A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Alat Bantu Pendengaran Jenis...

Alat Bantu Pendengaran Jenis Konduksi Tulang (Bone Conduction Hearing Aid) dan Alat Bantu Pendengaran Jenis Implan Tulang (Bone Anchored Hearing Systems atau Temporal Bone Implant)

Alat bantu pendengaran adalah alat yang dicipta berfungsi untuk menguatkan bunyi terutamanya bunyi pertuturan dalam membantu komunikasi yang lebih berkesan

Manusia mendengar melalui dua mekanisma iaitu konduksi udara (air conduction) atau konduksi tulang (bone conduction). Untuk seseorang yang berpendengaran normal, getaran bunyi akan melalui salur telinga dan mengetarkan gegendang telinga. Gegendang telinga kemudiannya akan menggerakkan tulang-tulang osikel yang terletak dibelakang gegendang. Getaran bunyi seterusnya dihantar ke bahagian koklea yang mengandungi saraf pendengaran. Saraf pendengaran menukar tenaga mekanikal kepada tenaga elektrik dan menghantar isyarat ke otak untuk ditafsirkan.

Selain itu bunyi juga boleh sampai kepada bahagian saraf pendengaran melalui transmisi konduksi tulang apabila berlaku getaran terhadap rangka tulang tengkorak. Getaran tulang ini akan merangsang koklea (saraf pendengaran) secara terus tanpa melalui telinga luar dan telinga tengah.

Alat Bantu Pendengaran

Alat bantu pendengaran adalah alat yang dicipta berfungsi untuk menguatkan bunyi terutamanya bunyi pertuturan dalam membantu komunikasi yang lebih berkesan. Terdapat dua jenis alat bantu pendengaran yang boleh dibahagikan melalui jenis transmisi bunyi iaitu alat bantu pendengaran jenis konduksi udara dan alat bantu pendengaran jenis konduksi tulang.

Alat Bantu Pendengaran Jenis Konduksi Tulang

Alat Bantu Pendengaran Jenis Konduksi Tulang adalah salah satu jenis alat bantu pendengaran yang menukarkan bunyi yang diterima kepada getaran bunyi melalui tulang tengkorak dan terus merangsang koklea tanpa melalui telinga luar dan telinga tengah (Hakasson at al., 1985; Stenfelt& Goode, 2005)

Bagaimana Alat Bantu Pendengaran Jenis Konduksi Tulang berfungsi?

Alat Bantu Pendengaran Jenis Konduksi Tulang akan menerima gelombang bunyi melalui mikrofon yang berfungsi menukarkan tenaga bunyi kepada getaran. Konduktor tulang yang diletakkan pada bahagian tulang tengkorak ataupun tulang mastoid akan bergetar dan merangsang koklea tanpa melalui telinga luar dan telinga tengah yang bermasalah.

Indikasi untuk Alat Bantu Pendengaran Jenis Konduksi Tulang

  1. Pesakit bermasalah pendengaran jenis konduktif/campuran
    1. Pesakit yang dilahirkan dengan kecacatan pada telinga luar dan/ atau tengah seperti mikrotia (cuping telinga kecil), anotia (tiada cuping telinga) dan canal stenosis atau atresia (salur telinga sempit atau tiada salur telinga).
      Kecacatan fizikal ini merencat penggunaan alat bantu pendengaran konvensional kerana tidak dapat memasang acuan telinga seperti biasa (Frenzel el al, 2009)
    2. Pesakit yang kerap mengalami jangkitan telinga, telinga berair atau bernanah, serta  yang telah menjalani pembedahan telinga sesuai untuk memakai alat bantu pendengaran jenis ini. Penggunaan alat bantu pendengaran konduksi udara akan menyebabkan salur telinga tertutup dengan acuan telinga dan boleh  mengakibatkan jangkitan menjadi lebih teruk.
      Selain itu, pesakit yang mengalami masalah penghubung tulang osikel yang terputus atau terlalu keras juga tidak sesuai memakai alat bantu pendengaran konduksi udara. Ini kerana alat bantu pendengaran konduksi konvensional memerlukan fungsi dan integriti tulang osikel untuk berfungsi. Ini kerana masalah pada tulang osikel memerlukan amplikasi yang lebih tinggi daripada amplikasi yang boleh dibekalkan oleh alat bantu pendengaran konvensional (Colletti et al., 2009)
  2. Masalah pendengaran pada salah satu telinga (Single Sided Deafness, SSD) adalah masalah pendengaran yang bersifat kekal pada satu telinga dan pendengaran normal pada satu telinga lagi.
    Pesakit yang mengalami masalah ini tidak akan menerima manfaat dengan memakai alat bantu pendengaran konvensional. Pesakit akan mengalami kesukaran menentukan sumber arah bunyi dan sukar untuk berkomunikasi dalam persekitaran yang bising sekiranya memakai alat bantu pendengaran kovensional (Dumper et al., 2009).

Kontraindikasi

Pesakit yang mengalami masalah pendengaran jenis sensorineural (masalah pendengaran bersifat kekal) akan mendapat manfaat dengan penggunaan alat bantu pendengaran konvensional berbanding alat bantu pendengaran jenis konduksi tulang kerana:

  • Alat bantu pendengaran jenis konduksi tulang mempunyai fungsi yang terhad dalam menguatkan bunyi. Sekiranya terdapat rangsangan bunyi yang terlalu kuat, bunyi yang terhasil akan mengalami gangguan yang menyebabkan kualiti bunyi yang tidak jelas.
  • Alat bantu pendengaran konduksi tulang berfungsi dengan merangsang terus koklea tanpa mengikut arah mikrofon yang menerima bunyi. Oleh itu alat ini tidak dapat membantu pesakit untuk menentukan arah bunyi dan kebolehan spatial.
  • Alat bantu pendengaran jenis konduksi tulang juga menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian kepala pesakit iaitu bahagian dimana alat tersebut diletakkan.

Jenis-jenis Alat Bantu Pendengaran Jenis Konduksi Tukang

Terdapat beberapa jenis alat bantu pendengaran jenis konduksi tulang seperti berikut:

  1. Alat bantu pendengaran yang dipakaikan pada badan bersama penggetar (Body worn hearing aid with oscillator)
  2. Alat bantu pendengaran jenis belakang telinga bersama penggetar tulang (behind the ear hearing aid with oscillator)
  3. Alat bantu pendengaran bersama cermin mata (spectacle aid with oscillator)
  4. Alat bantu pendengaran jenis konduksi tulang bersama soft band.

Implan Konduksi Tulang (Bone Conduction Implant):

  1. Bone Anchored Hearing Aid (BAHA)
    BAHA merupakan salah satu alat bantu pendengaran jenis implan konduksi tulang. Implan yang diletakkan adalah kepingan titanium yang diletakkan pada bahagian tulang di belakang cuping telinga dan sedikit bahagian yang tidak dimasukkan atau abutment dibiarkan terdedah pada permukaan kulit. Bahagian yang berfungsi sebagai pemproses bunyi akan dipasangkan pada abutment tersebut. Bunyi melalui mikrofon pada bahagian pemperoses bunyi akan menggetarkan kepingan titanium (implan) melalui tulang pada bahagian belakang cuping telinga akan merangsang saraf pendengaran di dalam koklea.
  2. Bone Bridge Implant System
    Alat bantu pendengaran jenis implan konduksi tulang jenis ini pula berbeza dengan BAHA kerana penerima bunyi atau transducer ditanam di bawah kulit pada bahagian belakang telinga yang merupakan struktur tulang tengkorak. Proses memasukkan transducer ini adalah melalui pembedahan. Bahagian pemproses bunyi pula diletakkan di atas kulit dengan dilekatkan dengan magnet. Pemproses bunyi berfungsi menukarkan bunyi kepada isyarat lelektrik dan disalurkan kepada implan merentasi kulit kepala. Seterusnya isyarat elektrik ditukarkan kepada getaran untuk menggetarkan tulang di bahagian belakang telinga seterusnya merangsang koklea yang mengandungi saraf pendengaran dan di hantar ke otak ditafsirkan sebagai bunyi.

  1. Bone Anchored Hearing Aid Attract System (BAHA Attract System)
    Alat bantu pendengaran jenis implan konduksi tulang ini adalah implan (kepingan titanium) yang dimasukkan dibawah kulit bersama kepingan magnet melalui pembedahan (Passive Transcutaneous Bone Conduction System). Pemproses bunyi pula dihubungkan dengan implan dan dilekatkan di atas kulit melalui tarikan magnet. Bunyi akan ditukarkan kepada getaran yang akan menggetarkan titanium seterusnya merangsang saraf pendengaran (koklea).

Kelebihan dan Kekurangan Implan Konduksi Tulang

Kebaikan

  1. Getaran bunyi dihantar terus ke tulang kepala (tengkorak) tanpa penggunaan cekak, cekak getah, cermin mata dan lain-lain medium
  2. Lebih cantik
  3. Implan yang ditanam dibawah kulit mengurangkan risiko jangkitan (BAHA Attract and Bone Bridge)

Kekurangan

  1. Pemasangan implan ini memerlukan pembedahan dengan risiko penolakkan individual terhadap implan yang rendah.
  2. Komplikasi atau jangkitan kulit sekitar abutment (BAHA).

Penafian

Artikel ini hanya untuk rujukan sahaja. Ianya tidak boleh digunakan sebagai panduan rawatan atau pilihan untuk seseorang individu. Para pembaca perlu mendapatkan nasihat doktor atau pegawai audiologi untuk rawatan berkaitan dengan masalah pendengaran anda.

Rujukan

  1. Colletti V., Carner M. & Colletti L. 2009. TORP vs. round window implant for hearing restoration of patients with extensive ossicular chain defect. Acta Otolaryngol, 129, 449–452.
  2. Dumper J., Hodgetts B., Liu R. & Brandner N. 2009. Indications for bone- anchored hearing aids: Afunctional outcomes study. J Otolaryngol Head Neck Surg, 38(1), 96–105.
  3. Frenzel H., Frauke H., Beltrame M., Steffen A., Schonweiler R. et al. 2009. Application of the vibrant soundbridge to unilateral osseous atresia cases. The Laryngoscope, 119, 67–74.
  4. Håkansson B., Tjellström A., Rosenhall U. & Carlsson P. 1985. The boneanchored hearing aid: Principal design and a psychoacoustical evaluation. Acta Otolaryngol, 100, 229–239.
  5. Roberta Marino, Nicola Linton, Robert H. Eikelboom, Elle Statham & Gunesh P. Rajan (2013) A comparative study of hearing aids and round window application of the vibrant sound bridge (VSB) for patients with mixed or conductive hearing loss, International Journal of Audiology, 52:4, 209-218
  6. Stenfelt S. & Goode R.L. 2005a. Bone-conducted sound: Physiological and clinical aspects. Otol Neurotol 26(6), 1245–61.
Semakan Akhir : 30 Mei 2018
Penulis/Penterjemah : Tan I Dee
Akreditor : Roshila bt. Bujang

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,827

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia