A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Cabaran Menangani Masalah Pergaulan...

Cabaran Menangani Masalah Pergaulan Bebas Remaja

Pengenalan

Cabaran Dalam Menangani Masalah Pergaulan Bebas Di Kalangan Remaja Sekolah

Masalah pergaulan bebas di kalangan remaja sekolah telah lama dibincangkan dan menjadi salah satu isu sosial penting di negara ini. Pelbagai pihak di setiap lapisan masyarakat memandang isu ini sebagai satu masalah yang perlu ditangani secara holistik kerana remaja merupakan generasi yang akan mewarisi negara. Jika kita tidak dapat melahirkan generasi akan datang yang berwibawa maka pincanglah masa depan negara yang kita cintai ini. Daripada perspektif ibubapa dan guru pula, masalah pergaulan bebas di kalangan remaja mencerminkan kegagalan kita untuk melahirkan anak-anak remaja yang bakal menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Namun begitu, hasil kajian-kajian yang telah dijalankan oleh para penyelidik serta pemerhatian masyarakat sendiri mendapati cabaran dalam menangani masalah ini perlu ditangani bersama oleh semua peringkat, bukannya tertumpu kepada mana-mana individu atau agensi.

Teenager listening to mother speak

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Masalah Pergaulan Bebas Di Kalangan Remaja Sekolah

  • Diri Remaja Sendiri

Semasa di peringkat remaja, manusia mengalami perkembangan fizikal dan emosi yang sangat ketara berbanding di peringkat kanak-kanak. Waktu remaja merupakan titik permulaan kepada kemahuan untuk merasai kebebasan. Kebebasan yang dimaksudkan adalah dari aspek fizikal dan emosi, yang mana remaja tidak mahu dikongkong pergerakannya serta pemikirannya. Kemahuan sedemikian seringkali menjadi punca remaja mudah terpengaruh dengan pergaulan bebas yang akhirnya mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.

Pada usia remaja juga kita akan mengalami perasaan ingin tahu serta kehendak mencuba perkara-perkara baru dalam hidup. Dorongan perasaan ini jika tidak dibimbing dengan pemikiran yang waras akan menyebabkan remaja mencuba perkara-perkara negatif walaupun telah mengetahui kesan buruknya sejak awal lagi.

Seorang anak remaja sering dianggap boleh berdikari serta tidak memerlukan pengawasan daripada ibubapa berbanding semasa di peringkat kanak-kanak. Tanggapan ini kadangkala menyebabkan ibubapa terlepas pandang untuk memberikan perhatian kepada anak remaja terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak-anak lain yang masih kecil. Oleh itu remaja yang menginginkan perhatian ini telah beralih kepada individu lain bagi mengisi kekosongan tersebut.

Pegangan agama dan amalan kerohanian yang lemah juga adalah faktor penting yang mendorong remaja untuk terlibat dalam pergaulan bebas. Kecenderungan untuk bergaul dengan rakan-rakan tanpa sempadan jantina dan usia akan menyebabkan remaja terus hanyut dengan cara hidup yang terbuka dan enggan menerima agama sebagai panduan hidup.

  • Keluarga

Keluarga mempunyai peranan yang sangat besar terhadap perkembangan anak remaja. Remaja yang sering menerima tekanan dan tidak mendapat kepercayaan daripada ahli keluarga sering memilih untuk keluar dari rumah bagi mengelakkan masalah. Sebaliknya, keluarga yang mampu memberikan kasih sayang yang mencukupi akan menyebabkan remaja merasai dirinya lengkap bersama-sama dengan keluarga.

Kaedah penjagaan anak-anak yang terlalu mudah menghukum atau pilih kasih akan menyebabkan remaja memberontak serta memilih untuk menjauhkan diri dari ahli keluarga. Berbeza dengan ibubapa yang cuba memahami anak remaja serta berusaha untuk menjadi rakan kepada anak mereka sendiri, akan mendapat kepercayaan daripada anak-anak untuk menjadi tempat perluahan masalah sekaligus mengurangkan risiko anak-anak untuk bergaul rapat dengan orang lain yang tidak dikenali.

Konflik dalam keluarga turut memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi remaja untuk menjauhi keluarga serta mencari teman rapat atau pasangan di luar. Masalah dalam perkahwinan, kewangan, pekerjaan ibubapa dan ahli keluarga lain adalah antara isu yang dikenalpasti menjadi konflik dalam keluarga. Kegagalan ibubapa dan ahli keluarga menangani permasalahan yang wujud menyebabkan remaja lebih selesa untuk berada di luar rumah.

Kekurangan masa yang diperuntukkan oleh ibubapa terhadap anak-anak remaja juga menyebabkan mereka memilih untuk menjalinkan hubungan dengan pasangan. Senario kehidupan hari ini yang memerlukan ibubapa bekerja lebih masa, menjalankan lebih dari satu pekerjaan serta pekerjaan jarak jauh mengurangkan lagi masa berkualiti yang mampu diluangkan oleh ibubapa bersama dengan anak-anak.

  • Sekolah

Waktu persekolahan memberikan impak besar dalam kehidupan remaja kerana dalam sehari sekurang-kurangnya 6 jam akan diperuntukkan oleh remaja di sekolah. Kaedah pengajaran, kawalan disiplin serta persekitaran di sekolah amat menyumbang kepada pembentukan sahsiah diri remaja seterusnya menjauhi mereka dari perlakuan negatif seperti ponteng sekolah dan pergaulan bebas. Namun begitu dalam perkara ini tidak dinafikan disiplin serta jati diri remaja sendiri diperlukan untuk mereka memilih antara yang baik dan yang buruk terutamanya kerana pelajaran adalah jaminan untuk masa depan.

Selain itu pihak sekolah yang gagal memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti bermasalah dalam pelajaran serta kelakuan menyebabkan golongan remaja ini terpinggir dan tiada bimbingan. Hubungan rapat di antara pihak sekolah dan ibubapa seharusnya menjadi kekuatan untuk menangani pelajar yang bermasalah agar pelajar mencari penyelesaian di dalam dua sistem sokongan ini sahaja dan bukannya mencari individu lain sebagai jalan keluar.

  • Rakan Sebaya

Rakan sebaya yang baik akan mengajak serta mempengaruhi remaja ke arah perkara-perkara yang berfaedah. Namun begitu, rakan sebaya yang juga terlibat dalam masalah sosial sering berjaya mempengaruhi rakan yang lain kerana usia yang hampir sama membolehkan kepercayaan diperolehi dengan mudah. Rakan sebaya yang berkongsi masalah yang sama menyebabkan remaja merasakan rakan adalah orang yang paling memahami dirinya dan mengetahui jalan penyelesaian terbaik, sedangkan tidak semuanya berkeadaan begitu.

Sebagai anak remaja yang kebanyakannya gemar berkawan secara berkumpulan, remaja juga didapati mudah mengikut ajakan rakan sebaya agar mereka mudah diterima dalam kumpulan. Remaja mahu dikatakan mudah mengikut arus perubahan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan. Oleh yang demikian walaupun adakalanya mereka telah mengetahui keburukan perlakuan tersebut namun remaja masih melakukannya kerana ingin mendapatkan kepercayaan daripada rakan-rakan.

  • Pengaruh Media Sosial

Kemunculan media sosial yang terlalu meluas menyebabkan remaja amat mudah terdedah kepada pelbagai maklumat. Walaupun pengetahuan kini berada di hujung jari sahaja, namun tidak semuanya sesuai untuk diketahui oleh remaja. Masalah keruntuhan akhlak termasuklah pergaulan bebas adalah berpunca daripada maklumat-maklumat tanpa sempadan yang diperolehi oleh remaja. Sebagai golongan yang masih belum mampu untuk menapis maklumat dengan rasional, remaja akan terpengaruh dengan keseronokan yang dipamerkan serta mengambil keputusan untuk berpasangan serta terlibat dalam pergaulan bebas.

Langkah-Langkah Yang Boleh Diambil Bagi Mengatasi Masalah Pergaulan Bebas Di Kalangan Remaja Sekolah

  • Hubungan Berkualiti Di Antara Remaja, Keluarga Dan Guru

Remaja perlu mengimbangkan keperluan emosi diri seperti perasaan ingin tahu dan kehendak untuk berpasangan dengan matlamat hidup iaitu untuk berjaya dalam pelajaran dan mencapai cita-cita yang disemat sejak kecil lagi. Oleh yang demikian, remaja amat memerlukan hubungan yang berkualiti dan dipercayai dengan ahli keluarga dan guru-guru. Apabila hubungan tersebut dapat disemai maka remaja akan memilih untuk berkongsi setiap suka dan dukanya serta tidak memerlukan individu lain bagi mengisi kekosongan emosinya.

  • Memilih Rakan

Sesuai dengan sifat ingin tahu yang tinggi serta gemar untuk berkawan, sudah tentulah remaja akan mudah didampingi oleh ramai rakan-rakan tanpa mengira peringkat usia. Adalah penting bagi seorang remaja untuk mendampingi rakan-rakan yang baik untuk menjadikan diri sendiri menjadi lebih baik. Rakan yang baik akan mengajak remaja untuk belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam pelajaran, mendengar nasihat ibubapa serta menjadikan guru-guru sebagai idola untuk maju dalam kehidupan.

Rakan yang tidak baik pula mendorong remaja untuk mencuba perkara-perkara yang negatif serta tidak mengendahkan nasihat ibubapa dan guru-guru. Rakan yang tidak baik juga akan memperkenalkan remaja dengan orang lain tanpa arah tujuan yang khusus serta sering mengajak melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

  • Elakkan Berpasangan

Pada peringkat remaja, perkembangan fisiologi, emosi dan seksual adalah seiring dan secara tidak langsung menyebabkan wujud perasaan ingin berpasangan. Namun begitu, perlu difahami oleh remaja bahawa pada usia ini tumpuan diperlukan untuk pelajaran bagi memastikan peluang yang lebih baik di masa hadapan.

Sebagai individu yang masih muda, remaja tidak mampu untuk melakukan pelbagai perkara besar dalam satu-satu masa. Sebagai contoh, mempunyai teman wanita atau teman lelaki akan menyebabkan pemikiran remaja banyak tertumpu kepada hubungan tersebut, sekaligus mengurangkan tumpuan kepada pelajaran. Selain itu, dibimbangi juga hubungan tersebut sampai ke peringkat yang melampaui batas pergaulan seperti hubungan seks luar nikah serta mengandung.  

  • Penyediaan Jadual Waktu

Mengatur masa dengan baik merupakan kunci kepada kejayaan. Tidak kira samada individu tersebut masih di peringkat bayi, kanak-kanak, remaja atau dewasa pembahagian masa sangat membantu kita untuk mencapai kesejahteraan dari segi fizikal, mental dan emosi. Remaja yang dapat mengatur masa dengan baik akan mendahulukan perkara-perkara yang penting dan mengenepikan perkara-perkara yang kurang penting.

Pengaturan masa secara bertulis dapat memastikan remaja mengenalpasti adakah aktiviti yang dijalankan setiap hari berfaedah atau tidak serta jangkamasa yang diambil untuk setiap aktiviti tersebut. Secara tidak langsung remaja akan mengetahui apakah aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk dilakukan tidak kira samada di hari persekolahan atau hari cuti, dan akhirnya mengeluarkan aktiviti yang tidak berfaedah daripada jadual waktu tersebut.

  • Kawalan Terhadap Media Sosial

Aspek ini memerlukan kerjasama yang padu di antara remaja sendiri, keluarga, sekolah, masyarakat serta pentadbiran negara. Seperti yang diketahui, dunia tanpa sempadan pada hari ini menyebabkan semua maklumat yang tidak ditapis mampu sampai kepada pengetahuan remaja. Nilai etika, moral, budaya serta ideologi perlu ditapis sendiri oleh remaja sedangkan pengetahuan mereka adalah terbatas dan kemahuan untuk meneroka perkara-perkara baru adalah sangat tinggi. Oleh yang demikian, kawalan terhadap maklumat yang boleh diakses oleh remaja amat perlu. Sebagai ibubapa dan guru, peranan sebagai individu yang terdekat dengan remaja perlu digunakan sebaik mungkin untuk menerapkan kesedaran kepada remaja untuk menjauhi portal-portal media yang memberi pengaruh negatif kepada fikiran dan emosi.

Rujukan

  1. http://www.huffingtonpost.com/kate-russell/why-teenagers-dont-talk-to-their-parents_b_6725700.html
Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Pn. Normadiniatul Shida Bt Mohd Haidin
Akreditor : YM Ku Abdul Halip Bin Hj Ku Yaakob

Artikel Berkaitan

Positioning for Stroke Patients

Stroke occurs when blood supply to part of the brain is interrupted or severely reduced either by a blood clot (ischemic stroke) or burst vessels in the brain (hemorrhagic stroke), depriving brain tissue of oxygen and nutrients causing brain cells.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia