A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Onychomycosis

Onychomychosis adalah jangkitan kulat pada kuku

Apakah Onychomychosis?

Onychomychosis adalah jangkitan kulat pada kuku. Ianya merupakan penyakit kuku yang paling kerap berlaku dan lebih separuh dari masalah kuku berpunca dari onychomychosis. Onychomychosis boleh melibatkan kuku kaki atau tangan tetapi lebih kerap melibatkan kuku kaki. 10% dari populasi dewasa menghidapi onychomychosis dan ia boleh mengakibatkan kesakitan, ketidakselesaan, masalah untuk berjalan, bersenam, di samping memberi impak psikososial yang tinggi kepada pesakit.

Faktor-faktor yang mempengaruhi onychomychosis

  1. Usia yang lanjut – melibatkan 50% populasi berusia lebih dari 70 tahun 
  2. Faktor genetik
  3. Jenis pekerjaan – pekerjaan yang menyebabkan kuku terdedah kepada bahan kimia, kerap basah (wet work) dan kecederaan (trauma)
  4. Sistem imunisasi yang rendah – melibatkan satu pertiga pesakit HIV dan Diabetes Mellitus
  5. Merokok dan penyakit Peripheral Vascular Disease
  6. Lelaki berbanding wanita
  7. Tidak memakai alas kaki di tempat yang lembap seperti kolam renang 
  8. Jenis kasut – kasut terlalu sempit sehingga menyebabkan kecederaan kuku, kasut bertutup sepenuhnya (occlusive footwear) dan stoking yang tidak menyerap peluh

Penyebab

Onychomychosis disebabkan oleh kulat. Terdapat pelbagai jenis kulat bergantung pada cuaca dan faktor geografi. Antara jenis kulat yang paling utama adalah

  1. Dermatophytes (penyebab paling kerap; 85 – 90%)
  2. Nondermatophyte molds (NDM)
  3. Yeasts

Gejala / Tanda

Gejala atau tanda yang paling kerap adalah kuku menjadi tebal dan berubah warna; warna kuku boleh bertukar menjadi putih, hitam, coklat kekuningan atau hijau. Apabila jangkitan kulat pada kuku berterusan, kuku menjadi rapuh, dan cebisan-cebisan atau keseluruhan kuku boleh tanggal dengan mudah. Sekiranya onychomychosis tidak dirawat, kulit di sekeliling dan di bawah kuku menjadi radang, sakit, berubah warna dan mungkin mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Onychomychosis sering menyebabkan pesakit merasa malu atau rendah diri terutamanya apabila ia melibatkan kuku tangan yang lebih terdedah dan senang dilihat dengan mudah oleh umum berbanding kuku kaki.

Secara klinikal, onychomychosis boleh dibahagikan kepada 5 jenis:

  1. Distal and lateral subungual onychomychosis (DLSO) – melibatkan bahagian hujung dan tepi kuku
  2. Proximal subungual onychomychosis (PSO)- melibatkan kuku di bahagian pangkal
  3. Superficial white onychomychosis (SWO) – kuku menjadi keputihan dan rapuh
  4. Total dystrophic onychomychosis – keseluruhan kuku rosak
  5. Candidal onychomychosis – berlaku di kalangan mereka yang  mempunyai pekerjaan yang melibatkan tangan / kuku kerap terendam di dalam air
Distal and lateral subungual onychomychosis Sindrom “One hand two feet”
Proximal subungual onychomychosis Superficial white onychomychosis
Total dystrophic onychomychosis – melibatkan keseluruhan kuku – menjadi rosak Superficial white onychomychosis

Komplikasi

Adalah suatu miskonsepsi sekiranya onychomychosis dianggap sebagai masalah kosmetik semata-mata dan tidak perlu dirawat. Onychomychosis memainkan peranan penting untuk  menentukan kualiti hidup seseorang pesakit. Komplikasi onychomychosis termasuk ketidakselesaan atau kesakitan, masalah untuk memakai kasut, kesukaran untuk berjalan dan bersenam serta rasa rendah diri di samping berpotensi menjejaskan pekerjaan seseorang pesakit.

Kuku yang dijangkiti kulat menjadi reservoir dan seterusnya berpotensi untuk kulat merebak ke kaki, tangan dan pangkal peha. Onychomychosis juga mengakibatkan suatu bukaan terjadi pada kulit dan ini menjadi punca kemasukan bakteria ke dalam darah dan badan serta boleh mengakibatkan ulser pada kaki serta jangkitan kuman pada kulit dan tisu bawah kulit (cellulitis), jangkitan kepada tulang (osteomyelitis) serta tisu menjadi busuk (gangrene).

Jangkitan kulat adalah suatu penyakit berjangkit dan boleh melibatkan ahli keluarga yang lain.

Rawatan

Lebih separuh dari pesakit yang disyaki menghidapi onychomychosis, sebenarnya tidak mempunyai sebarang jangkitan kulat tetapi hanya kerosakan kepada kuku yang berpunca dari masalah lain. Oleh sebab itu, adalah amat penting untuk mendapat pengesahan atau konfirmasi diagnosa sebelum rawatan onychomychosis dimulakan. Ini disebabkan sesetengah rawatan onychomychosis boleh menyebabkan kesan samping dan seseorang yang tidak menghidapi onychomychosis tidak seharusnya menerima rawatan tersebut.

Sebelum sebarang rawatan dimulakan, ujian diagnostik akan dilakukan oleh doktor yang merawat dengan menghantar sampel kuku ke makmal untuk diuji kehadiran dan juga mengenalpasti jenis kulat.

Oleh itu pesakit disarankan untuk berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang gejala onychomychosis.

Bagaimanakah onychomychosis dirawat?

  1. Ubat-Ubatan
    Kebanyakan ubat-ubatan untuk onychomychosis dalam bentuk sapuan (topical) atau / dan sistemik (ubat makan)
    Jenis-jenis ubat yang biasa digunakan untuk rawatan onychomychosis:

    1. Ubat sapuan (topical)
      Amorolfine
      Ciclopirox
    2. Ubat sistemik (ubat makan)
      Itraconazole
      Terbinafine
      Fluconazole
      Griseofulvin
  2. Lain-lain rawatan:
    Pembedahan/ Rawatan fotodinamik/ Laser
    Rawatan pembedahan, fotodinamik dan laser tidak disarankan sebagai suatu bentuk rawatan onychomychosis buat masa kini.

Pencegahan

Kulat seringkali terdapat di bilik-bilik hotel, karpet dan gimnasium. Sebagai langkah pencegahan, adalah amat penting untuk sentiasa memakai kasut yang dapat melindungi kuku dari terdedah kepada kulat. Salah satu cara untuk mencegah jangkitan kulat adalah dengan menggunakan bedak yang dapat menyerap peluh (absorbent powder) atau bedak yang mengandungi anti-kulat (antifungal powders) seperti bedak yang mengandungi miconazole atau clotrimazole di dalam kasut dan juga disapukan pada kaki. Pemakaian stoking dari jenis kain kapas yang menyerap peluh juga adalah sangat berguna. Pesakit juga disarankan agar tidak membiarkan kuku tumbuh panjang dan tidak berkongsi alat pemotong kuku dengan ahli keluarga yang lain.

Kasut juga boleh mengandungi kulat. Adalah amat digalakkan agar tidak menggunakan kasut yang telah lama dan lapuk. Sekiranya masih mahu menggunakan kasut-kasut lama, unsur kulat boleh dihapuskan dengan meletakkan ubat gegat di dalam kasut dan membiarkan kasut dan ubat gegat ini di dalam beg plastik yang berikat selama sekurang-kurangnya 3 hari.

Bagi pesakit yang sering membuat rawatan kuku (manicure/pedicure), ini mungkin mendedahkan pesakit kepada pelbagai masalah kuku termasuk onychomychosis. Pesakit dinasihatkan agar mengunjungi pusat-pusat rawatan kuku yang memberikan perkhidmatan yang steril.

Rujukan

  1. British Association of Dermatologist guidelines for Onychomychosis 2014
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Nazatul Shima bt. Abdul Rahim
Akreditor : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Hiperhidrosis

Hiperhidrosis atau peluh berlebihan adalah keadaan di mana terdapat peluh di luar keperluan biasa badan

Dermatitis Sentuh Alergik

Dermatitis sentuh alergik adalah alahan pada kulit akibat bersentuhan dengan bahan-bahan penyebab alahan (alergen).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia