Pengenalan
Ia adalah keadaan di mana gegendang telinga bocor atau koyak. Gegendang telinga memisahkan telinga luar dari telinga tengah (yang mempunyai struktur penting). Fungsi gegendang juga melindungi telinga tengah daripada cuaca sejuk, angin, tahi telinga dan pelbagai lagi.
Gegendang telinga menyerap bunyi dan memindahkan bunyi tersebut kepada tulang-tulang kecil di telinga tengah . Kebocoran gegendang akan mendedahkan telinga tengah serta telinga dalam kepada risiko kerosakan atau trauma. Kebocoran gegendang juga boleh menyebabkan risiko kurang pendengaran.
Punca-punca Gegendang Telinga Bocor
Punca utama kebocoran gegendang ialah jangkitan telinga tengah (otitis media), trauma dan perubahan tekanan yang mengejut adalah antara punca-punca lain yang dikenalpasti ialah:
- Menggunakan alat tajam untuk mencuci telinga
- Tekanan tinggi
- Perubahan mengejut tekanan udara semasa penerbangan, berenang, menyelam atau duduk berhampiran dengan bunyi letupan.
Tanda dan Gejala
- Dalam kebanyakan kes , tiada gejala-gejala yang ketara
- Sekiranya ia disebabkan oleh jangkitan telinga tengah, pesakit selalu mengadu tentang sakit yang tajam secara tiba-tiba ( ini disebabkan oleh pengumpulan nanah di telinga tengah ).
- Sakit akan hilang apabila nanah keluar daripada telinga tengah
- Kebocoran disebabkan oleh trauma selalunya menyebabkan rasa tidak selesa serta sedikit pendarahan mungkin berlaku
- Bunyi berdesing di dalam telinga (tinnitus)
- Kurang pendengaran
- Telinga berair/bernanah
Pemeriksaan otoskopi oleh doktor selalunya menunjukkan:
- Gegendang telinga yang bocor
- Tulang-tulang telinga tengah dapat dilihat
- Nanah di dalam telinga
Kompikasi
- Risiko hilang pendengaran yang kekal
- Jangkitan telinga tengah
Rawatan
- Gegendang telinga yang bocor selalunya akan sembuh sendiri dalam masa 2 bulan. Rawatan biasanya untuk mengurangkan sakit dan mencegah jangkitan. Antibiotik boleh digunakan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan.
- Pembedahan mungkin diperlukan sekiranya gegendang tidak sembuh secara semulajadi.
Pencegahan
- Pastikan telinga sentiasa kering dan bersih
- Tutup lubang telinga dengan kapas atau vaselin semasa mandi untuk mengelakkan telinga daripada dimasuki air
- Gunakan penutup telinga silikon semasa pergi berenang (elakkan dari berenang)
- Jangan masukkan objek ke dalam telinga
- Jangkitan telinga harus diberi rawatan segera
- Masalah hidung perlu diberi perhatian dan rawatan yang sewajarnya bersama sama dengan rawatan telinga
Semakan Akhir | : | 26 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Dipak a/lBanarsi Dass |
Penyemak | : | Dato’ Dr. Narizan Ariffin |