Wilms’ tumour ialah barah buah pinggang yang timbul daripada sel-sel buah pinggang yang tidak matang. Ia merupakan barah yang paling biasa berlaku dikalangan kanak-kanak dan yang ke empat bagi barah kanak-kanak secara keseluruhan.
Ia dinamakan sempena nama Dr. Max Wilm, seorang doktor dari Jerman yang mula menulis mengenai barah ini pada tahun 1899. Tumor Wilm biasanya menjejaskan hanya satu buah pinggang (unilateral) tetapi dalam kira-kira 7 daripada setiap 100 orang kanak-kanak ia boleh melibatkan kedua-dua buah pinggang (bilateral).
Semasa janin membesar di dalam rahim ibunya, terdapat sel-sel khas yang dipanggil metanephric blastema yang terlibat dalam pembentukan buah pinggang kanak-kanak. Sel-sel ini biasanya hilang pada waktu kelahiran tetapi dalam sesetengah kanak-kanak sel-sel ini mungkin terus hidup. Tumor Wilm ini dikatakan bermula daripada sel-sel tersebut.
Buah pinggang
Buah pinggang atau ginjal adalah sepasang organ yang terdapat di belakang abdomen. Ia berfungsi untuk menyucikan darah dengan membuang bahan kumuhan seperti urea dan garam, serta air yang kemudiannya disalurkan kepada pundi kencing, dan seterusnya meninggalkan badan dalam bentuk air kencing.
Struktur Buah Pinggang Atau Ginjal
Epidemiologi
Kadar kejadian tahunan tumor Wilm adalah kira-kira 7-10 kes bagi setiap juta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Kadar ini menyumbang kepada 6-7% daripada semua jenis kanser kanak-kanak . Tumor Wilm ini berlaku hampir secara eksklusif pada kanak-kanak. Kebanyakan kes dikesan sebelum umur 5 tahun dengan median umur 3.5 tahun.
Sebab-sebab berlaku
Dalam kebanyakan kes, punca tumor Wilm tidak diketahui. Walau bagaimanapun, ia dipercayai berlaku akibat perubahan dalam 1 atau lebih gen. Beberapa jenis kecacatan kelahiran atau kecacatan kongenital telah dikaitkan dengan berlakunya tumor Wilm ini . Kanak-kanak yang mempunyai anomali ini perlu disaring secara berkala untuk Tumour Wilm. Kira-kira 15 daripada setiap 100 kanak-kanak yang menghidapi tumor Wilm juga mempunyai kecacatan kelahiran
Kecacatan kelahiran yang dikaitkan dengan tumor Wilms berlaku dalam sindrom. Mutasi gen memberi kesan kepada semua sel-sel badan. Jadi ini menjelaskan mengapa kanak-kanak yang dilahirkan dengan salah satu daripada sindrom ini boleh mempunyai masalah pada beberapa bahagian badan mereka.
Sindrom yang utama ialah:
- Sindrom WAGR – Himpunan tanda fizikal tidak normal pada bahagian berwarna mata (iris) , saluran genitourinary dan otak. Kanak-kanak ini juga berkemungkinan mempunyai masalah pembelajaran
- Sindrom Beckwith-Wiedemann ialah sindrom dimana kanak-kanak mempunyai saiz organ-badan yang lebih besar dari kebiasaan dan kebanyakan mempunyai lidah yang besar. Terdapat juga perbezaan diantara saiz kedua belah kaki dan tangan .
- Sindrom Denys-Drash adalah keadaan dimana bayi lelaki mempunyai perkembangan yang terbantut pada zakar,testis dan kantung testis hingga menyerupai bayi perempuan. Buah pinggang akan mengalami kerosakan dan barah Wilms tumour ini akan muncul dari tisu yang tidak normal ini.
Satu dalam seratus pesakit Wilms tumour ini mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit yang sama . Kebiasaannya penyakit ini akan timbul lebih awal dan lebih berisiko mendapat Wilms tumour pada kedua-dua buah pinggang mereka.
Gejala dan tanda-tanda penyakit
-
- Bengkak pada perut atau abdomen yang tidak menyakitkan adalah tanda yang paling biasa berlaku.
Kerap kali tanda ini di kesan oleh ibu atau penjaga semasa memandikan anak mereka.
- Pendarahan di dalam tumor yang menyebabkan sakit perut
- Kencing berdarah –berlaku pada 15% dan 20% daripada kanak-kanak yang menghidap barah ini
- Tekanan darah tinggi
- Suhu badan yang tinggi (demam)
- Hilang selera makan
- Susut berat badan
- Rasa tidak sihat
- Sesak nafas atau batuk (sekiranya kanser telah merebak ke paru-paru)
Bagaimana Wilms Tumor dikesan?
Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal. Jika tumor Wilm yang disyaki, beberapa siasatan akan dilakukan. Ini termasuk:
- Ujian Darah
Ujian darah digunakan untuk menilai tahap kesihatan kanak-kanak secara am (terutama sebelum pembedahan). Ini termasuk ujian untuk memastikan kiraan sel-sel darah putih, sel-sel darah merah, dan platelet mencukupi, dan ujian untuk mengukur sama ada hati dan buah pinggang berfungsi dengan baik. - Air kencing
Satu sampel air kencing akan diambil dan di uji untuk mengesan kehadiran darah dan bahan-bahan lain dalam air kencing tersebut yang mungkin mencadangkan kepada masalah fungsi buah pinggang. - Radiologi / pengimejan
- Ultrasound/ ultrasonogram dan Doppler
Ini merupakan penyiasatan pertama dilakukan sekiranya seseorang pesakit disyakki mengidap Wilms tumour. Penyiasatan ini senang di dapati dan tiada kesan radiasi. Penyiasatan ini akan memberikan gambaran yang jelas sekiranya ada sebarang ketumbuhan pada organ-organ seperti buah pinggang dan organ -organ lain di dalam abdomen.
Doppler ini dapat mengesan sekiranya ada ketulan ketumbuhan yang telah merebak ke dalam salur darah yang berdekatan dengan buah pinggang. Penyiasatan ini tidak menyakitkan tetapi sedikit tidak selesa apabila alat tersebut perlu ditekankan sedikit kuat pada bahagian perut bagi mendapatkan gambaran yang jelas. - CT scan/ Tomography Berkomputer
Imbasan CT adalah x ray khas dan salah satu ujian yang lebih spesifik bagi mengesan ketumbuhan dalam buah pinggang. Ia juga membantu untuk mengenal pasti n sama ada kanser telah merebak ke organ-organ dan tisu di luar buah pinggang, seperti paru-paru dan hati. - Pengimejan resonans magnet (MRI scan)
Kebiasaannya tidak diperlukan sekiranya CT scan telah memberikan maklumat yang lengkap mengenai ketumbuhan barah tersebut.
- Ultrasound/ ultrasonogram dan Doppler
- X-ray dada
X-ray dada boleh dilakukan untuk mengesan penyebaran tumor Wilm ke paru-paru. Jika imbasan CT dada telah dilakukan, ujian ini tidak diperlukan tetapi akan diperlukan semasa pemeriksaan susulan. - Biopsi buah pinggang / pembedahan
- Pembedahan
Pada kebanyakan masa, ujian pengimejan boleh memberi doktor maklumat yang cukup untuk memutuskan sama ada seorang kanak-kanak mungkin mempunyai tumor Wilm, dan oleh itu pembedahan perlu dilakukan. Tetapi diagnosis sebenar tumor Wilm hanya dibuat apabila sampel ketumbuhan itu dikeluarkan dan diperiksa di bawah mikroskop. Ini dipanggil histologi.
Dalam kebanyakan kes, sampel diperoleh semasa pembedahan untuk merawat tumor.
Pada masa pembedahan, sebuah tiub yang dipanggil porta-Cath atau Hickman line juga akan dimasukkan ke dalam saluran darah didalam dada. Tiub ini penting bagi pemberian kemoterapi dan pengambilan darah. - Biopsi
Jika doktor kurang pasti mengenai diagnosis atau jika mereka tidak pasti tumor boleh dikeluarkan sepenuhnya, sampel ketumbuhan itu boleh diperolehi terlebih dahulu. Biopsi boleh dilakukan melalui pembedahan kecil atau dengan menggunakan jarum panjang berongga yang dimasukkan melalui kulit ke dalam tumor.
- Pembedahan
- Siasatan lain-lain
- Echocardiography
Penyiasatan ini adalah sama dengan ultrasound kecuali ia khusus untuk melihat pada struktur dan fungsi jantung sebelum kemoterapi diberikan. Ini adalah kerana salah satu ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat tumor Wilm mempunyai kesan ke atas fungsi jantung. - Imbasan tulang
Imbasan tulang dilakukan sekiranya kanser disyaki telah merebak ke tulang.
- Echocardiography
Tahap-tahap (Peringkat) tumor Wilms
Tahap atau peringkat kanser adalah satu istilah yang digunakan yang menggambarkan saiz ketumbuhan dan sama ada ia telah merebak luar dari organ asal. Mengetahui peringkat kanser adalah mustahak untuk membantu doktor menentukan rawatan yang paling sesuai.
Satu sistem untuk mementukan tahap ketumbuhan yang biasa digunakan bagi tumor Wilm diterangkan di bawah.
Tahap 1
Barah terhad kepada buah pinggang sahaja dan ia boleh dikeluarkan sepenuhnya dengan pembedahan.
Tahap 2
Barah telah mula merebak ke luar buah pinggang kepada struktur berdekatan seperti tisu lemak, tetapi ia masih berkemungkinan untuk di buang sepenuhnya dengan pembedahan. Tiada penglibatan kelenjar limfa
Tahap 3
Tumor telah merebak ke luar buah pinggang; sama ada kerana tumor telah pecah sebelum (atau semasa) pembedahan, telah merebak ke nod limfa atau tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya melalui pembedahan.
Tahap 4
Tumor telah merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain seperti paru-paru, hati, tulang dan otak. Ketumbuhan yang merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain di panggil metastasis.
Tahap 5
Terdapat ketumbuhan di kedua-dua buah pinggang.
Jika tumor datang kembali selepas rawatan awal, ia di panggil barah berulang atau relapse.
Rawatan
Kanak-kanak yang menghidap kanser perlu dirawat di hospital yang mempunyai pakar onkoloji kanak kanak . Rawatan ini melibatkan pasukan pelbagai disiplin termasuk pakar onkologi pediatrik, pakar bedah kanak-kanak, pakar radioloji, pakar jantung, pakar radioterapi, pakar kaji penyakit serta pegawai kebajukan perubatan dan pakar dietetik.
Rawatan akan bergantung kepada beberapa faktor termasuk bagaimana sel-sel muncul di bawah mikroskop (histologi) dan peringkat tumor. Rawatan termasuk pembedahan, kemoterapi dan / atau radioterapi.
- Pembedahan
Semua kanak-kanak yang menghidap tumor Wilm perlu menjalani pembedahan. Ketumbuhan perlu di buang sama ada sebelum rawatan kemoterapi sekira saiz ketumbuhan itu kecil atau selepas beberapa kitaran kemoterapi untuk mengecutkan barah tersebut. Pembedahan biasanya melibatkan pembuangan seluruh buah pinggang yang terjejas (nephrectomy). - Kemoterapi
Kemoterapi ialah penggunaan ubat anti-kanser (sitotoksik) untuk memusnahkan sel-sel barah. Ia biasanya diberikan sebagai suntikan atau titisan ke dalam vena (intravena). Kemoterapi diberikan sebelum pembedahan dipanggil kemoterapi neoadjuvant.
Bilangan, jenis dan tempoh rejimen kemoterapi bergantung kepada analisa tisu buah pinggang terbabit dan tahap penyakit. Pakar onkologi pediatrik akan menjelaskan secara terperinci rawatan serta kesan-kesan sampingan yang berpotensi daripada pelbagai ubat-ubatan yang digunakan. - Radioterapi
Radioterapi merawat kanser dengan menggunakan sinaran bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser. Tidak semua kanak-kanak yang menghidap tumor Wilm memerlukan radioterapi. Anak anda akan di rujuk kepada Pakar radioterapi sekiranya di perlukan.
Rawatan untuk tumor Wilm tahap 5
Dalam kira-kira 1 dalam 20 kes (5%), tumor Wilm melibatkan kedua-dua buah pinggang. Rawatan biasanya melibatkan pembedahan untuk kedua-duanya. Tujuan rawatan adalah untuk membuang sebanyak kanser yang mungkin dan dalam masa yang sama memastikan sebanyak mungkin tisu yang normal di pelihara. Kemoterapi perlu diberikan. Kadang-kadang radioterapi juga diperlukan.
Kesan-kesan sampingan rawatan
Kemoterapi dan radioterapi membawa risiko kesan sampingan, samada dalam masa terdekat atau pada jangka masa panjang.
- Kesan awal kemoterapi
Kesan-kesan awal seperti loya-loya, muntah, keguguran rambut, lebam-lebam dan berdarah, keletihan, cirit-birit dan jangkitan kuman. - Kesan sampingan yang lewat
Sebilangan kecil kanak-kanak mungkin mengalami kesan sampingan jangka masa panjang. Ini termasuk pertumbuhan tulang yang lambat, gangguan pada fungsi jantung dan paru paru dan sedikit peningkatan dalam risiko mereka mendapat kanser lain di kemudian hari. Ketidaksuburan adalah satu kesan sampingan, walaupun ini jarang berlaku.
Prognosis/ Peluang untuk sembuh
Peningkatan dalam diagnosis dan rawatan tumor Wilm telah meningkatkan prospek atau prognosis kanak-kanak dengan penyakit ini. Secara umumnya, prognosis untuk ketumbuhan ini adalah sangat baik. Peluang untuk sembuh sepenuhnya untuk tumor Wilm yang mempunyai histologi yang baik kini melebihi 90%.
Pusat Rawatan kanser kanak kanak di Malaysia
- Lembah Kelang
– Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur
– Pusat Perubatan University Malaya (PPUM)
– Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)
– Pusat Perubatan Sime Darby (swasta) - Hospital Ipoh
- Hospital Pulau Pinang
- Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu
- Hospital Wanita dan kanak kanak, Likas, Sabah
- Hospital Umum Sarawak, Kuching
- Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian ( HUSM)
Last Reviewed | : | 18 November 2015 |
Writer | : | Dr. Che Hadibiah bt Mohd Razali |
Translator | Dr. Che Hadibiah bt Mohd Razali | |
Accreditor | : | Dr. Eni Juraida bt. Abdul Rahman |