A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Penuaan Aktif

Penuaan Aktif

Pengenalan

Mengikut Dasar Warga Emas Negara, penuaan aktif didefinisikan sebagai proses mengoptimumkan peluang dan penglibatan warga emas dalam keluarga dan masyarakat ke arah mendayaupayakan warga emas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup (Kementerian Pembangunan Wanita, 2011). Dengan kata lain, penuaan aktif membolehkan warga emas melakukan sebarang aktiviti samada secara sendirian, bersama ahli keluarga atau masyarakat untuk kesejahteraan hidup mereka.

Umumnya penglibatan aktif warga emas terbahagi kepada dua iaitu aktif dari aspek sosial dan aktif dari segi kerja.

  1. Aktif dari aspek Sosial
    Merujuk kepada penglibatan warga emas dalam aktiviti tertentu samada dilakukan secara sendirian, atau bersama ahli keluarga, jiran dan masyarakat. Kebiasaanya aktiviti ini dilakukan untuk kepuasan diri sendiri disamping mengeratkan hubungan sosial. Contohnya aktiviti gotong royong, aktiviti berpersatuan, AJK surau dan sebagainya.
  2. Aktif dalam aspek kerja
  3. Merujuk kepada penglibatan warga emas yang masih bekerja atau melakukan aktiviti tertentu dan memperoleh pendapatan daripada aktiviti yang dilakukan itu. Contoh: berniaga, menjadi pengawal keselamatan dan lain-lain.

Kepentingan penuaan aktif

Warga emas yang aktif akan dapat:

  1. Mengekalkan peranan warga emas dalam keluarga dan masyarakat sebagai individu yang masih mampu berdikari, sihat, aktif, produktif dan positif. Secara tidak langsung peranan ini dapat mengurangkan stereotaip negatif (anggapan negatif) kepada warga emas yang seringkali dianggap sebagai golongan yang lemah dan membebankan.
  2. Mengurangkan tekanan akibat kehilangan peranan dari aspek persaraan atau kematian pasangan.
  3. Membentuk identiti, mempunyai ramai kawan dan memiliki sumber sokongan apabila diperlukan. Disamping itu, interaksi dengan generasi muda pula akan mengurangkan jurang perbezaan antara generasi serta dapat meningkatkan nilai hormat menghormati antara satu sama lain.
  4. Mengurangkan risiko menghadapi masalah psikologi termasuklah kemurungan, kesunyian yang akhirnya boleh mengakibatkan perasaan sensitif meningkat contohnya rasa “diri tidak dihargai”, rasa “diri sudah tidak berguna/membebankan” atau mengalami halusinasi (ternampak atau terdengar sesuatu perkara yang tiada di situ) atau melakukan perkara yang boleh mendatangkan kecederaan kepada diri sendiri serta insiden bunuh diri.
  5. Warga emas yang aktif kurang mengalami masalah kesihatan yang teruk dan biasanya mampu berdikari. Kajian mendapati warga emas yang aktif secara sosial dan kekal atau meningkatkan interaksi dengan orang lain lambat mengalami kemerosotan kesihatan berbanding warga emas yang kurang terlibat dengan masyarakat. Mereka juga lebih mudah mendapat informasi mengenai kesihatan dan bermotivasi untuk menjaga dan mengekalkan kesihatan berbanding warga emas yang kurang aktif  (Alden, 2011).
  6. Meningkatkan konsep perkembangan sepanjang hayat yang mana warga emas boleh mengajar nilai menghormati orang tua dan menanam budi kepada generasi muda serta mempelajari perkara baru daripada generasi muda seperti penggunaan komputer, telefon berteknologi baru dan sebagainya. Sebaliknya Warga muda boleh mengambil pengalaman warga emas untuk dijadikan panduan hidup mereka.
  7. Membantu negara mengurangkan perbelanjaaan kerajaan dalam aspek kesihatan, penyediaan kemudahan dan perkhidmatan sosial seperti penyediaan rumah orang tua, bantuan kewangan dan keperluan lain yang sewajarnya. Hal ini sangat signifikan kepada negara kerana Malaysia dijangka tergolong dalam kelompok “negara tua” apabila bilangan penduduk berumur 60 tahun ke atas mencecah 15% menjelang tahun 2030.

Faktor-faktor membolehkan warga emas aktif

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2002), terdapat tiga aspek yang akan menentukan penglibatan aktif warga emas iaitu Penyertaan, Kesihatan dan Keselamatan (Rajah 1.0).

  1. Kesihatan – individu yang sihat dapat menguruskan kehidupan mereka sendiri dan melakukan aktiviti sendiri. Bagi warga emas yang memerlukan penjagaan, mereka terpaksa bergantung kepada keperluan penjagaan. Ini menyukarkan hidup mereka untuk aktif.
  2. Penyertaan – apabila pasaran buruh, pekerjaan, pendidikan, polisi kesihatan dan sosial menyokong penyertaan mereka dalam aktiviti sosioekonomi, kebudayaan dan kerohanian, berdasarkan kepada hak asasi manusia, kapasiti, keperluan dan apa yang disukai, individu akan berterusan memberi sumbangan kepada masyarakat.
  3. Keselamatan – apabila polisi dan program mengambilkira keperluan dan hak sosial, keselamatan kewangan dan fizikal mengikut umur, warga emas pastinya mendapat pelindungan, hidup secara bermaruah dan memperoleh khidmat penjagaan walaupun mereka tidak dapat menyokong dan melindungi diri sendiri. Ahli keluarga dan masyarakat membantu dalam penjagaan warga emas.1

Rajah 1.0: Kerangka Polisi Penuaan Aktif
Sumber: WHO, (2002)

Sungguhpun begitu, sikap warga emas dan ahli keluarga juga memainkan peranan penting dalam menentukan penglibatan aktif warga emas. Bagi warga emas yang berfikiran negatif, mereka menganggap bahawa hari tua adalah masa untuk berehat dan tidak perlu terlibat dalam apa-apa aktiviti. Jika diperhatikan, warga emas di negara kita masih lagi sihat dan keadaan fizikal mereka masih kuat. Justeru, adalah lebih baik sekiranya mereka terus memberi sumbangan dan  terlibat secara aktif dalam aktiviti keluarga dan masyarakat.

Dalam kalangan ahli keluarga pula, terdapat segelintir ahli yang tidak memberi peluang kepada warga emas untuk melakukan sebarang aktiviti. Dari satu sudut, hal ini menunjukkan bahawa anak-anak begitu sayang kepada ibubapa mereka sehingga warga emas hanya perlu duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti. Namun begitu, situasi ini akan menghadkan diri warga emas daripada terlibat aktif dalam aktiviti keluarga dan masyarakat. Apa yang membimbangkan ialah warga emas tersebut akan menjadi pasif dan seterusnya merasakan diri mereka sudah tidak diperlukan oleh keluarga dan masyarakat.

Realiti kehidupan warga emas di Malaysia

Beberapa kajian yang dijalankan di Institut Gerontologi, UPM menunjukkan bahawa;

  1. Majoriti warga emas kurang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. 1
  2. Aktiviti yang diceburi juga agak terhad iaitu cenderung kepada aktiviti keagamaan dan kenduri-kendara (Institut Gerontologi, 2011).
  3. Kajian dalam kalangan responden berumur 40 – 59 tahun2 pula menunjukkan bahawa aktiviti yang dirancang untuk hari tua lebih berbentuk ibadat (95.80%) dan menghabiskan masa bersama keluarga (81.7%) – Rajah 2.0.
  4. Kajian3 juga mendapati tidak ramai dalam kalangan pekerja memiliki kemahiran. Kekurangan ini akan membataskan peluang mereka untuk memberi sumbangan kepada masyarakat di hari tua nanti. Justeru, adalah digalakkan setiap individu mempelajari sebanyak mana kemahiran agar mereka mempunyai peluang untuk memberi sumbangan kepada masyarakat di hari tua nanti.7

Implikasi warga emas tidak aktif:

  1. Cenderung mengalami masalah psikologi – contoh: murung, halusinasi, sensitif, rasa terpinggir, stres
  2. Sukar  menerima pembaharuan
  3. Kurang bergaul dengan orang ramai terutama generasi muda
  4. Kurang bertolak ansur
  5. Masalah kesihatan

Tips untuk menjadi warga emas aktif:

  1. Rancang penggunaan masa di hari tua anda. Bahagikan masa untuk melakukan perkara berikut:
    • Masa untuk melakukan kerja rumah
    • Masa rehat/tidur
    • Masa beriadah/melakukan hobi
    • Masa untuk beribadah
    • Masa untuk berkhidmat kepada keluarga & masyarakat
  2. Cuba mengenali orang disekeliling rumah/persekitaran anda dan kenali aktiviti/kelab/persatuan yang sedia ada di kawasan kejiranan anda. Contoh: Persatuan Penduduk, Persatuan Warga Emas, Persatuan Kompang, Tai chi dan sebagainya.
  3. Cuba libatkan diri dengan menyertai aktiviti keluarga dan kejiranan yang ada. Sekiranya anda mempunyai pengalaman atau kemahiran tertentu cuba sumbangkan ilmu tersebut kepada ahli keluarga dan masyarakat. Pada masa tersebut kepuasan diri anda mungkin meningkat dan rasa “diri anda masih berguna” dan “dihargai” serta “diperlukan” oleh masyarakat sekeliling.
  4. Cuba kekalkan semangat anda untuk terus aktif dengan menggunakan strategi yang dilampirkan (Lampiran 1: STRATEGI UNTUK KEKAL AKTIF)

Kemudahan/persatuan/kelab untuk warga emas aktif di Malaysia

Disini diberikan beberapa contoh kemudahan/persatuan/kelab untuk membolehkan warga emas aktif di Malaysia.
 

  1. Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia – seluruh negara
  2. Persatuan USIAMAS Malaysia
  3. Pusat aktiviti Warga Emas (PAWE) – 22 buah di seluruh Malaysia
  4. Persatuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Warga Emas U3A KL & Selangor
  5. Program pembelajaran sepanjang hayat di Kolej Komuniti di seluruh negara
  6. Kelab Warga Emas (cth: DBKL, Klinik Kesihatan, Persatuan Penduduk, NGO)

Nasihat daripada warga emas

Berikut adalah beberapa nasihat daripada warga emas di Malaysia.

2 3

 

4

Contoh aktiviti warga emas  di Malaysia

 

5
Warga emas menyertai kelas yang ditawarkan oleh Persatuan Pembelajaran Sepanjang Hayat Warga Emas U3A KL & Selangor

6
Aktiviti Kraf Di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE)

 

Rujukan

  1. Kajian Susunan Tempat Tinggal (2011)
  2. Kajian dalam Kalangan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (2011)
  3. Kajian dalam Kalangan Pekerja di Kajang

 

Semakan Akhir :  22 Januari 2016
Penulis : Norisma Aiza bt. Ismail
Akreditor : Prof. Dr. Tengku Aizan Hamid

 

Artikel Berkaitan

Mengendali Diri sebagai Penjaga Warga Emas

Adalah menjadi kewajipan setiap individu untuk melindungi dan menjaga ahli keluarga yang sudah tua, sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka yang tidak ternilai terhadap kita.

Sendi

Pergerakan sendi semakin perlahan dengan pertambahan umur disebabkan perubahan yang berlaku dalam sendi. Reaksi tindak balas juga turut perlahan disebabkan perubahan pada sistem saraf pusat di mana masa antara otak menerima isyarat dan tindak balas terhadap isyarat meningkat dengan umur

Lemah Jantung

Lemah jantung adalah satu keadaan yang kompleks. Ia disebabkan oleh penyakit yang boleh mempengaruhi keupayaan jantung untuk mengepam darah yang secukupnya untuk memenuhi keperluan badan. Kadar kejadian meningkat dengan peningkatan umur.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia