A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengsan / Syncope

‘Syncope’ adalah istilah perubatan untuk pengsan yang berlaku secara tiba-tiba

Apa itu pengsan atau ‘ syncope’

‘Syncope’ adalah istilah perubatan untuk pengsan yang berlaku secara tiba-tiba dimana seseorang itu tidak sedarkan diri dalam tempoh yang singkat (sesaat hingga 3 minit) yang biasanya berhubungkait dengan aliran darah yang tidak mencukupi ke otak buat seketika

Apa yang menyebabkan pengsan?

Kejadian pengsan mungkin diakibatkan oleh tekanan emosi, kesakitan, pengumpulan darah di kaki akibat perubahan mendadak posisi badan, kepanasan melampau, dehidrasi, berpeluh dengan banyak atau keletihan.

Pengsan boleh berlaku berikutan episod batuk yang kuat dan panjang  yang menyebabkan terjadinya perubahan mendadak pada tekanan darah (terutama di kalangan lelaki).

Walaubagaimanapun, pengsan juga boleh diakibatkan oleh masalah jantung, neurologi, psikiatri, metabolik dan paru-paru. Seseorang juga mungkin pengsan akibat dari kesan sampingan sesetengah ubat seperti ubat diabetik, dadah sintetik dll.

Apakah yang di maksudkan dengan ‘neurally mediated syncope’?

‘Neurally mediated syncope’ (NMS) juga dipanggil neurocardiogenic, vasovagal, vasodepressor, atau reflex mediated syncope. Ia merupakan jenis yang paling kerap berlaku tetapi tidak merbahaya. NMS lebih sering berlaku dikalangan kanak-kanak dan remaja. NMS berlaku akibat penurunan tekanan darah yang kemudiannya mengurangkan peredaran darah ke otak dan menyebabkan seseorang itu tidak sedar diri. NMS yang sering dikaitkan dengan aktiviti berdiri yang berpanjangan seperti yang berlaku semasa perhimpunan sekolah, selalunya didahului oleh perasaan panas, loya, pening dan kabur penglihatan.

Pengsan yang mungkin merupakan tanda penyakit serius lain yang kebiasaannya berkaitan dengan masalah jantung:

  • Pengsan yang berlaku semasa bersenam
  • Pengsan yang  diiringi dengan rasa berdebar-debar atau denyutan jantung yang  tidak normal
  • Pengsan yang berlaku pada individu yang mempunyai sejarah keluarga yang kerap pengsan atau sejarah kematian mengejut dikalangan ahli keluarga

GEJALA DAN TANDA

Seseorang mungkin mengalami beberapa tanda amaran terlebih dahulu sebelum pengsan. Antaranya:

  • Tiba-tiba rasa ‘melayang’
  • Lemah keseluruhan badan, kemudian rebah ke tanah
  • Pendengaran menjadi kurang jelas atau penglihatan menjadi kabur
  • Loya ,kulit merasa panas sejuk
  • Pucat dan berpeluh
  • Kadar  nadi menjadi perlahan
  • Sedar sepenuhnya dalam masa yang singkat

Mereka yang kerap mengalami  pengsan, seharusnya segera duduk atau baring apabila mereka mula terasa gejala-gejala di atas.

Adalah penting untuk memeriksa kadar denyutan jantung dan pernafasan apabila seseorang itu pengsan. Serangan jantung perlu disyakki sekiranya tiada denyutan jantung atau pernafasan.
Kebanyakan kejadian pengsan tidak merbahaya, walaubagaimanapun, ada kalanya ia merupakan  tanda kepada masalah yang lebih serius. Oleh yang demikian, jika anda mengalami kejadian pengsan, adalah penting untuk mendapatkan nasihat perubatan untuk mengetahui mengapa ianya berlaku.

Pengsan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa, tetapi terdapat keadaan-keadaan tertentu yang meningkatkan risiko pengsan:

  • Tekanan perasaan
  • Cuaca yang panas dan lembab
  • Ruang atau bilik yang mempunyai pengudaraan yang tidak baik
  • Usia tua
  • Berdiri terlalu lama
  • Haid, teruatamanya sakit ketika kedatangan haid
  • Dadah sosial terutamanya alkohol
  • Pengambilan ubatan terutamanya ubat darah tinggi (anti hipertensi)
  • Diabetes

KOMPLIKASI

Majoriti kanak-kanak dan remaja yang pengsan tidak mempunyai penyakit jantung atau ‘arrhythmia’  (denyutan jantung yang tidak normal). Jadi, pemeriksaan kesihatan yang terperinci dan menyeluruh biasanya jarang diperlukan. Pemeriksaan fizikal oleh doktor, termasuk pemeriksaan tekanan darah dan kadar denyutan jantung yang diambil semasa baring dan berdiri, biasanya memadai.
Pengsan umumnya pulih sepenuhnya dalam beberapa saat atau beberapa minit. Walau bagaimanapun, seseorang mungkin memperolehi komplikasi seperti kecederaan dan gegaran otak semasa terjatuh.

RAWATAN

  • Jika seseorang merasakan seperti hendak pengsan, mereka perlu duduk serta-merta dan membengkokkan badan dengan meletakkan kepala mereka di antara lutut atau baring.
  • Sekiranya pernafasan dan kadar denyutan nadi didapati biasa, biarkan ia terus baring di atas tanah atau lantai dengan kepala mereka ke bawah dan mengiring ke satu sisi dalam keadaan selesa.
  • Meninggikan kedua-dua kaki dapat membantu peredaran darah kembali ke jantung.

Adalah penting untuk memastikan seseorang itu bebas dari penyakit lain yang berkaitan. Bantuan perubatan perlu diberikan segera bagi pengsan yang berlaku dikalangan mereka yang diketahui atau disyakki mempunyai penyakit serius.

Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah lain, langkah seterusnya boleh diikuti:

  • Biarkan dalam keadaan baring selama 10 minit.
  • Hidukan garam (ammonium karbonat) kepada mereka yang diketahui memang cenderung untuk pengsan.
  • Kembali melakukan aktiviti biasa secepat mungkin.

Ubat-ubatan biasanya  tidak diperlukan  untuk merawat pengsan tetapi beberapa prosedur perubatan mungkin perlu untuk memastikan tiada masalah jantung yang berkaitan.

  • Elektrokardiogram  (ECG) digunakan untuk menguji denyutan jantung yang tidak normal
  • Ujian lain seperti ujian ‘exercise stress test’, Holter monitor, Echocardiogram, dll mungkin diperlukan untuk mengesan lain-lain masalah jantung.

PENCEGAHAN

  • Jika anda menghadapi masalah kerap pengsan, elak dari melakukan aktiviti yang boleh membahayakan nyawa anda, seperti mendaki tempat tinggi, berenang, memandu atau mengendalikan jentera bermesin.
  • Elakkan perkara yang boleh menyebabkan anda pengsan (contohnya berdiri lama di dalam barisan, cuaca yang panas)
  • Elakkan perubahan mendadak dalam aktiviti fizikal.
  • Pastikan ubat-ubatan di ambil secara betul sebagaimana yang ditetapkan oleh doktor.

PROGNOSIS

Pengsan vasovagal (NMS) mempunyai prognosis yang baik. Secara umumnya, pesakit pulih sepenuhnya dalam masa beberapa minit hingga beberapa jam.Walaubagaimanapun, pengsan akibat dari serangan jantung atau lain-lain masalah jantung adalah berisiko tinggi dan boleh mengakibatkan maut.

RUJUKAN

  1. John Murtagh’s Patient Education, Fifth edition, page 244.
  2. John Murtagh, General Practice, Third Edition, page 510.
  3. Incidence and Prognosis of Syncope, Elpidoforos S. Soteriades, M.D., Jane C. Evans, D.Sc., Martin G. Larson, Sc.D., Ming Hui Chen, M.D., Leway Chen, M.D., Emelia J. Benjamin, M.D., and Daniel Levy, M.D.N Engl J Med 2002; 347:878-885September 19, 2002
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary
Penterjemah : Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary
Akreditor : Dr. Rosnah bte. Ramly
Penyemak : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah

Artikel Berkaitan

Sawan

Download: Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas

Scrotum

Remaja mungkin mendapat kesakitan di bahagian kelangkang atau pundi pelir. Keadaan ini mungkin sesuatu yang serius. Tetapi JANGAN PANIK. Jumpa doktor dengan segera.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia