Adakah Epilepsi Dan Sawan Adalah Sama?
Epilepsi ialah suatu keadaan di mana terdapat gangguan gelombang otak. Gangguan gelombang otak ini akan menyebabkan pesakit mendapat serangan sawan.
Epilepsi adalah berbeza dengan sawan. Sawan merupakan simptom epilepsi. Sekali terkena serangan sawan tidak bermakna anda menghidap epilepsi.
Apakah Itu Diet Ketogenik?
Diet ini popular pada awal tahun 1920-an untuk merawat pesakit epilepsi. Namun dengan perkembangan perubatan dan pertambahan pelbagai ubat anti-epileptik, diet ini menjadi semakin kurang popular dan kekurangan pakar yang mahir dalam diet ini.
Diet ketogenik adalah satu diet perubatan khas yang merangkumi:
- tinggi dengan lemak
- membekalkan cukup protein
- sangat rendah dengan karbohidrat.
Diet ini kembali menjadi amalan dan digunakan dalam rawatan epilepsi pada awal tahun 1990-an apabila seorang kanak-kanak berjaya bebas daripada 100 kali serangan sawan sehari setelah mendapat rawatan melalui diet ketogenik.
Bagaimanakah Diet Ini Bertindak?
Sebelum kita memahami bagaimana diet ketogenik bertindak, adalah lebih baik untuk kita tahu serba sedikit mengenai diet ‘normal’ atau diet harian kita. Terdapat 3 jenis kumpulan makanan yang membekalkan nutrisi kepada tubuh.
Jenis kumpulan makanan | Contoh |
---|---|
Karbohidrat | Nasi, mi, mihun, pasta, roti, bijirin dan biskut |
Protein | Ikan, ayam, daging, susu dan hasil tenusu, soya dan hasil soya |
Lemak | Minyak, mentega, marjerin dan krim. |
Kebiasaannya, tubuh akan menggunakan glukosa (sejenis gula) sebagai sumber tenaga yang utama. Glukosa ini diperoleh melalui makanan yang tinggi karbohidrat seperti nasi, mi, mihun, roti, pasta dan biskut.
Namun, diet ketogenik menggunakan lemak sebagai sumber tenaga yang utama dan akan menyebabkan tubuh menghasilkan keton. Apabila keton dihasilkan, keadaan ini dipanggil sebagai ketosis. Diet ini menyerupai tindak balas mereka yang dalam kebuluran. Sesetengah pesakit epilepsi dapat menghalang kejadian sawan apabila tubuh menghasilkan keton.
Siapakah Yang Sesuai Untuk Diet Ketogenik?
Diet ketogenik digunakan untuk pesakit epilepsi yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan atau pembedahan. Kebiasaannya lebih diamalkan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan remaja.
Diet ini memerlukan usaha yang lebih kerana terdapat banyak pengiraan perlu dilakukan dan pilihan makanan turut terhad serta memerlukan disiplin yang tinggi.
Memandangkan makanan adalah salah satu aktiviti sosial dan selalunya berkait dengan kebudayaan atau agama, pilihan makanan yang terhad boleh memberi tekanan kepada pesakit atau penjaga. Kegagalan mematuhi preskripsi diet ini sepenuhnya akan menyebabkan rawatan tidak berkesan.
Tidak semua jenis epilepsi akan memberikan kesan terhadap rawatan melalui diet ketogenik.
Jadual di bawah menjelaskan kesesuaian beberapa jenis diagnosis terhadap diet ketogenik:
Indikasi | Kontraindikasi |
---|---|
1. Rawatan pilihan untuk :
|
1. Kontraindikasi Mutlak :
|
2. Epilepsi yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan, termasuk :
|
2. Kontraindikasi Relatif :
|
3. Epilepsi yang tidak dapat dikawal disebabkan oleh penyakit :
|
|
4. Febrile illness related epilepsy syndrome (FIRES) | |
5. Sesetengah penyakit metabolik |
Bagaimanakah Keberkesanan Diet Ini Dalam Mengawal Atau Mengurangkan Sawan?
Diet ini telah menunjukkan pengurangan serangan sawan yang signifikan terhadap pesakit epilepsi yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan.
Walau bagaimanapun, tidak semua pesakit memberi tindak balas yang sama terhadap diet ini.
Ada pesakit yang menunjukkan keberkesanan dalam rawatan haya dalam masa beberapa minggu dan ada yang lebih lambat dari itu. Kebiasaannya, diet ini akan dijalankan selama 3 bulan untuk melihat keberkesanannya.
Keberkesanan diet ini tidak merosot walaupun sudah beberapa tahun diamalkan. Kawalan sawan juga boleh bertahan selama beberapa tahun berikutnya walaupun sudah berhenti daripada mengamalkannya atas beberapa keadaan.
Apakah Terdapat Jenis-Jenis Diet Ketogenik?
Secara amnya terdapat 4 jenis diet ketogenic iaitu
-
- classical ketogenic diet (CKD)
- medium-chain triglycerides ketogenic diet (MCTKD)
Kedua-dua jenis diet ini menunjukkan keberkesanan yang hampir sama.
Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat 2 jenis diet lagi telah dibangunkan untuk rawatan epilepsi iaitu :
- modified Atkins diet (MAD)
- low glycaemic index treatment (LGIT)
Gambaran perbandingan peratus pengambilan nutrisi mengikut jenis-jenis diet :
Adakah Cara Pemakanan Ini Sihat Untuk Anak Saya?
Diet ketogenik merupakan diet yang memerlukan sekatan dan ia bukanlah diet yang lengkap. Anak anda memerlukan tambahan suplemen:
- multivitamin
- mineral
- kalsium.
Pakar Dietetik akan menilai keperluan nutrisi, membantu ibu bapa merencana jumlah jenis makanan yang perlu diambil sehari dan juga resepi harian untuk memastikan anak anda mendapat khasiat yang diperlukan.
Bagaimanakah Kesihatan Anak Saya Dipantau?
Memandangkan diet ini adalah diet perubatan khas, diet ini hanya boleh dimulakan dengan pantauan rapi pakar neurologi pediatrik dan pakar dietetik.
Ibu bapa perlu hadir untuk setiap sesi temu janji dengan Pakar Neurologi Pediatrik dan Pakar Dietetik. Pemeriksaan rutin akan dijalankan dan penilaian status pemakanan akan dilakukan dari semasa ke semasa.
Jika diet ini dipatuhi dengan berhati-hati, kebiasaannya anak anda tidak akan mengalami masalah berlebihan berat badan atau meningkatkan risiko sakit jantung.
Bagaimanakah Diet Ketogenik Dipantau?
Salah satu kaedah untuk memastikan lemak digunakan sebagai sumber tenaga adalah dengan menguji kehadiran keton dalam air kencing. Ujian boleh dilakukan dengan mencelup urine ketone analysis stick ke dalam air kencing anak anda. Ujian ini boleh juga dijalankan walaupun pesakit menggunakan lampin.
Di samping itu, ujian darah juga boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran keton dalam tubuh
Adakah Diet Ketogenik Mempunyai Kesan Sampingan?
Terdapat beberapa laporan mengenai kesan sampingan diet ketogenik. Ini kerana diet ini bukanlah diet organik atau diet sihat.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kesan sampingan yang dilaporkan boleh dirawat seperti hiperkolesterolemia, kekurangan mineral, sembelit dan kehilangan berat badan.
Bagaimanakah Anak Saya Boleh Memulakan Diet Ketogenik?
Di Malaysia, diet ketogenik baru sahaja dimajukan bermula pada tahun 2006 dan hanya beberapa hospital sahaja yang menawarkan kepakaran ini. Ibu bapa yang ingin menerokai tentang kemungkinan anak anda akan memulakan diet ini, perlu merujuk Pakar Neurologi Pediatrik anda terlebih dahulu.
Rujukan
- Kossoff EH, Wang HS. Dietary therapies for epilepsy. Biomed J. 2013;36:2-8.
- Kossoff EH, Zupec-Kania BA, Amark PE,et al, Optimal clinical management of children receiving the ketogenic diet: recommendations of the International Ketogenic Diet Study Group. Epilepsia. 2009 Feb;50(2):304-17.
- Liu YC, Wang HS. Medium-chain triglyceride ketogenic diet, an effective treatment for drug-resistant epilepsy and a comparison with other ketogenic diets. Biomed J. 2013;36:9-15.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Sharifah Mariam binti Syed Zainal Abidin |
Akreditor | : | Dr. Khoo Teik Beng |
Penyemak | : | Nik Mahani binti Nik Mahmood |