Apakah itu Darah Tali Pusat?
Darah tali pusat merupakan darah yang mengalir daripada janin menerusi tali pusat ke uri (plasenta) ibu. Ia adalah sumber yang kaya dengan sel stem hematopoietik yang dipercayai mampu merawat penyakit kanser berkaitan darah, sistem imun dan penyakit genetik. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa pesakit melalui pemindahan (transplantasi) sel stem hematopoietik.
Pendermaan Darah Tali Pusat
Darah tali pusat dikumpulkan sebaik sahaja bayi dilahirkan dan tali pusatnya dipotong.
Darah tali pusat yang didermakan akan diproses dan disimpan di Pusat Darah Negara. Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pesakit yang menerima pemindahan darah tali pusat, maka hanya darah yang memenuhi kriteria dan berkualiti tinggi akan diproses dan disimpan.
Kelayakan pendermaan darah tali pusat adalah seperti berikut:
- Ibu yang berumur 18 tahun dan ke atas.
- Telah berkahwin dan bukan ibu tunggal.
- Warganegara Malaysia.
- Usia kandungan 36 minggu dan ke atas.
- Ibu dan bapa bukan penghidap HIV.
- Ibu bukan seorang pembawa Hepatitis B atau C.
- Ibu tidak bekerja sebagai pelacur.
- Ibu tidak mengadakan hubungan seks dengan individu homoseksual.
- Ibu tidak mengadakan hubungan seksual dengan pesakit hemofilia yang pernah menerima rawatan factor concentrates.
- Ibu dan bapa tidak menghidap penyakit yang kronik.
- Ibu dan bapa tiada sejarah menghidap penyakit genetik.
Prosedur Pendermaan Darah Tali Pusat
- Pasangan yang berminat boleh mendapatkan maklumat pendermaan
- dari laman sesawang Pusat Darah Negara (www.pdn.gov.my),
- dengan menghubungi Bank Darah Tali Pusat Nasional di Pusat Darah Negara, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur atau buat panggilan di talian 03-266933888 atau
- dengan menghubungi pusat-pusat pengumpulan darah tali pusat yang terdapat di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Ampang.
- Doktor atau jururawat akan mengadakan temubual dengan penderma untuk memastikan kriteria pendermaan dipenuhi. Maklumat berkenaan sejarah perubatan keluarga, gaya hidup dan sejarah seksual akan diambil semasa sesi temubual.
- Penderma yang layak perlu melengkapkan borang kebenaran pendermaan dan soal selidik status kesihatan. Sesi kaunseling untuk ibu dan bapa juga dijalankan supaya mereka faham tentang proses pendermaan dengan jelas. Borang kebenaran pendermaan yang lengkap perlu dibawa bersama oleh penderma apabila memasuki Dewan Bersalin.
- Contoh darah ibu akan diambil untuk ujian saringan penyakit berjangkit. Proses ini penting bagi memastikan darah tali pusat yang didermakan adalah bebas dari sebarang risiko penyakit berjangkit.
- Pengumpulan darah tali pusat dilakukan selepas bayi selamat dilahirkan dan semasa menunggu uri dikeluarkan. Prosedur pengumpulan darah tali pusat adalah selamat, tidak menyakitkan dan tidak membahayakan bayi serta ibu.
- Darah tali pusat yang dikumpul bersama-sama contoh darah ibu akan dihantar ke Makmal Pemprosesan Darah Tali Pusat di Pusat Darah Negara. Semua darah akan diuji, diproses dan disimpan dalam bekusejuk.
Pemprosesan dan Penyimpanan Darah Tali Pusat
Penghantaran contoh darah ibu dan darah tali pusat daripada pusat-pusat pengumpulan ke makmal pemprosesan di Pusat Darah Negara dilakukan dalam suhu yang terkawal. Hal ini adalah untuk memastikan daya hidup sel (viability) dan integriti darah dipelihara. Darah tali pusat perlu diproses dalam keadaan steril dan kemudiannya disimpan (pada suhu -196°C) dalam tempoh 48 jam selepas darah tali pusat diambil.
- Pemeriksaan fizikal ke atas sampel darah ibu dan darah tali pusat akan dijalankan sebagai permulaan. Juruteknologi makmal akan semak maklumat dalam borang pendermaan yang disertakan dengan contoh darah.
Sampel darah tali pusat yang menepati kriteria yang ditetapkan sahaja akan diproses.
Sampel darah tali pusat yang berjaya diproses akan disimpan pada suhu bekusejuk, iaitu -196°C.
Ujian Penyakit Berjangkit
Penyakit berjangkit boleh disebar melalui cecair badan daripada ibu kepada bayi sewaktu kehamilan. Maka, contoh darah akan diuji untuk mengesan patogen (agen penyakit) seperti Hepatitis, Cytomegalovirus (CMV), Human Immunodeficiency Virus (HIV) (penyebab AIDS) dan sifilis. Segala maklumat penderma dan keputusan ujian adalah sulit.
Sekiranya ujian saringan didapati positif, penderma darah tali pusat akan dipanggil untuk menjalani ujian pengesahan dan sesi kaunseling. Ini adalah mandatori di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit tahun 1988.
Pencarian Darah Tali Pusat Yang Serasi
Apabila ada pesakit yang memerlukan pemindahan darah tali pusat, doktor pesakit tersebut akan mengemukakan permohonan untuk mencari darah tali pusat yang serasi ke Bahagian Bank Darah Tali Pusat Nasional di Pusat Darah Negara.
Semakan Akhir | : | 31 Januari 2016 |
Penulis/Penterjemah | : | Lina Wati bt. Durani |
Akreditor | : | Katheleen Ng Li Fong |