Pengenalan
Penjagaan kesihatan mulut kanak-kanak berpenyakit jantung adalah agak mencabar, kerana kebiasaannya, penyakit jantung itu sendiri memerlukan perhatian yang khusus dan diberi penekanan yang lebih tinggi oleh semua pihak terutama ibubapa atau penjaga. Oleh itu, adalah tidak memeranjatkan jika kajian mendapati bahawa ramai kanak-kanak berpenyakit jantung menghadapi masalah pergigian seperti karies gigi yang tinggi dan karies ini kebanyakannya tidak dirawat.
Penyebab Kerosakan Gigi
Penjagaan mulut yang berterusan dan berkesan adalah penting untuk memastikan gigi dan gusi menjadi sihat dan supaya mulut berbau segar. Jika gigi tidak diberus dengan cara yang betul, satu bahan berwarna kuning dan melekit yang dinamakan plak gigi, akan terbentuk. Plak mengandungi kuman bakteria akan melekat pada gigi. Bakteria tersebut akan memecahkan gula kepada asid dan akan menyerang dan mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ini adalah permulaan kepada pembentukan karies gigi. Karies gigi ini sekiranya tidak dikawal akan merebak kelapisan dalam gigi dan terus mereputkan gigi dan menjadikan gigi berlubang. Bakteria di dalam karies boleh terus merebak dan menjangkiti pulpa yang mengandungi saraf dan salur darah gigi. Sekiranya ini berlaku, kanak-kanak tersebut akan merasa sakit gigi. Tanpa rawatan, jangkitan bakteria akan merebak ke hujung akar gigi dan pembentukan ‘abses’ atau bisul pada gusi akan berlaku. Lebih teruk lagi sekiranya jangkitan merebak ke ruang tisu muka menyebabkan bengkak atau radang muka atau facial cellulitis. Ubat dalam bentuk cecair sirap yang mengandungi gula adalah satu punca asid dan boleh menyebabkan kejadian karies.
Kesan Kerosakan Gigi Kepada Kanak-kanak Berpenyakit Jantung
Bagi kanak-kanak sihat, plak gigi dan karies gigi yang tidak dirawat kebiasaannya tidak menyebabkan kesan bahaya yang serius. Walaubagaimanapun situasi ini adalah berlainan bagi kanak-kanak berpenyakit jantung. Bakteria pada plak gigi yang banyak dan pada karies gigi boleh merebak ke kawasan jantung yang rosak melalui salur darah dan menyebabkan pembentukan sejenis penyakit serius yang dipanggil endokarditis infektif iaitu jangkitan ke atas lapisan dalam jantung yang boleh membawa maut.
Pencegahan Adalah Jawapannya
Seperti yang kita ketahui, penyakit pergigian adalah penyakit yang timbul akibat cara hidup yang tidak sihat; penjagaan yang terabai atau kurang berkesan dan pengambilan pemakanan yang boleh merosakkan gigi. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi betapa pentingnya konsep pencegahan di dalam penyakit pergigian. Penyakit-penyakit seperti ini memerlukan kefahaman dan komitmen berterusan dari pihak ibu bapa/penjaga dan kakitangan kesihatan ke arah keadaan mulut yang sihat.
- Menggosok Gigi
- Pemakanan
- Ubat Gigi
Plak terbentuk semula dalam masa kurang dari 24 jam. Oleh itu, gigi mesti diberus dengan teliti sekurang-kurangnya 2 kali sehari terutamanya pada waktu malam sebelum tidur. Cuba pastikan gigi diberus selama sekurang-kurangnya 2 minit setiap kali. Ada beberapa teknik memberus gigi yang berkesan untuk mengeluarkan plak, memutihkan gigi dan memberi nafas yang berbau segar. Anda boleh bertanya kepada doktor atau jururawat pergigian semasa lawatan ke klinik gigi. Secara ringkasnya, anda boleh membahagikan semua gigi kepada 6 bahagian iaitu bahagian atas depan, bahagian atas belakang kiri dan kanan, bahagian bawah depan dan bahagian bawah belakang kanan dan kiri. Pada setiap bahagian pastikan setiap permukaan gigi berdekatan lidah dan berdekatan pipi dibersihkan secara teliti. Salah satu teknik ialah berus gigi di letakkan berdekatan gusi dan digerakkan secara bergetar, membulat dan ke atas ke bawah, dengan memastikan berus gigi masuk kecelah-celah gigi. Permukaan gigitan pula diberus secara ke depan ke belakang.
Kebanyakan kita sudah sedia maklum bahawa berbagai jenis makanan bergula seperti biskut, kek, gula-gula, air gas berkarbonat dan sebagainya adalah antara penyebab utama terjadinya kerosakan gigi atau karies gigi. Dalam beberapa minit setelah memakan makanan yang mengandungi gula, asid terbentuk di sekeliling permukaan gigi dan ini membantu untuk kerosakan gigi. Kajian menunjukkkan bukan semata-mata jumlah kandungan gula yang menyebabkan karies, tetapi berapa kerapkah makanan bergula diambil sepanjang hari. Jumlah gula yang sedikit tetapi berterusan diambil memberi kesan yang lebih buruk daripada mengambil gula yang sama banyak tetapi hanya sekali. Gigi kanak-kanak amat mudah rosak apabila terdedah kepada asid yang sentiasa terbentuk akibat pengambilan gula yang berterusan. Cuba kurangkan pengambilan gula seperti mengelakkan memberi mereka makan makanan atau air bergula di antara waktu makan tengah hari atau makan malam. Anda boleh mengganti makanan bergula ini dengan makanan yang tidak bergula atau kurang mengandungi gula seperti kerepek, kacang atau buah-buahan.
Penggunaan ubat gigi yang sesuai adalah penting untuk mencegah kerosakan gigi. Banyak produk-produk ubat gigi yang dijual di pasaran hanya berperanan membantu gosokan gigi tetapi tidak berkesan mencegah kerosakan gigi. Adalah sangat penting ibu bapa/penjaga membelikan ubat gigi berfluorida yang sesuai dengan keperluan anak anda. Kanak-kanak berpenyakit jantung adalah dikategorikan berisiko tinggi terhadap pembentukan karies. Oleh itu kepekatan fluorida di dalam ubat gigi seharusnya mengandungi sekurang-kurangnya 1000ppm (parts per million / bahagian per juta) ion fluorida. Anda boleh membaca label pada ubat gigi seperti ‘……mengandungi sodium monofluorophosphate atau sodium fluoride 1000ppm’. Disini, fluoro bermakna fluorida. Satu faktor penting dalam pencegahan karies yang berkesan ialah penggunaan ubat gigi berfluorida dengan kekerapan sebanyak dua kali sehari. Berkumur berlebihan juga patut dielakkan supaya kandungan fluorida di dalam mulut tidak berkurangan dan menghilangkan keberkesanan ubat gigi tersebut. Walaubagaimanapun, menggunakan ubat gigi berfluorida dengan banyak dan lebih kerap boleh menyebabkan fluorosis pada gigi terutama jika ianya ditelan oleh kanak-kanak yang masih kecil kurang dari 6 tahun. Fluorosis ialah kecacatan kepada lapisan paling luar gigi iaitu lapisan enamel. Fluorosis yang ringan akan menyebabkan garisan atau tompok putih terbentuk pada lapisan enamel dan mungkin tidak berapa kelihatan. Fluorosis yang berat akan menyebabkan lekukan kepada enamel dan warnanya menjadi coklat. Untuk mengurangkan risiko pembentukan fluorosis sementara mengekalkan keberkesanan fluorida, kajian mengesyorkan penggunaan ubat gigi berfluorida bersaiz ‘kacang pea’ dilumurkan di atas berus gigi setiap kali memberus gigi dan pengawasan semasa memberus gigi oleh ibu bapa / penjaga bagi kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah.
Lawatan Ke Klinik Pergigian
Adalah amat penting ibu bapa/penjaga membawa anak-anak anda ke klinik gigi sebelum berumur 1 tahun, sebaiknya seawal 6 hingga 8 bulan semasa gigi susu yang pertama tumbuh. Selain dapat membiasakan anak anda dengan keadaan klinik dan anggota pergigian di tempat anda, doktor atau jururawat pergigian boleh memberi penerangan tentang cara penjagaan gigi dan gusi yang terbaik, makanan berkhasiat yang baik untuk pertumbuhan gigi yang kuat dan sihat dan pemakanan yang tidak sihat untuk gigi, penggunaan ubat gigi berfluorida yang sesuai dan juga memberikan rawatan pergigian jika perlu. Sebaik sahaja gigi geraham kekal pertama tumbuh pada umur 6 atau 7 tahun, doktor atau jururawat pergigian boleh membantu menutup fisur atau lekukan pada permukaan atas gigi tersebut dengan sejenis bahan yang dipanggil sealan fisur, yang bertindak menghalang pengumpulan plak dan asid di permukaan tersebut, seterusnya mencegah kerosakan gigi. Menurut kajian, teknik ini didapati dapat mencegah kerosakan gigi dengan berkesan pada kanak-kanak yang berisiko tinggi. Kanak-kanak mudah menerima dengan baik rawatan sealan fisur dan rawatan tampalan gigi pada lubang yang kecil. Walaubagaimanapun, sekiranya lubang karies lebih besar dan mereputkan lebih dari 1/3 gigi, bakteria biasanya telah mencecah pulpa gigi. Adalah dinasihatkan lebih baik gigi tersebut dicabut seawal mungkin untuk mengelakkan terjadinya penyakit endokarditis infektif. Doktor pergigian anda boleh mengenalpasti samada anak anda perlu dirujuk kepada Pakar Pergigian Pediatrik untuk rawatan lanjut.
Kesimpulan
Sentiasa pastikan anda memberitahu doktor pergigian bahawa anak anda mengalami sakit jantung. Bagi memastikan kesihatan mulut yang baik bagi kanak-kanak berpenyakit jantung ia memerlukan penglibatan dan penjagaan awal yang berkesan. Melalui ilmu pengetahuan, kesedaran dan komitmen yang tinggi dan berterusan daripada semua pihak terutamanya ibu bapa / penjaga.
Semakan Akhir | : | 20 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Sarimah bt. Mohd Mokhtar |
Akreditor | : | Dr. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus |
Penyemak | : | Dr. Laila bt. Abd Jalil |