–A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Tumbesaran & Perkembangan
  6. /
  7. Perkembangan Bahasa Dan Kemahiran...

Perkembangan Bahasa Dan Kemahiran Literasi Awal

Kita tahu bahawa perkembangan bahasa itu melibatkan bila dan bagaimana kanak-kanak belajar bercakap dan memahami apa yang didengar.

Pengenalan

Ucapan perkataan pertama oleh kanak-kanak merupakan detik gembira yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa. Ibu bapa tidak sabar mendengar anak mereka bercakap dengan lancar, dan bersembang bersama-sama. Sememangnya belajar bercakap merupakan perkembangan bahasa yang penting dan menggembirakan.

Kita tahu bahawa perkembangan bahasa itu melibatkan bila dan bagaimana kanak-kanak belajar bercakap dan memahami apa yang didengar. Kita sedar pentingnya perkembangan bahasa untuk kanak-kanak berkomunikasi, meminta keperluan harian, dan berkongsi pengalaman. Apa yang tidak disedari ramai adalah perkembangan bahasa merupakan asas penting dalam kemahiran membaca dan menulis.

Kanak-kanak yang mempunyai kemahiran bahasa yang baik lebih mudah mempelajari kemahiran membaca dan menulis. Malangnya yang sebaliknya juga adalah benar. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kemahiran bahasa yang lemah atau kecelaruan pertuturan dan bahasa sukar mempelajari teknik-teknik untuk membaca dan menulis. Ini kerana mereka tidak mempunyai asas atau kemahiran literasi awal yang terdiri daripada kemahiran bahasa.

Sejauh mana kanak – kanak mencapai kejayaan disekolah banyak dipengaruhi oleh perkembangan bahasa dan kemahiran literasi awal. Kanak – kanak yang mempunyai perkembangan bahasa yang baik mampu membentuk kemahiran literasi awal dan seterusnya mencapai kemahiran membaca dan menulis yang baik. Kemahiran literasi awal adalah penanda sejauh mana kejayaan kanak – kanak dalam bacaan dan tulisan.

Kemahiran Literasi Awal

Interest in Books & Literacy1 Interest in Books & Literacy2
Pasti anda tertanya – tanya apa itu kemahiran literasi awal. Kemahiran literasi awal ini bukan kemahiran membaca dan menulis. Sebaliknya, ia adalah kemahiran yang perlu ada sebelum kanak-kanak belajar membaca dan menulis. Kemahiran literasi awal ini boleh dikatakan sebagai pra – membaca dan menulis, atau asas yang diperlukan oleh kanak – kanak supaya mereka bersedia untuk belajar membaca dan menulis.

Beberapa kajian menyenaraikan pelbagai jenis kemahiran literasi awal yang perlu ada pada kanak – kanak sebelum dia belajar membaca dan menulis. Kemahiran ini mungkin tidak seperti yang dijangka, kerana tidak banyak melibatkan kemahiran membaca dan menulis secara langsung. Beberapa kemahiran ini mungkin sukar dikaitkan dengan bacaan dan tulisan, tetapi sememangnya penting kerana merupakan kemahiran perkembangan bahasa.

Antara kemahiran literasi awal yang penting adalah perbualan, kosa kata atau bilangan perkataan yang dikuasai, pemahaman cerita, pengetahuan tentang tulisan, kesedaran bunyi bahasa, kemahiran mendengar, bertutur dan minat membaca dan menulis.

Apa peranan perkembangan bahasa dalam membaca dan menulis? Seperti yang dilihat, asas kepada kemahiran membaca dan menulis adalah perkembangan dan kemahiran bahasa. Kemahiran literasi awal boleh dikatakan asas yang kukuh dalam pemahaman bahasa, pertuturan dan sebutan yang jelas, serta pemahaman system bunyi – bunyi bahasa.-ayat mengelirukan Artikel ini akan meneliti beberapa kemahiran literasi awal dan pengaruh perkembangan bahasa kepada kemahiran membaca dan menulis.

Kemahiran Literasi Awal 1: Minat Membaca dan Menulis

Cuba fikirkan apa yang anda gemar, apa yang anda minati. Sekarang cuba fikirkan apa yang anda boleh lakukan dengan baik, apakah kemahiran anda. Selalunya kedua – dua minat dan kemahiran adalah sama. Kita mahir melakukan sesuatu yang kita minati. Setiap pakar dalam sesuatu bidang mempunyai minat dalam bidang mereka, dan dari situ lahirlah kemahiran dan kecemerlangan. Sama juga untuk membaca dan menulis.

Masa yang diambil untuk belajar membaca bergantung kepada minat kanak – kanak terhadap buku. Kanak – kanak yang sering melihat buku bersama ibubapa akan menimba kemahiran literasi awal yang amat berfaedah.

Apabila kanak – kanak biasa dengan bahan bacaan, mereka akan:

  • Lebih mahir memahami apa yang didengar.
  • Mempelajari lebih banyak perkataan.
  • Belajar membuat ayat.
  • Bercerita kembali cerita yang didengar.
  • Memupuk minat membaca.
  • Minat terhadap buku meningkatkan minat dan kemahuan untuk membaca.
  • Minat membaca membolehkan mereka belajar membaca dengan lebih mudah dan lebih baik.

Ingatlah bahawa minat terhadap bacaan banyak membantu dalam peningkatan kemahiran pertuturan, bahasa dan juga bacaan. Bacalah bersama – sama anak anda!

Kemahiran Literasi Awal 2: Kesedaran fonologi/ bunyi – bunyi bahasa.

Pernahkah anda mendengar bunyi dram? Bolehkah anda mengira setiap kali dram berbunyi? Sekarang cuba bayangkan perkataan yang panjang, seperti β€˜tanggungjawab’. Bolehkah anda mengira setiap bunyi atau sukukata? Mari kita cuba: tang – gung – ja – wab, jadi jumlah bunyi atau sukukata adalah empat. Ini merupakan salah satu ciri kesedaran fonologi.

Ciri – ciri lain adalah kebolehan untuk mencari perkataan yang bunyinya hampir sama, seperti β€˜baju dan laju’, atau perkataan yang bermula dengan bunyi yang sama, seperti β€˜buku dan bola, yang kedua – duanya bermula dengan bunyi β€˜buh’ atau huruf β€˜b’.

Kesedaran fonologi juga merangkumi kesedaran bahawa ayat terdiri daripada beberapa perkataan dan perkataan boleh dileraikan lagi kepada bunyi yang lebih kecil.

Kanak – kanak yang mendapat pendedahan awal kepada konsep ini mempelajari kemahiran untuk β€˜membunyikan’ perkataan, contohnya mereka dapat menyatakan bahawa perkataan β€˜bola’ terdiri daripada 2 sukukata iaitu β€˜bo’ dan β€˜la’. Apabila mereka mula membaca, kemahiran ini akan menjadi lebih berguna kerana membaca pada dasarnya adalah membunyikan huruf untuk menjadikan/membentuk perkataan.

Mempelajari dan memahami bunyi – bunyi bahasa adalah satu ciri perkembangan bahasa yang normal. Kanak-kanak yang mempunyai banyak sokongan untuk membaca dan terdedah kepada konsep literasi awal akan lebih bersedia untuk belajar membaca.

Gunakan masa yang ada untuk memperkenalkan konsep bunyi bahasa yang diperlukan, agar kanak – kanak dapat meningkatkan kemahiran literasi awal.

Kemahiran Literasi Awal 3: Pemahaman Bahasa.

Kita biasa terserempak dengan kanak – kanak yang tidak mengikut arahan. Kadang – kadang kita ketawa apabila kanak – kanak memberi objek lain daripada apa yang diminta. Namun ini mungkin merupakan tanda – tanda masalah pemahaman bahasa.

Kanak – kanak dengan perkembangan bahasa yang baik dapat:

  • Mengenali objek
  • Mengikut arahan sesuai dengan umur mereka.

Pemahaman bahasa penting untuk:

  • Memahami apa yang didengar
  • Membina kemahiran literasi awal.

Membaca melibatkan:

  • Menyebut perkataan
  • Memahami apa yang dibaca.

Pemahaman bahasa yang baik akan membantu kanak – kanak untuk:

  • Memahami maksud perkataan dan ayat semasa bercakap dan membaca
  • Memahami jalan cerita dan unsur – unsur lain dalam buku cerita

Kanak – kanak dengan pemahaman bahasa yang baik:

  • Lebih mudah belajar membaca dan menulis,
  • Lebih mudah memahami apa yang dibaca,
  • Bijak membuat kesimpulan tentang apa yang dibaca.

Sebelum membaca dan menulis, kanak – kanak memerlukan:

  • Pendedahan dan latihan dalam pertuturan dan bahasa.
  • Interaksi dan berkomunikasi dengan dewasa dan kanak – kanak lain

Kanak – kanak yang sukar memahami apa yang didengar akan turut susah untuk memahami apa yang dibaca.

Peranan sebagai ibu bapa dan penjaga adalah untuk menunjukkan dan memberi penerangan kepada kanak – kanak, supaya mereka dapat memahami dunia sekeliling, berkomunikasi dengan baik serta meningkatkan kemahiran membaca dan menulis.

Kemahiran Literasi Awal 4: Perkataan yang Dikuasai

Pernahkah anda mengalami kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai? Sebaliknya, apabila kita dapat menggunakan ataupun mendengar perkataan yang tepat, maksud kita dapat disampaikan dengan jelas. Bilangan perkataan yang kita dapat kuasai, iaitu perkataan yang kita dapat faham dan gunakan adalah penting dalam komunikasi lisan dan juga bertulis.

Kanak – kanak yang membesar dengan perkataan yang didengar, ditunjuk dan dibacakan akan berpeluang untuk mempelajari dan memahami dan seterusnya menggunakan pelbagai perkataan baru. Kanak – kanak yang dapat menguasai lebih banyak perkataan dapat bertutur dengan lebih lancar dan berkomunikasi dengan lebih berkesan. Menguasai perkataan yang banyak juga membantu kanak – kanak untuk menguasai bacaan dengan lebih mudah dan cepat kerana dapat mengenali perkataan baru yang dibaca. Asas perkembangan bahasa yang kukuh, termasuk menguasai perkataan yang banyak akan membantu kanak – kanak untuk lebih bersedia untuk membaca dan menulis.

Kemahiran Literasi Awal 5: Bertutur dengan Lancar

Menguasai perkataan yang banyak adalah penting, tetapi ketepatan sebutan juga memainkan peranan dalam perkembangan pertuturan, bahasa dan membaca. Kelancaran pertuturan bergantung kepada beberapa faktor, salah satunya sistem bunyi bahasa kanak – kanak tersebut. Kanak – kanak yang mempunyai masalah sebutan mungkin juga mengalami kesukaran untuk belajar membaca.

Kanak – kanak yang mempunyai sistem bunyi bahasa yang baik akan dapat menyebut semua bunyi dengan betul, bertutur dengan lancar dan juga membantu dalam penguasaan bacaan.

Kajian menunjukkan bahawa kanak – kanak yang mengalami kecelaruan pertuturan mungkin juga mengalami masalah untuk belajar membaca. Khasnya kanak – kanak yang masih mempunyai sebutan yang tidak tepat pada umur 5 Β½ tahun didapati sukar untuk belajar membaca.

Sebagai ibubapa, peranan kita adalah untuk bercakap dengan jelas agar kanak – kanak dapat mempelajari pertuturan yang jelas. Jika kanak – kanak tidak dapat menyebut perkataan atau sebutan dengan betul, dapatkan penilaian dan rawatan dari terapis pertuturan-bahasa. Masalah sebutan biasanya boleh diatasi dan ini akan membantu kanak – kanak untuk bertutur dengan lebih jelas kerana mempunyai konsep bunyi bahasa yang kukuh. Ini seterusnya membantu dalam penguasaan bunyi bahasa untuk bacaan.

Kesimpulan

Kita telah melihat bagaimana aktiviti berikut penting kepada perkembangan literasi kanak – kanak:

  • Minat terhadap literasi
  • Kesedaran bunyi bahasa
  • Pemahaman bahasa
  • Penguasaan perkataan dan
  • Pertuturan yang lancar

Perkembangan bahasa adalah penting untuk:

  • Komunikasi
  • Menyediakan kanak – kanak untuk belajar membaca dan menulis.

Perkembangan bahasa yang baik bukan setakat untuk berkomunikasi sahaja, malah merupakan asas kepada kemahiran membaca dan menulis juga. Sebagai ibubapa, peranan kita adalah untuk menjadi teladan yang baik serta memupuk kemahiran bahasa agar kanak – kanak membesar dengan kemahiran komunikasi, membaca dan menulis yang cemerlang.

Rujukan

  1. Bowen, C. (2011, November). Literacy and Children with Speech Sound Disorders. Retrieved 30/8/2015 from http://speech-language-therapy.com/index.php?option=com_content&view=article&id=73:literacy&catid=11:admin&Itemid=108
  2. Concurrent Validity and Diagnostic Accuracy of theDynamic Indicators of Basic Early Literacy Skills and the Comprehensive Test of Phonological Processing. John M. Hintze, Amanda L. Ryan, Gary Stoner. School Psychology Review 2003.
  3. Emergent Literacy: Early Reading and Writing Development.Froma P. Roth, Diane R. Paul, Ann-Mari Pierotti American Speech-Language-Hearing Association (ASHA), 2006 http://www.asha.org/public/speech/emergent-literacy/ Retrieved on 20/8/2015
  4. Greenberg, J. & Weitzman, E. I’m Ready! How to Prepare Your Child for Reading Success. Toronto: Hanen Early Language Program.
  5. Weitzman, E. & Greenberg, J. ABC & Beyond: Building Emergent Literacy in Early Childhood Settings. Toronto: Hanen Early Language Program
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Amelia Inbam Neelagandan
Akreditor : Wahida bt. Mohd Abd Wahab
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

SARS

Pengenalan SARS telah dilaporkan di selatan China, tetapi pada masa

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :Β Β  +603 8000 8000

FAKS :Β Β  +603 8888 6200

EMEL : Β  myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK Β  Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara Β©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia