A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Penyakit Hidung, Telinga &...
  8. /
  9. Bersuara Semula Selepas Total...

Bersuara Semula Selepas Total Laryngectomy

Kebanyakan pesakit kanser tekak (larinks) berasa bimbang untuk menjalani pembedahan Total Laryngectomy. Mereka takut tidak boleh bercakap selepas menjalani pembedahan.

Kebanyakan pesakit kanser leher (larinks) berasa bimbang untuk menjalani pembedahan Total Laryngectomy. Mereka takut tidak boleh bercakap selepas menjalani pembedahan. Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk membolehkan mereka bercakap, walaupun sudah tidak mempunyai peti suara.

Total Laryngectomy

Total laryngectomy adalah pembedahan yang mengeluarkan keseluruhan bahagian tekak. Ia memisahkan paru-paru daripada saluran pernafasan seperti mulut dan hidung. Pesakit boleh bernafas melalui satu lubang pada hadapan pangkal leher dipanggil stoma. Peti suara yang terletak di dalam tekak turut dibuang dalam pembedahan tersebut. Kehilangan peti suara menyebabkan pesakit tidak boleh bercakap. Doktor dan Terapis Pertuturan Bahasa akan mengenal pasti kaedah-kaedah yang sesuai untuk membolehkan pesakit bersuara semula.

Peranan Terapis Pertuturan Bahasa

Terapis Pertuturan Bahasa memberi khidmat nasihat tentang kaedah pemulihan suara dan komunikasi yang boleh digunakan. Sebelum pembedahan, pesakit boleh mendapatkan maklumat berikut :

  • Jenis-jenis program pemulihan suara dan komunikasi alternatif
  • Demonstrasi program pemulihan suara dan komunikasi alternatif
  • Video program pemulihan suara dan komunikasi alternatif
  • Perjumpaan dengan pesakit total laryngectomy yang menjalani program pemulihan suara atau komunikasi alternatif

Selepas pembedahan, terapis pertuturan-bahasa akan melatih pesakit menjalani program pemulihan suara yang didapati sesuai dan dipersetujui oleh pesakit.

Jenis-jenis Program Pemulihan Suara

Terdapat tiga jenis program pemulihan suara utama bagi pesakit Total Laryngectomy.

  1. Injap protesis suara (voice prosthesis valve)
  2. Pertuturan esofagus (esophageal speech)
  3. Elektrolarinks (electrolarynx)
  1. Injap Prostesis Suara(Voice Prosthesis Valve)

    Semasa atau selepas pembedahan, doktor akan membuat satu saluran kecil dipanggil tebukan trakeoesofagus (tracheo-esophageal puncture) (TEP) di antara salur pernafasan dan tiub pemakanan. Injap prostesis suara(voice prosthesis valve) akan dimasukkan bagi menghubungkan kedua-dua saluran tersebut. Injap sehala ini direka supaya makanan dan minuman tidak termasuk ke dalam salur pernafasan.

    Kaedah menggunakan injap prostesis suara :

    • Tutup stoma dengan ibu jari
    • Udara akan melalui injap protesis suara menghasilkan getaran dan bunyi
    • Gerakkan bibir, lidah dan rahang untuk bercakap
    • Bunyi pertuturan terhasil

     

    Pemeriksaan salur TEP dan penukaran injap prostesis suara perlu kerap dilakukan.
    Pesakit perlu berlatih menggunakan injap protesis suara untuk bercakap.
    Pesakit juga boleh beralih menggunakan injap khas. Pesakit tidak lagi perlu menutup lubang  stoma dengan jari semasa bercakap


    Video 1 : Pesakit Total Laryngectomy menggunakan injap prostesis suara

  2. Pertuturan Esofagus (Esophageal Speech)

    Pertuturan esofagus (esophageal speech) adalah kaedah bercakap menggunakan bunyi sendawa. Tiada peralatan diperlukan untuk menghasilkannya.

    Kaedah menghasilkan pertuturan esofagus :

    • Pesakit “memasukkan” udara ke dalam tiub pemakanan (esofagus).
    • Setelah itu, udara dikeluarkan dengan terkawal bagi menghasilkan bunyi sendawa.
    • Pesakit menggerakkan bibir, lidah dan rahang untuk bercakap.
    • Pertuturan esofagus terhasil.


    Video 2 : Pesakit bercakap menggunakan kaedah pertuturan esofagus

  3. Elektrolarinks (Electrolarynx)

    Elektrolarinks adalah sejenis mesin elektronik berkuasa bateri dan bersaiz kecil menyerupai saiz mesin pencukur elektronik.

    Cara menggunakannya adalah seperti berikut:

    • Pegang dan lekapkan elektrolarinks pada leher atau bawah dagu
    • Tekan butang pada alat elektrolarinks untuk menghasilkan getaran dan bunyi
    • Gerakkan mulut, lidah dan rahang untuk bercakap
    • Bunyi percakapan terhasil

    Pesakit perlu berlatih menggunakan alat ini sehingga mahir. Bunyi percakapan akan menjadi lebih jelas.


    Video 3 : Pesakit sedang menggunakan elektrolarinks untuk bercakap

Peranti Penjanaan Pertuturan Elektronik (Electronic Speech-Generating Devices)

Sesetengah pesakit didapati tidak dapat menggunakan program pemulihan suara seperti di atas. Bagi pesakit sebegini, Terapis Pertuturan Bahasa akan mencadangkan peranti penjanaan pertuturan elektronik sebagai alternatif untuk bersuara.

Peranti  ini boleh datang dalam pelbagai bentuk. Antaranya adalah :

  • papan kekunci elektronik (electronic keyboard) – taip ayat untuk menghasilkan pertuturan elektronik
  • gambar – tekan gambar untuk menghasilkan perkataan atau ayat dengan pertuturan elektronik
  • telefon pintar – mengandungi perisian (software) yang berupaya menghasilkan pertuturan  elektronik


Video 4 : Pesakit menggunakan peranti penjanaan pertuturan elektronik

Di mana boleh mendapatkan bantuan?

Untuk sebarang bantuan dan maklumat lanjut mengenai kaedah pertuturan dan komunikasi selepas total laryngectomy, pesakit boleh menghubungi Pegawai Perubatan atau Terapis Pertuturan Bahasa dari Jabatan Otorinolaringologi di hospital berhampiran tempat anda.

Rujukan

  1. Handheld Communication Devices. http://www.turningpointtechnology.com/Comm/HTHandheld.asp
  2. http://www.youtube.com
  3. Laryngeal Cancer. http://www.asha.org/public/speech/disorders/LaryngealCancer/
  4. Lombard, L: Laryngeal Rehabilitation. http://emedicine.medscape.com/article/883689-overview
  5. My Voice: Methods of Speaking After Laryngectomy. http://dribrook.blogspot.my/p/basic-skills-for-new-laryngectomees.html
  6. Voice Restoration After Your Laryngectomy. http://www.sw.org/cancer-institute/head-neck/voice/head-neck-voice-restoration
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Wahida bt. Mohd Abdul Wahab
Akreditor : Nur Syuhada bt. Hosni
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Tips Berkomunikasi dengan Pesakit Strok

Ahli keluarga/ penjaga dan orang ramai perlu memahami bahawa strok boleh memberi kesan kepada komunikasi bagi mereka yang mengalaminya. Individu yang mengalami strok sering dikaitkan dengan masalah tidak boleh bercakap selepas strok.

Kurang Selera Makan

Kurang selera sementara yang  tidak menjejaskan berat badan yang ketara adalah perkara yang sering berlaku. Ianya berlaku apabila seseorang merasa tekanan perasaan, menghadapi jangkitan seperti demam selsema, semasa menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi, dan pada peringkat awal mengandung.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia