A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Adakalanya kita jatuh sakit, kusut, keliru dan tidak dapat bertahan lagi. Panduan ini adalah untuk membantu anda untuk menjaga diri sendiri dan membuat keputusan jika perlu berjumpa doktor atau mana-mana anggota penjagaan kesihatan.

Sebagai remaja, anda perlu tahu tahap kesihatan anda walaupun anda sihat. Setiap klinik kesihatan mempunyai program saringan khusus untuk remaja seperti anda.

Pergi ke klinik agak menakutkan tetapi doktor, jururawat dan anggota kesihatan yang lain berada di sana untuk membantu orang yang sakit atau cedera agar berasa lebih baik. Teruskan membaca untuk mengetahui apa yang berlaku di klinik. Jika anda berasa kurang selesa, dapatkan bantuan ibu atau bapa untuk menemani anda.

Rundingan antara doktor dan remaja adalah sentiasa sulit

Mengapa anda perlu pergi ke klinik?

Membolehkan anggota kesihatan atau doktor memantau pertumbuhan dan perkembangan diri anda. Pemeriksaan kesihatan memberi anda peluang untuk bertanya mengenai kesihatan anda. Anda mungkin ingin tahu bila anda akan menjadi lebih tinggi atau sama ada berat badan anda adalah sesuai.

Apakah persediaan sebelum berjumpa doktor?

Beri maklumat yang sesuai mengenai keadaan diri anda supaya doktor boleh mengenal pasti masalah kesihatan yang anda hadapi dan memberi nasihat mengenai rawatan yang terbaik.

Lawatan ke klinik akan lebih memuaskan hati jika anda berterus terang dan menyatakan perkara yang merisaukan anda dengan tepat.

Catatkan maklumat penting seperti tarikh, masa dan gejala yang berkaitan. Contohnya, jika anda demam, batuk dan sakit tekak, nyatakan dengan jelas gejala-gejala ini.

  • Tarikh anda mula menyedari masalah kesihatan yang dihadapi.
  • Apakah sifat demam, batuk dan warna kahak.
  • Perkara yang menyebabkan kesihatan anda menjadi lebih baik atau lebih teruk.

Jika persoalan yang diajukan membantu doktor mendiagnosis penyakit, perkara lain seperti selera makan dan tidur akan turut ditanya. Doktor akan turut memeriksa anda bagi menolak kemungkinan punca demam yang serius.

Anda juga perlu bersedia untuk meminta doktor memberi penerangan yang jelas mengenai kesihatan anda dan rawatan yang terbaik untuk anda.

Apa yang berlaku di klinik?

Apabila jururawat memanggil anda, pemeriksaan suhu badan, berat dan ketinggian badan, tekanan darah serta pengambilan darah anda untuk mendapatkan bacaan tahap hemoglobin (jika anda seorang gadis yang menghadiri klinik remaja) akan dijalankan.

Ujian tahap hemoglobin adalah ujian darah yang menyediakan maklumat mengenai keberkesanan sel-sel darah merah membawa oksigen kepada badan anda.

Anda mungkin akan diminta untuk menjalani ujian darah yang lain atau sinar-x (x-ray) untuk mengesahkan kesihatan anda.

Anda juga mungkin akan diminta untuk mengisi borang pemeriksaan bagi remaja sebelum berjumpa doktor.

Doktor akan mengalu-alukan kedatangan anda, menanyakan soalan dan meminta anda berkongsi masalah kesihatan anda. Doktor juga akan memeriksa jantung, paru-paru, mata, tekak, telinga dan hidung anda. Doktor juga mungkin akan memeriksa abdomen, payu dara, bahagian sulit (kemaluan) dan tulang belakang anda.

Berikut adalah antara sebab doktor atau anggota kesihatan melakukan pemeriksaan :

Tekanan darah :

  • Ini menunjukkan keupayaan jantung anda mengepam darah ke seluruh badan anda. Tekanan darah boleh menjadi terlalu rendah atau terlalu tinggi.

Suhu badan :

  • Menggunakan termometer, doktor boleh menentukan sama ada anda demam (lebih daripada 37 darjah Celcius) atau dalam julat normal (antara 36.1 hingga 37.0 darjah Celcius).

Mendengar dengan stetoskop :

  • Untuk mendengar degupan jantung dan bunyi paru-paru anda bagi memastikan jantung dan paru-paru anda sihat.

Pemeriksaan telinga, hidung dan tekak :

Pemeriksaan telinga menggunakan otoskop
  • Doktor dapat memberitahu sama ada anda mempunyai jangkitan di tekak atau hidung dengan memeriksa anda. Doktor menggunakan otoskop untuk melihat telinga anda bagi mengesan sebarang masalah telinga, seperti cecair dalam telinga atau jangkitan pada saluran telinga.

Pemeriksaan mata :

Pemeriksaan mata menggunakan oftalmoskop
  • Oftalmoskop membolehkan doktor melihat retina, serta saraf yang menghantar mesej ke otak. Walaupun doktor menyuluh cahaya ke mata anda, jangan gerakkan mata anda agar doktor boleh memeriksa retina anda dengan baik.

Semakan refleks lutut dan siku anda dengan tukul tendon :

  • Refleks lutut normal adalah apabila doktor memukul lutut anda dan kaki anda terhayun ke atas tanpa anda melakukan apa-apa. Ia menguji sejauh mana saraf anda membawa mesej di dalam badan anda. Apabila refleks anda bertindak balas kepada tukul, doktor tahu saraf anda berfungsi dengan baik dan mampu untuk membawa mesej dari otak dan saraf tunjang yang memberitahu badan anda apa yang perlu dilakukan.

Pemeriksaan abdomen :

  • Doktor boleh memeriksa perut, usus, hati, limpa dan buah pinggang untuk memastikan ia dalam keadaan yang baik.

Peperiksaan payu dara dan kemaluan :

  • Pemeriksaan ini membuat anda rasa kurang selesa. Oleh itu, minta bantuan ibu atau bapa untuk menemani anda semasa pemeriksaan.
  • Doktor atau jururawat akan melakukan pemeriksaan payu dara untuk memastikan bahawa perkembangan payu dara anda adalah normal, mengesan kewujudan ketulan, sista atau masalah payu dara yang lain. Doktor atau jururawat juga boleh mengajar anda untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri supaya anda dapat menjadikannya amalan dan menentukan sama ada ketulan adalah normal atau memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
  • Doktor mungkin memeriksa bahagian sulit. Doktor akan memeriksa faraj (jika anda gadis), dan zakar dan buah zakar (jika anda lelaki). Perubahan dalam bahagian sulit seperti rambut tumbuh, adalah tanda-tanda yang menunjukkan anda semakin akil baligh dan biasanya membesar dengan normal.

Pemeriksaan tulang belakang :

  • Tulang belakang perlu lurus. Namun, kadang-kala, tulang belakang remaja mempunyai lengkung dan beberapa keluk yang dipanggil skoliosis. Keluk kecil biasanya tidak menyebabkan masalah, tetapi jika keluk besar, ujian sinar-x (x-ray) perlu dijalankan atau diperiksa oleh pakar ortopedik yang mempunyai pengkhususan dalam rawatan skoliosis.

Adakah anda memerlukan suntikan?

Suntikan adalah ubat yang doktor letakkan tepat ke dalam badan anda dengan jarum yang sangat kecil. Suntikan membantu anda untuk kekal sihat dan tidak jatuh sakit seperti pelalian HPV untuk gadis.

Sesi soalan jawab :

Doktor akan memberi masa untuk anda bertanya selepas selesai pemeriksaan dilakukan. Anda digalakkan untuk bertanya sebarang soalan yang mengganggu fikiran anda. Tidak kira betapa bodoh atau memalukan soalan anda itu, doktor akan cuba yang terbaik untuk menjawab. Semua maklumat yang anda berikan akan dirahsiakan. Dengan bertanya soalan anda akan tahu dengan lebih lanjut cara untuk menjaga diri dan bagaimana badan anda berfungsi.

Semakan Akhir : 08 Januari 2014
Penulis : Dr. Wan Fadhilah bt. Wan Ismail

 

Artikel Berkaitan

Buli Siber

Apakah buli siber? Buli siber adalah satu kejadian yang biasa

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia