A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Adakah Pendengaran Anak Anda Sudah Diuji?

Pengenalan

Pendengaran yang baik adalah amat penting untuk perkembangan anak anda. Kanak-kanak yang didapati mempunyai masalah pendengaran pada peringkat awal umur kelahiran akan menghadapi risiko yang tinggi dalam masalah perkembangan bahasa kelak.

Walaupun umum mengetahui kepentingan pendengaran kepada kanak-kanak sangat penting, tetapi tahap kesedaran dan kepekaan ibu bapa terhadap pendengaran anak mereka,- adalah  rendah dan selalunya tidak diambil endah. Mereka hanya menitik beratkan perkembangan anak daripada segi perkembangan fizikal dan luaran. Selain itu, kebanyakan ibu bapa beranggapan pendengaran anak tidak penting kerana mereka masih kecil dan ia sukar dinilai. Ada juga ibu bapa yang menganggap masalah lambat bertutur dan masalah pertuturan pelat merupakan masalah biasa dan tidak perlu diambil berat.

Peringkat umur 0-1 bulan

Ibu bapa merupakan insan yang penting dalam memantau perkembangan pendengaran dari lahir sehingga besar. Bayi yang baru lahir sudah mampu mendengar suara ibu bapa dan bunyi persekitaran. Oleh sebab itu, amat penting untuk ibu bapa menguji status pendengaran anak mereka  dari awal kelahiran. Pada peringkat umur 0-1 bulan, bayi,  mampu mendengar dan bertindak balas dengan bunyi kuat. Tindak balas ini dapat dilihat dari segi perubahan bayi tersebut seperti menangis, mengelip mata, berhenti menyusu ataupun terjaga dari tidur. Ibu bapa boleh menguji pendengaran anak dengan memberi bunyi yang sederhana kuat secara mengejut seperti tepuk tangan ataupun dengan suara berdekatan dengan telinga anak dan lihat reaksinya.

Peringkat umur 3-6 bulan

Pada peringkat umur 3-6 bulan, bayi  sudah mampu untuk meniarap dan mampu mendongak kepala ke atas dan ke bawah. Pada ketika ini, tindak balas dapat dilihat dengan respon pergerakan kepala bayi terhadap sumber bunyi. Pada ketika ini, otot leher bayi masih lemah dan pergerakan kepala  ke kiri dan kanan masih belum dapat dilihat. Kanak-kanak pada umur 6 bulan ke atas sudah mampu menggerakkan kepala ke kiri dan kanan. Pada ketika ini amat penting untuk ibu bapa menguji pendengaran anak kerana respon spontan anak terhadap bunyi mudah dilihat. Teknik untuk menguji pendengaran anak ketika ini ialah dengan melihat pergerakan kepala anak anda terhadap bunyi. Ibu bapa boleh menggunakan apa sahaja sumber bunyi termasuk suara, kunci, permainan ataupun loceng. Ujian ini perlulah dijalankan tanpa sebarang sumber isyarat penglihatan untuk anak. Kanak-kanak yang menghadapi masalah pendengaran tidak akan menoleh ke arah sumber bunyi dengan spontan kerana tidak mampu mendengar.

Peringkat umur 8 bulan

Perkembangan bahasa bayi dipengaruhi oleh faktor kesihatan pendengarannya . Pada peringkat umur 8 bulan, bayi sepatutnya sudah mampu membebel dan mengeluarkan bunyi seperti “boo boo”, “paa paa” atau “maa maa”. Anak anda juga mampu tersenyum jika anda berinteraksi dengannya dan mereka dapat memahami nada suara anda sama ada marah, suka atau sebagainya. Pada peringkat ini, status pendengaran anak dapat dilihat daripada pelbagai aspek sosial dan komunikasi dua hala di antara anak dan ibu bapa. Kanak-kanak yang masih tidak mampu membebel dan mengeluarkan bunyi serta tidak memahami interaksi dua hala ini berkemungkinan besar menghadapi masalah pendengaran.

Peringkat umur setahun

Tip menguji pendengaran anak akan semakin mudah dengan peningkatan umur. Pada umur 1 tahun dan ke atas, mereka sudah boleh mula memahami arahan mudah dan mampu mengikut suara atau pertuturan anda. Ketika ini juga anda sudah boleh bermain suara dengan anak anda, contoh permainan seperi pee kaa boo dapat menguji tahap perkembangan pendengaran dan pertuturan anak kerana elemen turn-taking yang ada dalam permainan tersebut. Jika anda melihat anak anda masih tidak memahami elemen ini berkemungkinan anak anda menghadapi masalah pendengaran.

Peringkat umur setahun enam bulan

Umur 1 tahun setengah merupakan waktu yang penting untuk melihat perkembangan bahasa kanak-kanak. Anak anda sepatutnya sudah boleh bercakap sekurang-kurangnya 5 perkataan ketika ini dan ia selalu merujuk kepada nama panggilan ahli keluarga terdekat. Anak anda juga mampu meminta sesuatu daripada anda dengan mengeluarkan perkataan yang mudah difahami seperti ma (emak), kak (kakak), nak (hendak), kan (makan)sebagainya. Jika anak anda masih tidak mampu mengeluarkan sebarang perkataan mempunyai makna pada umur ini, ia merupakan indikasi awal masalah pendengaran walaupun anda tidak mengesyaki sebarang masalah pendengaran semasa menguji pendengaran mereka di rumah.

Kesimpulan

Ujian pendengaran hendaklah dijalankan secara berterusan walaupun anak anda sudah mampu bercakap dan ke sekolah. Masalah pendengaran berkemungkinan boleh berlaku ketika umur meningkat yang mungkin tidak disedari oleh kita. Selalulah mengambil tahu perkembangan anak dan pembelajaran mereka di sekolah agar kita dapat mengesan masalah ini pada peringkat awal. Tindakan ini penting agar proses rawatan anak dapat dilakukan secepat mungkin tanpa menjejaskan proses pembelajaran dan komunikasi anak anda.

Perlulah diingatkan, ujian pendengaran yang dilakukan di rumah hanyalah ujian yang dilakukan secara saringan untuk mengukur tahap kepekaan pendengaran anak terhadap bunyi .Jika anda mengesyaki anak anda kurang mendengar dapatkan khidmat nasihat daripada Pegawai Audiologi di hospital yang berdekatan agar ujian penilaian pendengaran secara komprehensif dapat dijalankan.

Semakan akhir : 29 Januari 2014
Penulis : Kamarul Akmal bin Ishak
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Pengawasan Tumbesaran

Ambil berat badan anak anda mengikut. Berjumpa dengan ahli kesihatan professional sekiranya berat badan anak anda berada di bawah paras normal.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia