A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Faktor Penolakan Keluarga Terhadap...

Faktor Penolakan Keluarga Terhadap Penjagaan Pesakit Psikiatri

Pengenalan

Individu yang menghadapi masalah kesihatan mental biasanya terlibat dengan gangguan yang melibatkan perubahan pada pemikiran, emosi dan tingkah laku. Gangguan ini akan menyebabkan seseorang individu itu tidak dapat berfungsi seperti individu normal serta akan menjejaskan aktiviti seharian dan memerlukan pengawasan atau penjagaan. Tanda dan gejala ini berbeza-beza mengikut diagnosis penyakit mental tersebut samada neurosis, psikosis mahupun kecelaruan personaliti.

Dalam konteks penjagaan terhadap pesakit psikiatri, peranan penjaga sama ada formal atau tidak formal adalah termasuk memberi sokongan penjagaan fizikal, sosial, emosi, advokasi serta penyeliaan terhadap proses rawatan dan pemulihan pesakit. Artikel ini hanya merujuk kepada penjaga tidak formal iaitu ahli keluarga pesakit. Fungsi yang dilaksanakan lebih merupakan peranan tradisi kesan dari hubungan kekeluargaan tanpa bayaran atau ganjaran kewangan.

Isu Penolakan Penjagaan Pesakit Psikiatri

A. Faktor Sokongan Keluarga

Perubahan pola proses rawatan dan rehabilitasi pesakit yang memerlukan komitmen dan penglibatan keluarga secara aktif merupakan cabaran secara langsung dan tidak langsung dalam penjagaan pesakit psikiatri. Satu kajian di Malaysia (Fatimah et. al. 2009) terhadap penjagaan pesakit mental dalam keluarga dan komuniti mendapati bahawa sebahagian besar daripada penjaga adalah berumur lebih 50 tahun. Justeru dapat dibayangkan bagaimana penjaga berhadapan dengan tekanan untuk menyediakan penjagaan yang sewajarnya berbanding cabaran personaliti pengidap penyakit mental itu sendiri yang mana mereka itu terdiri dari ahli keluarga terdekat. Diagnosis, tanda dan gejala yang unik bagi pengidap penyakit psikiatri memerlukan penjaga mempunyai tubuh badan yang sihat,mempunyai cukup maklumat dan pengetahuan serta mempunyai kekuatan daripada segi emosional dan spiritual selain kewangan yang stabil.
Hal ini di tambah pula dengan perubahan struktur organisasi keluarga dan sosio-ekonomi dalam masyarakat menyebabkan banyak fungsi tradisi keluarga tidak lagi dilaksanakan sepenuhnya oleh keluarga. Bebanan tanggungjawab yang tinggi keatas penjagaan di hadapi oleh keluarga nukleas akibat tiada sokongan dari keluarga luas atau ‘extended family’ apabila berhadapan dengan keperluan penjagaan pesakit yang bertindih dalam satu-satu masa selain mereka perlu sentiasa diawasi tingkahlaku dan perubahan emosinya. Hal ini menuntut penjaganya berada dalam kepekaan yang tinggi.
Faktor tekanan psikologikal terutamanya kerisauan, tekanan, hilang harapan, rasa kehilangan, malu dan rasabersalah terhadap kesan penyakit berulang seperti pesakit akan bersikap agresif, mengamuk atau mengugut ahli keluarga. Terdapat juga ahli keluarga yang berasa malu untuk menjaga pesakit psikiatri kerana cemuhan dan stigma daripada komuniti setempat.
Bagi kebanyak kes, penjaga adalah ibu atau ahli keluarga yang sudah tidak produktif dari segi kefungsian sosial akibat usia tua atau masalah kesihatan sendiri merupakan faktor utama yang menjadi penolak dan tiada penerimaan terhadap penjagaan pesakit psikiatri. Mereka merasa terbeban dan sentiasa risau dengan masa depan ahli keluarga yang menghidap pesakit psikiatri dan keupayaan untuk pesakit berdikari dan menjaga diri sendiri pada masa akan datang kerana persepsi pesakit psikiatri memerlukan penjagaan yang berterusan.
Kesan psikososial juga dihadapi seperti masalah kewangan timbul akibat hilang pekerjaan kerana perlu menjaga pesakit sepenuh masa. Hal ini menyebabkan pengurangan pendapatan keluarga dan pertambahan perbelanjaan keluarga. Ada keluarga yang menolak menjaga pesakit psikiatri kerana mereka tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan seharian dan perbelanjaan pengangkutan untuk pesakit psikiatri menerima rawatan susulan di hospital.

B. Faktor Kebolehsembuhan Penyakit Mental

Kepelbagaian simptom penyakit berulang atau pengawalan impuls diri yang rendah kerap menjadi trauma kepada penjaga. Dalam bidang psikiatri, pesakit yang menjadi agresif dan ganas adalah dianggap perkara yang biasa. Keluarga sering berhadapan dengan situasi ketakutan bilamana sebagai contoh pesakit skizofrenia yang dipengaruhi delusi dan halusinasi, pesakit mental subnormal yang menunjuk ‘temper tantrum’ dan bertindak impulsif. Pesakit sindrom otak organik kronik atau demensia yang berkelakuan destruktif. Pesakit epileptik psikosis mengalami keadaan keliru selepas serangan sawan, pesakit psikiatri yang malingering (berpura-pura sakit untuk tujuan tertentu) atau pesakit depresi yang menyebabkan individu itu mudah tersinggung dan abusif dan lain-lain. Tingkah laku ini boleh mendatangkan akibat yang tidak diingini atau buruk kepada keluarga yang berinteraksi secara langsung dengan pesakit psikiatri. Namun ia dapat juga dikawal jika tindakan segera yang diambil adalah sesuai dan tepat.
Di samping itu ahli keluarga juga berasa tertekan dan hilang harapan apabila pesakit sering mengalami penyakit berulang dan tiada perubahan positif terhadap penyakit walaupun telah beberapa tahun menerima rawatan. Keluarga juga berasa tertekan, marah dan kecewa dengan tingkahlaku pesakit yang sering mengundang masalah dan kacau-bilau sehingga menghilangkan ketenteraman. Adakala mereka berputus asa dalam menjaga pesakit psikiatri dan mahu menghantar mereka ke penempatan atau institusi kebajikan. Wujud segelintir ibubapa yang tidak boleh menerima hakikat anak mereka mempunyai penyakit mental dan berasa malu kerana anak mereka tidak normal seperti anak orang lain. Salah faham dan persepsi negatif mengenai personaliti pesakit psikiatri yang menguasai pemikiran keluarga menyebabkan penolakan yang dominan untuk penjagaan keatas ahli keluarga yang mengidap penyakit psikiatri.
Kegagalan pesakit psikiatri mengekalkan tahap kebersihan ruang dan persekitaran rumah juga memainkan peranan penting di dalam faktor penolakan penjagaan pesakit psikiatri. Manifestasi dari keadaan ini, ada keluarga yang mengasingkan bilik tidur di luar rumah menyebabkan keadaan fizikal tidak sesuai untuk pesakit psikiatri dari segi infrastruktur dan utiliti. Faktor ini mewujudkan suasana tidak selesa kepada pesakit dan ahli keluarga yang lain terutama pandangan saudara-mara dan komuniti setempat. Bagi mengelakkan cemuhan, keluarga mengambil pendekatan tidak mahu memelihara pesakit ini.

C. Faktor Sokongan Sosial Komuniti Setempat

Persepsi bahawa pesakit mental dilabelkan sebagai individu yang perlu diasingkan, merbahaya, sukar berkomunikasi, berkelakuan pelik, menjijikkan serta tidak layak mendapat hak yang sama dengan ahli masyarakat yang lain. Media sering melaporkan berita amuk, bunuh dan lain-lain gangguan sehingga masyarakat memandang pesakit mental adalah orang ‘gila’. Selain tidak memberi sokongan yang sepatutnya ada juga yang sinis, menghina dan memulau ahli keluarga pesakit. Masyarakat malu jika pesakit psikiatri wujud di dalam komuniti mereka. Stigma ini yang masih menghantui pemikiran masyarakat Malaysia. Akhirnya keluarga bersendirian menangani ahli keluarga yang mengalami masalah psikiatri dan penolakan akan berlaku apabila sokongan komuniti setempat langsung tidak diperolehi.
Kajian oleh Mohd Suhaimi et.al. (2012) mendapati 70 peratus daripada keluarga yang menjaga pesakit psikiatri menghadapi masalah stigma sosial iaitu dari segi diskriminasi dan penyisihan sosial. Sekiranya aspek ini dititikberatkan, kesalahfahaman masyarakat dalam menilik dan memandang penyakit mental dapat diubah

Kesimpulan Dan Cadangan

Secara kesimpulannya, penjagaan pesakit psikiatri di rumah bukan sesuatu perkara yang mudah tetapi memberikan tekanan dan beban kepada keluarga. Akses kepada perkhidmatan kesihatan mental secara menyeluruh samada dari pihak kerajaan, NGO dan ahli komuniti perlu ada untuk membangunkan sumber-sumber sokongan yang diperlukan dalam aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan.
Penjaga atau keluarga juga perlu diberi pendedahan dan di libatkan dalam program-program yang diwujudkan dengan kerjasama Agensi Badan Bukan Kerajaan seperti Program ‘Family Link Mental Education’ dengan kerjasama MINDA. Program ‘Parent Support Group’ kerjasama dengan GIAT/Pertubuhan Ibubapa, anak-anak istimewa Johor Bahru. Intervensi Pasukan Multidisiplin dan multi-agensi di harapkan banyak membantu mengatasi masalah penjagaan pesakit psikiatri di dalam masyarakat ketahap kualiti kehidupan yang baik.
Pentingnya ilmu berkaitan penyakit mental supaya masyarakat dapat mengadaptasi, tidak prejudis dan memandang negatif kepada pesakit dan keluarga. Pendidikan tentang penyakit mental perlu disebar luas dan tindakan yang wajar dan mantap perlu dilaksanakan dalam menarik minat masyarakat dan kumpulan-kumpulan sukarelawan. Sekiranya masyarakat dan kumpulan sukarelawan bergerak aktif ini secara positifnya dapat memberi sokongan kepada mereka. Dengan kaedah dan cara yang tepat, pesakit psikiatri dapat berada dan berinteraksi dengan masyarakat dengan baik dan proses pemulihan akan berlangsung dengan sempurna.

Program Kesedaran Penyakit Mental Bersama Badan Bukan Kerajaan MINDA di Johor

Rujukan

1. Mohd Suhaimi, M., Sheau,T.C., Norulhuda,S.,Fauziah, I.,Khadijah, A.,Noremy,M.A. (2012). Manifestasi penjagaan keluarga: Tekanan Psikologikal dalam menjaga pesakit mental. Journal of Social Sciences and Humanities, 7(1), 59-75.
2. Fatimah. A., Nur Saadah, M.A., Mohd. Suhaimi,M., Nor Jana. S.(2013). Fungsi Keluarga dalam penjagaan pesakit mental: Kajian kes di Klinik Kesihatan Kg. Simee Ipoh, Perak. Journal of Psychology & Human Development, 1(1), 57-72.
3. Linda,E., Rose, R.,Kevin, M., Benita, W.M.(2004). Barriers to Family Care in Psychiatric Settings. Journal of Nursing Scholarship, 36(1), 39-47.
4. Hiroaki. M., Hisateru.T.,Tadashi,T.(2008). Providing support to psychiatric patients living in the community in Japan:patient needs and care providers perceptions. International Journal of Mental Health Systems, 2(5), 1-5.

Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Pn. Rizawati Binti Samsury
Akreditor : Pn. Sorihayati Binti Bai

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,827

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia