Pengenalan
Penyakit berjangkit merupakan satu masalah Kesihatan Awam di Malaysia. Kejadian penyakit berjangkit perlu dilaporkan bagi mencegah penyakit tersebut daripada merebak dan mengawal penyakit berjangkit itu daripada melarat sehingga menjadi wabak penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia.
Pemberitahuan atau notifikasi wajib kejadian penyakit berjangkit kepada pihak berkuasa telah diperuntukkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit yang telah diwartakan pada tahun 1993 pula telah mewajibkan sebanyak 26 jenis penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi di bawah Undang-undang kesihatan awam itu dengan menggunakan Borang Notis yang khusus.
Definisi penyakit berjangkit
Penyakit berjangkit didefinasikan sebagai penyakit yang boleh merebak kepada orang lain melalui udara, air, makanan atau sentuhan cecair badan yang mengandungi pathogen iaitu agen penyakit. Penyakit berjangkit biasanya disebabkan oleh mikroorganisma seperti bakteria, kulat atau virus yang membiak dalam tisu tubuh
Keperluan melaporkan penyakit berjangkit melalui perundangan
Di bawah Sek 10(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 menyatakan:-
“ Tiap – tiap pengamal perubatan yang merawat atau mendapat tahu tentang wujudnya apa-apa penyakit berjangkit di mana-mana premis hendaklah memberi notis tentang wujudnya penyakit berjangkit itu kepada Pegawai Kesihatan yang paling hampir, seboleh–bolehnya tanpa kelengahan, dalam borang yang ditetapkan oleh peraturan yang dibuat di bawah akta ini”
Siapakah yang perlu melaporkan penyakit berjangkit?
Semua pengamal perubatan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan di klinik dan hospital sama ada kerajaan ataupun swasta wajib melaporkan jika berlaku kejadian penyakit berjangkit.
Apakah penyakit berjangkit yang perlu dilaporkan?
Berdasarkan kenyataan di atas, semua penyakit yang disenaraikan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 perlu dilaporkan dengan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah.
Penyakit yang perlu dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 adalah seperti disenaraikan dibawah :
- Batuk kokol
- Campak
- Chancroid
- Demam denggi dan demam denggi berdarah
- Demam kuning
- Difteria
- Disenteri (semua jenis)
- Jangkitan gonokokal (semua jenis)
- Keracunan makanan
- Kolera
- Kusta
- Malaria
- Plague
- Poliomielitis ( Akut )
- Rabies (Anjing gila)
- Relapsing Fever
- Sifilis ( Semua Jenis )
- Tetanus ( semua jenis )
- Tifoid dan Salmonoloses lain
- Tifus dan Ricketsioses lain
- Tuberkulosis ( semua jenis )
- Viral Encephalitis
- Viral Hepatitis
- Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)
- Ebola
- Human Immunodeficiency Virus Infection (HIV)
- Leptospirosis
- Apa-apa jangkitan mikrobial yang boleh mengancam nyawa
Apakah penyakit berjangkit yang perlu dilaporkan dalam masa 24 jam?
Ada juga penyakit yang disenaraikan di atas yang perlu dilaporkan dalam masa 24 jam. Antara penyakit yang perlu dilaporkan dalam masa 24 adalah seperti di bawah :
- Pertusis
- Demam denggi dan demam denggi berdarah.
- Demam kuning
- Ebola
- Kolera
- Plague
- Poliomyelitis (Akut)
- Rabies (Anjing gila)
- Keracunan Makanan
Apakah kaedah untuk melaporkan penyakit berjangkit ?
Terdapat beberapa kaedah untuk melaporkan (notifikasi) kejadian penyakit berjangkit. Di antaranya adalah melalui telefon, notifikasi bertulis dan notifikasi melalui Aplikasi Komputer (sistem E-Notifikasi).
Notifikasi melalui telefon bermaksud jika sesuatu penyakit itu telah didiagnosa sebagai penyakit berjangkit, Pegawai Perubatan berkenaan perlu melaporkan kes penyakit berjangkit itu melalui telefon ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran. Notifikasi melalui telefon tersebut perlu disusuli dengan Notifikasi bertulis (Borang Health 1) dalam masa 24 jam.
Notifikasi melalui aplikasi komputer (sistem E-Notifikasi) memerlukan Pegawai Perubatan memasukan data kes pesakit terus ke sistem E-Notifikasi. Pegawai Perubatan akan diberi kata laluan tertentu bagi mengakses sistem tersebut, pelaksanaan sistem E-Notifikasi telah mula dilaksanakan pada 2 Januari 2011 bagi menggantikan sistem CDCIS. Sistem E-notifikasi merupakan aplikasi komputer berasaskan web ini boleh diakses melalui URL: http://enotifikasi.moh.gov.my
Aplikasi komputer untuk melaporkan penyakit berjangkit
Sistem E-Notifikasi membolehkan semua fasiliti kesihatan melaporkan kejadian penyakit berjangkit.
Kes penyakit berjangkit akan diinput masuk ke sistem E-Notifikasi oleh pengguna E-Notifikasi. Notifikasi penyakit berjangkit yang dibuat akan dipantau oleh Unit Penyakit Berjangkit di Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dengan kawasan berlakunya sesuatu kes penyakit berjangkit.
Setelah menerima notifikasi sesuatu kes penyakit berjangkit, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran akan membuat penyiasatan kes untuk menentukan punca jangkitan. Pejabat Kesihatan Daerah akan menggerakkan pasukan petugas untuk menjalankan aktiviti pengawalan dan pencegahan bagi sesuatu kes yang dilaporkan. Tujuan utama pemantauan kes melalui sistem E-Notifikasi adalah bagi mencegah dan mengawal perebakan sesuatu kes penyakit berjangkit daripada menjadi wabak yang lebih besar dan untuk mengenal pasti punca jangkitan penyakit tersebut.
Jika seseorang pengamal perubatan atau sesuatu fasiliti kesihatan tidak melaporkan sesuatu kejadian kes penyakit berjangkit, Pejabat Kesihatan Daerah tidak tahu tentang kewujudan kes tersebut dan aktiviti pencegahan dan pengawalan kes tidak dapat dijalankan. Kes penyakit berjangkit tersebut mungkin akan merebak menjadi wabak yang lebih besar dan implikasinya mungkin akan berlaku kematian dan seterusnya akan mengancam nyawa manusia.
Siapakah kumpulan pengguna yang melaporkan penyakit berjangkit ?
Di antara kumpulan pengguna yang terlibat secara langsung dalam melaporkan kes penyakit berjangkit termasuklah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Perubatan dan Kesihatan, Pegawai Epidemiologi, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Perubatan.
Kesalahan dan hukuman jika tidak melaporkan penyakit berjangkit ?
Di bawah seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998, kompaun sebanyak RM 1000 boleh dikenakan oleh Ketua Pengarah atau Pegawai Kesihatan bagi kesalahan tidak melaporkan kejadian penyakit berjangkit. Seksyen 24 di bawah akta ini juga mengenakan Penalti Am dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Rujukan
- Kamus Dewan
- Panduan Notifikasi Penyakit Berjangkit CDCIS
- Case Defination for Infectious Diseases in Malaysia
- Standard Operating Procedure for Potential Infectious Disease
- Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
Semakan Akhir | : | 6 Mac 2017 |
Penulis | : | Azhar bin Ismail |
Akreditor | : | Ooi Poh Keong |