A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anak Tidak Bekerjasama Untuk Rawatan Pergigian

Sejumlah besar kanak-kanak terlalu takut dengan rawatan pergigian, yang mana ini telah menyebabkan kanak-kanak ini susah untuk menerima rawatan pergigian secara konvensional. Terdapat beberapa teknik untuk membantu anak-anak anda lebih menerima rawatan pergigian.

 

Teknik Pengendalian Tingkahlaku Secara Farmakologi Di Kalangan Kanak-Kanak

Sejumlah besar kanak-kanak terlalu takut dengan rawatan pergigian, yang mana ini telah menyebabkan kanak-kanak ini susah untuk menerima rawatan pergigian secara konvensional. Terdapat beberapa teknik untuk membantu anak-anak anda lebih menerima rawatan pergigian, samada secara bukan-farmakologi atau farmakologi (penggunaan ubatan).

Ada beberapa kaedah farmakologi yang boleh digunakan untuk menangani ketakutan terhadap rawatan pergigian. Kaedah yang biasa digunakan untuk kanak-kanak adalah sedasi sedar dan bius umum.

Sedasi Sedar

Sedasi secara sedar adalah penggunaan sejenis dadah penenang yang diberikan untuk mengurangkan rasa takut serta menenangkan kanak-kanak semasa menerima rawatan pergigian. Semasa sedasi secara sedar ini diberikan, anak anda masih boleh mengekalkan komunikasi lisan sepanjang tempoh sedasi tersebut.

Tidak seperti bius umum, kaedah sedasi sedar ini tidak bertujuan untuk membuatkan anak anda menjadi tidak sedar.

Kaedah ini membenarkan anak anda untuk bernafas seperti biasa dan boleh memberi respon dengan baik, samada kepada rangsangan fizikal atau pun arahan lisan.

Sedasi secara sedar ini boleh diberikan dalam beberapa cara:-

  1. Sedasi inhalasi
  2. Sedasi oral
  3. Sedasi intravena

Apakah Itu sedasi inhalasi?

  • Sedasi secara inhalasi ataupun pernafasan adalah satu kaedah sedasi menggunakan campuran dua jenis gas iaitu oksigen dan nitrous oxide (N2O), yang disedut melalui alat yang diletakkan di hidung.
  • N2O ini juga dikenali sebagai ‘laughing gas’ atau ‘happy gas’
  • Apabila gas ini disedut melalui pernafasan dan menyerap ke dalam sistem badan, gas N2O ini akan memberikan rasa ketenangan secara alami. Kesan ini hanya akan dirasakan sepanjang rawatan pergigian dijalankan
  • Anak anda TIDAK akan tertidur dan akan sentiasa sedar dengan keadaan sekeliling.
  • Anak anda juga akan merasa seperti ransangan kegelian diseluruh badan
  • Setelah tamat rawatan pergigian, gas N2O akan disingkirkan dari sistem badan sepenuhnya selepas bernafas dengan 100% gas oksigen

Apakah kelebihan N2O?

  • Bertindakbalas dengan cepat dan ada proses berbalik
  • Boleh dilaras kepekatannya
  • Meningkatkan keberkesanan komunikasi serta kerjasama pesakit
  • Meningkatkan toleransi disepanjang rawatan pergigian yang memerlukan masa yang panjang
  • Mengurangkan masalah menjeluak (gagging)
  • Mengurangkan atau menghilangkan perasaan takut
  • Tiada kesan “hangover”
  • Tiada suntikan diperlukan
  • Sangat selamat dan disingkirkan dari sistem badan dengan cepat
  • Tidak bersifat alergik
  • Tiada rasa sakit semasa gas diberikan

Apakah kekurangan N2O?

  • Bergantung hampir sepenuhnya kepada penekanan psikologi
  • Anak anda mestilah bernafas sepenuhnya melalui hidung
  • Sekiranya anak anda tidak boleh bernafas melalui hidung (mungkin kerana dia lebih selesa bernafas melalui mulut atau dia mengalami hidung tersumbat), kaedah ini tidak boleh digunakan
  • Sesetengah kanak-kanak tidak mencapai tahap sedasi dengan had oksigen minimum yang dibenarkan
  • Tidak sesuai untuk kanak-kanak yang tidak mahu bekerjasama dalam pemakaian topeng hidung
  • Perasaan loya boleh terjadi, walaupun ianya sangat jarang berlaku
 

Bolehkan anak saya makan sebelum menerima N2O?

  • Anak anda mungkin akan rasa tidak selesa dan muntah. Oleh itu, elakkan pengambilan makanan berat dan berminyak sebelum mendapatkan rawatan sedasi ini.
  • Hanya berikan makanan yang ringan atau minum sahaja beberapa jam sebelum sedasi diberikan

Bagaimanakah N2O ini diberikan?


Sumber : www.smileandshinergv.com
 

Happy gas ini diberikan kepada pesakit melalui satu peralatan yang ringkas.

Campuran gas N2O dan oksigen ini disalurkan melalui tiub yang bersambung kepada topeng hidung.

Topeng hidung ini diletakkan pada hidung anak anda, yang mana anak anda akan bernafas seperti biasa.

Sedasi Oral

  • Kanak-kanak yang tidak boleh memberi kerjasama dan sangat takut serta tidak dapat mengawal otot mereka untuk jangkamasa yang agak lama mungkin sesuai diberikan sedasi oral.
  • Ubat sedasi oral ini diberikan dalam bentuk pil, tablet atau pun cecair, sejurus selepas anak anda tiba di klinik.
  • Kaedah ini juga tidak membuat anak anda tidur sepenuhnya, tetapi hanya membuat mereka berasa lebih tenang dan rileks.

              

 

Apakah kelebihan sedasi oral?

  • Mudah dan cepat
  • Tidak mahal
  • Selamat jika mengikut dos yang ditetapkan

Apakah kekurangan sedasi oral?

  • Ubat atau dadah tersebut tidak boleh dititratkan
  • Lambat memberikan kesan
  • Dos yang tinggi dan pengambilan ubat-ubat lain bersamanya adalah meningkatkan risiko
  • Tiada ubat oral untuk proses berbalik

Sebelum temujanji anak anda;

  • Pakaikan anak anda dengan pakaian yang longgar dan selesa
  • Kurangkan makanan dan minuman beberapa jam sebelum sedasi. Berpuasa adalah lebih baik kerana ia dapat mengelakkan risiko muntah dan seterusnya tersedut muntah kedalam paru-paru.
  • Bersedia untuk bersama anak anda di sepanjang rawatan dan juga selepas rawatan.

Sedasi Intravena (IV)

Sedasi IV adalah satu kaedah di mana ubat sedasi dimasukkan ke dalam badan melalui saluran vena sepanjang rawatan pergigian. Proses ini hendaklah dilakukan dan dipantau oleh pegawai perubatan yang terlatih.

Bagaimanakah sedasi IV diberikan?


Sumber : www.mofrust.com
 
  • Perkataan intravena bermakna memasukkan ubat/dadah melalui saluran vena.
  • Jarum halus yang dibalut dengan tiub plastik yang lembut dimasukkan ke dalam salur vena anak anda di bahagian belakang tapak tangan.
  • Setelah keseluruhan jarum dan tiub plastik berada di dalam saluran vena, jarum halus akan ditarik keluar perlahan-lahan meninggalkan tiub plastik yang lembut didalam saluran vena.
  • Ubat sedasi dimasukkan melalui tiub plastik yang akan berada disitu disepanjang rawatan.

Apakah kelebihan sedasi IV?    

  • Tindakbalas yang sangat cepat
  • Sangat berkesan dan pasti
  • Tahap sedasi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan sedasi oral dan inhalasi
  • Tidak melibatkan penggunaan tiub saluran pernafasan
  • Agen berbalik mudah diberikan dan memberi kesan yang serta merta

Adakah sebarang kekurangan?

  • Bengkak setempat pada bahagian dimana jarum dimasukkan.
  • Proses pemulihan belum lengkap setelah rawatan pergigian selesai.
  • Kesukaran memasukkan jarum ke dalam saluran vena bagi mereka yang fobia terhadap jarum.

FAKTA MENGENAI SEDASI SEDAR

  • Bagi ketiga-tiga jenis sedasi sedar, tanda-tanda vital seperti kadar denyutan nadi, kadar pernafasan, tekanan darah, suhu badan dan tahap oksigen akan di pantau disepanjang rawatan oleh kakitangan yang bertauliah.
  • Berpuasa adalah amat penting sebelum menjalani rawatan sedasi sedar. Sesetengah jenis makanan mungkin akan menyebabkan kesan sampingan kepada sedasi seperti lambat bertindakbalas serta kesan yang berlainan.
  • Terdapat satu kesan sampingan kepada sedasi oral yang dipanggil “angry child syndrome”. Ia adalah kesan sampingan yang sangat jarang berlaku dan akan pulih seperti sediakala setelah kesan ubat sedasi itu habis.
  • Jangan bawa bersama anak-anak lain semasa temujanji sedasi.

Bius Umum

Terdapat keadaan dimana anak anda langsung tidak boleh memberi kerjasama untuk rawatan pergigian.

Ini adalah keadaan dimana samada anak anda terlalu kecil, atau seorang anak istimewa yang berkeperluan khas, yang mana komunikasi dan kerjasama adalah mustahil, atau pun apabila anak anda memerlukan banyak rawatan pergigian tetapi tidak dapat memberi kerjasama sepenuhnya. Untuk keadaan seperti ini, rawatan di bawah bius umum adalah yang terbaik.

Bius umum adalah satu keadaan dimana pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dan bebas dari merasa kesakitan.

Walaupun kaedah ini mempunyai risiko tersendiri, ia membuatkan anak anda tidak sedar dan tidak tahu akan rawatan yang telah diberikan.


Sumber : www.myhealth.gov.my/en/oral-healthcare-in-special-needs-children/

Siapakah yang memberikan bius?

Bius umum diberikan oleh Pakar Bius. Pakar Bius adalah doktor perubatan yang telah menjalani latihan khusus dan mereka mahir mengendalikan dan memantau pesakit yang diberikan bius umum.

Bius umum dimulakan dengan suntikan pada bahagian saluran vena di tangan. Adakalanya topeng muka juga diperlukan bagi memberi gas yang tertentu.

Pakar Bius tersebut akan berada disisi anak anda sepanjang rawatan diberikan dan akan memantau anak anda dengan teliti.

Setelah anak anda tidur apabila diberi ubat bius umum itu, rawatan pergigian akan dilakukan dan anak anda tidak akan mengingati sebarang rawatan apabila dia telah sedar.

Kenapa penting untuk berpuasa sebelum menjalani bius umum?

Kehadiran makanan atau cecair didalam perut anak anda semasa bius umum diberikan boleh menyebabkan makanan/cecair tersebut naik kebahagian belakang tekak dan seterusnya akan masuk ke dalam paru-paru.

Ini mungkin menyebabkan anak anda tercekik dan boleh menyebabkan kerosakan yang serius kepada paru-paru.

FAKTA MENGENAI BIUS UMUM

  • Doktor gigi hanya akan mengesyorkan kaedah bius umum untuk rawatan pergigian sekiranya betu-betul perlu.
  • Anak anda akan tidur di sepanjang rawatan.
  • Anak anda tidak akan mempunyai sebarang memori mengenai rawatan pergigian tersebut.
  • Anda perlu berada di hospital hampir seharian sehingga kesan bius umum tersebut hilang sepenuhnya dan hanya akan dibenarkan pulang setelah Pakar Bius mengesahkan anak anda selamat untuk dibawa pulang.

Rujukan

  1. American Academy of Pediatric Dentistry. Clinical Practice Guidelines. Guideline on Use of Nitrous Oxide for Pediatric Dental Patients. 2013 Reference Manual V 37 / No 6. 15/16 (pg. 206-210)
  2. Preparing for Your Child’s Sedation Visit. American Academy of Pediatric Dentistry. Resource Section; V 37:No 6 (15/16): pg. 399-400.
  3. www.dentalfearcentral.org/help/sedation-dentistry/laughing-gas/
  4. www.smileandshinergv.com/inhalation-sedation
  5. www.myhealth.gov.my/en/oral-healthcare-in-special-needs-children/

 

Semakan Akhir : 23 Januari 2017
Penulis / Penterjemah : Dr. Jama’iah bt. Hj. Mohd Sharif
Akreditor : Dr. Bahruddin bin Saripudin

Artikel Berkaitan

Snek Terbaik Untuk Gigi Anda

Adakah anda pernah memikirkan sama ada snek yang anda ambil sihat atau memudaratkan kesihatan, khususnya kesihatan gigi? Mungkin sebahagian dari anda sangat prihatin dengan isu ini, sebaliknya mungkin sebahagian lagi tidak peduli.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia