A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Kanta Lekap Dan Bersukan

Kanta Lekap Dan Bersukan

Pengenalan

Sukan atau riadah adalah sangat penting untuk kesihatan. Bagi sesiapa yang memakai cermin mata, mereka merasa kurang selesa terutamanya yang aktif dalam sukan lasak. Oleh itu, kanta lekap adalah alternatif yang terbaik. Kanta lekap dapat memberi penglihatan yang lebih jelas, selesa semasa bersukan dan selamat digunakan dengan syarat peraturan penjagaan, kebersihan dan cara pemakaian dipatuhi.

Selain daripada keselamatan mata itu sendiri, anda juga harus memilih kanta lekap yang sesuai mengikut jenis sukan yang disertai. Pemilihan kanta lekap yang tepat akan memberikan kepuasan, keselesaan dan lebih ekonomik.

Kanta lekap mampu membantu anda untuk melihat dengan lebih baik kerana ia sentiasa berada di posisi yang betul dan mampu memberikan penglihatan yang sama seperti semulajadi berbanding cermin mata.

Kanta lekap terbahagi kepada dua jenis iaitu kanta lekap lembut dan kanta lekap separa keras. Secara amnya, kanta lekap separa keras boleh memberikan penglihatan yang lebih jelas (clear vision) berbanding kanta lembut. Walau bagaimanapun, di Malaysia, kanta lekap separa keras kurang digunakan secara meluas kerana ia memerlukan lebih masa bagi pengguna menyesuaikan diri dan harganya lebih mahal. Dalam pada itu, kanta lembut lebih popular kerana ia lebih menjimatkan kos dan lebih selesa terutamanya kepada mereka yang kali pertama mencuba kanta lekap.

Kanta Lekap Separa Keras

Kanta lekap separa keras adalah sedikit keras dari kanta lembut. Optometris akan mengesyorkan kanta lekap separa keras terutamanya yang mempunyai rabun silau / astigmatism. Dalam banyak kes, telah terbukti kanta lekap separa keras memberikan penglihatan yang lebih jelas berbanding kanta lekap lembut. Kanta ini sesuai bagi sukan seperti memanah, menembak dan lumba basikal. Namun begitu, kanta lekap jenis ini lebih mudah untuk tertanggal lebih-lebih lagi jika anda menyertai sukan yang lasak.

Kanta Lekap Lembut

Kanta lekap lembut adalah ideal untuk sukan-sukan yang lebih lasak seperti bola sepak, ragbi atau bola keranjang kerana ia boleh melekap di posisi yang tepat, stabil dan kurang bergerak-gerak di atas mata. Kanta lembut adalah lebih nipis, selesa dan tidak mudah tertanggal ketika bersukan. Bagi mereka yang mempunyai rabun silau / astigmatism, jika tidak sesuai menggunakan kanta lekap separa keras, kanta lekap lembut torik mampu memperbaiki masalah penglibatan dengan lebih tepat.

Kelebihan Kanta Lekap Ketika Bersukan

Kanta lekap mampu memberikan banyak kelebihan untuk meningkatkan mutu penglihatan ketika bersukan:

  1. Keluasan medan penglihatan yang lebih besar

Walaupun cermin mata sukan boleh dihasilkan mengikut kehendak atlit, namun ia masih mempunyai saiz cermin dan bingkai yang kecil. Keadaan ini menyebabkan keluasan medan penglihatan menjadi terhad ketika bersukan.

  1. Pandangan tidak terhalang

Jika anda memakai kanta lekap, penglihatan anda tidak terhalang kerana ia tidak mempunyai bingkai cermin mata. Anda boleh melihat keadaan sekeliling dan bertindak pantas terhadap objek di sekeliling.

  1. Tidak mudah meruap

Kanta lekap tidak meruap. Permukaannya sentiasa bersih dalam apa jua keadaan persekitaran atau cuaca.

  1. Kurang risiko kecederaan

Cermin mata mungkin pecah dan menyebabkan kecederaan mata jika anda diasak dengan kuat, berbeza dengan kanta lekap yang tidak mudah pecah.

  1. Penglihatan yang lebih stabil

Apabila anda memakai cermin mata, anda dapat merasakan bingkainya bergerak-gerak setiap kali anda berlari dan ia akan mengganggu penglihatan anda. Dengan kanta lekap, anda tidak perlu runsing dengan masalah tersebut.

  1. Sesuai dengan peralatan keselamatan

Bagi sukan yang memerlukan peralatan keselamatan, kanta lekap tidak akan mengganggu pemakaian peralatan tersebut.

Tips-Tips Keselamatan

  1. Pakai kanta lekap anda bersama-sama cermin mata pelindung jika anda menyertai sukan-sukan lasak.
  2. Pastikan kanta lekap dan bekas kanta lekap dibersih setiap hari terutamanya selepas bersukan.
  3. Jangan ‘tambah’ larutan yang sedia ada di dalam bekas kanta lekap anda. Buang larutan lama dan gantikan dengan yang baru.
  4. Gosok kanta lekap anda dengan lembut setiap kali anda mencucinya.
  5. Pastikan anda membuat pemeriksaan mata berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Rabun tidak membataskan anda dalam sukan dan riadah. Kanta lekap boleh memberi penglihatan yang jelas seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan anda.

Rujukan

  1. http://coopervision.com/about-contacts/sports-contact-lenses
  2. http://www.allaboutvision.com/sportsvision/sport-contact-lenses.htm
  3. http://www.provision.com.au/page/sport
  4. https://www.bcla.org.uk/public/benefits-of-contact-lenses-over-glasses-for-sports
  5. http://www.optometry.co.uk/uploads/articles/CET%20180610.pdf
Semakan Akhir : 22 Mac 2016
Penulis : Pn. Syuhairah Binti Hamzah
Akreditor : Pn. Che Ruhani Binti Che Jaafar

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia