A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anafilaksis

Anafilaksis merupakan suatu reaksi alahan yang amat serius yang terjadi secara tiba-tiba dan boleh membawa maut

Pengenalan

Anafilaksis merupakan suatu reaksi alahan yang amat serius yang terjadi secara tiba-tiba dan boleh membawa maut. Anafilaksis terjadi apabila seseorang terdedah kepada sesuatu bahan yang seseorang itu alah kepadanya yang disebut allergen seperti makanan, ubat-ubatan dan sengatan binatang.

Apabila seseorang itu terdedah kepada allergen akan berlakunya pelepasan bahan kimia yang tertentu secara banyak dan tiba-tiba oleh sistem imun badan. Berbeza dengan reaksi alahan biasa yang hanya menyebabkan kegatalan dan ruam sahaja, anafilaksis berlaku apabila tindak balas ini menyebabkan gejala-gejala yang lebih serius kepada seseorang pesakit.

Gejala

Gejala-gejala anafilaksis boleh timbul secara tiba-tiba iaitu dalam masa beberapa saat dan minit selepas terdedah kepada sesuatu allergen. Secara umumnya, anafilaksis boleh menyebabkan gejala-gejala kepada sistem tubuh berikut:

  1. Kulit
    • ruam gatal
    • kulit kemerahan terutama di bahagian muka (“flushing”)
    • pembengkakan di bahagian bawah kulit (“angioedema”) seperti kelopak mata dan bibir

anafilaksis1

Gambar: Ruam gatal
(Sumber: health.howstuffworks.com)

anafilaksis2

Gambar: “Angioedema”
(Sumber: jeffreysterlingmd.com)

  1. Saluran pernafasan
    • saluran pernafasan akan menyempit dan ini akan menyebabkan kesukaran untuk bernafas dan pernafasan akan berbunyi bising
    • tekak akan membengkak dan ini akan menyebabkan suara menjadi kasar dan terasa seperti ada sesuatu tersangkut di dalam tekak
  2. Saluran pencernaan/pemakanan
    • muntah-muntah
    • cirit-birit
    • sakit perut
  3. Jantung dan salur darah
    • tekanan darah rendah
    • degupan jantung menjadi terlalu laju atau terlalu perlahan
  4. Sistem saraf pusat
    • pening-pening
    • sakit kepala
    • pengsan/tidak sedarkan diri

Biasanya 2 sistem atau lebih terlibat dalam diagnosis anafilaksis.

Penyebab

Tindak balas ini umumnya disebabkan oleh makanan, ubat-ubatan atau sengatan binatang. Namun begitu, lebih kurang 30-50% kes, penyebabnya tidak diketahui.

  1. Makanan
    • kacang
    • makanan laut seperti ikan, udang dan ketam
    • hasil tenusu seperti susu dan telur
  2. Ubat-ubatan
    • antibiotik seperti penisilin
    • ubat tahan sakit seperti aspirin dan NSAID (non steroidal anti inflammatory drugs)
  3. Bisa akibat sengatan serangga seperti lebah atau tebuan atau gigitan binatang berbisa.

Pencegahan

Cara bagi mencegah anafilaksis adalah dengan menghindari dari memakan atau terdedah kepada allergen.

Sebagai langkah persiapan, seseorang yang memiliki risiko untuk mendapat anafilaksis disarankan agar memiliki perancangan spesifik apabila mendapat alahan. Bagi kanak-kanak sekolah, ibubapa atau penjaga harus memberitahu pihak sekolah riwayat alahan anak-anaknya dan langkah yang harus dilakukan apabila timbulnya gejala-gejala alahan atau anafilaksis.

Perancangan tersebut biasanya merangkumi cara penggunaan autoinjektor adrenalin (epinefrin), memakai gelang tangan atau kad yang menyatakan alahan pesakit serta penerangan mengenai bagaimana untuk mencegah penyebabnya.

anafilaksis3

Gambar: Contoh autoinjektor epinefrin
(sumber: www.empr.com)

anafilaksis4

Gambar: Kad Alahan Ubat Kementerian Kesihatan Malaysia
(sumber: Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia)

anafilaksis5

Gambar: Contoh gelang tangan peringatan ubatan
(sumber: www.aliexpress.com )

Rawatan

Segera pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana anafilaksis boleh membawa maut.

Perkara yang paling penting adalah memastikan fungsi pernafasan dan jantung stabil dan sempurna.

Adrenalin (Epinefrin) adalah ubat dan rawatan pilihan utama untuk anafilaksis. Ia diberikan secara suntikan di otot peha (bahagian pertengahan sisi) dengan segera setelah dipercayai mempunyai gejala anafilaksis. Jika memiliki autoinjektor adrenalin, pesakit boleh menyuntik dirinya sendiri secepat mungkin dan dalam masa yang sama pergi mendapatkan rawatan di hospital. Autoinjektor adrenalin terdapat di dalam 2 jenis dos iaitu untuk kanak-kanak dan juga dewasa.

Selain adrenalin, antihistamin juga digunakan dalam rawatan anafilaksis. Namun, kajian mendapati, antihistamin tidak menunjukkan bukti yang kuat sebagai rawatan utama dalam anafilaksis berbanding adrenalin.

Steroid seperti kortikosteroid juga digunakan sebagai rawatan sampingan. Walau bagaimanapun penggunaan kortikosteroid kepada seseorang yang sedang mengalami anafilaksis tidak menunjukkan kesan yang meyakinkan. Namun begitu ia digunakan dengan harapan untuk menurunkan risiko anafilaksis yang berulang atau bifasik walaupun keberkesanannya tidak begitu jelas.

Rujukan

  1. www.mayoclinic.org
  2. Tintinalli’s Emergency Medicine: A Comprehensive Study Guide, Seventh Edition
  3. Rosen’s Emergency Medicine (7th Edition)
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penyemak : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah
Akreditor : Dr. Zainalabidin b. Mohamad@Ismail

Artikel Berkaitan

Acute Appendicitis

‘Acute appendicitis’ adalah inflamasi atau kerengsaan organ apendiks itu sendiri. Inflamasi atau kerengsaan ini menyebabkan pembengkakan dan seterusnya menjejaskan pengaliran darah ke apendik

Gigitan Haiwan

Gigitan haiwan merupakan kejadian yang kerap berlaku dalam kehidupan harian dan di Malaysia gigitan haiwan yang paling kerap berlaku adalah gigitan anjing.

Acute Appendicitis

Acute appendicitis is an inflammation of the appendix. This inflammation causes congestion, swelling and ultimately reduced blood supply to the appendix

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia