Pengenalan
Rajah 1 : Mesin PET/CT
(Sumber: http://www.radiology-equipment.com/Detail.CFM?LineItemID=1638)
Pengimejan Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) atau pancaran positron tomografi berkomputer adalah suatu teknik pengimejan nuklear yang digunakan dalam pengesanan lokasi metabolik aktif dalam badan pesakit. Konsep pancaran dan penghantaran positron ini telah di perkenalkan oleh David E. Kuhl, Luke Chapman dan Roy Edwards pada 1950-an. Hasil kerja mereka ini telah membawa kepada rekabentuk dan pembinaaan beberapa alatan tomografi di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Penggunaan PET-CT sangat membantu dalam bidang onkologi,neurologi dan kardiologi. Ia sangat sensitif dan dapat mengesan tumor yang kecil dalam badan. PET-CT suatu modaliti pengimejan nuklear yang dapat digunakan untuk mendiagnosis dalam pelbagai penyakit berkaitan kanser dengan menggunakan bahan radiofarmaseutikal 18F-Fluoro-deoxy-glucose (18F-FDG).
18F-FDG hadir dalam bentuk cecair yang mengandungi radioaktif dilabelkan bersama bahan farmasuetikal. Bahan ini bertindak sebagai penyurih dan akan memancarkan sinar gamma hasil daripada proses musnah habisan antara Positron yang terhasil daripada 18F dengan elektron. Proses tersebut berlaku apabila bahan ini disuntik ke dalam badan pesakit.
Pakar Perubatan biasanya akan mencadangkan pesakit untuk menjalani PET-CT bagi membantu mengesan sebarang ketidaknormalan tisu atau organ. Ujian ini adalah selamat dan tidak menyakitkan. Biasanya ia melibatkan tidak lebih dari satu suntikan yang mengandungi jumlah radioaktif yang minimum.
Prinsip pengesanan PET dalam perubatan
Setelah 18F-FDG disuntik kepada pesakit, ia akan beredar ke organ yang tertentu. dan akan akan memancarkan sinar gamma yang akan dikesan oleh mesin PET, manakala mesin CT berfungsi untuk menghasilkan imej anatomi dan dapat memberikan maklumat yang lengkap dan tepat mengenai sel, tisu dan organ malahan berupaya mengesan sebarang ketidaknormalan pada peringkat awal.
Rajah 2: Dua imbasan yang berasingan di gabungkan menjadi imej PET-CT
(Sumber: http://www.nepetimaging.com/pet-ct.html)
Penggunaan PET dalam perubatan
Di kalangan pelbagai modaliti pengimejan dalam bidang perubatan, PET-CT adalah paling sesuai digunakan untuk pengesanan kanser dan penyakit sekunder berkaitan serta dapat memantau keberkesanan rawatan dan pemeringkatan semula kanser. Selain kanser, ia juga digunakan untuk mengesan penyakit jantung dan gangguan otak.
- Onkologi (Kanser)
Untuk mengesan tumor otak, tumor kepala dan leher, kanser ovari, karsinoma tiroid, kanser kolorektal, kanser pankreas, kanser payudara, kanser gastroesofagus, pundi kencing, kanser hati, kanser paru-paru, kanser buah pinggang dan prostat, kanser rahim, tumor testis, melanoma malignan, limfoma malignan dan tumor muskuloskeletal.
Rajah 3: Sample of PET-CT imaging for Oncology diagnosis
(Sumber: Cook GJR, et al: Semin Nucl Med 1996;26:308-314) - Kardiologi (Jantung)
Untuk mengesan penyakit arteri koronari dan infarksi miokardium.
Figure 4: Sample of PET-CT imaging for Myocardial Infraction
(Source: http://www.radrounds.com and http://www.dicardiology.com) - Neurologi (Otak)
Untuk mengesan penyakit Alzheimer, Epilepsi dan penyakit Parkinson
Figure 5: Sample of PET-CT imaging for brain abnormality
(Source: http://jnm.snmjournals.org/content/52/6/865/F3.expansion.html)
Panduan sebelum menjalani prosedur
Pesakit di nasihatkan untuk mengurangkan aktiviti berat yang melibatkan penggunaan otot secara langsung sekurang-kurangnya dua hari sebelum menjalani imbasan PET-CT. Pesakit juga perlu berpuasa dalam tempoh 4-6 jam sebelum menjalani imbasan PET-CT, walaubagaimanapun dalam tempoh berpuasa, pesakit di benarkan minum air putih sahaja.
Bagi pesakit diabetis, pesakit di kehendaki berpuasa mulai jam 12 tengah malam pada hari sebelum menjalani imbasan PET dan mengambil suntikan insulin sebelum mula berpuasa. Bagaimanapun, untuk ubatan lain pesakit boleh mengambil seperti biasa.
Panduan semasa menjalani prosedur
Pada hari imbasan PET, pesakit di nasihatkan untuk datang awal ke pusat imbasan dan bawa bersama laporan radiologi terkini. Pesakit di nasihatkan supaya datang bersendirian atau datang dengan seorang ahli keluarga sahaja ketika menjalani prosedur imbasan PET.
Sebelum prosedur PET-CT dijalankan, pesakit akan berjumpa dengan doktor yang bertugas untuk sesi kaunseling. Paras kandungan gula dalam darah pesakit hendaklah berada pada paras yang normal.
Pegawai yang bertugas akan menetapkan kanula intravena di tangan pesakit dan pesakit akan disuntik dengan cecair radiofarmaseutikal iaitu 18F-FDG yang bertindak sebagai bahan penyurih.
Selepas suntikan 18F-FGD, pesakit di minta untuk berehat di dalam bilik khas selama satu jam. Dalam tempoh ini membolehkan cecair penyurih bergerak ke seluruh badan.
Imbasan ini akan mengambil masa dalam 30 minit ke 40 minit untuk seluruh badan dan pesakit di minta bertenang dan mengawal pola pernafasan. Sebarang pergerakan semasa prosedur PET-CT dijalankan akan menyebabkan kualiti imej yang buruk dan menyukarkan analisa diagnosis.
Panduan keselamatan sinaran selepas menjalani prosedur
Pesakit boleh mengambil makanan dan minuman seperti biasa selepas menjalani imbasan PET-CT, melainkan ada menerima arahan khas dari Pakar Perubatan. Pesakit di galakkan untuk minum banyak air putih bagi menyingkirkan sisa 18F-FDG dalam badan melalui sistem kumuhan. Dengan jumlah yang sangat kecil 18F-FDG disuntik kepada pesakit, ia akan hilang dalam tempoh 7 jam hingga ke 24 jam.Pesakit juga di nasihatkan untuk berada pada jarak sekurang – kurangnya 1 meter dari ibu/perempuan mengandung dan juga kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dalam tempoh tersebut.
Semakan Akhir | : | 06 Mei 2016 |
Penulis | : | Rabi’atul Adawiyah bt. Mat Salleh |
Akreditor | : | Mohamad Aminudin bin Said |