ā€“A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Kemahiran Keibubapaan
  6. /
  7. Tidak Cukup Susu: Kepercayaan...

Tidak Cukup Susu: Kepercayaan & Kebenaran

Anggapan tidak cukup susu adalah salah satu sebab utama ibu memberhentikan penyusuan susu ibu terlalu awal atau memberi susu formula serta makanan lain

Anggapan tidak cukup susu adalah salah satu sebab utama ibu memberhentikan penyusuan susu ibu terlalu awal atau memberi susu formula serta makanan lain kepada bayi sebelum tiba waktu yang sepatutnya. Ramai ibu tertanya-tanya sama ada susu badan mereka cukup untuk bayi mereka. Kebanyakan ibu dan ahli keluarganya akan beranggapan bahawa ibu tidak mempunyai susu yang mencukupi apabila sering berdepan dengan situasi di bawah.

  • Bayi sering menangis.
  • Bayi tidak tidur untuk jangkamasa yang panjang.
  • Bayi tidak tenang semasa di payudara dan susah untuk menyusu dengan baik.
  • Bayi menghisap jari atau tangannya.
  • Bayi terlalu besar atau terlalu kecil.
  • Bayi yang menyusu terlalu lama pada payudara pada satu-satu masa.
  • Bayi menyusu terlalu kerap.
  • Ibu merasakan susunya kelihatan cair.
  • Tiada atau sedikit sahaja susu keluar apabila diperah.
  • Payudara ibu tidak penuh atau lebih lembut dari biasa.
  • Ibu tidak nampak susu meleleh keluar atau ibu tidak mengalami tanda-tanda reflek oksitoksin.
  • Bayi masih mahu menerima susu gantian (susu formula) atau makanan lain apabila diberikan walaupun telah selesai menyusu susu ibu.

Situasi di atas mungkin menunjukkan bayi tidak mendapat cukup susu tetapi ini bukan petunjuk sebenar yang boleh dipercayai sepenuhnya. Ada beberapa tanda yang perlu diambil perhatian bagi menunjukkan ibu cukup susu iaitu:

  • Bayi kelihatan kenyang dan tenang selepas menyusu. Biasanya bayi tertidur dan melepaskan sendiri payudara ibu.
  • Bayi boleh bertindak-balas, mempunyai keanjalan otot yang baik dan kulit bayi tegang dan lembap.
  • Selepas hari ke-2, bayi yang mendapat susu yang cukup akan menghasilkan lampin basah sebanyak 2 hingga 6 atau lebih dalam masa 24 jam (Jadual 1). Manakala, air kencingnya kelihatan cair dan jernih. Jika bayi diberi air masak sebagai tambahan kepada susu ibu, pengeluaran air kencingnya juga banyak tetapi berat badan bayi tidak akan bertambah dengan baik kerana kurang zat makanan. Bayi juga akan membuang air besar 3 hingga 8 kali dalam masa 24 jam dan kekerapannya semakin berkurangan apabila bayi berumur lebih dari satu bulan.
  • Berat bayi bertambah mengikut umur (Jadual 2) di mana bayi membesar sehingga memerlukan pertukaran saiz pakaian.
  • Ibu yang menyusukan bayi akan dapat merasakan payudara yang penuh sebelum menyusu akan menjadi lembik apabila bayi selesai menyusu.
  • Ibu rasa dahaga dan berpeluh selepas sesi penyusuan.
  • Semasa penyusuan, payudara yang tidak dihisap oleh bayi turut mengeluarkan susu dan tanda-tanda ini menunjukkan ibu menghasilkan cukup susu.

tidak cukup susu_1
Jadual 1: Bilangan lampin di basahi air kencing dan najis mengikut umur bayi

Ibu kerap khuatir apabila bayi berumur bawah 4 hingga 6 minggu mengeluarkan najis setiap kali selepas menyusu. Perkara ini adalah normal bagi bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif. Terdapat juga bayi yang tidak mengeluarkan najis selama beberapa hari. Namun, selagi bayi berasa selesa, perut tidak membengkak, tidak meragam dan masih menyusu seperti biasa, ibu tidak perlu risau. Walau bagaimanapun, jika ibu berasa ragu, sila dapatkan nasihat doktor bagi mendapatkan kepastian.

Berat badan bayi terus meningkat apabila diberikan susu ibu sejak hari pertama kelahiran lagi. Namun, pada awal kelahiran, bayi kehilangan berat badan sekitar 5% hingga 7% disebabkan oleh pembuangan mekonium dan kehilangan air daripada badan. Penurunan berat badan ini membuatkan para ibu memberikan air kosong sebagai tambahan. Keadaan ini akan meningkatkan risiko kehilangan berat badan lebih banyak berbanding dengan bayi yang diberikan susu ibu sahaja. Purata kenaikan berat badan sejak lahir hingga 4 hari adalah sebanyak 170 gram (6 oz). Manakala kadar normal pertambahan berat adalah di antara 150 gram hingga 240 gram.

tidak cukup susu_2
Jadual 2: Kenaikan Berat Badan Bayi/MingguĀ Mengikut Umur

Berat badan bayi akan meningkat sebanyak 2.5 kali ganda hingga 3 kali ganda daripada berat lahir semasa bayi berusia 1 tahun. Panjang bayi pula bertambah sebanyak 50% dan ukur lilit kepala bayi bertambah sebanyak 33% semasa mereka berusia 1 tahun (Jadual 3).

tidak cukup susu_3Jadual 3: Pertambahan panjang dan ukur lilit kepada bayi mengikut umur

Perhatian kepada ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu:-Ā 

  • Bayi yang diberi susu ibu akan mempunyai otot yang lebih pejal berbanding bayi yang diberi susu formula.
  • Tidak perlu menimbangĀ  bayi sebelum dan selepas menyusu kerana ia tidak memberi gambaran yang tepat tentang berapa banyak susu dihasilkan dan dikeluarkan.Ā  Ia juga boleh mengurangkan keyakinan ibu dan mendorong ibu memberi minuman lain kepada bayinya.
  • Berat badan bayi yang masih tidak meningkat dengan baik walaupun telah diberi susu ibu dengan kerap dan teknik yang betul, mungkin mempunyai masalah kesihatan. Rujuk bayi untuk rawatan lanjut.
  • Bayi yang sentiasa mahu menyusu dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda masalah kesihatan tetapi tidak meningkat berat badan dengan baik, mungkin tidak mendapat susu yang mencukupi. Ini selalunya disebabkan oleh teknik penyusuan ibu yang kurang berkesan.
  • Penyusuan pada sebelah payudara yang diberhentikan dengan terlalu awal sebelum berpindah ke payudara yang sebelah lagi akan menyebabkan bayi hanya mendapat susu awal (fore-milk) dan tidak susu akhir (hind-milk). Susu awal mempunyai kandungan laktosa yang tinggi dan rendah lemak.
  • Susu akhir (hind-milk) mempunyai kandungan lemak yang tinggi yang membuatkan bayi rasa kenyang. Memberi penyusuan yang lebih kerap dengan jarak penyusuan yang pendek antara 30 hingga 40 minit boleh memastikan bayi mendapat susu yang tinggi kandungan lemak dari susu akhir yang masih tinggal dari penyusuan sebelumnya.

Setiap ibu perlu sentiasa memerhatikan tanda-tanda yang telah dinyatakan di atas sebagai panduan untuk mengukur tahap kesihatan dan tumbesaran bayi yang sempurna. Tanggapan ā€œtidak cukup susuā€ mungkin boleh diperbetulkan melalui pembacaan dan perkongsian daripada ibu-ibu yang telah berjaya menyusukan bayi mereka secara eksklusif. Sentiasa berfikiran positif dan bertindak di atas kebenaran bagi membentuk generasi yang lebih sihat pada masa yang akan datang.

Rujukan:

  1. World Health Organisation (WHO) and UNICEF. 2009. BFHI Section 3: Breastfeeding Promotion And Support In A Baby-Friendly Hospital ā€“ 20-Hour Course Module.
  2. Ministry of Health Malaysia. 2009. Breastfeeding Promotion and Support- A Training Course for Health Professional.
  3. Faridah Idris. 2013. Buku ā€œMembesar Anak Hebat Dengan Susu Ibuā€. PTS Media Group Sdn. Bhd. Malaysia.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Norsyamlina bt. Che Abdul Rahim
Akreditor : Jamilah bt. Ahmad
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

Najis tidak normal

Ciriā€“ciri najis serta frekuensi pembuangan najis mungkin dapat memberikan indikasi tahap kesihatan kanak-kanak/bayi anda.

Kemahiran Keibubapaan Anak Remaja

Perubahan hormon yang terdapat di dalam tubuh remaja semasa proses peralihan dari kanak-kanak kepada dewasa boleh mendatangkan masalah bagi remaja

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :Ā Ā  +603 8000 8000

FAKS :Ā Ā  +603 8888 6200

EMEL : Ā  myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK Ā  Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara Ā©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia