A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Adakah Cermin Mata Saya...

Adakah Cermin Mata Saya Salah “Power”

Pengenalan

Pemakaian cermin mata kini menjadi pilihan yang paling mudah dan selamat bagi membetulkan rabun. Selain cermin mata, rabun juga boleh dibetulkan melalui pemakaian kanta sentuh dan pembedahan refraktif menggunakan sinaran laser. Bagi pemakai cermin mata, adakah anda pasti bahawa kuasa  atau “power” cermin mata anda itu betul dan sesuai dengan mata anda?  

Proses mengukur tahap rabun mata dinamakan refraksi. Individu yang telah menjalani pemeriksaan refraksi dan telah disahkan mempunyai rabun akan diberikan preskripsi cermin mata. (Gambar 1). Kertas preskripsi cermin mata ini mengandungi nilai kuasa pembetulan rabun iaitu “power” cermin mata yang diperlukan untuk mendapatkan tahap penglihatan yang optimum.

adakah-cermin-mata-saya-salah-power

Gambar 1: Contoh Preskripsi Cermin Mata

Namun begitu, kuasa pembetulan cermin mata perlulah bersesuaian dengan tahap kerabunan mata. Jika berlaku sebaliknya, pemakai cermin mata akan berasa tidak selesa dengan cermin mata yang dipakai.

Tanda Dan Simptom Akibat Pemakaian Cermin Mata Salah “Power”

Antara tanda dan simptom yang boleh dialami akibat memakai cermin mata dengan preskripsi yang salah adalah seperti:

  1. Penglihatan menjadi kabur. Ini berlaku apabila kuasa pembetulan cermin mata tidak mencukupi atau melebihi kuasa rabun mata.
  2. Sakit atau rasa sengal di sekeliling bola mata.
  3. Mata berasa cepat letih dan lesu terutamanya selepas melakukan kerja jarak dekat seperti membaca, menggunakan komputer atau menjahit.
  4. Pening kepala dan boleh juga disertakan dengan rasa loya.
  5. Penglihatan berganda atau “double image”. (Gambar 2)
  6. Melihat imej yang terherot atau senget. (Gambar 3)

adakah-cermin-mata-saya-salah-power1

Gambar 2: Penglihatan Berganda

 adakah-cermin-mata-saya-salah-power3

Gambar 3: Imej Terherot

Punca-Punca Yang Menyebabkan Cermin Mata Salah “Power”

Punca-punca yang menyebabkan preskripsi cermin mata menjadi tidak tepat adalah seperti:

  1. Mendapatkan pemeriksaan rabun mata daripada individu yang tidak bertauliah
  2. Menggunakan teknik dan alat-alat pemeriksaan rabun yang tidak bersesuaian dengan kes pesakit. Contohnya, kanak-kanak di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah diperiksa dengan menggunakan komputer atau ‘autorefractometer’ sahaja tanpa pemeriksaan lanjut menggunakan alat retinoskop dan disertakan dengan pemeriksaan secara subjektif.
  3. Berlaku kesilapan semasa proses memotong kanta cermin mata. Contohnya seperti kanta tidak diukur dengan tepat dan boleh juga berlaku kanta dipotong dan dipasang terbalik antara mata kiri dan mata kanan.
  4. Pesakit sedang mengalami masalah kesihatan seperti selsema dengan simptom mata dan hidung berair, atau demam semasa pemeriksaan refraksi yang boleh mengganggu ketepatan mendapatkan ukuran “power” cermin mata.
  5. Pesakit sedang mengalami penyakit mata akibat jangkitan seperti konjunktivitis yang menyebabkan penglihatan kabur, mata merah, berair dan berasa gatal, sehingga boleh mengganggu ketepatan hasil ujian refraksi.
  6. Pesakit mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal. Ini akan menyebabkan ‘power’ rabun mata menjadi tidak stabil akibat kandungan gula atau tekanan darah yang sentiasa berubah-ubah.
  7. Pesakit mempunyai masalah mata yang tidak dirawat terlebih dahulu seperti mata kering, katarak dan selaput pada mata putih dan kornea (pterygium).

Langkah-Langkah Mendapatkan “Power” Cermin Mata Yang Tepat Dan Sesuai

Pemakaian cermin mata dengan ‘power’ yang tepat dan sesuai boleh dilakukan dengan mengambilkira langkah-langkah yang berikut:

  • Pemeriksaan cermin mata perlulah dilakukan oleh optometris atau juruoptik berkelayakan yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia serta mempunyai lesen amalan tahunan yang sah.                              

                      adakah-cermin-mata-saya-salah-power4                      adakah-cermin-mata-saya-salah-power44
Gambar 4: Mendapatkan Pemeriksaan Mata Dengan Optometris Atau Juruoptik Yang Bertauliah.

  • Pesakit kanak-kanak biasanya memerlukan pemeriksaan yang lebih teliti kerana kuasa memfokus mereka sangat aktif. Hal ini boleh memberikan bacaan ‘power’ rabun yang berubah-ubah. Terdapat kanak-kanak yang perlu dirujuk ke hospital untuk menjalani refraksi sikloplegik di mana agen sikloplegik perlu dititiskan ke dalam mata untuk merehatkan otot mata kanak-kanak ini supaya ukuran ‘power’ cermin mata yang lebih tepat boleh diperolehi.
  • Individu yang menjalani pemeriksaan refraksi perlulah sihat tubuh badan misalnya tidak mengalami selsema, batuk atau demam.

adakah-cermin-mata-saya-salah-power5 adakah-cermin-mata-saya-salah-power55
Gambar 5: Pemilihan Cermin Mata Yang Sesuai Bagi Kanak-Kanak

  • Pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi perlu mengawal paras gula dalam darah dan tekanan darah ke tahap normal sebelum menjalani pemeriksaan refraksi untuk mendapatkan ukuran ‘power’ cermin mata yang stabil dan tepat.
  • Mendapatkan rawatan bagi masalah atau penyakit mata yang sedia ada terlebih dahulu sebelum membuat cermin mata. Misalnya, selaput katarak perlu dibuang dan digantikan dengan implan kanta intraokular terlebih dahulu sebelum membuat sepasang cermin mata dengan “power” yang tepat.

Rujukan:

  1. Buku Prosedur Operasi Standard – Penjagaan Pesakit Yang Mempunyai Ralat Refraksi (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2009).
  2. Buku Prosedur Operasi Standard – Penjagaan Mata Primer. (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2009).
  3. http://3for1glassesoakville.ca/wp-content/uploads/2013/11/eyeglass-prescription.jpg
  4. http://www.healthline.com/hlcmsresource/images/topic_centers/EyeHealth/jpeg/194x105_Visual_disturbances.jpg
  5. http://phototechmag.com/wp-content/uploads/2012/10/lr6h.jpg
  6. http://images.inmagine.com/168nwm/blendimages/bld177/bld177192.jpg
  7. http://images.inmagine.com/168nwm/iris/bsip-024/ptg02698219.jpg
  8. http://images.cdn4.inmagine.com/168nwm/cultura/culs131/culs131671.jpg
  9. http://images.cdn5.inmagine.com/168nwm/juiceimages/juis033/juis033377.jpg
Semakan Akhir : 17 Oktober 2016
Penulis : Pn. Nur Faiza Binti Ja’afar
Akreditor : Pn. Nor’aini Binti Anuar

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia