A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Perancangan Untuk Hari Tua (Psikologi)

Pengenalan

Hari tua merupakan satu fasa dalam kehidupan seseorang individu. Di Malaysia, warga emas dikategorikan sebagai individu yang berusia 60 tahun ke atas*. Apabila seseorang mencapai usia emas, terdapat pelbagai perubahan yang dihadapi oleh seseorang individu. Perubahan yang dihadapi adalah dari segi fizikal, psikologi dan sosial. Perubahan dari segi fizikal di kalangan warga emas telah dibincangkan di dalam bahagian yang lain*.

Dari segi psikologi, terdapat stigma atau persepsi negatif masyarakat terhadap individu yang berusia emas. Stigma terhadap warga emas oleh masyarakat umum adalah seperti warga emas merupakan beban kepada orang lain, tidak boleh berdikari, tidak lagi produktif, tidak berupaya menyumbang kepada masyarakat dan dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Persepsi negatif ini dikuatkan lagi dengan pelbagai produk di pasaran yang mendakwa boleh mengelakkan daripada kesan penuaan atau antiageing. Persepsi negatif terhadap warga emas ini dinamakan ‘ageism’. Persepsi negatif ini menyumbang kepada layanan yang tidak sepatutnya kepada warga emas dan seterusnya menyebabkan mereka tersisih dari masyarakat, menyebabkan penurunan kualiti kehidupan dan mengakibatkan masalah psikiatri di kalangan warga emas.

Dalam perkembangan psikososial berdasarkan kepada teori Dr. Erik Erikson, seseorang berusia emas adalah di dalam fasa terakhir di dalam kehidupan. Ketika ini seseorang individu akan berada di dalam fasa pemantapan ego atau kesedihan (‘ego integrity versus despair’). Dalam fasa ini menurut Dr Erik Erikson, seseorang individu akan melihat kembali segala pengalamannya di masa lampau samada yang berjaya mencapai matlamatnya ataupun sebaliknya. Dalam fasa ini seseorang akan berasa puas hati apabila apa yang dirancang ketika usia muda telah dilaksanakan mengikut perancangan. Perasan puas hati ini akan menyebabkan mereka merasa gembira dan rela untuk meneruskan kehidupan di alam seterusnya. Sebaliknya, sekiranya lebih banyak perancangan yang tidak boleh disempurnakan atas sesuatu sebab, maka ini akan mengakibatkan penyesalan dan seterusnya kesedihan. Ini adalah kerana di usia emas, oleh kerana kekangan yang dihadapi seperti masalah fizikal, kewangan dan sebagainya, mereka sudah tentu tidak dapat melaksanakan perancangan tersebut.

Faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah yang sering dihadapi oleh warga emas adalah kesunyian (loneliness). Kesunyian ini adalah disebabkan oleh kerana persaraan,jaringan sosial yang semakin mengecil, kematian pasangan dan terlantar kerana masalah penyakit. Ini akan menyebabkan mereka mengalami gejala penyakit psikiatri seperti psikosis, kemurungan, keresahan dan perasaan ingin bunuh diri.

Gejala Masalah Psikologi Warga Emas

Gejala masalah psikologi yang sering dihadapi oleh warga emas adalah seperti:

  • Perasaan rendah diri
  • Perasaan was-was,
  • Sukar untuk tidur
  • Hilang selera makan dan penurunan berat badan yang ketara
  • Hilang minat kepada aktiviti yang suka dilakukan sebelum ini
  • Kurang daya tumpuan
  • Mudah merasa marah atau mudah tersinggung
  • Lebih suka menyendiri daripada bergaul dengan orang lain
  • Masalah ingatan
  • Perasaan ingin bunuh diri
  • Gejala psikosis seperti terdengar atau terlihat sesuatu yang ghaib (halusinasi) dan fikiran yang tidak rasional (delusi)
  • Perubahan personaliti yang ketara
  • Penyalahgunaan dadah terlarang seperti ubat tidur berlebihan atau pengambilan alkohol yang berlebihan

Komplikasi Masalah Psikologi Warga Emas

Gejala yang berterusan dan yang tidak dirawat akan mengakibatkan penyakit psikiatri seperti berikut:

  • Kemurungan major (major depression),
  • Keresahan (anxiety disorder),
  • Masalah fobia (phobia disorder),
  • Masalah psikosis (psychotic disorder),
  • Demensia atau nyanyuk
  • Pergantungan dan penyalahgunaan kepada bahan terlarang
  • Fikiran bunuh diri

Rawatan Bagi Masalah Psikologi Warga Emas

Rawatan kepada masalah psikologi yang dihadapi oleh seseorang warga emas adalah memberi tumpuan kepada rawatan bukan farmakologi (non-pharmacology approach). Rawatan farmakologi adalah dikhususkan kepada warga emas yang mengalami gejala psikiatri yang serius yang menyebabkan gangguan fungsi normal seharian dan mengakibatkan masalah berkaitan individu yang lain atau masyarakat.

Bagi mereka yang menghadapi masalah psikiatri yang serius, ubat untuk kemurungan (antidepressant) seperti ubatan di dalam kategori Selective Serotonin Reuptake Inhibitor (SSRI) adalah menjadi pilihan utama seperti yang dicadangkan di dalam Garis Panduan Klinikal untuk rawatan kemurungan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia*. Contoh ubatan adalah seperti escitalopram, sertraline dan fluvoxamine. Ubat-ubatan yang terbaru seperti venlafaxine dan duloxetine (di bawah kategori Serotonin Noradrenergic Reuptake Inhibitor atau SNRI) dan mirtazepine (di bawah kategori Noradrenergic and Selective Serotonin Agonist atau NaSSa) adalah pilihan menjadi pilihan kedua sekiranya pilihan pertama iaitu ubatan SSRI tidak berkesan.

Ubatan sampingan yang lain adalah untuk merawat gejala tertentu antipsikotik untuk masalah psikosis, ubatan anti anxiety seperti lorazepam untuk masalah keresahan dan ubat tidur untuk masalah tidur.

Rawatan psikoterapi seperti terapi kognitif dan tingkah-laku atau Cognitive-Behaviour Therapy (CBT) dan terapi individu seperti penyelesaian masalah dan kaunseling sokongan seperti masalah kematian pasangan (grief therapy) boleh dilakukan oleh perawatan yang bertauliah. Namun pendekatan bukan ubatan atau non-pharmacology perlu ditekankan sebagai langkah pencegahan dan rawatan utama.

Pencegahan Masalah Psikologi Warga Emas

Di dalam pencegahan, konsep penuaan berjaya atau ‘successful ageing’ perlu ditekankan. Penuaan berjaya ini adalah berdasarkan kepada tiga aspek utama iaitu:

Bebas Daripada Penyakit

Pencegahan daripada penyakit dapat dilakukan secara primer atau sekunder. Di dalam pencegahan primer, aspek mengelakkan daripada mengidap penyakit adalah ditekankan. Sebagai contoh menjaga pemakanan yang seimbang dan berkhasiat, meneruskan aktiviti senaman secara sederhana, berhenti merokok, pengambilan ubatan mengikut jadual yang di nasihat oleh doktor, pencegahan daripada jatuh, dan pemeriksaan doktor secara berkala.

Pencegahan sekunder adalah fokus kepada penjagaan penyakit yang dihidapi daripada menjadi teruk. Kawalan penyakit yang sedia ada seperti darah tinggi dan kencing manis adalah penting untuk mengelakkan komplikasi. Pengambilan ubatan mengikut saranan dari doktor yang merawat dan menjalankan pemeriksaan doktor mengikut temujanji adalah ditekankan dari semasa ke semasa.

Menambahkan Fungsi Kognitif Dan Fizikal

Kaedah pencegahan ini melibatkan kawalan tekanan diri (stress management), kaedah kawalan kemarahan (anger management), penerimaan dan penyesuaian diri terhadap penyakit kronik seperti strok dan parkinson perlu dilakukan oleh individu dengan sokongan ahli keluarga dan doktor yang merawat.

Pencegahan dari penyakit demensia boleh dilakukan dengan melibatkan diri dengan aktiviti minda aktif seperti pergaulan dengan orang lain dan menjalankan program minda seperti membaca, mengikut perkembangan semasa, melakukan teka silang kata dan sebagainya.

Menggalakkan Penglibatan Sosial Dan Meningkatkan Produktiviti

Pencegahan boleh dilakukan dengan beberapa cara seperti penjagaan esteem kendiri (self-esteem) dengan menjaga kebersihan dan penampilan diri, meneruskan skil yang ada (skill retention), menggalakkan aktiviti berdikari, meneruskan minat, mengelakkan kebosanan dan libatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan.

Aktiviti Rehabilitasi Untuk Masalah Psikologi Warga Emas

Di dalam merencana aktiviti rehabilitasi untuk warga emas, keperluan dan keupayaan warga emas perlu diambil kira. Program yang dirancang perlu diubahsuai sekiranya warga emas mengidap masalah penyakit kronik seperti strok dan demensia. Program tersebut juga perlu fleksibel dan perlu disesuaikan dari semasa ke semasa.

Program yang mengekalkan skil seperti urusan seharian daripada penjagaan kebersihan dan penampilan diri boleh dilakukan untuk meningkatkan esteem kendiri (self-esteem). Penggunaan barang-barang seharian seperti penggunaan barang dapur untuk memasak, peralatan berkebun dan pertukangan boleh diteruskan bagi warga emas yang berupaya.

Aktiviti sosial seperti perjumpaan ahli keluarga dengan makan semeja perlu digalakkan untuk menggalakkan penglibatan warga emas di dalam rumah. Sekiranya warga emas berupaya, penglibatan di dalam masyarakat dengan mengikut aktiviti kerohanian di tempat ibadat dapat merangsang warga emas dan seterusnya aktif di dalam aktiviti kemasyarakatan.

Aktiviti merangsang minda seperti kenangan lama dan melihat foto lama dapat juga merangsang warga emas bercerita mengenai pencapaian mereka di masa lalu. Penjagaan binatang peliharaan seperti kucing dan anjing peliharaan dapat juga memberikan ketenangan bagi sesetengah warga emas.

Rujukan

  1. Clinical Practice Guidelines for Dementia 2nd edition (2010) by Ministry of Health, Malaysia
  2. Clinical Practice Guidelines for Major Depressive Disorder (2007) by Ministry of Health, Malaysia
  3. Gender, healthy, ageing report by World Health Organisation 2003
  4. Living with dementia, Alzheimer’s Australia (2006)
  5. Synopsis Textbook of Psychiatry, Kaplan & Kaplan (1997)
  6. Wikipedia on ageing, 17.6.2014
  7. Wikipedia on boredom, 17.6.2014
  8. Wikipedia on loneliness, 17.6.2014
  9. Wikipedia on successful ageing, 17.6.2014

 

Semakan Akhir : 26 Januari 2016
Penulis : Dr. Norazam bin Harun
Akreditor : Dr. Ismail Drahman

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia