A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Sokongan Sosial Kepada Pesakit...

Sokongan Sosial Kepada Pesakit Saraf Tunjang

Pengenalan

Kecederaan saraf tunjang adalah berpunca dari tulang belakang yang tercedera akibat kemalangan atau kecederaan trauma, jangkitan kuman dan penyakit yang teruk seperti kanser atau tumor yang telah menghimpit saraf tunjang. Keadaan ini mengakibatkan saraf tunjang bengkak, terluka ataupun tercedera. Kecederaan seperti ini akan menyebabkan perubahan dan kecacatan yang kekal kepada pesakit dari segi kekuatan, sensori dan fungsi anggota di bawah paras kecederaan atau penyakit.

Kecacatan kekal yang dialami oleh pesakit ini akan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas emosi, sosial dan sosio-ekonomi   pesakit dan keluarga kecederaan saraf tunjang. Sehubungan itu, Pegawai Kerja Sosial Perubatan sebagai pengurus kes perlulah mengenalpasti keperluan pesakit dan keluarga serta menilai semula keperluan ini sepanjang proses pemulihan. Matlamat utama penilaian ini dilakukan mengetahui keperluan emosi dan sosial pesakit dan keluarga. Hasil penilaian ini, digunakan sebagai alat untuk membantu pesakit dan keluarga berada dalam keadaan yang bersedia untuk hidup dan berdepan dengan masyarakat setelah pesakit discaj dari hospital. Persediaan ini merangkumi memaksimumkan pengetahuan dan mengenalpasti serta menangani halangan fizikal, ekonomi dan emosi secara optimum kepada pesakit dan keluarga.

Oleh yang demikian, pesakit dan keluarga yang mengalami kecederaan saraf tunjang ini amat memerlukan sokongan sosial untuk menghadapi dan meneruskan kehidupan mereka di dalam masyarakat.

Ada 4 aspek sokongan sosial yang amat penting untuk pesakit dan keluarga kecederaan saraf tunjang.

1. Sokongan Emosi dan Moral

Kecederaan yang dialami oleh pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang akan menyebabkan mereka mengalami pelbagai masalah fisiologi, fizikal, mental dan emosi. Perubahan hidup dari seorang yang normal kepada kehilangan kekal yang berlaku ke atas keupayaan fizikal, mental dan psikososial akan menyebabkan pesakit akan menjadi murung dan menyendiri, hilang semangat dan malu untuk kembali dan berdepan dengan masyarakat luar. Jika keadaan ini berterusan, pesakit akan   kehilangannya kualiti dan kuantiti kehidupannya.

Sehubungan itu, pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang amat memerlukan sokongan emosi untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Sokongan ini termasuklah empati, kebimbangan, penyayang, kasih sayang dan amanah. Sokongan emosi merupakan satu kaedah adalah penting untuk membantu mereka mengharungi perubahan total dalam kehidupan.

Sokongan emosi yang berlaku dalam aspek-aspek yang berbeza dan dalam pelbagai keadaan dapat mengurangkan tekanan emosi pesakit yang berada dalam keadaan krisis. Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu mengadakan satu sesi khas luahan perasaan bersama pesakit. Sesi ini penting untuk menggalakkan pesakit berkongsi perasaan dan beroleh kelegaan. Proses ini dapat membebaskan pesakit dari berada dalam keadaan krisis dan seterusnya dapat membantu beliau bekerjasama untuk merancang rawatan dan kehidupan selepas discaj.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga perlu memberi sokongan yang mendalam semasa proses membina emosi dan mental berkenaan dengan kesihatan mental individu. Membantu pesakit agar mereka dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan keadaan diri yang hilang upaya kekal dengan tabah. Sokongan ini adalah untuk membantu pesakit dan keluarga untuk meningkatkan potensi kekuatan beliau dan juga membantu perkembangan beliau dalam aspek sosial dan dalam keadaan peribadi yang berbeza dari keadaan sebelum ini.

Perkhidmatan susulan kes melalui lawatan ke rumah pesakit adalah juga merupakan sokongan emosi kepada pesakit dan keluarga. Lawatan ke rumah akan dilakukan bersama – sama ahli pasukan rawatan multidisiplin untuk sesuatu tempoh masa tertentu bagi sesi penyuntikan semangat pesakit dan keluarga. Malahan Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga boleh melakukan pemantauan dan mengkaji keperluan pesakit dan keluarga mereka pada masa yang sama. Penambahbaikan terhadap keperluan pesakit dan keluarga boleh diambil tindakan selepas sesi ini.

Sokongan emosi yang diberikan kepada keluarga pesakit dapat menangani ketegangan dan mendorong semangat dalam keluarga. Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga boleh membantu keluarga dalam memberi sokongan emosi dalam bentuk yang berbeza kepada pesakit. Ini kerana sokongan emosi daripada keluarga mempunyai peranan yang lebih tinggi dalam mewujudkan pemulihan perasaan. Pesakit akan lebih berpuas hati dalam kehidupan mereka jika melakukan aktiviti-aktiviti harian mereka bersama-sama dengan ahli keluarga sendiri. Pesakit yang mempunyai kecederaan saraf tunjang, yang menerima lebih banyak sokongan daripada keluarga, mempunyai kehidupan yang lebih panjang dan kurang mengalami komplikasi selepas trauma. Sokongan suami atau isteri dan keluarga berperanan penting dalam mewujudkan rasa lebih sihat dan peningkatan dalam kualiti hidup pesakit kecederaan saraf tunjang.

Oleh yang demikian, Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlulah memperkasakan dan membangkitkan semangat keluarga pesakit agar mereka memainkan peranan yang penting untuk membina keyakinan dan memulihkan emosi pesakit. Memberikan cadangan dan panduan kepada mereka tentang apa yang mereka perlu lakukan sebelum dan selepas pesakit discaj dari wad.

2. Sokongan Keluarga / Kawan-Kawan / Rakan Sekerja / Komuniti

Sokongan penilaian melibatkan penyaluran maklumat kepada pesakit untuk berikrar, memberi maklumbalas dan membuat perbandingan sosial. Sumber maklumat ini datang dari keluarga, kawan-kawan, rakan sekerja atau sumber dalam masyarakat .

Perubahan pendapat secara relatif tentang penyakit kecederaan saraf tunjang dalam kalangan pesakit dan keluarga lebih mudah terjadi dengan berlakunya perubahan pada kemampuan dalam diri mereka. Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlulah mendorong pesakit untuk menilai pendapat dan kemampuan mereka sendiri. Semasa sesi ini, pesakit akan didorong untuk menilai pendapat dan kemampuannya sendiri dengan cara membandingkan pendapat beliau dengan kemampuan orang lain. Melalui cara ini, pesakit akan mengetahui bahawa pendapatnya benar atau tidak dan berapa jauh kemampuan yang dimilikinya. Di samping itu, pesakit juga dapat menggunakan pendapat dan kemampuan orang lain sebagai ukuran untuk memotivasikan diri mereka.

Membangkitkan semangat pesakit untuk membuat satu ikrar dan melafazkan ikrar yang berkenaan. Ikrar adalah merupakan satu perjanjian pesakit dengan diri sendiri boleh membangkitkan jiwa yang kental dan bersemangat serta berkeyakinan untuk mendorong mereka meneruskan kehidupan tanpa berasa ragu – ragu dengan keadaan fizikal mereka.

3. Sokongan Khidmat Nasihat

Sokongan ini boleh membantu pesakit dan keluarga untuk bertindakbalas kepada permintaan peribadi atau keadaan. Antara aktiviti sokongan ini ialah penyaluran senarai maklumat tentang rakan sebaya masyarakat atau kumpulan sokongan dan organisasi seperti pertubuhan kebangsaan, kumpulan sokongan dan pusat-pusat hidup berdikari yang berkaitan dengan kecederaan saraf tunjang kepada pesakit dan keluarga. Maklumat ini mungkin membantu pesakit dan keluarga dalam mencari maklumat tambahan, perkhidmatan dan sokongan yang dapat membantu dalam proses rawatan dan merancang kehidupan pesakit.

Penyaluran maklumat tentang pusat rawatan untuk rawatan rehabilitasi pesakit luar yang berdekatan dengan rumah pesakit sama ada di hospital kerajaan ataupun swasta kepada pesakit dan keluarga. Sumber maklumat ini boleh menolong pesakit dan keluarga mencapai perkhidmatan rawatan kesihatan lebih dengan mudah dan cepat.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga boleh menggalakkan pesakit dan keluarga terlibat dengan kelab sokongan pesakit kecederaan saraf tunjang. Kelab sokongan ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah emosi dari pelbagai aspek sebab kecederaan saraf tunjang dengan menyediakan tempat untuk pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang untuk berkongsi pengalaman dan belajar daripada ahli – ahli kelab yang juga mengalami penyakit kecederaan saraf tunjang. Aktiviti – aktiviti di dalam kelab ini juga akan membantu pesakit dan keluarga berkongsi maklumat yang akan membantu dalam proses rawatan. Misalnya, pesakit dan keluarga boleh dirujuk kepada Malaysian Spinal Injuries Assosiation, Kiwanis Disability Information and Support Centre, Persatuan Kecederaan Saraf Tunjang Sibu dan lain – lain.

Menggalakkan penyertaan pesakit kecederaan saraf tunjang dalam bengkel – bengkel khas bagi untuk memberi pendedahan kepada mereka cara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut supaya mendapat kualiti hidup yang lebih baik. Bengkel – bengkel ini dapat menjadikan jiwa mereka kuat dan kental. Pesakit akan dapat menerima dan beradaptasi dengan baik walaupun pada mulanya begitu sukar untuk menerima kenyataan. Mereka juga akan didedahkan dengan posisi tidur yang bersesuaian untuk pesakit, sokongan penjaga dan sahabat amat penting untuk membantu pesakit menjalani kehidupan biasa dengan kualiti yang optimum. Program tersebut banyak membantu kehidupan pesakit untuk menjalani kehidupan seharian seperti insan yang normal.

Sokongan komuniti dalam talian dalam dan luar negara. Kebanyakan pesakit kecederaan saraf tunjang yang berhubungan atau berinteraksi dengan orang lain akan menyediakan sokongan emosi dan inspirasi untuk mereka pada bila – bila masa mereka memerlukan. Penyertaan pesakit dan keluarga mereka dalam sokongan komuniti dalam talian juga memudahkan mereka mendapat kawan dan berkongsi dan memaklumkan tentang keadaan semasa mereka.

4. Sokongan Bantuan Praktik

Sokongan Bantuan Praktik adalah bentuk yang paling konkrit langsung dengan sokongan sosial yang merangkumi bantuan dalam bentuk wang, masa, barangan bantuan dan campurtangan yang jelas bagi pesakit dan keluarga.

Bantuan untuk menganalisis dan meneroka bantuan praktikal (material) sesuai dan berkenaan dengan keperluan pesakit sama ada bantuan daripada agensi kerajaan ataupun bukan kerajaan. Penerokaan ini penting untuk memastikan jenis bantuan material yang sesuai diberikan kepada pesakit mengikut sumber bantuan yang pesakit layak dan sepatutnya perolehi.

Pesakit yang mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang memenuhi kriteria boleh dirujuk terus ke PERKESO untuk bantuan peralatan perubatan seperti kerusi roda, commode chair dan roho cushion. Di samping itu, rujukan untuk mendapatkan pencen ILAT jika caruman pesakit mencukupi syarat yang telah ditetapkan oleh PERKESO. Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu menggalakkan pesakit yang masih produktif dan muda untuk menyertai program Return To Work yang dikendalikan oleh PERKESO.

Manakala bagi pesakit yang tidak mempunyai caruman PERKESO akan dirujuk kepada sumber – sumber bantuan yang lain untuk mendapatkan bantuan peralatan perubatan yang berkenaan. Di antara sumber rujukan yang lain ialah Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Tabung Bantuan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Agama Islam atau Baitulmal, Yayasan Kebajikan Negara dan lain – lain sumber bantuan.

Pegawai Kerja sosial Perubatan juga boleh merujuk kepada pesakit kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU). Pendaftaran pesakit sebagai OKU melayakkan mereka untuk mendapat pengecualian caj rawatan hospital, elaun orang kurang upaya, mendapat lesen motorsikal dan kereta khas untuk OKU. Lesen kenderaan ini dapat memberi peluang kepada pesakit untuk bekerja semula serta menjadi produktif dan seterusnya dapat mengurangkan beban kewangan pesakit dan keluarga. Malahan dengan adanya lesen kenderaan ini juga dapat mengembalikan fungsi sosial pesakit dalam keluarga dan masyarakat. Ini kerana fungsi sosial serta hubungan sosial dengan keluarga dan masyarakat adalah penting dalam kehidupan pesakit.

Kesimpulan

Pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang mampu untuk kembali kepada kehidupan yang berdikari, berkeyakinan dan berkualiti dengan syarat mereka mestilah berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada ahli keluarga sepenuhnya.

Rujukan

  1. The process of confrontation with disability in patients with spinal cord injury. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3208946/
  2. Teori Perbandingan Sosial (Festinger) 2012. https://dhanybw.wordpress.com/2012/03/25/teori-perbandingan-sosial-festinger/
  3. Social Support http://preview.euphix.org/object_document/o5479n27411.html
  4. Persatuan Kecederaan Spina Sibu. http://bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1151065&cat=srm
  5. Social Work and case management treatment time during inpatient spinal cord injury rehabilitation. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3066505/
  6. Kursus dan Bengkel “Spinal Cord Injury : Back to Community and Mobility”. http://sweet-ladybird.blogspot.my/2010/11/kursus-dan-bengkel-spinal-cord-injury.html
  7. Social Support and Life Satisfaction in Spinal Cord Injury During and Up to One Year After Inpatient Rehabilitation. https://Social+Support+and+Life+Satisfaction+in+Spinal+Cord+Injury+During+and+Up+to+One+Year+After+Inpatient+Rehabilitation
  8. http://www.theborneopost.com/2015/08/22/ahli-sscia-pesakit-saraf-tunjang-harap-tidak-keseorangan-hadapi-hidup/
Semakan Akhir : 19 April 2016
Penulis : Pn. Norlija Binti Kassim
Akreditor : Pn. Sorihayati Binti Bai

Artikel Berkaitan

Mangsa Dera & Penderaan Kanak-Kanak

Keganasan mengikut tafsiran WHO (World Health Organisation) sebagai dengan sengaja menggunakan kekerasan atau kekasaran, ancaman atau benar-benar terhadap diri sendiri, orang lain, atau terhadap satu kumpulan atau komuniti sama ada mengakibatkan atau mempunyai kemungkinan yang tinggi menyebabkan kecederaan, kematian, gangguan emosi, terbantut tumbesaran atau kesusahan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia