Komunikasi merupakan salah satu keperluan asas dalam kehidupan. Kanak-kanak, secara khususnya, menggunakan komunikasi untuk menyampaikan:
- Kehendak
- Meminta perhatian atau bantuan
- Memberikan pendapat tersendiri berkenaan sesuatu perkara atau peristiwa.
Kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkahlaku seringkali berhadapan dengan masalah komunikasi pada masa yang sama. Masalah tingkahlaku boleh terjadi di kalangan kanak-kanak normal, namun ianya lebih serius di kalangan kanak-kanak dengan kecelaruan perkembangan.
Mengapa Mereka Meragam?
Kanak-kanak dengan kecelaruan perkembangan, sebagai contoh Autisme, ADHD, atau Sindrom Down’s, berisiko mempamerkan tingkahlaku mencabar kerana mereka sukar memahami keadaan sekeliling dan juga apa yang diperkatakan oleh orang sekeliling mereka. Mereka juga mempunyai kemahiran pertuturan yang lemah, maka mereka menghadapi masalah untuk meluahkan perasaan atau kehendak dengan cara yang betul.
Kanak-kanak ini juga sering mengalami gangguan emosi sama ada disebabkan oleh kerisauan mahupun ketidakseimbangan hormon. Kanak-kanak bermasalah autisme, khasnya, mungkin berkelakuan agresif akibat perubahan pada persekitaran, sama ada cahaya, lampu, atau sentuhan, atau perubahan pada rutin mereka.
Antara tingkahlaku mencabar yang dipamerkan kanak-kanak termasuk:
- Tidak menghiraukan arahan atau permintaan
- Berkelakuan kurang sopan atau melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan, sebagai contoh meludah, membuka pakaian di khalayak ramai
- Berkelakuan agresif atau mengamuk
- Melakukan perkara-perkara yang merangsang minda atau diri sendiri, sebagai contoh berpusing-pusing atau mengepakkan tangan
- Menyakiti diri sendiri atau orang sekeliling, sebagai contoh menghantukkan kepala sendiri atau mengigit, mencubit
Apa Hubungan Tingkahlaku dan Komunikasi?
Masalah ini harus dipandang serius kerana perkaitan langsung antara komunikasi dan tingkahlaku. Kanak-kanak yang mempunyai masalah komunikasi akan menggunakan tingkahlaku negatif untuk menyampaikan maksud akibat kekurangan kemahiran komunikasi, dan kesannya adalah komunikasi kurang efektif yang akan mengakibatkan masalah tingkahlaku yang lebih teruk. Beberapa langkah boleh diambil bagi membantu kanak-kanak tersebut. Bagi memastikan perubahan yang kekal dalam jangka masa panjang, kedua-dua kekurangan yakni kemahiran komunikasi dan masalah tingkahlaku perlulah diatasi dengan serentak.
Tiada Komunikasi vs. Komunikasi Alternatif
Perkara paling asas yang boleh dilakukan bagi membantu individu bermasalah komunikasi adalah menyediakan suatu cara komunikasi yang lebih mudah digunapakai oleh mereka. Setiap kanak-kanak perlu mempunyai tahap pemahaman bahasa yang cukup tinggi sebelum mereka dapat bertutur dengan cukup baik untuk komunikasi yang berkesan. Bagi kanak-kanak dengan kecelaruan perkembangan dan tingkahlaku, penyelesaian terbaik bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan berkesan adalah mengajar mereka menggunakan cara komunikasi augmentatif dan alternatif (Augmentative Alternative Communication) atau AAC. Antaranya adalah Picture Exchange Communication System (PECS), komunikasi menggunakan gerak badan (MAKATON), dan alat teknologi seperti komputer tablet.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai pertuturan verbal yang terhad, kaedah-kaedah komunikasi tersebut boleh membantu dalam mengurangkan perasaan kecewa dan marah apabila kehendak tidak dipenuhi atau pendapat tidak didengari.
Penggunaan simbol atau gambar memudahkan pemahaman mereka dan arahan dapat diberikan dalam bentuk yang serupa supaya mereka tidak merasa tertekan dengan arahan-arahan verbal yang terlampau banyak dan sukar difahami.
Dengan wujudnya jalinan komunikasi yang lebih efektif, kanak-kanak tidak lagi perlu menggunakan tingkah laku negatif untuk menyampaikan maksud mereka, sekaligus mengurangkan kekecewaan di kedua-dua belah pihak.
Berdepan dengan Tingkahlaku Mencabar
Dalam masa yang sama, tingkahlaku mencabar kanak-kanak boleh diatasi dengan melakukan kaedah pengendalian tingkahlaku secara konsisten dan berterusan. Bagi mengubah tingkahlaku anak anda, teori ABC dapat memberikan petunjuk tentang apa yang menyebabkan masalah tersebut dan juga apa yang boleh anda lakukan untuk mengubahnya.
- Antecedents (Penyebab): keadaaan atau perkara yang menyebabkan berlakunya tingkahlaku
- Behaviour (Tingkahlaku): cara anak anda bertindak balas pada penyebab tersebut
- Consequences (Akibat atau Hasil): apa yang anak anda perolehi dari tingkahlakunya, sama ada barang yang dikehendaki, atau mengelak dari melakukan sesuatu yang disuruh
Sekiranya anda pasti akan perkara-perkara di atas, anda boleh mengendalikan tingkahlaku mencabar dengan mengubah penyebab atau hasil dari tingkahlaku mereka.
Langkah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:
- Pilih satu tingkah laku negatif – pilih satu contoh tingkahlaku anak anda untuk difokuskan, sebagai contoh menangis apabila diminta menyimpan barang mainan
- Kenalpasti penyebab dan hasil tingkah laku tersebut – rekodkan situasi pada masa kejadian tersebut berlaku selama beberapa hari. Kadangkala terdapat lebih dari satu penyebab tingkahlaku negatif anak anda. Cuba gunakan diari untuk merekodkan segalanya.
Sebagai contoh:
Tingkahlaku: Menangis dan mengamuk Tarikh & Masa
Tempat
Kejadian sebelum tingkahlaku
Kejadian selepas tingkahlaku
31/8/15, 10.30 am
Ruang tamu rumah
Minta simpan barang mainan sebelum keluar membeli belah Beri arahan berulang kali, cuba paksa simpan barang, keluar membeli belah tanpa menyimpan mainan Di dalam contoh di atas, kanak-kanak tersebut telah mendapat hasil yang diingini dengan melakukan perbuatan yang negatif, iaitu dapat keluar bersiar-siar tanpa perlu menyimpan barang mainannya. Keadaan ini akan menyebabkan beliau mengulangi perkara yang sama apabila enggan melakukan sesuatu yang disuruh.
- Buat perubahan – apabila informasi yang anda perolehi mencukupi, anda boleh menggunakan maklumat yang ada untuk mengubah tingkahlaku anak anda. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah:
- Menggunakan jadual harian atau peristiwa – dengan menggunakan gambar yang mudah, sebagai contoh gambar bermain mainan ? menyimpan mainan ke dalam kotak ? keluar bersiar-siar, anda boleh menerangkan kepada anak anda secara mudah apa yang perlu dilakukan mengikut turutan tanpa perlu menggunakan arahan verbal yang terlalu banyak
- Menggunakan bahasa yang lebih ringkas dan mudah – apabila memberi arahan, pastikan perkataan yang digunakan adalah difahami dan mudah, sebagai contoh, “Ambil kereta. Masuk dalam kotak.” Anda juga boleh menggunakan tona suara yang berbeza untuk memberi fokus pada sesuatu: “Simpan kotak BAWAH katil.”
- Beri bantuan fizikal apabila perlu – pegang tangan anak anda dan bantu mereka menghabiskan sesuatu perbuatan apabila arahan anda tidak mencukupi, dan pastikan mereka mendapat hasil yang diingini hanya apabila mereka menyudahkan arahan tersebut
- Terus bertenang sambil tidak mengendahkan protes anak anda, tetapi beri pujian dan perhatian yang menggalakkan apabila mereka melakukan sesuatu yang betul atau disuruh
Terdapat beberapa langkah lain yang boleh diambil untuk mengurangkan tingkahlaku negatif dan menggalakkan tingkahlaku positif di kalangan kanak-kanak.
- Anak-anak akan mencontohi perbuatan anda – segala tindakan anda adalah lebih penting dari apa yang anda katakan kepada mereka. Lakukan segala perbuatan positif yang anda inginkan daripada mereka dan mereka akan mengikuti contoh anda.
- Luahkan perasaan anda – beritahu anak anda apa yang anda rasakan apabila sesuatu tingkahlaku mencabar dilakukan. Contohnya, “Bila adik pukul ibu, ibu rasa sakit.”
- Puji tingkah laku positif – sentiasa ambil peluang untuk memberi pujian kepada anak anda setiap kali mereka melakukan sesuatu yang bagus. Perhatian yang anda berikan akan memastikan mereka ingin terus melakukannya berulang kali. Kanak-kanak akan cuba mendapatkan perhatian secara berkelakuan negatif jika mereka sering tidak diendahkan.
-
Samakan paras anda – bercakap dengan kanak-kanak pada paras yang sama dengan melutut atau duduk di atas lantai membolehkan anak anda lebih fokus kepada anda
-
Ulang mesej yang cuba disampaikan – apabila anda mengulang apa yang cuba anak anda sampaikan (contohnya, “Oh, adik marah sebab kakak tak bagi main sama-sama”), ianya dapat mengurangkan tekanan yang mereka hadapi dan membuat mereka merasa lebih dihargai dan difahami.
-
Pegang teguh pada janji – pastikan segala apa yang anda janjikan ditunaikan. Sama ada positif atau negatif, anak anda perlu tahu bahawa tingkahlakunya akan mendatangkan kesan yang konsisten dan pasti.
-
Tanggungjawab dan akibat – kadangkala anda tidak perlu memberi hukuman ke atas tingkahlaku anak anda. Mereka perlu belajar untuk bertanggungjawab dan menerima akibat dari perbuatan mereka sendiri. Sebagai contoh, jika mereka keluar tanpa memakai kasut walaupun telah disuruh, kaki mereka mungkin akan cedera terpijak batu.
- Pilih masa – sebelum anda melarang anak anda berbuat sesuatu, fikirkan sama ada ianya perlu. Dengan mengurangkan arahan, larangan, dan tindakbalas negatif, anda juga mengurangkan tekanan dan perasaan marah. Peraturan adalah penting, tetapi gunakan hanya pada masa-masa penting sahaja.
- Pastikan ringkas dan positif – memberi arahan dari sudut positif akan memberikan anda tindakbalas yang lebih positif. Sebagai contoh, “Tolong simpan kasut atas rak” adalah lebih baik dari “Jangan sepah-sepahkan kasut.”
Sebagai pengakhiran, komunikasi dan tingkahlaku mencabar di kalangan kanak-kanak berkait secara langsung dan akan memberi kesan ke atas satu sama lain secara berterusan. Kekurangan dari kedua-dua komponen perlulah diatasi secara serentak agar ianya boleh menampakkan kesan yang lebih cepat dan tahan lama.
Bantuan dari segi komunikasi boleh diberikan dalam bentuk kaedah komunikasi augmentatif alternatif (AAC). Masalah tingkahlaku boleh dikurangkan dengan memastikan anak anda dapat berkomunikasi secara efektif di samping mengurangkan kekecewaan dengan mengamalkan teknik pengendalian tingkahlaku secara konsisten.
Berbincanglah dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) bagi mendapatkan kaedah komunikasi dan teknik yang paling tepat untuk anak-anak anda.
Rujukan
- Challenging Behaviors; retrieved 30/8/15 from http://iancommunity.org
- Managing Challenging Behaviour in Children with Autism Spectrum Disorder; retrieved 31/8/15 from http://raisingchildren.net.au
- Using Communication to Reduce Challenging Behaviors in Autism Spectrum Disorders; retrieved 31/8/15 from www.vermontfamilynetwork.org
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Siti Suhana bt. Mohd Khalid |
Akreditor | : | Zaidi bin Ya’acob |
Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |