A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Penyakit Biasa
  6. /
  7. Kesihatan Seksual Di Kalangan...

Kesihatan Seksual Di Kalangan Warga Emas Wanita: Punca-punca Gangguan Fungsi Seksual di Kalangan Warga Emas Wanita

Pengenalan

Hubungan seksual adalah elemen penting dalam mengekalkan kesihatan fizikal dan emosi di kalangan lelaki dan wanita.
Keinginan untuk menjalani hubungan seksual masih kekal walaupun dengan peningkatan usia terutamanya bagi warga emas yang masih mempunyai pasangan hidup dan tahap kesihatan fizikal yang baik.

Gangguan fungsi seksual di kalangan warga emas wanita bukanlah semata-mata disebabkan oleh proses penuaan dan tiada jalan penyelesaian.
Terdapat banyak lagi faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah di atas.
Sekiranya dikenalpasti, gangguan fungsi seksual yang dialami mungkin dapat dirawat atau dipulihkan.

  1. Putus haid (menopaus)
  2. Menopaus atau tahun-tahun mendekati tempoh menopaus adalah perubahan fisiologi normal yang pasti akan ditempuhi oleh setiap wanita.
    Inilah tempoh masa di mana badan secara perlahan-lahan mengalami perubahan akibat penurunan paras hormon estrogen dan progesteron dalam badan kita.

    Paras estrogen yang rendah menyebabkan dinding faraj wanita menjadi nipis dan kering.
    Ini boleh mengakibatkan kesakitan semasa hubungan kelamin yang jika tidak dirawat boleh mendatangkan kecederaan.
    Keadaan ini yang dipanggil ‘dyspareunia’ boleh mencetuskan rasa gerun pada wanita untuk melakukan hubungan kelamin di masa-masa yang lain.

    Rasa bimbang akibat kesakitan tersebut boleh memburukkan lagi keadaan di mana pada hubungan kelamin yang seterusnya dinding faraj akan menjadi lebih kering dan kekejangan otot faraj juga boleh berlaku di luar kawalan. Keadaan ini dipanggil ‘vaginismus’.
    Keadaan ini berterusan sehingga menyebabkan kesakitan boleh dialami pada setiap kali menjalani hubungan kelamin.

    Menopaus juga mengurangkan nafsu/keinginan untuk berhubungan seksual akibat dari kurangnya paras estrogen.
    Perubahan pada badan yang terjadi akibat menopaus termasuklah perubahan emosi yang tidak menentu menyebabkan wanita menjadi kurang yakin untuk bersama dengan pasangan.
    Di samping itu, peningkatan umur juga secara semulajadi memberi kesan pada hubungan seksual di mana masa yang lebih panjang diperlukan untuk mencapai orgasma.

  3. Masalah perubatan/penyakit kronik
  4. Seiring dengan peningkatan usia, ramai wanita sudah mula menghidapi pelbagai penyakit kronik.
    Secara umumnya, penyakit kronik boleh memberi kesan pada hubungan seksual.
    Sebarang penyakit yang boleh menyebabkan kesukaran fizikal boleh mengurangkan keinginan seseorang warga emas wanita untuk melakukan hubungan kelamin.
    Penyakit sendi, sakit belakang dan sakit jantung tentunya menyebabkan hubungan kelamin agak sukar dan kadang-kadang menyakitkan.

    Tekanan perasaan, rasa gelisah dan trauma dari sejarah lampau boleh menyebabkan masalah orgasma dan kesakitan semasa hubungan seksual.
    Masalah lemah kawalan kencing dan pesakit kanser (contoh kanser payudara atau pesakit yang mempunyai kolostomi) lazimnya mempunyai masalah rendah diri dan kurang keinginan untuk melakukan hubungan seksual akibat perubahan pada fizikal badan.

    Kardiovaskular Gastrointestinal Neurologi Reumatologi Endokrin Psikologi
    Hipertensi Kanser Paralisis Fibromyalgia Diabetes Depresi
    Penyakit jantung koronari Sindrom radang usus (irritable bowel syndrome) Sklerosis berganda Artritis Penyakit tiroid Konflik hidup
    Infarksi mikardium Kolostomi Neuropati Penyakit autoimun Penyakit adrenal Penyakit resah (anxiety disorder)
    Penyakit vascular periferi   Strok   Prolactinomas  

    Jadual 1: Penyakit kronik yang boleh menyebabkan gangguan fungsi seksual

  5. Masalah ginekologi/sakit puan
  6. Masalah ginekologi/sakit puan seperti kanser, endometriosis (senggugut) dan uterine prolapsed (rahim jatuh) boleh menyumbang pada penurunan fungsi seksual.
    Ramai wanita bimbang tahap kesihatan seksual mereka selepas menjalani pembedahan pembuangan rahim.

    Wanita yang mengalami kanser yang berkaitan sakit puan juga sering mengalami penurunan keinginan seksual, kesakitan, merasa yang diri mereka kurang menarik dan menjadi kurang yakin untuk bersama pasangan selepas menjalani pembedahan.

  7. Ubat-ubatan
  8. Terdapat ubat-ubatan yang dikenalpasti dapat menyebabkan gangguan fungsi seksual seperti ubat tekanan perasaan, narkotik, ubat darah tinggi dan ubat jenis diuretik. (Jadual 2)
    Penggunaan dadah dan alkohol juga merupakan salah satu daripada penyebab gangguan fungsi seksual.

    Perbincangan dengan doktor mungkin boleh membantu sekiranya ubat-ubatan tersebut dikenalpasti sebagai penyebab masalah yang dialami.

    Ubat-ubatan Kesan
    Ubat darah tinggi Menurunkan nafsu seks
    Alpha-blockers Menurunkan nafsu seks
    Diuretik Kurang yakin diri, malu akibat kurang kawalan kencing
    Ubat anti psikotik Menurunkan nafsu seks, lambat mencapai orgasma
    Alkohol Tiada/lambat mencapai orgasma

    Ubat anti depresi

                *SSRI

                Tricyclic

                Citalopram

                Venlafaxine

     

    Menurunkan nafsu seks, lambat mencapai orgasma

    Menurunkan nafsu seks

    Menurunkan nafsu seks

    Menurunkan nafsu seks

    *SSRI = Selective Serotonin Receptor Inhibitors

    Jadual 2: Ubat-ubatan dan kesan ke atas seksualiti warga emas

Rujukan

  1. Camacho, M.E., Reyes-Ortiz, C.A. (2005) Sexual dysfunction in the elderly: age or disease? International Journal of Impotence Research . Vol 17, pg S52–S56.
  2. Carrie A.(2011).  ACOG Guideline on Sexual Dysfunction in Women. American Family Physician . Vol 84(6).
  3. Krychman, M.L., Amsterdam, A. et al. (2004). Cancer,sexuality and sexual expression. The Female Patient . Vol 29, pg1-4
  4. Lynn, M.N. (2008) Issues of Sexuality in the Elderly. Practising Physician. Vol 91(10).
  5. Sarrel, P.M. (1990) Sexuality and Menopause. Obstetric and Gynaecology . Vol 75,pg 26S-30S.
  6. Thranov, I. & Klee, M. (1994) Sexuality among gynecologic cancer patients—a cross-sectional study. Gynecol Oncol. Vol 52, pg 14–19.
Semakan Akhir : 18 Julai 2016
Penterjemah : Dr. Nor Hazlin binti Talib
Akreditor : Dr. Radziah binti Abdul Rashid

Artikel Berkaitan

Warga Emas (Wanita) dan Masalah Libido

Libido merupakan suatu perasaan atau keinginan terhadap seks dan ini sangat berkait rapat dengan beberapa faktor seperti tahap kandungan hormon estrogen dan tahap kesihatan seseorang.

Lemah Jantung

Pengenalan Lemah jantung adalah satu keadaan yang kompleks. Ia disebabkan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,450

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia