A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesan Rawatan Radio & Kemoterapi Pada Pendengaran

Rawatan radioterapi merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam merawat kanser. Radioterapi adalah sejenis rawatan menggunakan sinaran khas yang dipancarkan pada bahagian tubuh tertentu yang bertujuan untuk mengecutkan sel-sel kanser. Penggunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan kepada organ-organ lain yang berdekatan. Secara tidak langsung, kaedah ini turut merosakkan sel-sel di dalam organ pendengaran.

Rawatan Radio & Kemoterapi

Rawatan radioterapi merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam merawat kanser. Radioterapi adalah sejenis rawatan menggunakan sinaran khas yang dipancarkan pada bahagian tubuh tertentu yang bertujuan untuk mengecutkan sel-sel kanser. Penggunaannya boleh menyebabkan kesan sampingan kepada organ-organ lain yang berdekatan. Secara tidak langsung, kaedah ini turut merosakkan sel-sel di dalam organ pendengaran.

Kemoterapi pula adalah rawatan dengan menggunakan ubat anti kanser bagi mematikan sel kanser.  Rawatan kemoterapi adalah sangat penting kepada pesakit kanser untuk menyekat sel-sel kanser dengan kadar paling maksimum. Dalam proses rawatan ini terdapat ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kerosakan pada sel-sel di dalam organ pendengaran. Antara ubat yang selalu digunakan adalah Cisplatin dan Carboplatin.

Kesan yang paling jelas adalah kehilangan pendengaran pada bunyi nada tinggi. Selain itu, otot-otot dikawasan tersebut lazimnya turut menjadi lemah. Pesakit menghadapi kesukaran untuk memahami perbualan dalam persekitaran yang bising terutama apabila berkomunikasi dengan wanita dan kanak-kanak kerana suara mereka lebih nyaring.

Beberapa Tanda Hilang Pendengaran

Beberapa simptom yang akan dialami adalah seperti berikut;

  1. Anda akan mendengar bunyi seakan pecah dan susah untuk difahami
  2. Anda akan merasa keupayaan mendengar semakin merosot walaubagaimanapun, telinga anda tidak merasa sakit.
  3. Anda juga adakalanya mengalami masalah bunyi berdesing dari dalam telinga (tinnitus) yang berterusan, pening (dizziness) dan rasa tersumbat (fullness).

Apa yang perlu dilakukan jika ada simptom seperti diatas?

  1. Anda dinasihatkan segera mendapatkan perkhidmatan dan pemeriksaan dari Doktor dan Pegawai Audiologi yang bertauliah.
  2. Perlu menjalani ujian untuk menentukan jenis dan tahap masalah pendengaran.

Apakah perkara yang boleh anda lakukan bagi meminimumkan masalah pendengaran kesan dari radioterapi & kemoterapi?

Antara perkara yang boleh anda lakukan adalah seperti berikut:

  1. Anda perlu memaklumkan kepada orang lain yang anda mengalami masalah pendengaran. Berbincang dengan mereka tentang kaedah yang betul untuk berkomunikasi dengan anda, contohnya; menggunakan isyarat badan sebagai kiu, sebut dengan jelas dan bercakap jangan terlalu laju.
  2. Pakai Alat Bantu Pendengaran jika disarankan.
  3. Menghadiri temujanji berkala yang ditetapkan bagi memantau tahap pendengaran.

Peringatan dan Langkah Berjaga-jaga

Segera dapatkan rawatan dari doktor/ profesional kesihatan yang berkaitan, sekiranya:

  1. Anda mula mengalami sakit pada telinga
  2. Demam dan suhu badan anda  melebihi 38 Celcius
  3. Anda mengalami kehilangan penglihatan dan pendengaran secara tiba-tiba.
  4. Anda pengsan dan pitam.
  5. Pening dan muntah yang teruk dan tidak boleh dikawal
  6. Simptom-simptom di atas menjadi semakin teruk walaupun selepas 3 hari menerima rawatan.

Kesimpulan

Rawatan Radioterapi dan Kemoterapi boleh memberi kesan pada pendengaran. Semua pesakit yang menjalani rawatan ini perlu bersedia sekiranya masalah pendengaran berlaku. Bagi pesakit yang telah menjalani radioterapi dan kemoterapi, mereka dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan pendengaran serta mengikuti rawatan susulan yang disarankan oleh Pegawai Audiologi/ Doktor.

Rujukan

  1. Audiology Online (2009) Chemoteraphy can cause Hearing Loss
  2. CancerWise (2008) Hearing Loss from Cancer Treatment
  3. J. Singh et.al (2013) Effect of Radioteraphy on Hearing Thresholds in Patients of Head and Neck Malignancies, Volume 16.Internet Scientific Publication
  4. Kelly Macauley Frost (2012) The True About Chemoteraphy and Hearing Loss
Semakan Akhir : 11 April 2017
Penulis : Sulaiman b. Hamzah
Akreditor : Shahrul Farzul b. Razali

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia