A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Semasa Mengandung
  6. /
  7. Perawatan Postnatal Di Rumah

Perawatan Postnatal Di Rumah

Postnatal bermaksud tempoh masa selepas kelahiran sehingga alat kelamin dan rahim kembali normal. Ia dikira bermula dari selepas kelahiran uri (fasa ketiga proses kelahiran) sehingga tempoh masa 42 hari. Ia juga dikenali sebagai tempoh waktu berpantang bagi ibu selepas bersalin.

Semasa postnatal, berlaku perubahan hormon yang mempengaruhi fizikal dan emosi ibu. Oleh yang demikian penjagaan posnatal adalah penting bagi memastikan ibu dan bayi berada dalam keadaan yang sihat.

Jagaan perawatan postnatal di rumah dilakukan mengikut hari ke 1, 2, 3, 4, 6, 8, 10, 15 dan 20 selepas kelahiran bagi ibu tanpa risiko. Ibu yang berisiko sebagai contoh mereka yang menghidapi darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya memerlukan jagaan perawatan postnatal yang lebih kerap mengikut keperluan untuk mengesan awal keadaan luar biasa atau komplikasi supaya rujukan segera dapat dibuat ke klinik atau hospital.

Bagaimanakah jururawat boleh datang untuk membuat perawatan postnatal di rumah?

Setiap kelahiran di hospital, Pusat Bersalin Alternatif (ABC) atau di rumah perlu dimaklumkan kepada jururawat di klinik kesihatan atau klinik desa yang berhampiran supaya Jururawat Kesihatan atau Jururawat Masyarakat dapat melakukan perawatan postnatal kepada ibu di rumah.

perawatan_postnatal_dirumah

Suami atau waris ibu perlu memaklumkan kepada Jururawat di klinik terdekat mengikut alamat rumah ibu sebaik-baiknya dalam masa 24 jam selepas kelahiran. Dengan demikian, jururawat akan datang ke rumah mengikut piawai jadual lawatan yang telah ditetapkan. Bagi ibu yang tiada masalah kesihatan, lawatan akan diadakan pada hari ke 1, 2, 3, 4, 6, 8, 10, 15 dan 20 selepas kelahiran. Bagi ibu berisiko yang mengalami masalah kesihatan, lawatan ke rumah akan dilakukan dengan lebih kerap mengikut keadaan. Pada hari ke 30, ibu perlu datang ke klinik kesihatan atau klinik desa untuk pemeriksaan rutin postnatal dan memulakan perancang keluarga bagi menjarakkan kelahiran mengikut kaedah yang sesuai mengikut keadaan ibu.Bilakah jururawat datang ke rumah untuk melakukan perawatan postnatal?

Apakah yang dilakukan semasa Jururawat membuat lawatan ke rumah?

Semasa lawatan ke rumah, jururawat akan memeriksa ibu dan bayi mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Jika jururawat mengesan keadaan tidak normal pada ibu dan bayi, rawatan atau rujukan ke klinik atau hospital akan dilakukan.

Pemeriksaan terhadap ibu:

  • Pemerhatian secara menyeluruh terhadap kesihatan ibu termasuk kebersihan diri
  • Pemeriksaan tanda vital iaitu:
    • Suhu badan, tekanan darah, denyutan nadi dan pernafasan ibu.
  • Ketinggian rahim diukur semasa setiap lawatan untuk mengesan pengecutan/ involusi rahim
  • Pemeriksaan payudara bertujuan mengesan sebarang masalah penyusuan seperti bengkak, puting merekah, puting tenggelam atau kurang pengaliran susu supaya dapat memberi runding cara penyusuan.
  • Pemerhatian terhadap penyusuan susu ibu dan memberi runding cara penyusuan susu ibu.
  • Pemeriksaan luka perineum/ luka pembedahan
  • Memeriksa darah nifas (Lokia) bertujuan untuk mengesan keadaan luar biasa darah nifas. Sebagai contoh:-
    • Jumlah darah nifas yang keluar berlebihan atau sentiasa berwarna merah menunjukkan pendarahan luar biasa dan memerlukan rujukan segera ke hospital.
    • Darah nifas yang berwarna coklat dan berbau busuk menunjukkan jangkitan/infeksi dan perlu dirujuk ke klinik/hospital.
  • Memeriksa tanda dan gejala Deep Vein Thrombosis (pembekuan darah di dalam salur darah di kaki) / Pulmonary Thromboembolism (penyekatan salur darah oleh darah beku di paru-paru) seperti sakit dada, susah bernafas, bengkak dan kemerahan di kaki,atau sakit betis
  • Pemeriksaan terhadap pembuangan air kecil dan air besar.
    • Ibu adalah digalakkan membuang air kecil dalam masa 6-8 jam selepas bersalin untuk keselesaan dan menggalakan kontraksi rahim dengan berkesan bagi proses pengecutan rahim.
    • Ibu juga dinasihatkan untuk membuang air besar selepas 24 jam bersalin. Jika ibu tidak membuang air besar selepas 48 jam, rawatan perlu diberikan.

Pemeriksaan terhadap bayi

  • Pemeriksaan secara menyeluruh terhadap bayi termasuk:
    • Berat badan
    • Suhu
    • Mata
    • Jaundis (kuning)
    • Kulit
    • Pusat
    • Pembuangan air kecil dan air besar

Pendidikan Kesihatan yang berkaitan seperti:

  • Penyusuan susu ibu
  • Penjagaan bayi baru lahir
  • Pengesanan dan pengendalian jaundis di kalangan bayi
  • Pemakanan ibu postnatal
  • Kebersihan diri dan penjagaan luka episiotomy/luka pembedahan
  • Kepentingan pengambilan ubat yang dibekalkan
  • Senaman dan ambulasi awal bertujuan menggalakkan pengeluaran darah nifas dalam membantu mengembalikan tonus otot organ reproduktif dan pengaliran darah yang baik. Senaman dan ambulasi awal seperti:
    • Senaman ringan postnatal
    • Senaman pelvic floor
  • Perancang keluarga bertujuan menjarakkan kelahiran
  • Kepentingan lawatan susulan ke klinik

Adakah jururawat berbincang bersama ibu/ suami/ waris mengenai penemuan hasil pemeriksaan kesihatan ibu?

Setiap penemuan hasil pemeriksaan terhadap ibu dan bayi sama ada normal atau tidak normal perlu dibincangkan bersama ibu/ suami/ waris. Jururawat juga akan memaklumkan kepada ibu/ suami/ waris sekiranya perlu rujukan kepada Pegawai Perubatan di klinik atau hospital. Oleh yang demikian, penglibatan dan kerjasama ibu/ suami/ waris adalah amat diperlukan semasa jururawat melakukan perawatan postnatal di rumah. Ini bagi memastikan agar ibu/ suami/ waris tahu akan keadaan kesihatan ibu di samping mengambil bahagian dalam memberi penjagaan yang optimum terhadap diri ibu dan bayi.

Adakah perkhidmatan lawatan ke rumah untuk perawatan postnatal dikenakan bayaran?

Perkhidmatan perawatan postnatal di rumah dijalankan secara percuma bagi semua warganegara Malaysia.

Bayaran hanya dikenakan kepada ibu yang bukan warganegara Malaysia berdasarkan Perintah Fi (Perubatan & Kos Perkhidmatan) 2014 yang ditetapkan bagi warga asing.

Bahan Rujukan

  1. Perinatal Care Manual 3rd Edition. 2013. Ministry of Health Malaysia
  2. Garis Panduan Pusat Bersalin Alternatif (ABC) di Klinik Kesihatan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia , 2013
  3. Modul Latihan Ulangkaji Jagaan Kesihatan Ibu & Kanak-kanak Untuk Jururawat Kesihatan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2010
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Noor Aini bt. Karimon
Akreditor : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali
Penyemak : Dr. Rafaie bin Amin

Artikel Berkaitan

Senaman Pranatal

Senaman pranatal adalah senaman semasa mengandung. Senaman pranatal sangat digalakkan

Senaman Posnatal

Senaman posnatal adalah untuk ibu-ibu selepas bersalin. Jenis-jenis senaman Di

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia