Pengenalan
Keluarga adalah entiti asas selepas individu. Tonggak dalam sesebuah keluarga adalah mereka yang paling tua. Masyarakat timur menghormati senioriti dalam keluarga walaupun ahli keluarga berkenaan uzur dan tidak berupaya. Daripada 26 juta rakyat Malaysia, tujuh peratus atau 1.75 juta adalah warga tua atau warga emas. Kementerian Kesihatan Malaysia mentakrifkan usia warga emas adalah mereka yang berumur 60 tahun. Kadar itu lebih rendah berbanding Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 65 tahun. Negara ini akan mengalami penuaan penduduk pada tahun 2020 apabila peratusan penduduk warga emas berumur 60 tahun ke atas akan meningkat kepada tujuh peratus atau 2.1 juta daripada jumlah penduduk 33.4 juta.
Definisi
Sindrom Empty Nest ini merujuk kepada perasaan kemurungan, sedih atau kesedihan yang dialami oleh warga emas semasa anak-anak mulai meninggalkan rumah. Sindrom ini kebiasaannya berlaku dikalangan kaum wanita berbanding kaum lelaki.
Kira-kira 23 peratus tau 538,000 daripada 2.4 juta warga emas di Malaysia mengalami sindrom Empty Nest iaitu rasa sunyi dan sedih akibat tinggal bersendirian di kawasan luar Bandar dan berjauhan daripada anak-anak.
Gejala – gejala sindrom ini ialah merasa dirinya tidak memberi manfaat dan hidupnya telah berakhir, menangis secara berlebihan, dan merasa begitu sedih sehingga tidak bergaul dengan rakan-rakan.
Punca
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar)Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara(LPPKN), Dr Anjli Doshi- Gandhi, berkata peningkatan kes sindrom Empty Nest perlu diberi perhatian kerana ia juga dikenal pasti punca kepada masalah mental dan tekanan yang kebiasaannya melanda warga emas wanita.
Sindrom ini terjadi apabila anak-anak berhijrah ke tempat yang lebih membangun sama ada untuk mencari pekerjaan selari dengan kepesatan ekonomi, melanjutkan pelajaran ataupun sudah berkahwin.
Justeru, ibu bapa rasa kekosongan, kesunyian hingga mendorong mereka mengalami kesan sampingan seperti kemurungan. Dr.Anjli berkata, penemuan itu adalah berdasarkan hasil Kajian Penduduk Keluarga Malaysia(KPKM) kali ke 4 oleh LPPKN serta dipadankan dengan hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Kajian itu membabitkan 18,875 rumah dengan menemubual 11,401 penghuni termasuk 1,081 warga emas.
Senario Kes
Menurut Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah, Lembaga Zakat Selangor (LZS), ketidaktentuan emosi warga emas terutama yang tersisih dan dipinggirkan keluarga merupakan cabaran utama yang perlu diharungi oleh petugas di situ. Pusat jagaan ini menempatkan seramai 31 penghuni iaitu seramai 15 lelaki manakala 16 wanita berusia 60 tahun dan ke atas. Kebanyakan warga emas di sini dihantar oleh anak-anak keranatiada masa dan tiada sesiapa menjaga di rumah.
Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya
- Keagamaan dan pendidikan
- Berkebun
- Memasak
- Sukan
- Terapi dan pemulihan
- Fisioterapi
- Kesihatan
- Khidmat sosial
Cara Menangani
- Bagi membendung sindrom ini LPPKN telah membina Pusat Anjung Interaksi Rekreasi Intervensi dan Sokongan (AIRIS) sebagai tempat kaunseling, terapi dan sokongan psikososial kepada keluarga dan komuniti setempat di Bertam, Pulau Pinang, Selayang Selangor dan Seremban 2, Negeri Sembilan.
- Anak-anak perlu meluangkan masa bersama ibu bapa supaya mereka rasa lebih dihargai dengan menjaga atau meraikan hari-hari tertentu seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Ulangtahun kelahiran dan perkahwinan bersama-sama.
- Kaunseling juga boleh diberikan supaya ibu bapa warga emas ini menganggap ini adalah realiti kehidupan dan mereka harus bersedia menghadapinya.
- Terapi kucing juga berkesan dalam menangani sindrom ini. Ini kerana hubungan persahabatan antara manusia dan kucing dapat membantu mereka yang kesepian. Hanya dengan memiliki kucing di rumah dan menghabiskan masa bersama dapat membantu mengurangkan rasa sunyi.
Semakan Akhir | : | 16 Januari 2017 |
Penulis | : | Pn. Yusfaiza bt. Abd. Halim |
Akreditor | : | Tn. Hj. Hairol b. Abdul Rahman |