagalan hepar dan mereka yang telah dibuang limpanya, pelalian terhadap streptococcus adalah sangat berkesan. Pelalian diberikan lima tahun sekali.

Pelalian influenza dengan vaksin influenza harus juga diberi kepada mereka yang menerima pelalian terhadap Streptococcus pneumoniae. Pelalian terhadap H1N1 patut diberi kepada pengamal kesihatan, penghuni ‘nursing homes’ , pesakit asma dan mereka yang mengandung.

  • Lain-lain
    1. Severe acute respiratory syndrome (SARS)
    2. Pneumonia akibat bahan kimia
    3. Pneumonia apabila tersedak ( Aspiration pnuemonia)
    4. ‘Interstitial’ pneumonia

Rujukan

  1. Pneumonia at eMedicine Dictionary
  2. Pneumonia at Dorland’s Medical Dictionary
  3. Causes of death in neonates and children under five in the world. World Health Organization 2008.
  4. Kabra SK, Lodha, R Pandey RM 2010. Antibiotics for community acquired pneumonia in children. Cochrane Database Syst. Rev. 3: CD004874
  5. Hoare Z, Lim WS 2006. Pneumonia: update on diagnosis and management. BMJ 332 (7549).: 1077-9
  6. Table 13-7 in: Mitchell, Richard Sheppard; Kumar, Vinay; Abbas, Abul K.; Fausto, Nelson
  7. Krause DC Balish MF February 2004. Cellular engineering in a minimal microbe: structure and assembly of the terminal organelle of Mycoplasma pneumonia. Mol. Microbiol. 51 (4): 917-24
  8. Anevlavis S, Bouros D February 2010. Community acquired bacterial pneumonia. Expert Opin Pharmacother 11 (3): 361-74
  9. Figueiredo LT September 2009. Viral Pneumonia: epidemiological, clinical, pathophysiological and therapeutic aspects. J Bras Pneumol 35 (9): 899-906
  10. Metlay JP, Kapoor WN, Fine MJ November 1997. Does this patient have community-acquired pneumonia? Diagnosing pneumonia by history and physical examination. JAMA 278 (17): 1440-5
  11. Wipf JE, Lipsky BA, Hirschmann JV et al. May 1999. Diagnosing pneumonia by physical examination: relevant or relic?. Arch. Intern. Med. 159 (10): 1082-7
  12. Heckerling PS, Tape TG, Wigton RS et al (1990). Clinical prediction rule for pulmonary infiltrates. Ann. Intern. Med. 113 (9): 664-70
  13. Emerman CL, Dawson N, Speroff T et al. Comparison of physician judgement and decisions for ordering chest radiographs for pneumonia in outpatients. Annals of emergency medicine 20 (11): 1215-9
  14. Syrjala H, Broas M, Suramo I et al. High resolution computed tomography for the diagnosis of community-acquired pneumonia. Clin. Infect. Dis. 27 (2): 358-63
  15. ChangCC, Cheng AC, Chang AB (2007). Over the counter (OTC) medications to reduce cough as an adjunct to antibiotics for acute pneumonia in children and adults. Cochrane Database Syst Rev 4
  16. Scalera NM File TM. How long should we treat community acquired pneumonia?. Curr. Opin. Infect. Dis. 20 (2): 177-81
  17. Guidelines for the management of adults with hospital-acquired, ventilator-associated and healthcare associated pneumonia. Am J Respir Cri Care Med 171 (4): 388-416
  18. WHO (1999). Pneumococcal vaccines. WHO position paper. Wkly. Epidemiol. Rec. 74 (23): 177-83
Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Norhaya Mohd Razali
Penyemak : Dr. Norhaya Mohd Razali

 

Artikel Berkaitan

Batuk Berdarah

Pengenalan Batuk berdarah adalah darah yang keluar bersama kahak ketika

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia