Pendahuluan
Sumber: Google
“ Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri……… buang yang keruh ambil yang jernih….”
Lagu yang dialunkan oleh Allahyarham P. Ramlee ini sememangnya adalah satu realiti sebenar alam perkahwinan. Tiada perkahwinan yang sunyi daripada mengalami pergolakan atau krisis. Samada kecil atau besar sesuatu konflik yang membawa kepada krisis perkahwinan, semua itu memerlukan intervensi untuk memulihkan keadaan. Terdapat terlalu banyak punca yang membawa kepada konflik perkahwinan samada dari pihak isteri atau suami.
Teknologi telekomunikasi canggih masakini telah berjaya menjadikan dunia ini seperti langit tanpa sempadan. Manusia boleh saling berhubung jauh dan dekat diseluruh dunia dan menjejak kembali kawan-kawan lama yang telah terpisah puluhan tahun. Terdapat kesan baik dan buruk apabila manusia saling berhubung. Kesannya kepada perkahwinan memberikan implikasi yang negatif apabila pasangan suami isteri bertemu semula bekas kekasih di alam maya, diteruskan lagi dengan pertemuan semasa majlis/program seperti ‘re-union’ rakan sekolah/kolej/universiti dan sebagainya. Kesemua ini menyumbang kepada berlakunya krisis perkahwinan yangboleh menjadi sangat buruk sehingga membawa kepada perceraian jika tidak ditangani dengan sewajarnya.
Tanda-Tanda Krisis
- Kurang kemesraan / perhubungan menjadi hambar
- Hilang ketenangan hidup
- Mengabaikan perlaksanaan tanggungjawab
- Timbul prasangka antara satu sama lain
- Kurang berkomunikasi
- Tidak telus / berterus terang
Kesan Krisis
- Tekanan Perasaan
- Hubungan tidak mesra
- Pengabaian tanggungjawab
- Pertengkaran
- Penganiyaan
- Perceraian
- Kecurangan
Punca Krisis
- Orang ketiga – keluarga, kawan-kawan, bekas kekasih/tunang , klien, majikan
- Teknologi – gajet seperti telefon bimbit, komputer, televisyen
- Media sosial – ‘facebook’, Whatsapp, Weechat, Telegram, Twitter
- Tingkahlaku – diri sendiri dan/atau pasangan
Jenis Krisis Perkahwinan
Terdapat 3 jenis krisis/ konflik dalam perspektif perkahwinan Islam iaitu:
- Nusyuz – Apabila berlakunya kederhakaan dari satu pihak samada pihak isteri atau suami. Iaitu Suami meninggalkan isteri, tidak melaksanakan tanggungjawab dan menganiayai isteri. Manakala nusyuz pihak isteri apabila isteri keluar rumah tanpa izin suami,tidak melaksanakan tanggungjawab dan ingkar perintah suami.
- Dharar – Berlaku penganiyaan samada dalam bentuk fizikal atau mental oleh satu pihak. Iaitu perbuatan fizikal seperti memukul, menyepak, mencederakan atau dalam bentuk deraan mental seperti menghina, mengaib, mengeji dan mengungkit.
- Syiqaq – Berlakunya keburukan daripada kedua-dua pihak ( saling menyakiti dan memburukkan diantara satu sama lain). Ini melibatkan pertengkaran, memaki hamun sertasaling salah menyalahkan.
Menangani Krisis Perkahwinan
Perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dan wanita, melahirkan zuriat yang sah sebagai penyambung keturunan serta menumbuhkan kebahagiaan kehidupan berkeluarga.
Hubungan suci ini perlu dipertahankan supaya tidak berakhir dengan perceraian disebabkan krisis atau konflik yang melanda. Banyak cara boleh dilakukan untuk menangani situasi krisis. Menurut perspektif Perkahwinan Islam, pasangan suami isteri perlu melantik seorang pendamai yang perlu menjadi orang tengah. Perkara ini dijelaskan di dalam Al-Quran Surah al- Nisa’ ayat 35.
Teknik Untuk Mengelakkan Krisis Perkahwinan
- Elakkan dari pergaduhan dan perselisihan pendapat – Berbincang secara matang dan bertolak ansur. Jangan mengungkit kesilapan masa lalu pasangan.
- Sentiasa memaafkan dan melupakan kesalahan lalu – Fokus kepada isu semasa dan sentiasa memaafkan antara satu sama lain. Terima pasangan seadanya dan redha dan jodoh yang ditentukan.
- Sentiasa menepati janji – Berusaha untuk menunaikan janji walaupun hanya perkara-perkata kecil. Berikan penjelasan secara jujur jika gagal menepati janji. Pujuk pasangan untuk menerima penjelasan.
- ‘Dating’ bersama pasangan – Luangkan masa berdua dalam suasana yang istimewa sepertimana zaman percintaan. Cipta suasana indah dan romantik untuk menghangatkan kembali hubungan yang hambar. Kenangkan saat-saat indah yang pernah dilalui..
Bagi pasangan yang berkonflik yang tidak mampu menangani masalah mereka sendiri boleh mendapatkan bantuan daripada pegawai di Jabatan Agama untuk mendapatkan nasihat atau berjumpa kaunselor bagi membincangkan krisis yang yang dihadapi.
Rujukan:
- Modul Kursus Pra Perkahwinan JAKIM
- http://www.Pakarcinta.com/blog/”>http://www.Pakarcinta.com/blog/
- http://www.unitagamakmb.com”>http://www.unitagamakmb.com
- http://www.hikmatun.wordpress.com”>http://www.hikmatun.wordpress.com
Semakan Akhir | : | 22 Mei 2017 |
Penulis | : | Pn. Ruhana bt. Mahmod |
Akreditor | : | Hj. Hairol Kamal b. Abd. Rahman |