A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Alat Pemegang

Alat Pemegang adalah aplians yang dibuat dan dipakai selepas rawatan ortodontik aktif selesai.

Yey yey! Hari ini pendakap saya akan dibuka.
Tahniah …anda mesti sangat gembira dengan gigi dan senyuman anda.
Tetapi tunggu dulu…… kami masih belum selesai….anda masih memerlukan alat pemegang!

Apa itu Alat Pemegang Ortodontik?

Alat Pemegang adalah aplians yang dibuat dan dipakai selepas rawatan ortodontik aktif selesai.

  • Tujuan alat pemegang ini adalah untuk memegang gigi pada kedudukan yang baru dan lebih teratur selepas diperbetulkan
  • Oleh itu alat pemegang akan meminimakan relaps (pergerakan gigi kembali ke kedudukan asal selepas selesai rawatan ortodontik)

Alat pemegang boleh terbahagi kepada tetap (tidak boleh dikeluarkan dari mulut oleh pesakit ) atau boleh tanggal (boleh dikeluarkan oleh pesakit)

Alat pemegang hampir menjadi satu kemestian selepas rawatan ortodontik aktif.

Bagi sesetengah kes, Pakar Ortodontik mungkin akan memberitahu yang alat pemegang tidak perlu dipakai. Akan tetapi hampir semua kes memerlukan alat pemegang.

Mengapa Alat Pemegang diperlukan?

  • Untuk mengurangkan relaps
  • Untuk memberi masa kepada tisu fiber gusi tumbuh di sekitar posisi/ kedudukan gigi yang baru Sesetengah tisu fiber gusi akan mengambil masa hampir 1 tahun untuk reorganize iaitu adaptasi pada tempat yang baru
  • Untuk membenarkan tulang dan tisu lembut (bibir, lidah dan pipi ) beradaptasi dengan posisi gigi yang baru.

Jenis – Jenis Alat Pemegang

Berapa lama saya perlu memakai alat pemegang?

Kebiasaannya Pakar Ortodontik akan mengesyorkan alat pemegang dipakai selama 6 bulan hingga 1 tahun. Bagi sesetengah kes, Pakar Ortodontik akan menyarankan alat pemegang dipakai untuk jangkamasa yang lama dan dalam kes tertentu perlu dipakai secara tetap dan berterusan hingga bila-bila. Kes-kes yang memerlukan jangkamasa pemegangan yang panjang adalah seperti di bawah

  • Gigi jarang sebelum rawatan,
  • Gigi yang terpusing / terotasi yang teruk,
  • Pengembangan arkus semasa rawatan
  • Penyakit gusi (kes periodontal)

Rejim yang paling biasa untuk pemakaian alat pemegang adalah pemakaian sepenuh masa selama 6 bulan, diikuti 6 bulan seterusnya separa masa. Pemakaian sepenuh masa bermakna alat pemegang mesti dipakai sepanjang hari kecuali waktu makan. Pemakaian separa masa iaitu alat pemegang dipakai di waktu malam sebelum tidur sehingga keesokan hari semasa bangun tidur.

Akan tetapi pemakaian alat pemegang ini berbeza dari satu kes ke kes yang lain.

Sekiranya anda ingin memastikan gigi akan sentiasa dalam posisi yang baik sepanjang masa, anda perlu memakai alat pemegang secara tetap 3x seminggu selepas 1 tahun fasa pemegangan.

Jika anda memakai alat pemegang boleh tanggal, anda dikehendaki untuk menanggalkannya ketika makan. Ini akan membenarkan gigi bergerak secara individu semasa fungsi normal pengunyahan dan akan menggalakkan reorganisasi atau penstrukturan tisu fiber gusi di posisi yang baru. Pastikan anda memberus gigi setiap kali selepas makan dan pakai semula alat pemegang secepat mungkin.

Kejadian relaps boleh terjadi seawal 6 bulan selepas alat pendakap tetap dibuka. Kegagalan untuk memakai alat pemegang seperti yang diarahkan oleh Pakar Ortodontik akan menyebabkan relapse iaitu gigi kembali ke kedudukan asal sebelum alat pendakap kekal dipasangkan.

Memasang Alat Pemegang

Pemasangan alat pemegang anda boleh mengambil masa beberapa jam atau pun beberapa hari untuk dilakukan.

Anda mungkin akan merasa janggal apabila alat pemegang dipasangkan di dalam mulut. Anda mungkin mengalami perubahan ketika bercakap/ kesulitan ketika bertutur disebabkan alat pemegang di dalam mulut.Anda mungkin mengambil masa kira-kira 2-3 minggu untuk membiasakan diri dengan alat pemegang dan bercakap seperti biasa.

Kemungkinan anda akan mengalami kadar pengaliran air liur yang lebih banyak dari biasa untuk selama 1 minggu. Rasa tidak selesa dan sakit akan dialami dan kadang-kadang terjadi ulser mulut disebabkan alat pemegang. Jika rasa kesakitan disebabkan permukaan alat pemegang yang kasar dan bucu yang tajam, sila hubungi klinik ortodontik dengan kadar segera.

Penjagaan Alat Pemegang

  • Tanggalkan alat pemegang ketika makan (kecuali alat pemegang tetap)
  • Letakkan /simpan alat pemegang di dalam kotak pemegang (biasanya dibekalkan oleh Klinik ortodontik) bila mana alat pemegang tidak berada di dalam mulut. Jika anda tidak dibekalkan dengan kotak alat pemegang sebarang bekas bertutup boleh digunakan.
  • Pastikan alat pemegang sentiasa bersih. Berus alat di bawah air yang mengalir dan bersihkan setiap kali selepas makan.
  • Jangan dedahkan alat pemegang pada suhu yang tinggi atau merendamnya di dalam air panas. Ini akan menyebabkan alat pemegang terherot dan meleding.
  • Jaga alat pemegang anda sebaik mungkin. Jika terjatuh mungkin menyebabkan alat retak ataupun pecah.
  • Jangan letakkan alat pemegang di dalam kertas tisu kerana kemungkinan besar anda terlupa dan terus membuang nya.
  • Jangan letakkan alat pemegang didalam poket belakang seluar jeans anda kerana anda mungkin tidak sengaja duduk dan menyebabkan alat pecah.
  • Keluarkan alat pemegang dari mulut jika anda bersukan seperti bola sepak atau taekwando. Keluarkan juga ketika anda berenang.

Adakah gigi saya tetap akan kekal pada kedudukan selepas tempoh fasa retensi selesai ?

Perubahan secara konstan akan berlaku kepada struktur tulang dan tisu lembut sepanjang proses tumbesaran . Begitu juga terjadi perubahan yang berterusan disebabkan proses penuaan. Ini akan menyebabkan pergerakan gigi. Paling biasa terjadi kesesakan pada gigi incisor bawah.

Untuk meminimakan kesan ini anda perlu memakai alat pemegang secara kekal berterusan.

 
 

Arkus Atas

 

Alat Pemegang Hawley

 

Arkus Bawah

 

 

Alat Pemegang Tetap
(dilekapkan pada permukaan gigi)

   
 

 

 

Alat Pemegang Vacuum

 


Kotak Alat Pemegang

Rujukan

  1. Daljit S. Gill. Orthodontic at a Glance. 1st ed Blackwell.

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Prethiba a/p Yugaraj
Penterjemah : Dr. Yatimah bt. Othman
Akreditor : Dr. Maria Jirom Gere
Penyemak : Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin

 

Artikel Berkaitan

Perkhidmatan Ortodontik di KKM

Ortodontik adalah satu cabang kepakaran pergigian yang mengendali dan merawat pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kedudukan atau susunan gigi yang tidak betul.

Anak-Anak Enggan Memberus Gigi : Tips Mengatasi

Mengajar serta menggalakkan anak-anak memberus gigi bukan lah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.  Terdapat beberapa tip yang boleh dipraktikkan untuk menggalakkan anak-anak memberus gigi di dalam artikel ini.

Penjagaan Mulut untuk Orang Berkeperluan Khas

Langkah Beritahu, Tunjuk, Buat ‘BTB’ ini boleh mengurangkan kebimbangan seseorang untuk menjalankan pembersihan mulut. Bagi memulakan pemberusan gigi ‘Beritahu’ mereka apa yang akan kita lakukan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia