A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Perubatan Kecemasan
  6. /
  7. Bantuan Asas Hayat (BLS)

Bantuan Asas Hayat (BLS)

Bantuan asas hayat adalah merupakan suatu bentuk rawatan kecemasan awal melalui kaedah resusitasi kardio-pulmonari (CPR) bagi membantu mangsa apabila denyutan jantung terhenti secara tiba-tiba

Pengenalan

Bantuan asas hayat adalah merupakan suatu bentuk rawatan kecemasan awal melalui kaedah resusitasi kardio-pulmonari (CPR) bagi membantu mangsa apabila denyutan jantung terhenti secara tiba-tiba dan mangsa akan mengalami tanda – tanda utama seperti rebah dan tidak sedarkan diri, pernafasan terhenti, dan tiada nadi.

Bantuan asas hayat ini perlu dilakukan sejurus selepas seseorang itu didapati mengalami denyutan jantung terhenti bagi meningkatkan peluang mangsa untuk diselamatkan sementara menunggu bantuan kecemasan tiba di tempat kejadian.

Kepentingan melakukan bantuan asas hayat

Punca utama bagi seseorang dewasa itu mengalami jantung terhenti secara tiba- tiba adalah disebabkan oleh serangan jantung akibat daripada penyakit jantung koronari. Pada peringkat awal serangan jantung yang mengakibatkan mangsa tidak sedarkan diri, mangsa biasanya mengalami gangguan denyutan jantung yang tidak normal selama beberapa minit dan seterusnya jantung akan berhenti berdenyut. Pada peringkat awal mangsa tidak sedarkan diri, denyutan jantung yang tidak normal ini boleh berlaku dalam dua keadaan sama ada fibrilasi ventrikel ataupun takikardia ventrikular. Kedua- dua keadaan ini akan mengakibatkan darah tidak berupaya dipam keluar daripada jantung.

Apabila jantung telah berhenti, peredaran darah ke bahagian organ utama badan seperti otak, paru-paru, dan jantung juga turut terhenti. Bantuan asas hayat ini dapat membantu mangsa dengan membantu mengalirkan darah ke otak dan melambatkan proses kerosakan otak. Otak manusia adalah organ yang sangat sensitif kepada keadaan kekurangan oksigen dan kerosakan otak akan bermula selepas empat minit jantung terhenti. Jika tiada bantuan asas hayat diberikan otak akan mengalami kerosakan kekal yang menyeluruh selepas sepuluh minit dan mangsa mungkin tidak dapat diselamatkan selepas jangka masa ini.

Kaedah melakukan bantuan asas hayat

Apabila seseorang itu mengesyaki seseorang mangsa mengalami kejadian jantung terhenti ini, berikut adalah langkah utama dan mudah yang perlu diambil :

Langkah pertama

D – DANGER
Pastikan persekitaran anda dan pesakit selamat

  1. Pastikan anda berada  dalam keadaan selamat untuk menghampiri  mangsa.
  2. Alihkan objek yang berbahaya seperti wayar elektrik jika terdapat daripada mangsa.
  3. Jika mangsa berada dalam keadaan bahaya cuba alihkan mangsa apabila keadaan selamat.
  4. Pastikan mangsa berada di permukaan yang keras dan rata, seterusnya betulkan dan luruskan badan  mangsa.

Langkah kedua

R – RESPONSE
Periksa tindak balas mangsa

  1. Panggil mangsa  dengan  suara yang lantang berhampiran telinga mangsa dan tepuk kedua-dua bahagian bahu mangsa  dengan sederhana untuk  cuba mengejutkan mangsa.
  2. Jika mangsa tidak mempunyai sebarang tindak balas , dapatkan bantuan orang lain dan  segera menelefon talian kecemasan  999 terlebih dahulu sebelum memberikan bantuan seterusnya.
  3. Jika anda berada dalam kawasan yang  anda tahu mempunyai  mesin AED minta bantuan orang lain untuk mendapatkan alat tersebut.

Langkah ketiga

A – AIRWAY
Buka saluran pernafasan

  1. Buka saluran pernafasan mangsa dengan mendongakkan dahi dan  mengangkat dagu mangsa ke atas.
  2. Periksa sama ada mangsa bernafas  atau tidak.
  3. Jika tidak, periksa jika terdapat sebarang benda asing di dalam mulut mangsa dan cuba keluarkan jika  benda asing itu dapat dilihat dengan jelas.

Langkah keempat

B-BREATHING
Bantu pernafasan

  1. Periksa dada mangsa jika terdapat sebarang tanda-tanda bahawa pesakit masih bernafas seperti pergerakan dada ke atas dan ke bawah secara tetap.
  2. Jika pesakit tidak bernafas, mulakan tekanan dada.

Langkah kelima

C – CIRCULATION
Peredaran darah dan tekanan dada

  1. Lakukan tekanan dada kepada mangsa sebanyak 30 kali secara berterusan dan diikuti dengan memberi dua hembusan nafas  dan lakukannya sebanyak lima kali pusingan.
  2. Semasa melakukan tekanan dada, pastikan kedua-dua tangan anda diletakkan di atas  bahagian tengah dada mangsa dan lakukannya dalam kelajuan 100  hingga 120 kali tekanan seminit dengan kedalaman  5 hingga 6 cm.
  3. Pastikan juga dada pesakit naik sepenuhnya semasa melakukan tekanan dada  untuk membenarkan aliran darah dapat kembali ke jantung.
  4. Jika terdapat lebih daripada seorang yang terlatih dalam melakukan bantuan asas  hayat ini  lakukan giliran setiap lima pusingan untuk mengelakkan keletihan dan memastikan  kualiti bantuan asas hayat yang tinggi.
  5. Elakkan sebarang gangguan semasa melakukan bantuan asas hayat ini
  6. Anda juga boleh melakukan bantuan asas hayat ini dengan melakukan tekanan dada sahaja secara berterusan dan ini dikenali juga sebagai ‘Chest compression only  cardiopulmonary resuscitation’ tanpa memberi sebarang bantuan pernafasan.
  7. Teruskan melakukan tekanan dada sehingga bantuan kecemasan tiba atau pesakit kembali sedarkan diri, ataupun penyelamat tidak dapat meneruskan bantuan akibat keletihan.
  8. Jika pesakit sedar, posisikan pesakit secara mengiring dengan sebelah tapak tangan diletakkan di bahagian bawah pipi mangsa

bantuan_asas_hayat1

Gambar 1 : Teknik membuka saluran pernafasan ( dahi didongakkan dan dagu diangkat ke atas)

bantuan_asas_hayat2

Gambar 2 : Kaedah melakukan tekanan dada

Automated External Defibrillator (AED)

AED merupakan suatu alat elektronik yang dicipta untuk digunakan oleh orang awam dan juga petugas perubatan yang berfungsi untuk memberitahu penyelamat tentang keadaan ritma jantung mangsa yang tidak sedarkan diri dan memberikan renjatan elektrik pada jantung apabila diperlukan.

Mesin AED ini selalunya terdapat di beberapa lokasi utama seperti di lapangan terbang ataupun pusat membeli belah tertentu. Renjatan elektrik jika diberi seawal mungkin selepas mangsa tidak sedarkan diri meningkatkan peluang untuk mangsa diselamatkan.

Mesin AED ini didatangkan dengan dua pelekat dada yang perlu dilekatkan di bahagian dada mangsa. Gambar mengenai kedudukan pelekat dada tersebut biasanya tertera di atas pelekat dada untuk memudahkan penyelamat. Pada kebiasaannya mesin AED mempunyai suara yang akan memberi arahan kepada penyelamat tentang langkah yang perlu dilakukan. Penyelamat hanya perlu mengikut arahan yang diberikan oleh mesin AED tersebut. Mesin AED akan memberikan renjatan elektrik sekiranya mesin AED ini mengesan ritma jantung fibrilasi ventrikular ataupun takikardia ventrikular. Jika mesin AED tidak mengesan sebarang ritma jantung yang memerlukan renjatan elektrikal, mesin AED akan mengarahkan penyelamat untuk meneruskan bantuan asas hayat/CPR.

bantuan_asas_hayat3

Gambar 3 : Contoh mesin AED

bantuan_asas_hayat4

Gambar 4 : Contoh mesin AED yang terdapat di tempat awam

bantuan_asas_hayat5

Gambar 5 : Penyelamat sedang mengunakan mesin AED kepada mangsa

Bantuan asas hayat ini jika dilakukan dengan teknik yang betul dan berkesan, mampu untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami jantung terhenti. Kesedaran umum untuk mempelajari kaedah melakukan bantuan asas hayat atau resusitasi kardio-pulmonari adalah amat penting dan perlu dipupuk dalam masyarakat Malaysia.

Rujukan

  1. Berg, R. A., Hemphill, R., Abella, B. S., Aufderheide, T. P., Cave, D. M., Hazinski, M. F., … & Swor, R. A. (2010). Part 5: Adult basic life support 2010 American Heart Association guidelines for cardiopulmonary resuscitation and emergency cardiovascular care. Circulation122(18 suppl 3), S685-S705.
  2. Handley, A. J., Monsieurs, K. G., & Bossaert, L. L. (2001). European Resuscitation Council Guidelines 2000 for Adult Basic Life Support: A statement from the Basic Life Support and Automated External Defibrillation Working Group1ERC BLS & AED Working Group: Arntz HR, Bahr J, Baubin M, Bossaert L, Brucan A, Carneiro A, Cassan P, Chamberlain D, Davies S, De Vos R, Ekstrom L, Evans T, Gwinnutt C, Handley A, Lexow K, Marsden A, Monsieurs K, Petit P, Sofianos E, Van Dreuth A, Van Rillaer L, Wik L, Wolcke B. 1 and approved by the Executive Committee of the European ….Resuscitation48(3), 199-205.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Shamsul Anuar b. Asmee
Akreditor : Dr. Teo Aik Howe
Penyemak : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah

Artikel Berkaitan

Gigitan Haiwan

Gigitan haiwan merupakan kejadian yang kerap berlaku dalam kehidupan harian dan di Malaysia gigitan haiwan yang paling kerap berlaku adalah gigitan anjing.

Acute Appendicitis

Acute appendicitis is an inflammation of the appendix. This inflammation causes congestion, swelling and ultimately reduced blood supply to the appendix

Acute Appendicitis

‘Acute appendicitis’ adalah inflamasi atau kerengsaan organ apendiks itu sendiri. Inflamasi atau kerengsaan ini menyebabkan pembengkakan dan seterusnya menjejaskan pengaliran darah ke apendik

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,450

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia