Pengenalan
Dengan memberi kesan kepada paksi hipotalamus-pituitari, kesemua masalah endokrin boleh menjejaskan fungsi gonad sesuatu pasangan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Antara masalah endokrin yang menjejaskan kesuburan adalah tahap prolaktin yang tinggi, ketidak normalan fungsi tiroid (sama ada tinggi atau rendah), sindrom ovari polisistik (disebutkan pada bahagian tersebut), diabetes yang tidak terkawal, serta penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh kegagalan fungsi endokrin yang lain seperti adrenal hyperplasia dan acromegaly.
Tahap prolaktin yang tinggi dikaitkan dengan pertumbuhan dan pembesaran pada kelenjar prolaktin. Dalam kebanyakan keadaan ia akan dapat dikenal pasti semasa pesakit menjalani ujian darah ketika menjalani rawatan kesuburan. Gejala-gejala seperti penghasilan susu ibu dan gangguan pada penglihatan mungkin berlaku walaupun tidak kerap.
Penyakit tiroid sering dialami di kalangan wanita muda. Ketidak normalan fungsi tiroid (sama ada tinggi atau rendah) boleh mengakibatkan kegagalan ovulasi. Mereka yang mempunyai tahap fungsi tiroid yang tinggi bukan sahaja mengalami ketiadaan haid tetapi juga penurunan berat badan. Fungsi kesuburan akan kembali normal dengan kitaran haid yang biasa sebaik sahaja tahap fungsi tiroid menjadi normal dengan bantuan perubatan. Tahap hormon tiroid yang rendah pula bukan sahaja menyebabkan kemandulan tetapi boleh memberi kesan yang negatif kepada perkembangan neurologi janin.
Diabetes yang tidak terkawal boleh menyebabkan fungsi ovari terganggu dan meningkatkan risiko kecacatan kongenital dan komplikasi kehamilan di kalangan wanita. Ia juga boleh menyebabkan masalah ereksi, ejakulasi dan penghasilan sperma di kalangan golongan lelaki.
Oleh itu, adalah penting bagi pasangan untuk mematuhi arahan dan memberikan kerjasama dengan pengamal perubatan ketika menjalani rawatan kesuburan untuk mengoptimumkan peluang mereka untuk hamil dan mendapatkan cahaya mata.
Kelenjar Endokrin Dan Gangguan Kecelaruan Perubatan Yang Berkaitan
- Pituitari – Hiper-prolaktinemia & Akromegali
- Tyroid – Hiper atau Hipotiroidism
- Kelenjar Adrenal – Hiperplasia Adrenal Kongenital
- Pankreas – Diabetes
- Ovari – Sindrom Ovari Polistik
- Kitaran Ovulasi Normal
Rujukan
- Endocrine disorders & female infertility. Best Pract Res Clin Endocrinol Metab. 2011 Dec
- Infertility in Practice. 2nd Edition. Churchill Livingstone
Semakan Akhir | : | 31 Mac 2017 |
Penulis | : | En. Tajul Ariffin Isa |
Akreditor | : | Dr. Noraihan Binti Mohd Nordin |