A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Profail Lipid

Pendahuluan

Lipid adalah molekul-molekul biologi yang tidak larut di dalam air tetapi larut di dalam pelarut organik. Terdapat beberapa jenis lipid di dalam badan manusia dengan fungsi yang berbeza. Hanya beberapa lipid tertentu yang diukur secara rutin di makmal perubatan yang berkait rapat dengan penentuan risiko mendapat penyakit dan menilai keberkesanan rawatan penyakit Kardiovaskular

Jenis-Jenis Lipid

Jenis-jenis lipid yang selalu di ukur di makmal adalah:

  1. Kolesterol Total
  2. Trigliserid
  3. HDL (High density lipoprotein) Kolesterol dan
  4. LDL (Low density lipoprotein)

Kolesterol diperolehi dari diet yang dimakan disamping dijana sendiri oleh badan. Trigliserid merupakan sumber tenaga penting dari lipid. HDL dan LDL Kolesterol adalah Lipoprotein iaitu lipid yang terikat dengan protein tertentu (apolipoprotein). HDL (High density lipoprotein) mempunyai ketumpatan paling tinggi diikuti LDL (Low density lipoprotein). HDL juga dipanggil ‘Kolesterol baik’ dan LDL dipanggil ‘Kolesterol tidak baik’ berdasarkan kemampuan membawa kolesterol untuk dimetabolisma.

Pengambilan berlebihan makanan yang mengandungi lemak menyebabkan peningkatan paras lipid tertentu dalam badan dan boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Peningkatan paras Kolesterol darah boleh menyebabkan penyempitan laluan aliran saluran darah.

Metabolisma Biokimia Lipid

Secara ringkas, hasil dari pencernaan lipid adalah asid lemak dan gliserol, Sebagian besar asid lemak dan monogliserid oleh kerana tidak larut dalam air, maka diangkut (dalam bentuk besar dipanggil emulsi) dan dilepaskan ke dalam sel epitelial usus. Di dalam sel ini asid lemak dan monogliserid segera dibentuk menjadi trigliserid dan berkumpul berbentuk gelembung yang dipanggil Kilomikron. Selanjutnya Kilomikron ini diangkut menuju hati dan tisu adipos.

Di dalam sel-sel hati dan tisu adipos Kilomikron segera dipecah menjadi asid lemak dan gliserol. Selanjutnya asid lemak dan gliserol tersebut dibentuk kembali menjadi trigliserid. Proses pembentukan trigliserid ini dinamakan esterifikasi. Apabila tenaga diperlukan dari lipid, trigliserid tersebut dipecah menjadi asid lemak dan gliserol untuk diangkut menuju sel-sel untuk dioksidasi menjadi tenaga. Proses pemecahan lipid ini dinamakan lipolisis.

Proses oksidasi asid lemak dinamakan Oksidasi Beta dan menghasilkan Asetil KoA. Selanjutnya, Asetil KoA akan menghasilkan tenaga (dalam bentuk ‘ATP’). Jika keperluan tenaga sudah mencukupi, Asetil KoA akan mengalami lipogenesis untuk menjadi asid lemak dan selanjutnya disimpan sebagai trigliserid.

Beberapa lipid tertentu disintesis dari Asetil KoA. Kolesterol dihasilkan melalui proses kolesterogenesis dari Asetil KoA. Selanjutnya kolesterol mengalami steroidogenesis untuk membentuk steroid.

Fungsi Lipid

Ada beberapa fungsi biologi lipid telah dikenalpasti, di antaranya:

  1. Sebagai sebahagian struktur  membran sel

Dalam hal ini lipid berperanan sebagai membran pemisah untuk sel dan membantu mengatur aliran bahan- bahan antara sel.

  1. Sebagai sumber tenaga

Lipid banyak disimpan di tisu adipos/ tisu lemak sebagai sumber tenaga apabila diperlukan setelah karbohidrat banyak digunakan.

  • Sebagai hormon dan vitamin

Sebahagian lipid merupakan komponen hormon (progesteron dan testosteron) dan vitamin (Vitamin A,D,E,K). Hormon dapat menyelaras komunikasi antara sel-sel, sedangkan vitamin membantu penyelarasan proses biologi badan

  1. Agen Emulsi

Kaitan Parameter Lipid Dengan Penyakit

Penentuan paras Profail Lipid tertentu adalah perlu untuk menentu tahap kesihatan seseorang, ini termasuk:

  • Kolesterol Total
  • HDL Kolesterol
  • LDL Kolesterol
  • Trigliserid

Ujian ke atas semua empat (4) parameter di atas perlu dilakukan serentak untuk mendapat maklumat tahap kesihatan yang lebih tepat.

Secara amnya penentuan Profail Lipid berkait rapat dengan Risiko Penyakit Kardiovaskular. Peningkatan paras Kolesterol Total, LDL Kolesterol, Trigliserid dan pengurangan HDL Kolesterol dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan penyakit jantung, angin ahmar (stroke) dan darah tinggi. Paras Profail Lipid yang terkawal, dapat mengurangkan seseorang mendapat Risiko Penyakit Kardiovaskular.

Bagi individu yang sihat, ujian Profail Lipid boleh dilakukan secara berkala (tahunan) sebagai program saringan kesihatan. Manakala pesakit yang mengambil ubat merendahkan lipid, ujian berkala Profail Lipid secara berterusan juga perlu dilakukan bagi memastikan dos dan jenis ubat adalah bersesuaian.

Persediaan Pesakit Sebelum Pengambilan Darah

Pesakit boleh menentukan kandungan Profail Lipid melalui ujian darah. Bagi mendapat keputusan ujian yang tepat, pesakit perlu berpuasa antara 8-12 jam sebelum darah diambil. Lazimnya 3 – 5 mL darah akan diambil dari salur darah ditangan dan dipindahkan ke bekas yang sesuai. Darah tersebut di hantar ke Makmal Perubatan untuk analisa berkaitan Profail Lipid.

Julat Rujukan

Pihak doktor akan menilai keputusan setiap parameter Lipid Profail disamping mengambilkira faktor risiko pesakit seperti merokok, diabetes, sejarah keluarga dan lain-lain sebelum rawatan sesuai diberikan bagi mengurangkan risiko penyakit jantung

Julat rujukan bagi setiap parameter Profail Lipid adalah berbeza dan dipengaruhi jantina pesakit.

Kolesterol Total:

  • <5.2 mmol/L: Risiko Rendah
  • 2 – 6.2 mmol/L: Risiko Sederhana
  • > 6.2 mmol/L: Risko Tinggi

Trigliserid:

  • <2.26 mmol/L

HDL Kolesterol:

  • > 1.45 mmol/L (L)** atau >1.68 mmol/L (P)**:           Risiko Rendah
  • 90-1.45 mmol/L (L) atau 1.15-1.68 mmol/L (P): Risiko Sederhana
  • <0.90 mmol/L (L) atau <1.15 mmol (P): Risiko Tinggi

LDL Kolesterol:

  • <2.6 mmol/L: Risiko Rendah
  • 6 – 4.1 mmol/L: Risiko Sederhana
  • >4.1 mmol/L: Risko Tinggi

(L)** – Lelaki (P)** – Perempuan

Rujukan

  1. Third Report of the Expert Panel on Detection, Evaluation, and Treatment of High Blood Cholesterol in Adults (Adult Treatment Panel III): NIH Publication No. 02-5215; 2002
  2. Carl Burtis et al; Tietz Textbook of Clinical Chemistry and Molecular Diagnostics, Fourth Edition (2006), Elsevier Saunders Publisher. Lipids, Lipoproteins, Apolipoproteins and Other Cardiovascular Risk Factors (Chapter 26).
Semakan Akhir : 02 Januari 2017
Penulis : Sabab bin Hashim
Akreditor : Murad bin Idris

Artikel Berkaitan

Adakah Anda Hamil?

Pengenalan Setiap wanita yang berkahwin menginginkan kehamilan. Kehamilan merupakan suatu

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia