A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kembali Mendengar

Masalah Pendengaran Post-Lingual terjadi apabila individu mengalami hilang pendengaran setelah mahir bercakap dan berkomunikasi.

Masalah Pendengaran Post-Lingual terjadi apabila individu mengalami hilang pendengaran setelah mahir bercakap dan berkomunikasi. Masalah ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau beransur-ansur. Puncanya adalah faktor penuaan, masalah kesihatan seperti meningitis, penggunaan ubat ototoksik, kecederaan akibat kemalangan dan pendedahan kepada bunyi bising. (Baca artikel –> Kecacatan Pendengaran dan Penyebab Masalah Pendengaran.

Pegawai Audiologis dapat menentukan tahap pendengaran individu melalui ujian pendengaran.
Seterusnya mencadangkan intervensi bersesuaian seperti:

  1. Alat bantu pendengaran,
  2. Implan koklea atau
  3. Assistive listening device

Matlamat intervensi adalah untuk memudahkan individu bermasalah pendengaran untuk berkomunikasi.

Pendengaran diukur dalam unit desibel (dBHL) yang menunjukkan bunyi paling perlahan dapat didengari oleh individu.

Baca artikel –> Bila Anak Bermasalah Pendengaran

Tiga jenis masalah pendengaran adalah konduktif, sensorineural dan bercampur, manakala keterukan masalah pendengaran boleh menjadi sedikit, sederhana, teruk dan sangat teruk.

Baca artikel –> Mitos&Fakta : Masalah Pendengaran, Penyebab Masalah Pendengaran dan Kecacatan Pendengaran.

Alat Bantu Pendengaran merupakan peralatan elektronik yang berfungsi untuk menguatkan bunyi. Baca artikel –> Alat Bantu Dengar : Teknologi Terkini

Implan Koklea adalah peralatan elektronik bagi menggantikan fungsi telinga dalam menghantar bunyi ke otak. Implan koklea melibatkan prosedur pembedahan untuk memacak elektrod ke koklea yang terdapat di bahagian telinga dalam. Penggunaannya amat membantu individu bermasalah pendengaran pada tahap teruk dan sangat teruk.

Pemilihan calon untuk Program Koklea Implan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia bergantung kepada kriteria yang ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard Implan Koklea Kebangsaan, KKM. Program ini telah bermula pada tahun 2008 sehingga kini dan melibatkan pelbagai disiplin perubatan dan sains kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Terapi Pendengaran/ Auditori

Terapi Auditori bertujuan untuk memantau perkembangan kebolehan mendengar  pengguna implan koklea. Terapi ini akan melatih otak memahami bunyian yang didengari oleh telinga. Kejayaan terapi auditori bergantung kepada motivasi dan kerjasama pengguna implan koklea untuk melaksanakan program terapi seperti yang disarankan oleh Pegawai Terapis Pertuturan Bahasa.

Prinsip terapi adalah,

  • Berusaha mencapai matlamat yang ditetapkan.
  • Latihan yang kerap dapat meningkatkan kebolehan untuk mendengar dan memahami bunyi dalam pertuturan.
  • Penggunaan teknik terapi yang tepat.
  • Jujur melaporkan pencapaian dan perkembangan terapi.

Cara untuk berkomunikasi yang disarankan kepada pengguna implan koklea adalah,

  • Bijak mengubahsuai cara mendengar dan bercakap dalam perbualan.
  • Berusaha melibatkan diri dalam komunikasi harian.
  • Peka dan bertindakbalas jika komunikasi gagal mencapai tujuan perbincangan.
  • Berkemahiran untuk mengambil giliran, mendengar dan bercakap.
  • Berupaya mengawal komunikasi lisan tanpa dipengaruhi faktor persekitaran.

Komponen Latihan Auditori boleh terdiri daripada,

  1. Latihan Analitik berasaskan bunyi-bunyi yang membentuk pertuturan seperti,
    • Mengenal pasti bilangan sukukata dalam perkataan, contoh: [jam], [bola], [almari]
    • Mengulang sebut perkataan yang berbeza pada bunyi tertentu, contoh:[topi] dan [kopi]
    • Membezakan ayat mudah, contoh [tolong buang sampah], [saya nak makan]
  2. Latihan Sintetik
    • Mengulang ayat-ayat dalam berbagai situasi.
    • Tahap kesukaran tugasan di olah dari persekitaran kurang bising ke semakin bising, serta dari ayat mudah ke ayat kompleks.
    • Memastikan pengguna implan koklea dapat memahami perbualan dalam semua situasi
  3. Terapi Komunikasi
    • Merupakan teknik ubahsuai perbualan bagi memudahkan komunikasi.
    • Langkah-langkah yang disarankan adalah seperti berikut:

Sokongan Keluarga

Pengguna implan koklea bermasalah pendengaran post-lingual berpotensi mengalami tekanan akibat kelainan upaya diri dan perbezaan reaksi keluarga terhadap komunikasi harian. Perkongsian maklumat dan penetapan matlamat yang realistik terhadap pendengaran, komunikasi dan sosial pengguna amat penting sebagai persediaan mental kedua-dua pihak.

Pengguna dan keluarga perlu mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing sepanjang proses penilaian dan terapi. Selain bersedia untuk menerima kebaikan dan kekurangan yang bakal dihadapi selepas penggunaan implan koklea.

Latihan auditori akan menjadi lebih ceria dan efektif dengan sokongan keluarga dan sahabat. Mereka juga berperanan menilai perkembangan prestasi dan mencadangkan aktiviti bersesuaian kepada pengguna.

Sokongan keluarga kepada pengguna implan koklea merangkumi,

  • Semangat dan keyakinan
  • Maklumat dan bahan rujukan
  • Pakar rujuk dan professional
  • Sokongan kewangan
  • Pengangkutan
  • Bahan penilaian dan terapi
  • Rekod perkembangan prestasi pengguna

Rujukan

  1. HOPE Online seminar, Adult Cochlear Implant Rehabilitation: What and Why,
  2. Cochlear Implant Technical Report of American Speech-Language-Hearing Association’s (ASHA) Executive Board in March 2003
  3. Adult Aural Rehabilitation Book,
  4. Artikel Kecacatan Pendengaran, Portal MyHEALTH
  5. Artikel Penyebab Masalah Pendengaran, Portal MyHEALTH
  6. Artikel Bila Anak Bermasalah Pendengaran, Portal MyHEALTH
  7. Artikel Mitos&Fakta: Masalah Pendengaran, Portal MyHEALTH
  8. Artikel Alat Bantu Dengar: Teknologi Terkini, Portal MyHEALTH
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Noormala bt. Anuar Ali
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia