A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Manifestasi Mulut Disebabkan Oleh Jangkitan HIV/AIDS

Apa itu HIV?

‘HIV’ bermaksud ‘Human Immunodeficiency Virus’ iaitu sejenis virus yang menyerang sistem imun iaitu sistem ketahanan badan semulajadi. HIV menyerang dan memusnahkan sejenis sel darah putih yang dipanggil sel CD4 atau sel T. Fungsi utama sel ini adalah untuk melawan penyakit. Pesakit akan mudah mendapat jangkitan apabila bilangan CD4 semakin berkurangan. Dengan pertambahan masa, HIV boleh memusnahkan banyak sel CD4 dan membawa kepada penyakit AIDS iaitu peringkat akhir jangkitan HIV

Apa itu AIDS?

‘AIDS’ bermaksud ‚Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ adalah sindrom yang muncul pada peringkat lewat jangkitan HIV. Pada peringkat ini, sistem imun dirosakkan dengan teruk dan menjadikan individu mudah mendapat infeksi oportunistik dan penyakit yang dikenali sebagai AIDS defining condition. Apabila bilangan sel CD4 menurun dibawah 200 sel/mm3 darah atau mendapat satu atau lebih penyakit oportunistik, penyakit HIV itu dikira merebak kepada AIDS.

Bagaimana cara seseorang boleh dijangkiti HIV?

HIV boleh dijangkiti melalui

  • Perkongsian jarum untuk menyuntik dadah atau steroid daripada seeorang yang dijangkiti. Penyakit ini boleh juga dijangkiti melalui jarum yang digunakan untuk membuat tatoo atau cucukan pada badan
  • Seks tanpa perlindungan dengan seeorang yang dijangkiti.
  • Menerima transfusi darah dari orang yang dijangkiti
  • Lahir dari ibu yang dijangkiti HIV. Bayi boleh juga mendapat HIV dari susu ibu yang dijangkiti HIV

Apakah tanda-tanda HIV/AIDS di dalam mulut (manifestasi mulut)?

Manifestasi mulut penyakit HIV adalah biasa dan ini termasuk lesi mulut dan presentasi penyakit oportunistik. Kajian telah menunjukkan 70%-80% individu yang dijangkiti akan mendapat sekurang-kurangnya satu manifestasi mulut pada peringkat penyakit tersebut. Kehadiran lesi ini juga berkemungkinaan merupakan indikator dan prediktor kepada perkembangan penyakit HIV. Perlu ditekankan bahawa lesi mulut infeksi HIV adalah sebagai indikator dan tidak semestinya spesifik kepada penyakit HIV kerana kebanyakan dari lesi mulut itu boleh didapati juga pada pesakit yang tidak dijangkiti HIV. Lesi mulut pada pesakit HIV terdiri terutamanya infeksi (fungus, viral, bakteria),barah, kebengkakan kalenjar limpa, penyakit imun dan lain-lain (kering mulut, sindrom kesakitan, nutrisi).

Senarai manifestasi mulut AIDS seperti dalam jadual 1

  Lebih kerap Kurang kerap
Infeksi Fungal  Bakteria     Viral Kandidiasis     HIV berkaitan dengan periodontitis Nekrotizing ulseratif gingivitis Virus Herpes simplex (HSV) Virus Varicella zoster (VZV) Virus Epstein-Barr (EBV) Aspergillosis Histoplasmosis Cryptococcosis GeotrichosisMycobacterium avium Klebsiella pneumonia Enterobacter cloacae Escherichia coli Cat-stratch disease SinusitisHuman papillomavirus (HPV) Cytomegalovirus (CMV)
Neoplasms Kaposi’s sarcoma Non-Hodgkin’s lymphoma Squamous sel karcinoma
Kebengkakan nodus limpa Servical  
Neurologi   Trigeminal neuralgia Fasial palsi
Pelbagai   Ulser aftus berulang Xerostomia Nekrotizing stomatitis Penyembuhan luka yang lambat Toxic epidermolysis Hyperpigmentasi Exfoliative cheilitis Reaksi likenoid

Infeksi fungus

Kandidiasis

Kandidiasis mulut terutamanya yang disebabkan oleh Candida albicans adalah manifestasi mulut jangkitan HIV yang paling kerap terjadi. Sistem imun yang sihat boleh membantutkan pertumbuhan fungus tetapi sedikit kelemahan pada sistem imun menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Kebanyakan infeksi berlaku apabila bilangan CD4 berkurang dari 400 sel/mm3. Kandidiasis mulut telah dilaporkan berlaku pada 17-43% pesakit yang dijangkiti HIV dan lebih daripada 90% pesakit AIDS. Terdapat 3 presentasi kandidiasis mulut yang sering berlaku iaitu kandidiasis pseudomembranous, kandidiasis erythematous dan angular cheilitis.

  1. Kandidiasis pseudomembranous atau ‘trush’ muncul sebagai plak putih yang dapat dikeluarkan dan meninggalkan permukaan merah atau berdarah dibawah lapisan permukaan. Kebiasaannya lesi ini terjadi pada lidah walaupun bahagian mukosa mulut yang lain boleh juga terlibat. (Gambar 1)
    Pseudomembranous candidiasis
    Gambar 1 Kandidiasis pseudomembranous
  2. Kandidiasis erythematosus muncul dalam berbagai saiz sebagai permukaan merah yang rata. Ia selalunya berlaku pada lelangit keras atau lembut. Ia mungkin juga berlaku sebagai ‘kissing’ lesi. Sekiranya ia terjadi pada lidah, lelangit perlu diperiksa untuk lesi yang berpasangan dengan lidah dan begitu juga sebaliknya. (Gambar 2) Erythematous candidiasis
    Gambar 2: Kandidiasis erythematosus
  3. Angular keilitis muncul sebagai lesi kemerahan atau fisur pada sudut tepi mulut samada unilateral atau bilateral. Ia boleh terjadi sendirian atau bersama-sama jenis kandidiasis yang lain. (Gambar 3)
    Angular cheilitis
    Gambar 3: Angular keilitis

Rawatan

Rawatan untuk kandidiasis mulut termasuk topikal dan sistemik ubat antifungal. Terapi topikal dengan nystatin dan clotrimazole adalah efektif untuk kes kandidiasis mulut yang sedikit dan sederhana iaitu pada individu yang bilangan CD4 melebihi 200 cell/mm3. Bagi kes refraktori dan pesakit immunocompromise yang teruk memerlukan terapi antifungal sistemik.

Infeksi bakteria

Penyakit periodontal berkaitan HIV

Penyakit periodontal adalah biasa di kalangan pesakit yang dijangkiti HIV. Ciri-ciri penyakit periodontal adalah gusi berdarah, nafas berbau busuk, gigi goyah dan kadangkala kesakitan. Penyakit periodontal berkaitan HIV yang berpunca daripada bakteria boleh dikelaskan kepada 3 jenis.

  • Linear gingival erythema (LGE) LGE terjadi sebagai 1-3 mm jalur merah pada permukaan marginal gingiva dan kadangkala disertai dengan perdarahan dan ketidakselesaan. Ia sering berlaku pada gigi hadapan (anterior) tetapi menjadi kebiasaan merebak ke gigi belakang (posterior). (Gambar 4)
    Linear gingiva erythema
    Gambar 4: Linear gingiva erythema
  • Nekrotizing ulseratif gingivitis (NUG) NUG lebih sering berlaku pada orang dewasa berbanding kanak-kanak. Ciri-ciri penyakit NUG adalah kehadiran ulser, ‘sloughing’ dan nekrotik pada satu atau lebih interdental papila tanpa kehilangan periodontal atakmen dan disertai dengan kesakitan, perdarahan dan nafas yang berbau.
  • Nekrotizing ulseratif periodontitis (NUP) NUP adalah keadaan yang menyebabkan kesakitan, perdarahan gusi yang spontan dan kemusnahan yang cepat pada tisu gusi dan tulang yang mana boleh menyebabkan kehilangan gigi. Kesakitan teruk dan perdarahan spontan sering terjadi. (Gambar 5)
    Necrotizing ulcerative periodontitis
    Gambar 5: Nekrotizing ulseratif peridontitis

Rawatan

Rawatan NUG dan NUP terdiri daripada debridement (pembersihan) tisu nekrotik dan terapi antimikrobial. Pemberian ubat-ubatan sistemik antifungal dan antibiotik seperti metronidazole juga memberi manfaat dalam penyembuhan. Pengekalan kebersihan mulut dengan memberus, memflos dan mengguna ubat kumur adalah cara–cara yang berkesan untuk mencegah dan mengawal penyakit periodontal.

Infeksi Virus

Virus Herpes adalah penyebab majoriti jangkitan virus pada mulut pesakit HIV. Infeksi Herpes simplex boleh berlaku dalam variasi intraoral dan perioral. Kebanyakan manifestasi mulut herpes simplex pada pesakit HIV disebabkan oleh herpes simplex jenis I. Prevalensi jangkitan virus Herpes simplex (HSV) pada mulut pesakit HIV adalah antara 10% hingga 35%. Jangkitan berulang intraoral herpes simplex dan herpes labialis juga didapati pada pesakit HIV. Kehadiran infeksi HSV lebih dari 1 bulan menjadi ‘AIDS- defining condition’.

Virus Herpes Simplex (HSV)

Infeksi virus Herpes simplex muncul sebagai sekumpulan vesikel yang sering berlaku pada lelangit keras, gusi dan/atau bibir. Vesikel pecah dan membentuk ulser yang bentuknya tidak sekata dan sakit. Sering kali lepuh/ulser diiringi dengan demam, sakit dan hilang selera makan. Infeksi virus herpes yang lama dan berlanjutan lebih dari 3 minggu adalah berkaitan dengan bilangan sel CD4 kurang daripada 100 sel/mm3. Infeksi yang berulang selalunya lebih merebak, berpanjangan dan kronik. (Gambar 6)

herpes-simplex-infection-nrn
Gambar 6: Infeksi herpes simplex

Herpes labialis (cold sores)

Herpes labialis adalah lesi yang berulang dan berlaku diatas atau sekitar bibir. Pesakit mungkin akan mengadu sejarah rasa kegatalan atau kesakitan diikuti dengan kemunculan vesikel yang kecil. Vesikel ini pecah dan membentuk lesi yang berkerak. (Gambar 7)

Herpes labialis
Gambar 7: Herpes labialis

Rawatan

Rawatan untuk infeksi HSV termasuk terapi sistemik dengan agen antiviral seperti acyclovir atau famciclovir. Rawatan menjadi lebih berkesan sekiranya ubat antiviral diberi pada peringkat awal infeksi. Foscarnet boleh digunakan pada jangkitan yang berlanjutan (kronik).

Herpes zoster

Virus Varicella zoster adalah reaktivasi virus yang sama yang menyebabkan cacar air. Jangkitan berulang Varicella zoster virus adalah agak biasa di kalangan pesakit HIV tetapi pada peringkat yang lebih teruk. Terdapat beberapa laporan berkenaan peningkatan insiden jangkitan Herpes zoster dikalangan pesakit HIV. Kejadian ini boleh menjadi teruk terutama pada individu dengan bilangan CD4 dibawah 200 sel/mm3. Lesi mulut bermula sebagai vesikel atau gelembung yang kemudian pecah membentuk ulser atau lepuh yang kebiasaannya pada lelangit keras disepanjang distribusi sebelah sisi (unilateral) saraf kranial yang kelima. Pesakit selalu mengadu kesakitan yang amat sangat. Pada pesakit HIV, lesi mulut lebih merebak, kronik dan menyebabkan sejumlah besar komplikasi. (Gambar 8)

Herpes zoster
Gambar 8: Herpes zoster

Rawatan

Secara amnya rawatan terdiri daripada terapi antivirus seperti acyclovir, valacyclovir atau famciclovir pada dos yang tinggi.

Oral Hairy leukoplakia (OHL)

Oral hairy leukoplakia adalah lesi yang disebabkan oleh Virus Epstein-Barr (EBV) yang paling kerap terjadi. Oral hairy leukoplakia adalah indikator untuk infeksi HIV dan prediktor bagi perkembangan selanjutnya kepada AIDS. Prevalensi oral hairy leukoplakia pada pesakit HIV adalah dari 20% ke 30% atau lebih, dan ia jarang berlaku pada kanak-kanak.

Oral hairy leukoplakia seringkali muncul sebagai lesi putih yang beralun atau membentuk lipatan pada sisi lidah. Plak putih ini kelihatan seperti ‘thrush’ tetapi tidak boleh dikeluarkan dengan mudah. Lesi ini selalunya bermula pada sisi lateral lidah dan kadang-kala berlaku didalam pipi dan bibir bawah. Ia berkemungkinan terjadi secara unilateral atau bilateral dan tidak menyebabkan kesakitan. (Gambar 9)

Oral Hairy leukoplakia
Gambar 9: Oral Hairy Leukoplakia

Rawatan

Oral hairy leukoplakia selalunya tidak memerlukan rawatan tetapi bagi kes yang teruk, sistemik antiviral boleh dipertimbangkan. Lesi ini biasanya berkurangan selepas pemberian antiviral seperti aciclovir untuk 1 atau 2 bulan.

Infeksi Human Papillomavirus (HPV)

Prevalensi lesi yang disebabkan oleh HPV telah didapati meningkat di kalangan pesakit HIV dan kebanyakan berlaku pada kawasan anogenital. Kawasan mulut juga boleh terlibat. Lesi HIV didalam kaviti mulut mungkin muncul sebagai ‘solitary’ atau beberapa nodul dengan ketumbuhan seperti ‘bunga kobis’. Lesi-lesi ini adalah tidak sakit. Kebiasaan lokasi adalah mukosa labial dan bukal (pipi). (Gambar 10)

Human Papillomavirus infection
Gambar 10 – Infeksi Human Papillomavirus

Rawatan

Rawatan untuk lesi HPV termasuk pembedahan, laser ablasi, cryoterapi dan aplikasi topikal agen keratinolitik.

Infeksi Cytomegalovirus (CMV)

Kebiasaannya manifestasi mulut CMV adalah tanda awal diseminasi infeksi HIV. Infeksi mulut CMV adalah berkaitan dengan sistem imun yang mengalami supresi yang teruk. Manifestasi mulut infeksi CMV hanya diperhatikan pada pesakit HIV dengan CD4 dibawah 100 sel/mm3 pada peringkat diseminasi penyakit ini. Infeksi mukosa CMV selalunya muncul sebagai ulser yang sakit, besar dan tidak spesifik pada mana-mana permukaan mukosa mulut.

Rawatan

Intravena antivirus seperti ganciclovir atau acyclovir pada dos yang tinggi mungkin diberi.

Lesi-lesi neoplastik

Kaposi’s sarcoma

Kaposi’s sarcoma adalah kanser yang berkaitan dengan penyakit AIDS yang paling kerap terjadi. Insiden Kaposi’s sarcoma adalah lebih tinggi pada lelaki homoseksual berbanding kumpulan risiko yang lain. Ia boleh terjadi sebagai permukaan rata, bernodul dan berulser dengan warna berubah dari merah ke ungu; lesi awal berpermukaan rata tanpa tanda dan gejala dengan warna menjadi semakin gelap apabila lesi bertambah matang. Lelangit keras adalah tempat yang sering terjadi tetapi lesi juga boleh berlaku pada gingiva dan lidah. Oral kaposi’s sarcoma selalunya tidak sakit tetapi ia boleh mengganggu aktiviti penguyahan dan percakapan. (Gambar 11)

Kaposi’s sarcoma
Gambar 11: Kaposi’s sarcoma

Rawatan

Rawatan oral Kaposi’s sarcoma termasuk rawatan setempat dan sistemik bergantung kepada peringkat klinikal. Rawatan setempat adalah seperti pembedahan atau radioterapi. Rawatan sistemik adalah satu agen ubat atau kombinasi ubat kemoterapi.

Non Hodgkin’s lymphoma (NHL)

NHL adalah kanser yang kedua sering terjadi pada pesakit HIV. Sejak kebelakangan ini, insiden oral lymphoma pada pesakit AIDS semakin meningkat. Berlainan dari Kaposi’s sarcoma, NHL lebih kerap dikesan pada HIV-positif heteroseksual dan penagih dadah yang menyuntik dengan jarum.

Oral lymphoma sering kali muncul sebagai kebengkakan tisu lembut yang membesar dengan cepat, seringkali bersama pembentukan ulser. Seperti Kaposi’s sarcoma, oral lymphoma biasanya terdapat pada lelangit dan gingiva. Prognosis pesakit lymphoma adalah buruk dengan kadar kelangsungan hidup kurang daripada 25%. (Gambar 12)

Non Hodgkin’s lymphoma
Gambar 12: Non Hodgkin’s lymphoma

Rawatan

Rawatan oral lymphoma termasuk multikemoterapi dan radioterapi.

Kebengkakan nodus limfa yang berterusan

Kebengkakan nodus limfa yang berterusan adalah kebengkakan yang melebihi 3 bulan. Kawasan yang sering kali terlibat adalah servikal posterior dan anterior, submandibular, oksipital dan limfa aksilari. Kebengkakan nodal selalunya bersaiz melebihi dari 1 cm dan saiz berubah dari 0.5 ke 5.0 cm.

Kebengkakan nodus limfa adalah tanda amaran perubahan kepada AIDS, pada hampir satu pertiga pesakit yang mengalami kebengkakaan ini dan pesakit yang tidak dirawat akan mendapat ciri-ciri diagnostik AIDS dalam masa 5 tahun.

Rawatan

Biopsi nodus limfa mungkin diperlukan untuk menolak kemungkinan lymphoma.

Pelbagai penyakit lain berkaitan HIV

Ulser aftus berulang

Ulser aftus berulang adalah penyakit mulut berkaitan dengan sistem imun yang sering terjadi pada 1%-7% pesakit yang dijangkiti HIV. Ulser tersebut menyebabkan kesakitan dan sering muncul pada pipi mukosa, lelangit lembut dan lidah. Ciri-ciri lesi tersebut adalah lingkaran inflamasi yang diliputi oleh pseudomembran kekuningan kelabu. Pesakit HIV cenderung mendapat ulser yabg lebih kerap dan episod yang berlanjutan. Seperti manifestasi mulut yand lain, ulser ini juga adalah tanda aras bagi perkembangan HIV dan peringkat lewat imunosupresi. Sering kali ulser ini berdiameter lebih dari 1 cm, menjangkau ke dalam submukosa dan tidak memberi respon yang baik terhadap ubatan topikal. (Gambar 13)

Recurrent aphthous ulcer
Gambar 13: Ulser aftus berulang

Rawatan

Rawatan utama adalah untuk mengawal kesakitan dan menghalang jangkitan. Ubatan topikal dan/atau sistemik steroid dicadangkan bergantung kepada keterukan ulser.

Kebengkakan kelenjar parotid dan mulut kering

Kebengkakan kelenjar parotid seringkali dikaitkan dengan infeksi HIV di kalangan kanak-kanak dan jarang berlaku pada dewasa. Ia berlaku pada peringkat lewat infeksi HIV dan berkait dengan perkembangan penyakit HIV pada kadar yang lebih perlahan. Kebengkakan parotid boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah kalenjar parotid. Ia selalunya tidak menyebabkan kesakitan dan mungkin diiringi dengan pengurangan aliran air liur (mulut kering). Masalah mulut kering juga sering disebabkan oleh ubat-ubatan yang menganggu rembesan saliva seperti ubat-ubatan antihistamin, ‘antianxiety’, ‘antidepressant’ dan sesetengah antiviral. Mulut kering boleh membawa kepada kerosakkan gigi, penyakit periodontal (gusi), kandidiasis mulut, kecederaan mukosa dan kesukaran menelan, dan seringkali dikaitkan dengan kesakitan dan pengurangan pengambilan makanan.

Rawatan

Rawatan untuk mulut kering difokuskan pada kelegaan simptomatik melalui hidrasi, pengurangan pengambilan alkohol dan kafein dan penggunaan saliva tiruan. Pengambilan pilocarpine untuk merangsang aliran saliva boleh juga dipertimbangkan. Amalan penjagaan higin mulut yang baik dan kawalan diet (kawalan untuk gula dan makanan bergula) dicadangkan untuk menghalang karies gigi. Ubat kumur yang mengandungi alkohol perlu dielakkan disebabkan kesan pengeringan.

Rujukan

  1. Denis P.Lynch. Oral manifestation of HIV disease : An update. Seminar in Cutaneous Medicine and Surgery,Vol 16.No4.1997:pp 257-264
  2. Laskaris G. Oral manifestation of HIV disease. Clinics in Dermatology.2000;18:447-455
  3. Peter H, et al. Oral manifestation in HIV-infected patients: Diagnosis and management. Journal of the American Academy of Dermatology. 1993;29:749-60.
  4. Hirata CHW. Oral manifestation in AIDS. Braz J Otorhinolaryngol. 2015;81:120-3.
Semakan Akhir : 16 Februari 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Nor Nazaliza bt. Basri
Akreditor : Dr. Sumairi bin Ismail

Artikel Berkaitan

Gigi Palsu Fleksibel

Gigi palsu fleksibel ialah gigi palsu yang diperbuat daripada bahan yang melentur (flexible) iaitu sejenis bahan plastik yang dinamakan nylon.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia