A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anakku Kurang Dengar, Lambat Cakap

Perhatikan gambar dua kanak-kanak ini, kedua-duanya nampak sihat dan sempurna anggota badan.

Masalah kurang pendengaran di kalangan bayi tidak nampak di mata kasar. Bayi boleh mendengar sejak dalam rahim ibu. Bunyi yang didengar akan dihantar ke otak dan ditafsir. Proses ini amat kompleks. Otak bayi yang baru lahir ibarat span yang menyerap air. Semua bunyi dan perkataan yang didengar akan disimpan. Apabila sampai masanya perkataan tersebut akan dikeluarkan.

Kanak-kanak berisiko mengalami masalah kelambatan bahasa dan pertuturan ialah kanak-kanak yang mengalami masalah kurang pendengaran sejak lahir.

Di antara penyebab masalah kurang pendengaran sejak lahir ialah bayi yang lahir pra-matang, sakit kuning berlanjutan, bayi yang lahir kurang berat badan dan komplikasi semasa proses kelahiran.

Dalam kebanyakan kes, penyebabnya adalah tidak diketahui. Bayi yang bermasalah kurang pendengaran berisiko mengalami kelambatan bahasa dan pertuturan.

Bayi akan tersenyum apabila mendengar bunyi yang disukai. Peringkat ‘bersuara’ atau ‘mengagah’ menyusuli apabila bayi mula mengeluarkan bunyi ‘uuuu’ atau ‘aaaa’. Apabila berumur lapan bulan ke atas, bayi akan mula membebel menggunakan suku kata tidak bermakna seperti ‘babababa’ atau ‘mamama’.

Bayi yang bermasalah kurang pendengaran akan mula membebel juga. Ini kerana pada peringkat permulaan, semua bayi, sama ada bermasalah pendengaran atau tidak, mula mengeksplorasi peti suara dan bahagian mulut.

Tetapi, bagi bayi yang mengalami masalah pendengaran, peringkat membebel ini singkat dan seterusnya, bayi akan berhenti membebel kerana mereka tidak dapat mendengar bunyi suara sendiri dan bunyi persekitaran dengan jelas. Perkataan pertama yang selalunya muncul apabila kanak-kanak berumur antara 12 – 18 bulan mungkin seperti “mama” yang ditujukan untuk ibunya sahaja tidak akan muncul.

Salah satu tanda anak anda mungkin mengalami masalah kelambatan pertuturan dan bahasa ialah apabila tiada perkataan pertama yang bermakna muncul apabila anak berumur antara 12 hingga 18 bulan. Melakukan ujian pendengaran ke atas kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda lambat bercakap adalah sangat penting.

Kebanyakan kanak-kanak berumur 18 bulan biasanya boleh ikut arahan menunjuk anggota badan seperti “tunjuk mata” dan “tunjuk hidung” apabila telah diajar. Perkataan yang boleh disebut juga meningkat di antara 10 hingga 25 perkataan.

Antara umur 18-24 bulan, kanak-kanak sudah boleh mengenal objek harian seperti permainannya dan mencantum dua perkataan contohnya ‘nak air’.

Antara umur 24-36 bulan, perbendaharaan kata bertambah dan kanak-kanak mula menggunakan ayat yang panjang.

Kaitan Masalah Pendengaran dengan Lambat Cakap

Ujian pendengaran di kalangan bayi, kanak-kanak dan orang dewasa hanya boleh dijalankan oleh Pegawai Audiologis yang bertauliah. Kini hospital-hospital negeri seluruh Malaysia mempunyai Pegawai Audiologis yang bertanggungjawab melakukan ujian pendengaran.

Bagi bayi yang berisiko tinggi mengalami masalah kurang pendengaran, Pegawai Audiologis akan menjalankan saringan pendengaran setelah dirujuk oleh doktor. Jika saringan pendengaran tersebut gagal, ujian penilaian akan diteruskan untuk mengenal pasti tahap keterukan masalah pendengaran.

Pepatah dulu kala ada mengatakan kalau pekak mesti bisu. Kenyataan tersebut adalah kurang tepat, kerana apabila seseorang bayi dilahirkan kurang pendengaran, biasanya tiada kelainan pada peti suara dan bahagian mulutnya.

Bayi boleh menangis dengan kuat dan menyusu seperti bayi lain. Tetapi, oleh kerana bayi tidak dapat mendengar bunyi pertuturan dan bunyi-bunyi persekitaran, maka otaknya tidak mendapat rangsangan awal bahasa. Apabila tiada bahasa diserap ke dalam otak maka kuranglah perkataan yang dikeluarkan atau mungkin juga bayi tidak akan bercakap.

Masalah kurang pendengaran yang dialami sejak lahir dikenali masalah pendengaran pre-lingual atau kongenital, manakala masalah kurang pendengaran yang diperoleh selepas kanak-kanak boleh bercakap dikenali sebagai masalah pendengaran post-lingual

Umur kanak-kanak dikesan mengalami masalah kurang pendengaran adalah penting kerana masa kritikal kanak-kanak memperoleh bahasa ialah sejak lahir hingga tiga tahun.

Kebolehan otak menyerap bahasa sangat pantas pada umur tersebut. Sekiranya kanak-kanak tidak dapat mendengar kerana masalah kurang pendengaran kongenital, maka proses pemerolehan bahasa kanak-kanak akan terbantut.

Memandangkan betapa pentingnya pendengaran kepada pemerolehan bahasa, ibu bapa digalakkan membawa bayi untuk menjalani ujian pendengaran bagi memastikan proses perkembangan bahasa berterusan sejak lahir.

Apabila kanak-kanak dikesan mengalami masalah kurang pendengaran, Pegawai Audiologis akan menjelaskan tentang jenis masalah pendengaran dan tahap keterukannya. Bagi masalah pendengaran yang bersifat sementara iaitu jenis konduktif, Audiologis akan merujuk kanak-kanak ke doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jika jenis masalah pendengaran bersifat kekal iaitu sensorineural, biasanya Pegawai Audiologis akan mencadangkan pemakaian Alat Bantu Pendengaran (ABP).

ABP adalah selamat digunakan dan bertujuan untuk membantu kanak-kanak mendengar bunyi persekitaran dan bunyi pertuturan. ABP perlu dipakai sepanjang masa kecuali waktu tidur dan mandi.

Kanak-kanak dengan ABP perlu menghadiri sesi Terapi Pertuturan berkala supaya dapat belajar memahami bunyi-bunyi yang didengar melalui ABP dan menggunakan bahasa dan pertuturan dalam komunikasi harian.

Penting bagi ibu bapa untuk mempunyai pemahaman yang mendalam berkaitan ABP dan isu yang berkaitan ABP untuk memastikan ABP yang dipakai oleh kanak-kanak memberikan kebaikan yang sesuai dan berterusan (Robert, W.,1999).

Kanak-kanak yang memakai ABP akan dirujuk oleh Pegawai Audiologis ke program Terapi Pertuturan. Terapi Pertuturan akan dikendalikan oleh Patologis Pertuturan-Bahasa yang bertauliah.

Patologis Pertuturan-Bahasa berperanan membuat penilaian perkembangan bahasa dan pertuturan di kalangan kanak-kanak. Selepas membuat penilaian, program Terapi Pertuturan yang bersesuaian dengan tahap keterukan masalah bahasa dan pertuturan kanak-kanak akan ditetapkan.

Program Terapi Pertuturan adalah berkala dan mungkin merangkumi jangka masa yang panjang mengikut keperluan pesakit. Ia merupakan program yang memerlukan komitmen berterusan daripada ibu bapa dan kanak-kanak.

Program Terapi Pertuturan bagi kanak-kanak dengan masalah pendengaran adalah untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran seperti di bawah:

  1. Kemahiran pra-pertuturan
  2. Kemahiran memori-visual
  3. Kemahiran mendengar
  4. Kemahiran mengenal pasti bunyi
  5. Kemahiran menghasilkan suara
  6. Kemahiran menghasilkan perkataan awal

Sumber: Syahrulikram, M. & Azizah, N. (2007)

Semua kemahiran di atas perlu dilatih kepada kanak-kanak yang menggunakan ABP.

Penggunaan ABP yang konsisten dan latihan yang berterusan di rumah membantu kanak-kanak bercakap untuk tujuan sosial dan akademik. Masalah lambat cakap yang disebabkan oleh masalah pendengaran pre-lingual boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah kelambatan bahasa dan pertuturan yang serius.

Intervensi awal perlu dijalankan bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran. Seawal umur kurang dari enam bulan, bayi yang dikesan mengalami masalah pendengaran perlu mengikuti program Terapi Pertuturan.

Aktiviti untuk meningkatkan kemahiran pra-pertuturan di antaranya ialah membuat kontak mata (eye-contact), tumpuan perhatian, meniru, mengambil giliran dan bermain dengan cara yang sesuai mengikut umur.

Kemahiran memori-visual penting untuk meningkatkan tumpuan dan koordinasi mata-tangan. Aktiviti seperti meniru binaan blok mainan dan mencari padanan set kad gambar yang sama akan menjadikan kanak-kanak seronok bermain sambil belajar.

Kemahiran mendengar perlu diasah untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap wujudnya bunyi-bunyi persekitaran dan pertuturan. Kemahiran mengenal pasti bunyi dilakukan dengan mengajak kanak-kanak membezakan nada bunyi dan kekuatan bunyi yang didengar.

Kemahiran menghasilkan suara dan perkataan awal adalah asas kepada penggunaan ayat yang lengkap untuk berkomunikasi.

Kemahiran awal komunikasi perlu seiring dengan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.

Masalah kurang pendengaran yang tidak dikesan atau lambat dikesan akan mengakibatkan proses belajar bahasa dan bercakap terganggu.

Komplikasinya ialah proses komunikasi secara pertuturan terganggu dan pada jangka masa panjang menjejaskan kebolehan akademik kanak-kanak tersebut.

Semua ibu bapa disarankan supaya membawa anak mereka untuk membuat ujian pendengaran sama ada dengan inisiatif sendiri atau diarahkan berbuat demikian.

Semakan Akhir : 23 September 2013
Penulis : Puan Haniza bt. Ahmad

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia