Sumber: http://blog.therabreath.com/wp-content/uploads/2010/07/halitosis.jpg
Apa itu halitosis?
Nafas atau mulut berbau yang tidak menyenangkan seseorang disebut halitosis dalam istilah perubatan. Nafas atau mulut berbau boleh dialami oleh semua orang terutamanya sejurus bangkit daripada tidur atau selepas mengambil makanan atau minuman yang berbau. Nafas berbau boleh mengakibatkan seseorang merasa malu dan rendah diri. Keadaan ini juga boleh mengganggu hubungan anda semasa berkomunikasi secara dekat dengan orang.
Apakah punca nafas atau mulut berbau?
Lazimnya terjadi akibat dari tindak balas bakteria dengan makanan yang tertinggal di dalam mulut. Halitosis biasanya berlaku pada saat bangun tidur kerana pada waktu itu pH air liur lebih berasid, kurang aktiviti mengunyah dan bercakap menyebabkan persekitaran mulut amat sesuai untuk aktiviti pembiakan bakteria. Bakteria ini merembeskan hasil perkumuhan yang terdiri daripada asid dan juga sulfur (Volatile Sulfur Compounds -VSCs) yang menyebabkan bau kurang enak atau busuk.
Kebanyakkan bakteria ini bersifat anaerob (hidup tanpa oksigen). Oleh sebab itulah kebanyakkan bakteria ini hidup di kawasan yang susah dibersihkan seperti celah-celah gigi, gusi, lidah dan di celah-celah gigi palsu.
Apakah perkara yang boleh mengakibatkan nafas atau mulut berbau?
- Merokok
- Pengambilan makanan dan minuman yang berbau atau kandungan gula yang tinggi seperti petai, jering, durian, bawang putih atau minuman beralkohol
- Penggunaan gigi palsu
- Penyakit gigi dan gusi
- Penyakit paru-paru dan sinus yang kronik
- Pembengkakkan tonsil atau adenoids
- Jangkitan candidiasis dalam mulut dan lidah
- Penyakit diabetis yang tidak terkawal
- Penyakit kegagalan fungsi hepar
- Penyakit kegagalan fungsi ginjal
- Tidak mengamalkan kebersihan mulut iaitu tidak berkumur selepas makan atau minum, tidak memberus gigi , lidah dan rongga mulut sekurang kurangnya dua kali sehari di waktu pagi dan malam sebelum tidur
- Pengambilan ubat-ubatan seperti antihistamin, decongestants , antidepression, antipsychotic dan lain-lain yang boleh mengakibatkan pengurangan pengeluaran air liur atau menyebabkan mulut kering
Punca kekurangan air liur
Air liur adalah bahan pembilas mulut semulajadi. Ia membilas mulut sepanjang masa dan dengan ini secara tidak langsung membuang cebisan kecil makanan dari permukaan gigi. Semasa tidur, rembesan air liur adalah kurang menyebabkan mulut berbau apabila bangun tidur. Selain itu, kekurangan rembesan air liur menyebabkan air liur menjadi likat, susah untuk membilas mulut, menjadikannya kurang oksigen dan menyebabkan pembiakan bakteria anaerob di dalam mulut.
- Mereka yang bernafas melalui mulut (mouth breather): angin yang dihasilkan akan mengeringkan mulut
- Bercakap terlalu banyak contohnya mereka yang bekerja sebagai cikgu, jurujual dan lain-lain ini akan mengurangkan pengaliran / perembesan air liur
- Berpuasa: mengurangkan perembesan air liur
- Pengambilan ubat untuk penyakit darah tinggi, antihistamine, ubat untuk menghalang selera makan dan mengakibatkan mulut kering daripada pengambilan ubat-ubatan tersebut
- Pengambilan minuman beralkohol boleh mengeringkan mulut
- Penggunaan ubat kumur yang mengandungi alkohol boleh mengeringkan mulut
- Kekurangan air dalam badan (dehydration) boleh mengurangkan pengaliran air liur
- Stress juga mengurangkan pengaliran air liur
Bagaimana anda boleh mengetahui yang anda mempunyai masalah mulut berbau?
Agak susah untuk diri sendiri menyedari masalah mulut berbau kerana diri sendiri telah terbiasa dengan bau mulut. Cara yang paling berkesan ialah dengan bertanya kepada mereka yang rapat dengan diri anda seperti ibu bapa, adik beradik atau kawan rapat. Janganlah merasa kecil hati apabila ditegur oleh orang yang rapat dengan anda sebaliknya anda perlu berterima kasih kerana anda boleh mengambil langkah seterusnya untuk mengatasi masalah ini. Selain itu, ada juga sejenis alat yang digunakan oleh doktor gigi (halimeter) untuk mengukur kadar sulfur di dalam nafas pesakit.
Apa patut anda lakukan sekiranya mempunyai masalah ini?
- Membersihkan gigi dan mulut setiap hari
Pastikan anda memberus dan juga menggunakan benang flos dengan betul setiap hari kerana ini akan membuang bakteria dan juga lebihan makanan yang digunakan oleh bakteria untuk hidup. Dengan ini bakteria tidak akan menghasilkan sulfur yang menyebabkan mulut anda berbau. Pastikan juga anda tidak tergesa-gesa memberus dan flos gigi anda kerana ianya tidak akan menghilangkan semua bakteria tersebut. Ambillah masa sekurang kurangnya dua atau tiga minit untuk memberus gigi dan lidah anda. Gunakan benang flos untuk membersihkan sisa-sisa makanan di celah-celah gigi. - Membersihkan lidah setiap hari
Ramai yang terlupa untuk membersihkan lidah semasa menggosok gigi. Ingatlah bahawa banyak bakteria bersembunyi di rekahan pada lidah dan juga di bahagian belakang lidah. Anda boleh membersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah (tongue cleaner). Ada juga berus gigi yang mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi. Selain itu, anda juga boleh menggunakan berus gigi yang lembut untuk memberus lidah anda secara perlahan-lahan dengan menggerakkan berus dari belakang lidah ke bahagian hadapan berulang kali sehingga bersih. - Minumlah air
Anda disarankan untuk meminum air sekerap yang boleh sepanjang hari. Dengan ini mulut anda akan sentiasa dibasahi air sepanjang hari. Bagi mereka yang mengalami masalah kekeringan mulut disebabkan ubat atau mereka yang selalu bercakap, cara ini paling bagus untuk memastikan mulut anda sentiasa berair. Minum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi dan juga melembabkan mulut boleh membuatkan suasana mulut kurang sesuai untuk pembiakan bakteria anaerob. - Elakkan mengguna pencuci mulut yang mempunyai alkohol
Ramai yang menyangka bahawa dengan menggunakan pencuci mulut, bau nafas akan menjadi segar dan tidak berbau tetapi mereka tidak merawat punca sebenar mulut mereka berbau jadi cara ini hanya bersifat sementara. Jika menggunakan ubat kumur yang mempunyai alkohol, ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut yang menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan mulut berbau. Jika hendak menggunakan ubat kumur, pastikan ia tidak mengandungi alkohol. - Mengunyah gula getah tanpa gula
Jika anda tidak dapat memberus gigi selepas makan (terutamanya makan tengah hari ataupun snek), anda boleh mengunyah gula getah tanpa gula. Dengan mengunyah gula getah, sisa-sisa makanan boleh dibersihkan dan pengeluaran air liur akan dirangsang. - Memeriksa gigi anda jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi dan tulang (gingivitis, periodontal problem)
Penyakit gusi (periodontal problem) adalah disebabkan jangkitan kuman pada gusi dan juga pada ligamen yang memegang gigi. Ini menyebabkan poket gusi menjadi dalam dan bakteria suka bersembunyi di situ. Di antara tanda-tanda penyakit gusi ialah- Gusi yang bengkak dan merah
- Gusi yang senang berdarah apabila disentuh
- Gusi yang sakit
- Nanah keluar dari gusi yang bengkak
- Gigi bergoyang
- Gigi sensitive
- Sakit pada gigi ketika mengunyah
- Terdapat karang gigi (lapisan keras yang berwarna kehitaman atau kekuningan di leher-leher gigi)
Doktor gigi boleh merawat penyakit gusi dan membersihkan gigi anda daripada plak dan karang gigi dan seterusnya boleh menghilangkan bau pada mulut anda.
- Berjumpalah dengan doktor gigi untuk pemeriksaan secara berkala sekurang kurangnya setahun sekali
Selalunya anda tidak menyedari yang anda mempunyai masalah gigi dan gusi sekiranya tidak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan. Jika gigi berasa sakit, maka selalunya tahap kerosakan atau penyakit gusi telah serius. Doktor gigi boleh mengesan lebih awal sekiranya anda mempunyai masalah dan segera mengatasinya sebelum ia menjadi teruk.
Rujukan
- Impact of mouthrinses on morning bad breath in healthy subjects, M. D. Carvalho, C. M. Tabchoury, J. A. Cury, S. Toledo, G. R. Nogueira-Filho, Journal of Clinical Periodontology, Volume 31 Issue 2, February 2004, pages 85-90.
- Association among Bad Breath, Body Mass Index, and Alcohol Intake. M. Rosenberg, T. Knaan3, D. Cohen, Journal of Dental Research, JDR October 2007 vol. 86 no. 10, 997-1000
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Norizzati Bukhary bt. Ismail Bukhary |
Penyemak | : | Dr. Nazhatussima bt. Suhaili |