–A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Tumbesaran & Perkembangan
  6. /
  7. Menggalakkan Kemahiran Literasi Awal...

Menggalakkan Kemahiran Literasi Awal Melalui Aktiviti Menarik

Literasi awal merupakan segala maklumat mengenai membaca dan menulis yang diketahui oleh kanak – kanak sebelum mereka boleh membaca atau menulis.

Pengenalan

Membaca dan menulis merupakan kemahiran yang amat penting dalam kehidupan harian. Kanak – kanak yang berjaya menguasai kemahiran ini dari usia yang muda biasanya dapat mengharungi dunia akademik dan kerjaya professional dengan jayanya. Pandangan umum adalah kanak – kanak belajar membaca dan menulis semasa prasekolah atau Darjah 1 sahaja. Kenyataan ini ada kebenarannya, memang kanak – kanak mula membaca semasa prasekolah, tetapi sebenarnya apa yang berlaku sebelum itu memainkan peranan yang penting dalam menentukan bagaimana kanak – kanak belajar membaca dan menulis.

Kajian menujukkan kanak – kanak dengan kemahiran pertuturan dan bahasa yang baik lebih bersedia untuk menerima pelajaran, khasnya mereka lebih bersedia dan lebih mudah untuk belajar membaca dan menulis. Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka, dan banyak yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak mereka berjaya di sekolah. Kebanyakan aktiviti ini boleh dilakukan dengan menggalakkan kemahiran literasi awal secara menyeronokkan.

Kemahiran Literasi Awal

Kemahiran Literasi Awal

Pasti anda tertanya – tanya, apa itu kemahiran literasi awal? Literasi awal merupakan segala maklumat mengenai membaca dan menulis yang diketahui oleh kanak – kanak sebelum mereka boleh membaca atau menulis. Kemahiran literasi awal ini boleh dipupuk oleh ibubapa semasa kanak – kanak berada pada lingkungan umur 2 – 5 tahun.

Dunia kanak – kanak penuh dengan aktiviti bermain. Kanak – kanak mempelajari sesuatu dengan paling berkesan apabila mereka sedang berseronok. Sebenarnya kenyataan ini adalah benar untuk kita semua. Kita mempelajari sesuatu dengan lebih mudah dan berkesan apabila kita sedang berseronok dan menikmati apa yang kita buat. Sama juga untuk memperkenalkan konsep literasi awal perlulah dengan cara yang menyeronokkan.

Kemahiran literasi awal adalah kritikal kerana ia menentukan sebaik mana kanak – kanak mempelajari kemahiran membaca dan menulis. Kanak – kanak yang mempunyai kemahiran literasi awal yang baik lebih mudah belajar membaca dan menulis. Kemahiran membaca dan menulis yang lebih baik membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Terdapat pelbagai cara yang menarik untuk menggalakkan perkembangan kemahiran literasi awal. Berikut adalah beberapa cadangan aktiviti untuk menggalakkan kemahiran literasi awal. Jadilah ibu bapa dan penjaga yang kreatif. Berseronoklah bersama anak kerana ini akan meniti kejayaan yang cemerlang dalam kemahiran membaca dan menulis buat anak.

Idea – idea Menarik untuk Menggalakkan Kemahiran Literasi Awal

Rajah: Idea – idea Menarik untuk Menggalakkan Kemahiran Literasi Awal.

Idea Menarik 1: Permainan yang Melibatkan Perkataan

Satu cara yang menarik untuk memperkenalkan literasi awal adalah dengan:

  • Bermain permainan berunsurkan huruf dan perkataan.
  • Kanak – kanak biasanya lebih mudah mempelajari sesuatu secara tidak langsung.
  • Mengajar secara teratur memang perlu, tetapi pada peringkat awal adalah lebih sesuai dengan permainan.
  • Mempelajari konsep literasi awal sambil berseronok.

apa bermula huruf p

Antara permainan yang dapat mengembangkan literasi awal adalah meneka perkataan yang bermula dengan huruf atau bunyi tertentu. Contohnya kita boleh bertanya:

  • Kanak – kanak digalakkan melihat sekeliling mereka untuk mencari jawapan.
  • Jawapannya mungkin β€˜pisang’ atau β€˜pin’.
  • Selain huruf, bunyi awal perkataan boleh juga digunakan untuk kanak – kanak yang lebih muda.
  • Kita boleh bertanya β€œApa yang bermula dengan bunyi β€œbuh” (b)”
  • Jawapannya mungkin β€˜bola’ atau β€˜buku’.
  • Tekankan bunyi atau huruf awal supaya kanak – kanak akan peka kepada bunyi awal perkataan.

Terdapat juga permainan bertemakan perkataan yang di pasaran, seperti

  • Sahibba
  • Saidina
  • Scrabble
  • Boggle
  • Upwords

Kebanyakan permainan ini kini tampil dengan versi yang lebih mudah untuk kanak – kanak yang lebih kecil. Ini dapat memperkenalkan mereka kepada dunia literasi dengan cara yang menarik dan menyeronokkan.

Idea Menarik 2: Tunjukkan Perkataan & Huruf di Mana Jua

Selain permainan, cara lain untuk menggalakkan kemahiran literasi awal adalah dengan:

  • Menarik perhatian kanak – kanak kepada perkataan dan huruf yang berada di persekitaran kita.
  • Kanak – kanak perlu mengenali apa itu huruf dan perkataan sebelum boleh membaca.
  • Tidak perlu mengajar kanak – kanak berumur 2 atau 3 tahun untuk membaca.
  • Sebaliknya cuma memperkenalkan konsep tentang tulisan, perkataan, dan huruf.
  • Ini adalah supaya kanak – kanak mempunyai kesedaran dan pendedahan awal kepada perkataan.
  • Pendedahan awal ini merupakan kemahiran literasi awal yang akan membantu mereka untuk membaca dan menulis.

Perkataan yang paling mudah untuk ditunjukkan kepada kanak – kanak adalah:

  • Logo yang biasa kelihatan seperti logo KFC dan McDonalds.
  • Kanak – kanak juga telah biasa dengan logo – logo ini yang boleh kelihatan di kebanyakan tempat.
  • Semasa menunjukkan logo, gunakan suara yang beranimasi untuk menarik perhatian kanak – kanak.
  • Ibubapa boleh juga menggunakan perkataan yang terdapat pada baju, permainan, dan kotak makanan untuk memberi pendedahan awal kepada konsep cetakan.
  • Perlu diingati bahawa tujuan aktiviti bukan untuk mengajar membaca tetapi sebagai pengenalan kepada dunia literasi.
  • Lama – kelamaan kanak – kanak akan dapat mengenali dan memahami logo dan perkataan yang biasa dilihat dan ditunjukkan.
  • Ini adalah asas kepada kemahiran membaca, iaitu mengenali perkataan dan memahami maksud perkataan tersebut.

Sebagai ibu bapa kita perlu peka kepada perkataan dan huruf yang berada di sekeliling kita, dan mengambil kesempatan untuk menarik perhatian kanak – kanak kepada huruf – huruf ini. Nikmati aktiviti literasi awal ini, dan pastinya anak anda yang akan menunjukkan perkataan dan huruf di persekitaran, walaupun belum boleh membaca. Ini membuktikan bahawa mereka telah pun menguasai kemahiran literasi awal.

Idea Menarik 3: Berpantun dan Mencari Perkataan Berirama

Membaca pada dasarnya adalah memahami erti bunyi – bunyi bahasa dan bagaimana bunyinya apabila digabungkan menjadi perkataan dan seterusnya ayat. Bunyi – bunyi ini adalah sama, samada disebut dan didengar, atau dibaca dan ditulis. Memandangkan pentingnya bunyi bahasa, setiap kanak – kanak harus mempunyai asas yang kukuh dalam mengenali dan menggunakan bunyi – bunyi bahasa ini. Cara yang berkesan untuk mengukuhkan konsep bunyi bahasa adalah dengan berpantun ataupun mencari perkataan yang berirama, yang bunyinya seakan – akan sama.

Contohnya kita boleh:

  • Bermain untuk mencari perkataan yang sama bunyinya, seperti β€˜meja dan eja’, ataupun β€˜ibu dan Sibu’, atau β€˜bola dan Cola’.
  • Kita juga boleh mengumpulkan perkataan dengan bunyi awalan yang sama, seperti β€˜jem, jari, jeruk, Jenny’ dan membuat ayat menarik seperti β€˜Jari Jenny terkena jem dan jeruk’.
  • Mencari perkataan yang bunyinya sama akan menekankan konsep bunyi
  • Kanak – kanak akan lebih peka dan bersedia untuk membaca kerana asas bunyi sudah pun diperkenalkan.

Semasa membuat ayat atau mengumpul perkataan yang sama, petua yang perlu diingati:

  • Tidak semestinya ayat itu betul dari segi maksud.
  • Buatlah ayat yang lucu agar aktiviti ini menggembirakan kanak – kanak.
  • Ini akan mengaitkan literasi dengan masa – masa bahagia dan meningkatkan kecenderungan kanak – kanak untuk membaca dan menulis.
  • Mencari perkataan, berpantun dan ayat berirama ini boleh dibuat di mana sahaja.
  • Hiburkan hati sambil menanti waktu untuk sampai ke destinasi dengan berpantun dalam kereta, bas, keretapi atau kapal terbang.
  • Boleh juga membuat ayat dalam restoran, semasa menunggu makanan, dan cuba kaitkan pantun dengan makanan.

Bacalah pantun dan nyanyi lagu dengan perkataan yang berirama. Berseronoklah dengan kanak – kanak sambil mencari perkataan yang hampir sama bunyinya.

Idea Menarik 4: Jadilah Contoh Pembaca yang Baik

Kepimpinan melalui teladan adalah kata – kata perangsang yang biasanya disarankan kepada pegawai atasan di jabatan kerajaan atau swasta. Sebagai ibu bapa kita juga merupakan pemimpin keluarga dan kanak – kanak sentiasa memperhatikan kita. Walau apa pun yang kita cakap atau suruh anak kita buat, pengajaran yang paling berkesan adalah melalui apa yang kita buat.

Sekiranya kita mengharapkan anak kita menjadi seorang yang rajin membaca dan menulis, kita perlulah menjadi contoh atau teladan yang baik untuknya dengan cara:

  • Luangkan masa untuk membaca suratkhabar, majalah, atau buku.
  • Pastikan anak melihat anda membaca.
  • Berceritalah dengan anak anda tentang apa yang sedang anda lakukan, tunjukkan gambar jika sesuai.
  • Pastikan anak memerhatikan anda menulis dalam aktiviti harian.
  • Contohnya menulis nama anak dalam buku, menulis senarai barang untuk dibeli, atau menulis alamat pada sampul surat.
  • Bercerita dengan anak tentang apa yang sedang anda tulis.
  • Beri mereka peluang untuk mencuba, walaupun hanya menconteng atau pura – pura menulis.

Apabila kanak – kanak memerhatikan orang dewasa yang tersayang membaca dan menulis, mereka akan faham bahawa membaca dan menulis adalah penting. Melibatkan mereka untuk sama – sama membaca dan menulis akan menggalakkan lagi kecenderungan mereka untuk membaca dan menulis kelak.

Bacalah sekerap mungkin, untuk menjadi teladan kepada anak tersayang.

 

Idea Menarik 5: Membaca buku bersama anak anda

Membaca buku cerita bersama anak telah terbukti untuk memupuk kemahiran literasi awal, kemahiran bertutur dan memahami bahasa. Ini juga satu aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan antara ibubapa dan anak. Bayi dan kanak – kanak dalam lingkungan usia 2-3 tahun pun sudah boleh menikmati buku cerita.

  • Pilihlah buku yang bergambar dan mempunyai warna yang menarik.
  • Anak anda juga boleh memilih buku kegemarannya.
  • Duduk dengan selesa
  • Pilih masa yang sesuai ketika kedua – dua ibubapa dan anak berasa tenang.
  • Jangan setakat membaca sahaja, tetapi bercerita berdasarkan gambar.
  • Gunakan suara yang menarik dan lakonkan aksi dalam cerita jika boleh.
  • Anda juga boleh mengajukan soalan kepada anak anda berdasarkan cerita tersebut.
  • Setelah beberapa kali membaca cerita yang sama, beri peluang kepada anak anda untuk bercerita semula.

Membaca bersama anak memberi peluang kepada anak anda untuk membiasakan diri dengan buku, mengalami cara untuk membelek buku, serta cara yang betul untuk memegang buku. Kesemua ini adalah kemahiran awal literasi yang menyediakan kanak – kanak untuk belajar membaca.

Luangkan masa setiap hari untuk sama – sama membaca buku, kerana ini akan melahirkan anak yang bersedia, berminat dan pandai membaca.

Kesimpulan

Artikel ini memuatkan beberapa teknik untuk menggalakkan kemahiran literasi awal. Diharap cadangan – cadangan ini akan berfaedah dan membantu perkembangan literasi awal kanak – kanak. Terdapat pelbagai cara lagi yang boleh dilakukan untuk memperkenalkan kanak – kanak kepada konsep literasi. Gunakan apa saja kaedah asalkan ia melibatkan perkataan, huruf, cerita, menulis, mewarna secara positif dan seronok.

Membaca dan menulis dipelajari secara formal di prasekolah, tetapi persediaan awal dan kemahiran literasi awal harus bermula dari bayi dan kanak – kanak yang belum bersekolah lagi. Bak kata pepatah β€œkalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Berseronoklah dengan aktiviti – aktiviti ini sambil membekalkan anak dengan kemahiran literasi awal yang penting.

Rujukan

  1. Building Blocks: The Sequence of Emergent Literacy Skills. http://kbyutv.org/kidsandfamily/readytolearn/file.axd?file=2011%2F3%2F12+Building+Blocks.pdf retrieved on 28/8/2015
  2. Getting Ready to Read By Lauren Lowry. http://www.hanen.org/SiteAssets/Helpful-Info/Articles/getting-ready-to-read.aspx, retrieved on 28/8/2015
  3. Weitzman, E. & Greenberg, J. ABC & Beyond: Building Emergent Literacy in Early Childhood Settings. Toronto: Hanen Early Language Program
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Amelia Inbam Neelagandan
Akreditor : Wahida bt. Mohd Abd Wahab
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Kanser

Setiap sel di dalam badan mengalami pusingan jangka hayat untuk membiak, berhubung-kait dengan sel-sel yang lain di sepanjang masa kehidupan. Kanser terjadi jika jenis sel telah hilang kawalan mekanisma dan membiak dengan tersendiri tanpa dapat dikawal oleh badan.

Pemakanan Tambahan

Pengenalan: Ubat-ubatan suplemen adalah produk-produk yang mengandungi vitamin, garam galian,

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :Β Β  +603 8000 8000

FAKS :Β Β  +603 8888 6200

EMEL : Β  myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK Β  Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara Β©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia